Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 5


Senaskah manuskrip bertajuk Semangat Perawan yang sudah dijilidkannya dibelek. Diselak lembaran demi lembaran. Sekadar mahu menjejak kesilapan ayat atau ejaan yang mungkin terlepas dari pandangannya sebelum ini. Senyumannya meranum. Nampaknya dia berpuas hati terhadap hasil kerjanya. Petang ini dia akan menghantar karya tersebut bersama dengan disketnya sekali.

Dia tahu Cik Suhaila sudah tidak sabar-sabar lagi mahu melihat karya terbaru darinya. Hampir keseluruhan cerita dalam Semangat Perawan adalah kisah benar. Ia dikutip dari beberapa buah kampung lalu diadun menjadi satu. Manuskrip inilah hasilnya. Jalan ceritanya lebih kepada kisah masyarakat pagan sewaktu zaman dahulukala. Di mana elemen kuno dan ilmu hitam saling bersatu menjadi pegangan serta kepercayaan masyarakat.

Selesai membalut manuskrip tersebut, Maya beredar untuk mandi. Terasa tubuhnya melekit sungguh. Seingatnya, dia jarang terfikir hendak membersihkan diri sepanjang menyiapkan manuskrip ini. Mungkin kerana terlalu konsisten ataupun kerana berasa seronok menulis hingga terlupa mandi. Namun yang pastinya dia memang jarang membasahkan tubuhnya.

Sambil menyanyi kecil, dia bersiap. Nada suaranya yang kedengaran sumbang timbul tenggelam bagaikan debur ombak. Sehelai baju T belang dipakainya. Dipadankan dengan skirt labuh mencecah buku lali. Rambutnya yang basah dibiarkan saja tergerai. Cermin matanya dikenakan semula dan dia mengambil masa beberapa minit membelek dirinya buat ke sekian kalinya.

“Kalaulah aku secantik watak Intan Saputri dalam Mahar Kasih kan bagus,” bisiknya sendiri-sendiri. “Ah! Selalunya watak tak seindah penulisnya. Memiliki nama yang indah juga tidak bermakna mempunyai wajah yang cantik,” tingkahnya lagi lalu menghampiri meja komputer. Diambilnya manuskrip yang sudah sedia untuk dibawa pergi termasuk disketnya sekali. Dia tersenyum-senyum sewaktu melangkah keluar dari rumah sewanya itu. Rumah yang tercacak sebuah di pinggir kawasan setinggan berhampiran Teluk Sepanggar.

“Cik! Kita dah sampai bandaraya!” kejut seseorang sambil menggoncang perlahan bahunya. Maya tersentak. Saat yang sama, manuskrip yang tersepit dalam dakapannya menggelongsor jatuh. Muka konduktor bas yang masih tercancang di sebelahnya itu mendadak berubah pabila terintai air liurnya yang berciciran dari tebing mulut. Maya tidak mengacuhkannya bahkan dengan pantas mengutip bungkusan manuskrip tersebut.

Kemudian melingas turun tanpa mengendahkan konduktor bas tadi yang ternyata masih setia memandangnya. Sambil mengelap air liurnya dengan belakang tapak tangan, dia berjalan mencelah orang ramai yang berpusuan di depan. Wajahnya masam dan seakan marah. Agaknya Maya kesal terhadap apa yang telah dialaminya selama ini. Mungkin juga kerana bengang sebab terpaksa menangguhkan penulisan manuskrip mistik buat sementara waktu.

“Buat orang sakit hati je,” rungutnya lantaran bengkeng. Dia terus saja berjalan dengan muka sesekali terpanggung arah orang ramai.

“Heh! Cari duit ke?!” marah seseorang pabila Maya tanpa sengaja terlanggarnya. Maya cepat-cepat mendongak kemudian menepi lalu mudik ke depan. Pemuda yang dilanggarnya tadi masih memandangnya dengan raut wajah seperti tidak berpuas hati. “Apa punya perempuan! Kalau cantik sangat tak apalah juga. Ni, cantik lagi nenek aku kat rumah,” gerutu pemuda itu lantas meneruskan haluan.

Sementara Maya pula semakin jauh. Dia tidak menoleh-noleh lagi. Setengah jam kemudian, dia pun tiba di depan pejabat Cik Suhaila. Keluhannya berhamburan pabila terbaca secebis nota yang sengaja diletakkan di depan pintu. Nampaknya Cik Suhaila tengah bercuti sakit selama beberapa hari ini. Dengan wajah merudum, Maya memutar tubuh lalu melangkah lesu arah anak tangga menuju ke tingkat bawah bangunan Asia City.

“Heh! Apa kena dengan awak ni?!” Sekali lagi Maya terlanggar seseorang. Pandangannya segera menikam wanita anggun itu. Sambil mendengus, wanita itu berjalan melintasinya. Beberapa tual perkataan yang tercurah dari mulut wanita itu tertumpah ke balang telinganya. Namun Maya buat pekak kerana bukan sikapnya mahu mengambil tahu fasal tu.

Tambahan pula, ini bukan kali pertama dia dibedil ayat-ayat berbau kesat tetapi dah berulang-kali. Situasi ini membuatkannya kebal dan tahan lasak berbanding gadis lain. Lagi pun memang salahnya kerana berjalan dengan mata menekuri hujung kaki. Dia jarang memandang hala depan kecuali jika berasakan ia perlu. Maya tidak segera pergi dari situ melainkan duduk atas sebuah tembok marmar.

Sempat dinikmatinya gelagat mereka yang lalu-lalang di depan. Sekadar mahu menghiburkan dirinya yang disekeh kekecewaan. Almaklum, dia amat mengharapkan kewujudan Cik Suhaila dalam pejabat tersebut. Namun kehampaan ini pula yang menggilisnya. Saat yang sama, teringat olehnya akan misteri dan enigma-enigma yang semakin rancak menghantuinya sejak kebelakangan ini. “Mainan perasaan,” komennya seraya tersengih.

Perwatakannya yang seperti sakit jiwa menggugah ketenangan sepasang sahabat. Lantas kedua gadis itu beredar lantaran bimbangkan tahap mental Maya. Maya tidak mengacuhkan mereka berdua. Lagipun dia dah biasa bermonolog luaran dan dalaman. Memang beginilah perwatakannya pada masa-masa tertentu.

Dia perlu berdelusi, berhalusinasi untuk menghidupkan dan mengindahkan lagi babak-babak yang terpentas dalam benaknya. Ia salah satu kaedah penghayatan yang telah sekian lama dipraktiknya untuk mencapai titik kepuasan. Terutama ketika terperangkap dalam dunia imaginasi. Semua keperluan dan elemen ini akan bergabung untuk mendapatkan hasil yang baik. Maya bukan gadis yang asing dalam takuk penulisan.

Dia seorang yang matang, penuh emosi dan bijak memanipulasikan pelbagai kata untuk menguasai pemikiran peminat fanatik yang mencintai setiap karyanya. Cuma adakala dia kejenuhan memugar kisah cinta. Kerana dihentak situasi inilah Maya cuba mencari kelainan dalam percintaan. Kini dia dalam usaha menghimpunkan sedikit maklumat untuk menyedapkan lagi kisah cinta yang bakal ditulisnya.

Lewat petang, Maya mencuri masa untuk bersantai di sebuah restoren. Ia terletak di pinggir lautan di mana sebongkah pulau yang dihuni oleh sejumlah penduduk asing tersergam. Sekilas, teringat olehnya akan karyanya yang bertajuk Mayang Sari. Watak utama nukilan itu adalah seorang gadis tempatan yang membesar dalam pulau tersebut. Penderitaan watak itu terserlah sewaktu zaman kanak-kanak. Selain menjadi mangsa penderaan, watak itu jua turut dikerah mengemis dalam bandaraya ini.

Walhal keluarganya cukup kaya raya dan disegani dalam benua ini. Namun kepincangan takdir membuatkan watak tersebut terhumban dalam lembah duka dan saban detik hanya bertemankan air mata. Kata orang, air mata itu pembasuh luka dan penawar lara. Begitulah kiranya watak yang diberi nama Mayang Sari tersebut. Kerana pasrah dan redhalah dia cuba untuk tabah selama terumbang-ambing dalam lautan takdirnya. Maya tersenyum.

Idea untuk menulis karya tersebut membiak dalam jemalanya selepas melihat anak-anak warga asing yang dipaksa mengemis dalam bandaraya ini. Maka apa salahnya menghasilkan sesuatu untuk menyedarkan masyarakat bahawa tidak semua pengemis tersebut berdarah asing. Sesuku berlalu dan Maya masih tersadai di situ. Menghirup minumannya sedikit kemudian membuang pandang lagi.

“Encik Halimunan,” sebutnya tanpa sedar. Saat yang sama raut wajah milik suara halimunan itu sebagaimana yang dilakarkan oleh mindanya kini terpahat dalam benaknya. Selesai menyudahkan minumannya, Maya pun bergegas pergi. Buat seketika, dia hanya merayau-rayau dalam bandaraya tersebut tanpa sebenih tujuan. Dia kembali ke rumah sewanya sesudah malam menabiri hari.

Buat seketika Maya hanya duduk bersantai di ruangan balkoni. Berehat sambil menghirup udara yang tidaklah sesegar mana berikutan kedudukan rumah penduduk yang agak rapat. Namun, Maya bukanlah gadis yang kisah soal remeh-temeh seperti itu. Selama ini dia membesar dalam keadaan yang cukup daif dan kurang serba-serbi. Adik-beradik tirinya ramai. Ayahnya telah berkahwin semula selepas ibu kandungnya permisi dari maya ini. Hasil perkahwinan tersebut ayahnya telah mendapat tujuh orang anak.

Sementara Maya pula hanya mempunyai seorang adik perempuan yang kini sedang belajar dalam sekolah berasrama penuh. Sungguh pun begitu, Maya tidak pernah cuba membeza-bezakan antara adik kandung dan adik-adik tirinya. Dia tetap menghulurkan wang saku. Bahkan turut membantu ayahnya menyiapkan rumah mereka. Sebagai anak sulung, dia turut sama merasai beban yang terpanggul di bahu ayahnya.

Ayahnya bekerja sebagai penoreh getah dan pesawah. Sementara ibu tirinya pula hanyalah seorang suri rumah yang berada di rumah sepanjang masa. Ibu tirinya seorang wanita yang baik, cekal dan amat penyabar. Seingat Maya, ibu tirinya tidak pernah berkasar dengan dia dan adiknya. Apatah lagi meninggikan suara dan menjegilkan mata.

Jelasnya, Maya tidak pernah berasakan bahawa dirinya hanyalah anak tiri kepada wanita itu. Demikian juga adik perempuannya. Keluhan Maya terhambur. Bosan terhangak-hangak di situ, Maya berjerih masuk. Selepas menguncikan daun pintu, Maya menyelinap ke dalam bilik. Manuskrip yang sudah dibungkusnya elok-elok hanya dipandang sekilas. Dia terus saja berbaring atas tilam dan terkebil-kebil arah perlantaian siling. Tiada apa yang mengisi mindanya tika ini. Tanpa sedar, dia terlena berselang beberapa minit.

Beberapa hari berlalu. Maya kembali sibuk menyiapkan manuskrip mistiknya. Dalam diam, dia amat mengharapkan kehadiran manusia halimunan tersebut. Dia ingin bertanyakan mengenai kejadian ngeri dan tragis yang terpentas dalam ruang matanya dulu. Dia tidak berpuas hati selagi tidak mengetahui kesudahan malapetaka tersebut.

“Ia bukan mimpi. Bukan juga khayalan mahupun imaginasi. Kejadian tu seperti bernyawa. Hidup dalam takungan ingatanku,” sebutnya seraya berhenti menaip. Dia berfikir sejenak. Mug berisi nescaffe yang terdampar di tepi komputer diambil lalu dihirupnya sedikit. Maya melangut sebelum menyambung semula kerjanya. Dia hanya berhenti berselang dua jam.

Petang ini, Maya cuba meluangkan masa untuk menyemak semula isi kandungan manuskrip Semangat Perawan. Dia berasakan seolah ada yang tidak kena dengan manuskrip tersebut. Lantas balutan manuskrip itu dikoyakkannya. Seawalnya, dia hanya duduk di juring katil sambil menyelak setiap helaian sambil mindanya bekerja. Setengah jam berlalu dan Maya kini sedang meniarap atas katil sambil membaca manuskrip tersebut.

Kekhusyukannya membaca membuatkannya lupa akan manuskrip mistik yang masih terpapar pada dada monitor komputer. Seminggu berlalu dan Maya masih berusaha mencari kekurangan manuskrip tersebut. Kerana berasa tidak sedap hati Maya akhirnya memutuskan untuk menangguhkan penghantaran manuskrip itu. Entah mengapa hatinya berbaur pula.

Cik Suhaila yang sudah beberapa kali menghubunginya terpaksa akur. Walau di hati dah tak sabar-sabar mahu menatap dan menilai manuskrip tersebut.

“Hmm,” guman Maya sesudah sekerat hari terconggok depan komputer. Kedua kolam matanya terasa pedih dan berair. “Suara, engkau kat mana erk?” suanya dengan mata meliar ke setiap ceruk bilik. “Engkau ni dah makin sombong lepas bawa aku kat tempat tu ye?” katanya lagi bermonolog. Pandangannya terhunus ke semua arah. Namun tiada apa yang terarca depan matanya selain dinding bilik dan perabot usang yang mengisi ruangan tersebut.

“Macam manalah aku nak tolong kalau kau sendiri pun jual mahal kat aku.” Maya bingkas lalu mudik ke tepi bilik. Gebar yang bergumpal di katil diambil lalu dilipatnya kemudian diletakkan atas bantal. Dia merebahkan diri dan berbaring-baring seketika. Terkebil-kebil memandang perlantaian siling yang berkulapuk.

Bunyi angin berdesiran kuat dari arah luar menyentakkan Maya. Tunaknya segera mudik hala jendela. Mengintai lokasi tersebut dengan degupan kian rancak mengetuk perlantaian dada. “Apa pula kali ini?” suanya pabila tertangkap bunyi berderak-derak semacam bunyi ranting kering dipijak seseorang. Selimut yang terlipat di belakang kepala diambilnya lalu dikembangkan. Dia kemudiannya menyorok dalam selimut.

Dia ingin mengurangkan bahang ketakutan yang menerik dalam diri dengan bertingkah sedemikian. Sementara bunyi angin berdengusan semakin kuat menghentak gegendang telinga. Serentak itu, langsir usang tingkap bilik terselak lalu melayah-layah seperti ditolak angin. Walhal cermin jendela terkatup rapat sedari petang tadi lagi. “Eh! Aku kat mana ni?” Maya terkejut apabila mendapati dirinya berada di suatu tempat. Iaitu dalam sebuah bilik usang, kusam dan berbau hapak.

Dinding bilik itu pula semacam dalam proses pereputan. Maya terloncat dari tempat tidur sambil mencampakkan gebar buruk yang sudah sirna warnanya. “Suara, awak ke yang bawa aku kat sini?” Sunyi dan Maya semakin galau memikirkan situasi dirinya. Dia berlegar-legar dalam bilik buruk itu sebelum memetik keputusan hendak mengintai di luar. Dia berasa semakin takut apabila mendapati dirinya berada dalam pondok buruk di tengah-tengah hutan.

“Suara, awak ke yang bawa aku kat sini? Lepaskan aku,” bisiknya amat mengharapkan belas kasihan manusia halimunan tersebut. “Awak janganlah buat aku macam ni!” Nada suaranya berubah keras. Maya meradang apabila rayuannya tidak diacuhkan. Entah apa benar yang dimahukan oleh manusia halimunan tersebut hingga nekad menjadikannya sebagai sasaran dan mangsa.

Tiba-tiba telefon bimbit yang sengaja diletakkannya di ruang tamu berbunyi. Ketika inilah Maya seakan ternampak suasana dalam bilik tidurnya kembali merubah. Ia persis bayangan dan suasana dalam bilik usang ini bagaikan lukisan yang menutup wajah sebenar biliknya. Jelasnya dua suasana seperti bergabung hingga Maya menjadi bingung dan kemamar.

Sayup-sayup kedengaran satu suara parau menendang gegendang telinga. Ia kedengaran garau dan serak. Maya menajamkan pendengaran. Berusaha menangkap biji butir suara tersebut namun gagal menembusinya. Suara itu semacam milik seorang lelaki yang tengah nazak. Adakala kedengaran seperti terperangkap di suatu tempat yang pengap dan tidak mampu dibolosi oleh udara. Ia semacam tersekat dalam rengkung dan hanya bergema di situ.

Maya terperanjat apabila pintu biliknya tiba-tiba ditolak kasar. Didorong kuat dari arah bertentangan seperti terdesak gamaknya. Situasi tersebut menggandakan lagi rasa takut Maya walaupun daun pintu masih terkatup rapat. Ketenangannya bersepai. Kewarasannya bersepoian pergi dan dadanya semakin terasa sesak ditindih situasi ini. Dia tersentak dan terloncat ke belakang apabila pintu biliknya tiba-tiba terkuak lalu ternganga lebar. Sekepul asap hitam berdebut pantas arahnya. Kali ini tiada lagi jeritan terlucut dari mulutnya sebagaimana malam-malam yang sudah.

Hanya matanya terbuntang arah asap hitam yang kini membentuk lembaga berjubah hitam. Ia berada tepat di depan mata Maya dengan birai jubah melayah-layah semacam disondol angin. Kedua lengannya mendepa dengan pandangan menghala Maya. Sementara Maya pula seperti dipukau dan membalas tatapan tersebut dengan mata tak berkedip. Mulutnya ternganga. Nafasnya sudah tak keruan dengan denyut nadi semacam telah hilang rentak iramanya. Entah bagaimana dan sejak bila... Maya tiba-tiba berada di suatu tempat.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.