Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 20

Izatul Sabrina memasukkan ke semua barang-barang miliknya ke dalam kotak. Dia telah dipecat akibat kesalahan menyebarkan maklumat sulit kepada umum dan bakal menerima tindakan undang-undang. Kotak sengaja dihempas-hempas ke meja. Dia tahu, perbuatannya sedang diperhatikan. 

Izatul Sabrina menghentak-hentak tumit kasut semasa berjalan melintasi rakan sekerja yang lain. Dia memberi jelingan maut paling tajam sebelum berhenti di belakang tempat duduk mereka.

“Korang bergosip pasal aku ni, tak takut ke aku sebarkan aib korang pula?”

Masing-masing tersenyap. Pura-pura tidak mendengar sambil menunduk pandangan menyiapkan kerja.

“Eh, rahsia korang dalam poket aku tau! Sebut jelah apa sahaja aib di dunia ni, aku tahu semualah hal korang!”

“Sabrina!” Ketua editor menegur dari pintu pejabat. Dia kurang senang dengan kekecohan yang berlaku. 

“Rahsia bos pun saya simpan kemas tau! Ke nak semua orang tahu bos ada skandal dengan staff dekat pejabat? Nak saya bagitahu isteri bos?” 

Terkejut seisi pejabat dengan pembongkaran rahsia itu.

“Sabrina! Awak jangan lebih-lebih!” Ketua editor sudah merah pipinya.

Izatul Sabrina berdengus. Mengukir senyuman senget.

“Don’t mess up with me lah bos! See you when I see you!” Dengan penuh angkuh dia meninggalkan tempat kerjanya. “Huh, menyesal aku bawa balik semua barang ni! Baik aku buang. Dahlah berat. Aku bukan guna lagi pun semua ni.”

Kotak berisi barangannya melenguhkan tangan.

“Ikut hati, memang aku campak je dari tingkat atas terus jatuh ke bawah. Tapi, kalau terkena sesiapa, aku juga susah. Lepas tu, see you in court! Argh, memang semua orang nak tengok aku susah!”

Mujur sahaja lif kosong. Dia terus masuk ke dalamnya.

“Nasib baik tak ada orang lain. Kalau tak, mahu bergosip sampai habis kerja!”

Semasa di pintu automatik, bawah kotak itu tiba-tiba terbuka lalu terburai isinya. Izatul Sabrina terus menjerit menghamburkan kemarahan. Dia mencampak kotak itu jauh-jauh. Dia sudah tidak peduli mata-mata memerhati.

“Oh God! Apa guna aku angkut pakai kotak?”

Satu persatu fail keras dikutip. Disauk ke lengan. Sedang asyik mengutip barangannya, dia terlihat sepasang kaki manusia. Dia mendongak. Terkejut namun berjaya menahan reaksinya. Hari ini memang benar-benar kesabarannya diuji.

Kini, mereka benar-benar berdiri secara berhadapan. Masing-masing pegun. Saling merenung ke dalam mata. 

“Excuse me…” Izatul Sabrina tidak mahu berbicara dengannya. Dia sengaja berjalan begitu rapat. Mahu menyinggung tubuh Rina kerana menghalang laluannya.

“Nanti…” Rina menahan bahu Izatul Sabrina.

Izatul Sabrina mencebik, “Do I know you?”

Rina melihat telapak tangan kanannya sendiri. 

“Gila…” Komen Izatul Sabrina, perlahan.

“Dengan tangan ni sepertinya saya pernah menampar awak.” Rina memandang Izatul Sabrina.

“So?” Izatul Sabrina melihat Rina atas bawah. Tidak hairan langsung. Dia ketawa mengejek. “Kau memang tak ada kerja lain?”

“Awak mesti buat sesuatu yang mengundang kemarahan saya pada masa lalu.”

“Sorry ya. Entah dari mana kau muncul. Nak tuduh aku macam-macam.” Izatul Sabrina mulai melangkah. “Orang gila!”

Rina bagai kerasukan akan masa lalu. Tangannya ringan menahan bahu Izatul Sabrina kemudian terus menampar pipi perempuan itu. Rina sendiri terkejut dengan perbuatannya. Dia tidak percaya dengan apa yang dilakukan saat ini.

“Gila ke?! Sakit tahu tak!” Izatul Sabrina memegang pipinya. Berterabur kembali barangan yang dikutip.

“Maaf… maaf…” Rina terundur-undur. 

Rina masih berkira-kira, mahu membantu mahupun berlalu pergi. Keliru. Dalam masa yang sama, dia berasa perempuan itu layak menerima tamparannya. 

Akhirnya, Rina berlari meninggalkan Izatul Sabrina yang sudah terjerit-jerit mencemuhnya.

“Perempuan gila! Apa? Tak pernah tengok orang kena tampar ke?” Marah Izatul Sabrina. Penampilannya sudah tidak terurus. “Arghhhh!”


Rina menyaksikan matahari terbenam dengan pandangan mata yang berkaca-kaca. Sebatang bunga matahari diangkat ke langit. Cahaya kekuningan menyirami wajah Rina yang sedih. Sehari suntuk Rina cuba meraih memori silam.

Kesedihan tanpa punca membaluti hati. Langkah kakinya menapak ke mana sahaja tempat yang dirasakan pernah menjadi kenangan kepadanya. Menjelang senja, barulah dia mengerti.

“Saya suka Lukman!” Rina menekup telinganya sekuat mungkin. Suara perempuan dari masa lalu, memang membebankan jiwa Rina! 

Rina menjatuhkan diri. Dia tewas dengan emosi. Semasa dia keluar dari Happy Café, dia mendapat imbasan lalu itu. 


Imbas kembali…

3 tahun lepas…

Ting! Sepasang kekasih, Lukman dan Rina memasuki Happy Café. Irwan menjeling ke arah Izatul yang sedang mengelap meja.

“Tu… ambil order,” arah Irwan, menjuih bibir.

Izatul mengeluh kasar. 

Lukman asyik mengambil beberapa foto candid Rina yang sedang membetul-betulkan rambutnya. 

“Awak ni… malulah saya!” Rina tertawa kecil.

“Saya nak abadikan setiap momen bersama. Bila rindu… boleh tatap!”

“Awak ni… sayakan di depan awak. Tengok jelah puas-puas!”

“Hehemm!” Izatul berdehem mencelah perbualan mesra pasangan kekasih itu.

Buku menu diletakkan di atas meja. Agak kasar dan seperti tidak mengalu-alukan kedatangan pelanggan. 

Rina tetap menghadiahkan senyuman. Diselak-selak buku menu dan Lukman menggunakan kesempatan itu untuk terus membidik beberapa foto. 

“Cantik!” Puji Lukman, melihat semula hasilnya.

Izatul mencuri pandang ke arah skrin kamera. Kemudian melihat semula Rina dan akhirnya pada Lukman. Mereka berdua memang benar-benar terlihat seperti pasangan bahagia. Memang itu hakikatnya! Tanpa sedar, benih-benih cemburu menyusup masuk ke dalam hati Izatul. Kalaulah… kalau dia di tempat Rina!

Izatul jadi teringat akan bekas kekasihnya. Layanan buruk yang diterima seperti bekas kekasihnya itu hanya tahu memeras ugut wangnya. Tiap masa dipersalahkan di atas perkara yang tidak pernah dilakukan.

Izatul sudah cukup menjadi seorang penyabar sehingga dia tidak mampu untuk menahannya lagi. Boleh jadi gila hidup dalam kemurungan. Akhirnya, Izatul meninggalkan lelaki itu begitu sahaja.

“Hehem…” Lukman berdehem memecah lamunan Izatul. “Cik adik, kami nak pesan dah ni.”

“Ya…” Izatul terpana melihat Lukman tersenyum. Senyuman Lukman ibarat ditumpahi selori gula! Manis dan menawan hati. 

“Cappucino frappe dan coffee crème brulee frappe.”

“Itu sahaja?” Izatul mencatat dalam kertas sambil mencuri pandang ke arah Lukman yang kembali membelek menu.

“Ya, itu sahaja.” Lukman menyerahkan buku menu. Terpesankan Izatul tidak berkelip memandangnya. Lukman mengangkat kamera. “Boleh saya ambil gambar awak?”

Izatul tersentak. “Gambar?”

Dalam hati sudah terfikir bukan-bukan. Sempat hangat pipinya menahan malu. Lelaki berkarisma seperti Lukman, siapa tidak terasa berbunga-bunga?

“Sebagai tanda saya pernah datang ke kafe ni.” Lukman berkata lagi. Bimbang gadis itu tersalah mengerti.

“Oh, boleh!” Izatul mengangguk laju.


Seawal pagi lagi sebelum kafe itu beroperasi, dia sudah berada di luar bangunan Happy Cafe membawa pesanan mereka iaitu kekwa kuning dan bunga telang. Cahaya matahari masih malu-malu lagi ketika itu.

Rina bersama senyuman semanis gula, menolak pintu kafe. Dia tidak dapat melihat kelibat Irwan mahupun sesiapa. 

“Helo…” Rina meletakkan bakul di atas meja kaunter.

Sementara menunggu, Rina membelek-belek telefon pintar membalas pesanan sang suami tercinta. Tersengih-sengih. Rina mundar-mandir tanpa sedar ada seseorang masuk ke dalam kafe. 

Seseorang itu memakai headphone mendengar lagu sambil memandang skrin telefon. Kedua-dua mereka terleka sehinggalah bertembung lalu jatuh terduduk. Mereka saling mengadu kesakitan.

“Aduh, orang gila mana langgar aku ni?”

Rina lekas bangkit. Dia terus menghulurkan tangan untuk membantu Izatul Sabrina bangkit.

“Maaf. Awak tak apa-apa? Saya tolong awak bangun.”

Izatul Sabrina menepis tangan Rina. Dia bangkit sendiri.

Rina agak tersinggung. Dalam masa yang sama ekor mata terperasankan sesuatu di lantai. Penghias latar telefon pintar Izatul Sabrina membuatkan jantungnya hampir luruh. Gambar Lukman yang telah disunting. Sepatutnya gambar Lukman berdua dengan dirinya, akan tetapi Izatul Sabrina menyunting foto sendiri di sisi Lukman.

Rina melirik pandangan ke arah Izatul Sabrina yang sedang membersihkan kotoran pada bahagian belakang baju. 

“Siapa lelaki dekat skrin itu?” Rina cuba bertanya dalam keadaan berdebar-debar. Bermacam-macam andaian timbul. ‘Suami aku ada hubungan dengan remaja perempuan ni?’

Izatul Sabrina berkerut dahi. Mulanya tidak peduli. Kemudian, dia baru tersedar siapa perempuan berdiri di depannya. Telefon pintar cepat-cepat dikutip. Dia menyimpan terus dalam poket seluar. 

“Eh, saya tak perasan puan dah sampai!” Irwan muncul dari ruangan belakang bersama dengan stok biji kopi. Dia bersiul-siul riang tanpa sedar keadaan semasa mulai tegang. “Izatul pun dah sampai. Meh cepat bantu abang! Pagi-pagi dah masuk online order. Banyak!”

“Ya! Saya bersiap.” Izatul Sabrina menggunakan peluang untuk melarikan diri.

Tiba-tiba tangannya dicengkam Rina.

Rina berasakan bibirnya bergetaran.

“Beritahu saya… kenapa gambar suami saya dalam telefon awak?”

Izatul Sabrina terkedu.

Air mata Rina menunggu masa untuk jatuh.

“Awak tak mungkinkan awak ada apa-apa dengan suami saya?”

Entah dari mana Izatul Sabrina mendapat kekuatan. Dia merentap kembali tangannya.

“Dalam dunia ada tujuh orang bermuka sama.” Angkuh sekali jawapan Izatul Sabrina.

Rina terdiam. Sungguh dia tidak percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya.

“Wah, apa dibincangkan tu?!” Tegur Irwan. Langsung tidak sedar dengan suasana genting tadi lantaran leka dengan kerjanya.

“Tak ada apa,” balas Izatul Sabrina, menikam tajam pandangan ke bola mata Rina. Tidak senang dengan kedatangan Rina tanpa diundang. Dalam masa yang sama, dia tahu siapa Rina. Dia peduli apa.

Ketika Izatul Sabrina berpaling untuk menapak ke kaunter, masa itulah Rina terpesankan keychain gantung pada beg galas perempuan itu. Gambar Lukman! Rina berasa mahu menjerit sekuat-kuatnya. Lututnya lembik secara tiba-tiba.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.