Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 23

Noraziah duduk berehat sebentar di pondok. Topi diperbuat daripada rotan digunakan untuk mengibas-ngibas. Panas. Belum pun tengahari, bahangnya mentari bukan main. Diperhatikan beberapa pekerja sedang mengerat bunga matahari di ladang. 

Terendak daripada kain batik membaluti kepala, dibetul-betulkan. Tidak selesa anak rambut mulai keluar. Basah dengan rintik-rintik peluh.

“Puan tak teringin nak bersara?” 

“Bersara?” Noraziah tahu memang ada seorang pembantu setia diupah untuk mengekori ke mana sahaja Rina pergi, duduk menunggunya di situ semenjak dari tadi. “Apalah seorang tua seperti saya tahu buat perkara lain selain daripada pekerjaan sekarang ni? Alah bisa tegal biasa. Benda berpuluh tahun, tak mungkin begitu senang ditinggalkan.”

Noraziah mendengar Shazwan ketawa kecil. 

“Anak puan apa khabar?”

Noraziah mengeluh, “Macam tulah.”

“Anak puan sengaja mengurung jiwa dalam kegelapan. Lama-lama boleh memakan diri.” 

Noraziah menuang kopi O panas dari dalam termos. Dihirup perlahan sambil memandang langit biru. 

“Huh, kadangkala saya tak tahu apa yang boleh saya lakukan lagi. Saya dah tua. Penat.”

Tanaman bunga matahari diperhatikan lagi. Menguning cantik, disinarkan lagi dengan cahaya mentari. Noraziah menganggapnya sebagai terapi merawat kegalauan hati.

“Puan tak boleh putus asa. Lakukan sesuatu sebelum puan menutup mata.”

“Kata-kata awak memang menyakitkan hati. Tapi, kali ni saya bersetuju. Sebab itulah saya perlukan awak.”

“Puan pandai bergurau.”

Noraziah ketawa. “Sekadar menghiburkan hati yang walang.”

Di tengah-tengah ladang, Noraziah dapat melihat Rina sedang bergembira menikmati suasana pagi. Setiap hari Rina akan berkeadaan begitu. Rina berlari-lari sendiri.

Senyuman lebar itu, senyuman yang paling Noraziah rindukan. Rina seakan-akan menari dengan seseorang. Noraziah tahu siapa yang Rina sedang bayangkan.


“Rina!” Noraziah melaung dari pondok. Matahari benar-benar sudah tegak di atas kepala. Mereka akan berpulang ke rumah. 

Rina berlari-lari mendapatkan Noraziah. Dilambai-lambai tangan. Lebar sahaja senyumannya hari ini. Pasti ada kenangan lalu mengembirakan hatinya. 

“Apa kamu fikirkan?” Noraziah menyambut Rina dengan senyuman bersulam air mata. Dia membersih-bersihkan baju Rina daripada kotoran tanah. 

Rina tiba-tiba memaut lengan sang ibu.

“Hari ni saya nak mendandan pakaian paling cantik sekali. Basuh rambut dekat spa salon. Buat kuku. Skrub badan. Wangi-wangi.”

“Kamu terlalu gembira. Kenapa, nak?” 

Rina tidak pernah berhenti tersenyum semenjak tadi. Ketawanya benar-benar ikhlas. Dia berdiri di depan Noraziah. Menari-nari setempat.

“Mak nak tahu, hari ni hari ulang tahun perkahwinan saya dengan Lukman.”

Noraziah tersentak. Ternyata Rina masih mengingatinya.

“Mak rasa apa yang patut saya hadiahkan kepada Lukman?” Rina menggoyangkan lengan Noraziah.

“Mak…”

“Oh, saya tahu! Apa kata saya bawa pulang beberapa tangkai bunga matahari!”

“Rina…” Noraziah tidak sempat menegah.

Rina sudah berlari mahu kembali ke tengah ladang.

Rina terlalu gembira sehinggakan tidak melihat ke mana dia melangkah. Sebuah lori dipandu seorang pekerja menerpa dan membrek secara mengejut. Rina automatik mencangkung. Dia memeluk tubuh ketakutan. Nafasnya kencang. Tindakannya seseolah menunggu lori itu melanggarnya.

“Rina!” Noraziah menjerit histeria. 

“Rina, kita lari dari sini.”  Rina terdengar bisikan itu.

“Kenapa?”

“Saya yakin, dia takkan benarkan kita bersama.” 

“Asalkan saya dengan awak, saya rela.”

Rina terasa seperti berada dalam pelukan hangat seseorang.

“Rina!” Noraziah menggoncangkan tubuhnya berulang kali. “Kamu tak apa-apa?”

Rina bingung. Dia sangat yakin, memang dia sedang berbual dengan seseorang tadi.


Rina tiada tujuan. Dia mengikut sahaja ke mana kakinya melangkah. Merayau sendirian. Melayani jiwa laranya. Noraziah menyuruh Shazwan mengekori Rina.

“Huh, lapar! Tapi, aku tertinggal beg duit. Aku masih tak nak balik ke rumah.”

Hari kian senja. Lampu jalan mulai terpasang. Riuhnya jalan raya dengan mereka masing-masing pulang ke rumah. 

Rina menjilat bibir saat tiba di sebuah kedai makan menjual sate.

“Sedapnya!” Kecur air liur.

Baru sahaja mahu duduk, dia bangkit semula lalu menjauh.

“Aku tak bawa duit. Baik aku pergi.” 

“Nanti…” 

Rina terasa lengannya dicengkam Shazwan. Lelaki itu tahu, Rina pasti lapar. Rina mogok lapar seharian.

“Saya kenal awak?”

“Duduklah dulu. Minum.”

“Tak nak!”

“Awak mesti belum makan.”

Rina merentap kembali lengannya.

“Bukan urusan awak.”

Rina teruskan melangkah.

“Puan Noraziah hantar saya untuk awasi awak.”

Mendengar nama ibunya disebut, Rina berhenti melangkah. Dia berpaling.

“Hari ni ulang tahun perkahwinan awak dengan Lukman, kan?”

“Macam mana awak tahu?”

“Tahu.” Seseorang itu mengeluarkan telefon pintar. Membuat panggilan ke nombor telefon Noraziah manakala Rina terus-menerus bingung. “Nah, mak awak di talian!”

Rina merentap telefon pintar dari tangan lelaki itu. Dia memang tidak percaya dengan orang asing itu.

“Mak kenapa hantar orang ekori saya?”

“Mak risaukan kamu. Tolonglah jangan tiba-tiba hilangkan diri.”


Cahaya senja menyimbah wajah Rina. Termenung sambil menahan air mata keluar. Malulah orang asing itu melihatnya menangis.

“Puan beritahu saya, awak beli baju baru. Warnanya putih bersih.”

Automatik air mata ditahan-tahan, terus tumpah. Rina menahan diri daripada teresak-esak. 

“Kata puan, macam baju nak pergi menikah. Awak booking makan malam istimewa di sebuah restoran mewah. Awak tahu, Lukman takkan datang lagi.”

“Eh, kau ni kenapalah menyibuk semenjak dari tadi? Bukan urusan kau!” Rina menyinga. 

“Kita dah sampai.” Lelaki itu tetap tenang berbicara.

“Kita di mana?”

“Jom. Awak akan tahu sendiri.”

Lelaki itu sudah keluar dari kereta. Menunggu giliran Rina pula.

Rina masih terfikir-fikir. Menuruti atau membantah.

“Jom…” 

Akhirnya, Rina menuruti jua.

Semakin melangkah, semakin Rina jelas tujuan mereka. Memang lelaki asing itu sengaja memarkir kereta jauh dari lokasi sebenar. Sedikit gerun menyelubungi Rina mengunjungi tempat itu apatah lagi hari sudah benar-benar senja.

“Setiap yang hidup pasti merasai mati.” Kata lelaki itu sebaik tiba di sebuah pusara. Kelihatan bekas-bekas rumput. Tanahnya elok dikambus. Tanda ada yang datang membersihkan.  “Awak tahu nama siapa yang terukir ni?”

Rina semakin murah dengan air mata. Meskipun tidak mengerti, air matanya mudah jatuh. Dia segera berpaling. Tidak sanggup melihat nama terukir.

“Saya tak tahu.”

Rina meramas-ramas bahagian kiri dada. Sebak. Terlalu sedih. Dia tidak kuat mahu menerima kenyataan memeritkan itu.

“Suatu masa, awak akan kena hadapi jua.”

“Dah. Hari dah nak malam.” Rina memandang langit. Mengesat kasar air mata berguguran. “Saya perlu bersiap dan berpakaian paling cantik! Suami saya tengah tunggu saya.”

“Suami awak tunggu awak?”

Shazwan segera mendepani Rina yang mahu melarikan diri. Dia memegang kedua bahu Rina lalu menolaknya ke satu arah untuk melihat sesuatu.  

“Tak nak!” Rina tergeleng kepala. Dia tidak berdaya menahan kudrat lelaki itu. Apa yang ditakuti benar-benar terjadi. 

“Awak…” Rina tidak terkata.

Kini, tepat di depan mukanya, dia melihat nama di nisan. Rina memejam mata serapat yang boleh. 


Naik turun dada Noraziah mendengar cerita Shazwan. Rina pula sedang membersihkan diri di dalam bilik air. Noraziah terdengar Rina menangis.

“Kau sedar apa yang kau dah buat?” Suara Noraziah tinggi melangit.

“Saya sedar.” 

“Tak ke kau rasa itu tersangatlah kasar?”

“Puan memang nak anak puan hidup dalam bayang-bayang selama-lamanya? Ini salah satu ikhtiar kita puan. Kita perlu tunjukkan. Kata-kata puan dia dah tak mahu dengar.”

“Ha, tu bukan urusan kau!”

“Dah jadi urusan saya! Puan suruh saya ekori anak puan ke mana sahaja. Saya yang melihat, tak sampai hati. Rina harus sedar. Sampai bila dia nak jadi macam tu? Puan bukan semakin muda. Usia dah semakin meningkat. Jika Rina selama-lamanya begitu, siapa mahu menjaganya kalau bukan diri sendiri?”

Noraziah terus terduduk di sofa. 

“Minumlah kopi tu. Dah sejuk nanti tak sedap.” Noraziah sebenarnya tiada modal untuk terus berbual.

“Mak!” Mereka dikejutkan dengan suara girang Rina. Noraziah dan Shazwan saling berpandangan. “Cantik tak?”

Rina terpusing-pusing menggayakan busana yang baharu dibeli petang tadi.

“Saya tak sabar nak jumpa Lukman. Saya nak tunjukkan kepada dia baju baru saya. Oh, dah rantai emas ni! Cantik, kan? Lukman beri kepada saya tahun lepas. Agaknya apalah yang dia nak bagi saya tahun ni, kan?”

Noraziah mengeluh. Diketuk-ketuk kepala. Kusut. 

“Puan masih nak biarkan?”

“Nantilah aku fikir!”


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.