Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 27

“I tak percaya you dah mati, Lukman! I rasa ada yang janggal dengan kematian you. You sedang sembunyi, kan? Kau memang nak aku umpan kau keluar ke?”

Jari-jemari Kalsum mengetuk meja kerja berulang kali. Kota besar sudah diuliti kegelapan malam dan dia masih belum pulang ke rumah. Pulang ke rumah hanyalah ditemani sepi. Dia tiada sesiapa apatah lagi semenjak Izatul Sabrina pergi.

“Pelik. Orang cakap you terkorban semasa hari kejadian. Habis post-mortem, jenazah kau terus dikebumikan. I ingat lagi, masa tu hujan lebat. Hampir tengah malam. I memerhati dari jauh dalam kereta. I sendiri nampak jenazah you diturunkan ke liang lahad. Tapi, sampai sekarang I tak tetap tak percaya you dah mati!”

Kalsum bersandar ke kerusi empuk. Rahsia tersimpan membuatkan harinya diburu ketakutan. Perasaan itulah yang menyebabkan dia mengesyaki kematian Lukman. 

Sebuah novel penulis dengan nama pena pelik, dibelek-belek. 

“Novel yang jadi fenomena. Inspirasi dari kisah kematian Zahuri, katanya! Yakah? Bila I baca macam, bukan inspirasi lagi! Macam kisah benar kecuali nama watak you ubah. Termasuk nama I.”

Novel tadi dicampak ke atas meja.

“Argh, biarlah! Orang bukan tahu pun apa yang I dah buat di dunia nyata. Kenapa I terasa pula. I tak makan cili.”

Kalsum mengambil tas tangan. Dia meninggalkan pejabat.

Sunyi. Kalsum melewati kubikel pejabat. Tiada masalah untuk dia sendirian. Setakat hari ini, tiada kejadian mistik berlaku. Semua pekerja sudah kembali ke sarang masing-masing. Yang tinggal hanyalah penjaga bangunan di bawah.

Semasa dia keluar dari bangunan, angin malam sejuk menerpa tubuhnya. Kalsum menggeletar. Dia segera memeluk tubuh sendiri. Erat. Tidak sabar mahu masuk ke dalam kereta.

Langkah demi langkah diambil. Terdengar derapan tapak kaki Dia berasa ada seseorang mengekori dari belakang. Langkahnya mulai perlahan. Ekor mata cuba mencuri pandang ke arah belakang. 

Hampir-hampir terlanggar pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan.

“Perasaan I je ni.”


Kalsum tidak pernah lekang memerhati cermin pandang belakang. Terasa kereta di belakang mengikutinya semenjak dari pejabat. Jarak antara mereka agak jauh. Kalsum tetap sahaja sangsi. 

Sebaik sahaja keretanya memasuki halaman rumah, kereta tadi terus sahaja berlalu. 

“Argh, I terlalu banyak berfikir!” 

Pandangan mata Kalsum terarah pula kepada rumahnya. Gelap. Sunyi. 

“Huh, I dah ada segala-galanya. Tapi, jiwa I kosong. Balik-balik, tak ada yang sambut. Bosan.”

Nafas dihela. Tidak bersemangat langsung langkah kakinya. 

Dibuka suis lampu dan kipas. Lemah sahaja tangannya menutup pintu. Secara mendadak, seseorang menolak pintu dengan kuat. Berderau darah Kalsum. Hampir-hampir jatuh terduduk.

“Aku dah balik.”

“Kau…” Tidak terkeluar suaranya.

Irwan tersengih. 

“You… you ke mana selama ni?” Jelas ketakutan nada suaranya. Pembunuh Izatul Sabrina di depan mata! 

“Kau dan aku sebenarnya tak ada beza.”

“I… I tak faham.”

“Kau menjadikan aku kambing hitam atas kesalahan yang bukan aku buat. Kau nak aku bagitahu?”

Riak wajah ketakutan tiba-tiba berubah. Kalsum mulai tersenyum sinis. 

“Macam mana you tahu?”

Irwan melangkah masuk ke dalam rumah. 

“Boleh tahan rumah kau.” 

Kalsum melihat sahaja lelaki itu menghempas tubuh ke sofa empuk. Dalam diam, Kalsum menyeluk tangan ke dalam tas tangan. Mahu menelefon nombor kecemasan.

“Aku nampak apa yang kau nak buat.”

Terkedu Kalsum dibuatnya.

“Letak beg tu.”

“Okey.” Kalsum membalingnya ke sofa. “You nak apa sekarang ni?”

Irwan tergeleng kepala. Jari telunjuk ditegakkan lalu digoyang. Tawa kecilnya mulai bergema.

“Pandai… kau memang pandai! Kau tahu guna peluang. Kau mesti tak sangka kita akan bertemu setelah lima bulan lebih aku jadi pelarian!”


Imbas kembali…

Irwan menghentak stereng kereta berulang kali. Menyesal membawa Izatul Sabrina lari. Apabila nafsu menguasai, dia sudah tidak berpijak pada dunia nyata. Dia menculik perempuan itu tepat-tepat di luar perkarangan rumah Kalsum. Ditekup dengan kain berklorofon. Sedar-sedar, sudah berada di stesen keretapi lama. 

“Kau binatang!”

“Bertenang. Saya takkan apa-apakan awak.”

Rupa Irwan serupa orang kurang siuman ketika itu.

Izatul Sabrina menyeret tubuhnya menjauhi Irwan. 

“Aku tak percaya!”

Irwan mulai merapati. Kedua-dua tangannya mahu menyentuh tubuh Izatul Sabrina.

“Saya sayang dekat awak. Marilah…”

“Gila! Cinta kau jijik! Kau lelaki paling menjijikkan pernah aku jumpa. Berpura-pura baik. Sepatutnya kau terima hakikat aku langsung tak ada hati dekat kau.”

Bagaikan dirasuk syaitan mendengar hinaan itu. Irwan mengambil jalan singkat dengan menerkam Izatul Sabrina. Dicekik leher wanita itu sambil dihentak-hentak kepalanya ke permukaan lantai.

Izatul Sabrina meronta-ronta. Suaranya tidak terkeluar. Tangannya memukul kuat badan Irwan.

“Apa kurangnya aku? Aku selalu ambil berat pasal kau. Kau buta ke? Kau nak apa? Duit? Rumah? Kereta? Malahan kasih sayang! Aku boleh bagi.”

Irwan hanya berhenti setelah menyedari cecair merah terpercik pada wajahnya. 

“Huh, apa aku dah buat?”

Tercampak jasad Izatul Sabrina. Perempuan itu sudah menjadi mayat. Wajahnya dibasahi darah sendiri. Matanya terbeliak. Mulutnya terlopong.

“Izatul? Izatul? Maaf… maafkan aku! Aku tak sengaja. Ya Allah… apa aku dah buat?”

Irwan panik. Dia mundar-mandir. Tidak lama itu dirangkul jasad tidak bernyawa itu. Di situlah, dia meratap sambil bibirnya tidak lekang menyebutkan perkataan maaf. Sungguh, dia benar-benar menyesal!


Irwan takut melihat telapak tangannya sendiri. Walau sudah dibasuh dan disental beribu-ribu kali, dia tetap terasa darah Izatul Sabrina sentiasa membasahi telapak tangan. 

“Dengan tangan ini aku membunuhnya! Aku pembunuh! Teganya aku bunuh perempuan yang aku sayang.”

Irwan membenamkan muka ke stereng kereta. Bahunya bergerak-gerak menangisi pemergian wanita tersayang.

“Aku nak serah diri.”

Itulah keputusannya setelah berfikir semalaman.

“Aku penat melarikan diri. Baru seminggu tapi memenatkan! Sampai bila aku akan terlepas? Sekarang menjadilah taktik tukar nombor plat kenderaan dan buatkan luaran kereta aku kelihatan buruk dan berbeza daripada sebelumnya. Pakai topi seperti pemancing setiap masa. Berbaju jaket denim lusuh. Lama-lama, aku pasti tertangkap!”

Selain itu, dia terpaksa memasuki kawasan perkampungan orang asli yang terpencil. Bekalan makanan dibeli daripada pekedai kecil, sudah suntuk bekalannya. Wang tidak berapa ada. Dia tahu, kecekapan polis Malaysia bukan boleh dibuat main. 

Irwan termenung, ditemani celoteh deejay di sebuah saluran radio. Jiwanya benar-benar kosong.

“Apa nak jadi dengan hidup aku? Aku dah tersasar jauh. Sebab cinta… aku jadi gila!”

Irwan meraup wajahnya. Tiba-tiba terdetik rasa mahu menziarahi kuburan Izatul Sabrina sebelum menyerah diri.  

Setelah tekad itu membulat, dia meninggalkan kawasan itu.

“Tapi, aku tak tahu di mana pusaranya!” Keluh Irwan. Nafas terhela berat. “Kalsum… mungkin dia tahu. Tapi, kalau aku call dia… tentu-tentu dia akan call polis. Mungkin kalau aku bersemuka, dia akan beritahu. Tetap juga kebarangkalian ditangkap awal itu ada.”


Irwan masih di dalam kereta. Dia tidak berani keluar. Dia memarkir agak jauh dari rumah Kalsum. Dia melihat jam tangan. Gelisah. Kalsum masih tidak keluar rumah meskipun hari sudah jauh tengahari.

“Dia tak kerja ke? Hari ni rabu. Apa aku perlu menekan loceng?”

Irwan melawan ketakutannya. Dia keluar jua. Namun, baru beberapa langkah kereta Kalsum meluncur keluar dari halaman. Laju seseolah mempunyai urusan kecemasan. Irwan sempat melihat air muka wanita itu tegang sahaja.

Tidak mahu kehilangan jejak, dia masuk kembali ke dalam kereta. Mungkin, lebih baik dia mengikuti sahaja.

Irwan seperti tahu ke mana arah tujuan wanita itu. Di sebuah kawasan tinggi tidak jauh dari bandar. Sunyi dan terpencil. Awal-awal lagi dia memarkir kereta jauh dari lokasi sebenar. Kemudian, dia berjalan kaki mendaki bukit. Tempat itu tidak asing bagi penghuni kota sepertinya.

“Dia nak buat apa dekat sini?”


Kalsum berpeluk tubuh. Dia memandang bangunan-bangunan pejabat di kota besar itu. Dari sini, kelihatan kecil seperti semut. Di belakangnya terdapat seorang lelaki muda berwajah bengis. Berkepul-kepul asap rokoknya.

“Dia dah tahu rahsia I. I nak dia mati.” Kalsum menuturkannya tanpa rasa bersalah.

“Okey.” 

“Buatkan dia nampak seperti mati kemalangan.”

“Aku faham.” Lelaki itu mengangguk.

Perbualan mereka tidak lama. Kedua-duanya segera membubarkan perbualan.

“Mereka nak bunuh siapa?” Irwan masih tidak hilang rasa terkejut mendengar perbualan tadi. Dia menyembunyikan diri di balik semak-samun. Memerhati mereka berdua beredar.

Setelah berfikir beberapa minit, dia memutuskan untuk tidak bertemu dengan Kalsum. Mungkin esok. Hari ini, dia perlu mencari tempat persembunyian baru.


Irwan selesai membersihkan diri di sebuah sungai terletak jauh dari tumpuan orang ramai. Dia menyalin pakaian, ditemani celoteh deejay sebuah saluran radio. Itu sahaja hiburan dan penemannya semenjak menjadi pelarian. 

“Berita terkini yang kami terima. Sepasang suami isteri kemalangan di sebuah jalanraya menuju ke arah selatan. Mangsa iaitu Lukman Hakim maut di tempat kejadian manakala isterinya, Marina Ismail berada dalam keadaan kritikal terkena tembakan pada bahagian belakang tubuh.”

Irwan terkejut. Dia memang kenal dua nama itu.

“Dipercayai seorang suspek dikenali sebagai Irwan telah melepaskan tembakan semasa dari jarak jauh di sebuah kawasan tanah tinggi. Suspek turut terlibat dalam kes kematian seorang wanita muda bernama Izatul Sabrina di sebuah bangunan stesen keretapi lama kira-kira seminggu lalu.”

Bertubi-tubi kejutan diterima.

“Ke… kenapa nama aku? Aku… aku tak buat! Bukan aku!”

Irwan tidak percaya dia menjadi suspek kes berkenaan. Sekarang, keadaan bertambah rumit dengan sesuatu perbuatan yang bukan dilakukan olehnya. Dia sudah terperangkap.


Kalsum ketawa terbahak-bahak. Tidak tergugat langsung dengan cerita Irwan. Baginya omongan kosong. 

“Jadi, you nak tuduh I penyebab kemalangan tu?” Sindir Kalsum.

“Kau je tahu jawapannya. Dekat sini hanya kita berdua.” 

“Siapa nak percayakan you, pembunuh?”

Giliran Irwan ketawa.

“Kenapa kau nak hapuskan mereka berdua? Sebab kematian bekas tunang kau? Dan kau alihkan kesalahan itu kepada aku mentang-mentang aku ialah pembunuh Izatul! Kau terlepas macam tu je! Kau perempuan bijak dan kejam! Tahu mengambil kesempatan.”

“Well. I nak kena bagi hadiah ke dengan pujian tu?” Kalsum siap bertepuk tangan.

“Cis, perempuan gila!”

“Hmmm… bolehlah. Agak gila,” sindir Kalsum, tergelak-gelak. “You datang ni, nak cakap tu je? Membazir masa betul I kena kena dengar semua ni.”

“Okey. Aku akan tinggal di sini. Kalau tak rahsia kau pecah!”

“Wow, sangat mengujakan! Okey… okey! Terpulang. Sebab…” Kalsum mengukir senyuman sinis.

“Kau nak buat apa?”

Irwan mendadak tidak senang duduk. Wanita itu sedang bermain muslihat. 

Belum pun panjang fikirannya, siren kereta polis kedengaran di luar rumah. Mengertilah Irwan.

“Tak guna kau!”

Dia sudah seperti cacing kepanasan. Automatik dia berlari untuk mencari jalan keluar. Mundar-mandir. Akhirnya, dia keluar jua mengikuti pintu hadapan.

“Bodoh!” Kalsum terhibur. Bangga dapat mengenakan lelaki itu. “You sangka I tak bersedia ke dengan kedatangan you?”

Kalsum sebenarnya sudah menghubungi pihak polis dari dalam kenderaan lagi. Dia memang yakin dirinya diekori.


Kalsum masuk ke pejabat dengan penuh ceria. 

“Good morning!” Sapanya dengan ramah semasa berselisih dengan staff.

Sampai di meja kerja, sudah tersedia surat khabar harian. Kalsum tersengih melihat tajuk utama berita. Terpapar jelas wajah Irwan.

“Suspek utama kes kemalangan membabitkan pasangan suami isteri telah ditahan semalam. Padan muka you! Nak sangat ceroboh masuk rumah I.”

Kalsum bersandar pada kerusi. Teringat, selepas pertemuan bersama dengan penembak upahan itu. Dia menelefon kepadanya.

“I nak you pakai sarung muka getah untuk menyerupai lelaki ni. Biar dia menjadi kambing hitam.”

“Irwan… Irwan. Nasib you lah. Polis akan nampak you ada motif untuk balas dendam.”


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.