Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 2

Lukman membawa jambangan bunga matahari. Rina sangat sukakan bunga asal dari Amerika Utara itu. Katanya, ia membawa makna kebahagiaan dan keceriaan. Lukman berharap, Rina akan kuat semangat untuk kembali sedar. Dia sentiasa ternanti-nantikan detik itu.

Pintu wad dibuka. Permandangan sama setiap kali datang melawat. Rina tidur bagai orang mati. Cumanya, nyawa Rina masih ada. Lukman cuba berlagak kuat. Dia tidak mahu Rina merasai sebelah jiwanya sedang rapuh menunggu masa untuk hancur berderai. 

“Saya datang, sayang. Hari ni macam mana keadaan awak? Feel better?” Pasu kaca sudah berisi bunga. Lukman hairan. Semalam pasu itu sudah dikosongkan. “Ada sesiapa datang? Mungkin mak.” 

Jambangan bunga tadi disatukan dengan bunga di dalam pasu.

Selimut dibetul-betulkan. Rambut Rina dibelai-belai. Wajah pucat itu menyesakkan Lukman. Dia menekup mulut. Tidak mahu Rina mendengar tangisannya. Dahi Rina dikucup. 

“Sayang, awak nampak cantik. Lagi cantik kalau awak buka mata dan tengok sendiri muka awak dekat cermin. Cemburulah saya kalau lelaki lain terpesona dengan kecantikan awak.” Lukman sengaja bergurau.

Lukman percaya, Rina mendengarnya. Cuma, tidak mampu memberi respon. Dia mengurut pula bahagian kaki Rina dengan lembut untuk melancarkan peredaran darah. Air matanya, tidak semena-mena menitis pada kaki Rina.

“Sayang…” suara Lukman tersekat. Tidak mampu meneruskan bicara. “Sa…ya… saya sayang awak. Bangunlah.”

Pecah jua tangisannya. Lukman lekas berdiri menjauhi Rina. Tidak mahu emosi Rina terpengaruh.


Lukman tidur-tidur ayam sambil memegang tangan sang isteri. Dia tidak mahu terlepas walau sedetik momen bersama sang isteri. Pergerakan kecil jari-jemari sang isteri sudah cukup memberikan dia bahagia.

Harapannya setinggi gunung. Apabila mata tercelik, dia sering berharap sang isteri sudah terjaga dari lena tidak berpenghujung sambil tersenyum lebar menyambut dirinya. Semua itu ibarat mimpi buat masa ini.

“Tolonglah kembali. Saya rindu awak! Saya akan tunggu tak kira berapa lama. Semua memori kita bersama tak mungkin saya akan lupa.”

Lukman sering membisikkan kata-kata itu ke telinga sang isteri tiap kali datang melawat. Selalunya akan disertai juraian air mata lebat.

Kadangkala, ketika tidur pun wajahnya basah dengan air mata. Fikirannya sarat memori bersama. Paling terkesan, rakaman memori Rina berlari-lari di ladang bunga miliknya dengan penuh gembira sekali. Dialah yang mengejar dari belakang.


Noraziah memulas tombol pintu wad. Dia berdengus dan menjeling tajam. Mata dan hatinya sakit. Terpaksa menatap permandangan yang menjengkelkan hampir tiap pagi. Menantu tidak disenangi semenjak dari awal perkenalan dengan anaknya. 

“Menyampah. Pagi-pagi mood aku dah tak baik!”

Noraziah berjalan deras memasuki bilik itu. Tapak kasut dan lantai berlaga kuat. Sengaja membuat bising. Selanjur meletakkan bakul rotan berisi bunga matahari di atas meja sebelah katil, dia menyelak langsir dengan kasar. Bunyinya berjaya membangunkan Lukman. Direntap kembali dari lena yang dalam ke dunia realiti. 

Lukman memisat-misat kelopak mata. Pandangan kabur cuba meneliti sang tamu. Sebaik sahaja disedari kedatangan ibu mentuanya, Lukman bingkas bangkit.

“Mak…” 

Dia mahu menyalami Noraziah. Malangnya, Noraziah langsung tidak mengendahkannya.

Noraziah menukar bunga di dalam pasu yang dibawa Lukman semalam. Dibaling dengan penuh perasaan ke dalam tong sampah. Berkecai hati Lukman. Namun, penerimaan dingin Noraziah sudah dapat dijangkakan.

“Bunga… cantik macam mana pun akan tetap nampak hodoh dan berbau busuk kalau…” Noraziah mengangkat setangkai bunga matahari ke udara. Direnung sejenak. “… kalau kau yang mengirimkannya!”

Lukman terlopong besar. 

“Kenapa bukan kau je terbaring sekarang ni? Kenapa mesti anak aku?” Noraziah membetul-betulkan selimut Rina sebelum merenung tajam dan tepat ke dalam bola mata Lukman.

“Maafkan saya, mak.” Lukman dihurungi rasa bersalah teramat.

Noraziah berdiri di depan tingkap. Memeluk tubuh dan menyuarakan isi hatinya. 

“Kau memang tak malu. Mengambil anak aku dijadikan isteri. Kemudian, membuatkan anak aku cedera parah dan kelihatan seperti mayat hidup!” 

Lukman masih tidak mampu untuk mempertahankan diri. 

“Ketika aku nak menjodohkan anak aku dengan anak kenalan aku yang kaya… kau datang!”


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.