Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 1

Selesai solat subuh, Lukman kembali menghadap komputer riba ditemani kopi O yang berkepul-kepul asapnya. Lukman pedih hati tiap kali melawat laman web sebuah syarikat akhbar. Pada bahagian foto-foto terbaik pilihan editor dan orang awam, terpamer foto yang pernah dibidik Lukman selaku jurufoto. Dan, kerana foto itulah dia bertemu Rina. 

Kira-kira 3 tahun lepas, Lukman kekeringan idea untuk mempotretkan foto pada ruangan sastera syarikat akhbar itu. 

“Ke manalah aku nak cari idea ni? Aku merayau dari pagi sampai nak ke senja. Tak juga datang-datang idea aku!”

Motosikal Lukman melewati sebuah ladang bunga. Dia bukan mat bunga. Hatinya tiba-tiba digamit untuk menyinggah.

“Tuan punya ladang dah balik rumah rasanya!” Teka Lukman, sendirian di situ.

Bersama dengan kamera, disusuri jalan tanah merah. Terpukau melihat barisan bunga matahari kembang mekar. Semakin cantik disinari cahaya jingga senja. Terus membidik beberapa foto.

Tibalah muncung kamera terhala pada seorang wanita dengan membimbit bakul rotan sedang merentasi pembatasan. Telinganya disumbat earphone. Matanya terpejam. Mesti perempuan itu sedang menikmati lagu, teka Lukman. Perempuan itu masih tidak menyedari kehadiran Lukman.

Kini, dia mendongak kepala memandang matahari yang sedang tenggelam. Jari-jemari membelai bunga matahari secara rawak. Lukman terus merakamkan beberapa foto. 

“Cantik!”

Senyuman wanita itu sahaja sudah berjaya menganggu-gugat jiwa lelakinya. Tanpa diduga, wanita itu tiba-tiba berpusing-pusing seakan-akan sedang menari riang.

“Awak ibarat pari-pari penjaga bunga yang sedang menikmati kehidupan dengan caranya tersendiri,” terluah sendiri kata-kata itu.

Rintik-rintik gerimis mulai menyentuh kulit. Belum sempat mereka berteduh, hujan turun selebat-lebatnya.

Lukman kira, perempuan itu mahu berlari ke bangsal berhampiran untuk berteduh. Lain pula yang berlaku. Perempuan itu terus-menerus menari dalam hujan dengan penuh kegembiraan.

Lukman tidak melepaskan peluang merakamkan tiap momen. Beberapa minit kemudian, tidak semena-mena, terlihat ekor kilat memancar ke tanah. Tanpa berfikir panjang, dia berlari mendapatkan perempuan itu. Bahaya jika mereka tidak segera berteduh. Mungkin, akan ada nyawa melayang pada hari itu. Tambahan lagi, perempuan itu sedang mendengar lagu menggunakan telefon pintarnya. 

“Jom kita berteduh dulu!” Kemunculan Lukman secara mendadak membuatkan perempuan itu menjerit.

“Awak siapa?”

Tidak lama itu, guruh berdentum kuat. Melihatkan perempuan itu tergamam, Lukman menarik tangannya.

“Cepat! Kita kena pergi! Awak tak takut ke disambar dek petir?”

Mereka bersama-sama meredah hujan sepantas mungkin menuju ke bangsal. Mereka membersihkan pakaian masing-masing. Perempuan itu memerhati tiap sudut wajah Lukman.

“Siapa ya? Saya tak pernah nampak awak datang ladang bunga saya.”

“Ladang bunga awak?” 

“Ya. Milik keluarga saya.”

“Oh, saya Lukman.” Lukman menghulurkan tangan untuk bersalam.

Perempuan tersenyum sahaja. Dia menyilang tangan kanan ke bahu. Menunduk sedikit sebagai tanda hormat. Lukman tersedar akan khilafnya.

“Saya, Rina. Apa yang buatkan awak tertarik datang ke sini?”

“Mengenai soal itu. Saya sedang mencari gambar menarik untuk dijadikan hiasan artikel dalam ruangan sastera surat khabar. Seharian saya merayau. Akhirnya, saya didorong ke mari. Saya kira, ada hikmah.”

“Dapat gambar tu?” Rina begitu teruja.

“Dapat. Baru je.”

“Wah, nak tengok boleh? Mesti cantik,” pinta Rina, bersungguh-sungguh.

Sekejap sahaja mereka mesra.

“Mestilah boleh!” Lukman memeriksa kamera DSLR. Membuka galeri. Terpapar gambar yang disebutkan.

Rina ketawa, “Gambar saya!”

Lukman turut sama ketawa. Dia sukerela menunjukkan ke semua gambar Rina tadi. 

“Awak nampak seronok sangat tadi. Saya paling suka yang ni. Kepala didongak ke langit, mata terpejam, senyuman seceria bunga matahari,” beritahu Lukman tanpa segan pilu.

Lagi sekali Rina ketawa, “Hidup terlalu singkat. Jadi, kita nikmatilah waktu yang ada. Kalau gambar saya tersiar… jangan lupa bagi royalti!”

“Tak jadi masalah! Tanggung beres!” Lukman siap berbuat gaya tabik.

Mereka sama-sama ketawa. 

“Awak boleh bagi saya nombor telefon awak. Mana tahu-tahu benar tersiar dan editor saya suka… saya boleh call awak.” Sebenarnya Lukman sedang sambil menyelam minum air.

“Pandai awak!” Rina tetap memberitahu nombor telefonnya. Dirinya sendiri tahu, Lukman sedang menggunakan kesempatan yang ada.

Gambar Rina yang satu itu, memang benar-benar tersiar di akhbar! Ternyata mendapat maklum balas positif daripada para pembaca.

“Ekspresi perempuan dalam gambar ni macam sedang menikmati kebahagiaan diri dan menikmati alam semula jadi. Bebas dengan cara tersendiri!”

“Perempuan ini boleh diibaratkan rama-rama terbang bebas melata di kebun bunga. Sayang sekali, hayat rama-rama tidak panjang. Tapi, sekurang-kurangnya, rama-rama itu bergembira sebelum meninggalkan dunia.”

Lukman menyembam muka ke meja. Bahunya tergerak-gerak. Dia mulai menangis bersungguh-sungguh. Kesal dengan kejadian malang menimpa sang isteri. Dalam masa yang sama, dia diamuk dendam.

Jika masa bisa diundur, dia mahu selama-lamanya terperangkap dalam masa lalu. Biarlah mereka sama-sama berlari di ladang bunga matahari.


Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.