Kalsum membelek-belek video di aplikasi TikTok. Tangan sebelah memegang gelas berisi susu suam. Dia bersarapan ringkas. Sebiji epal merah dan sandwich tuna.
Ketika meneguk minumannya, muncul pula video ulasan buku terbaharu N. Mikah oleh seorang Booktoker. Kalsum buat tidak endah. Dia mahu menatal ke atas. Deskripsi video berjaya membuatkan dia meneruskan tontonan.
“Pada pendapat saya, novel terbaharu N. Mikah mempunyai persamaan dengan kisah hidup seseorang di dunia sebenar. Korang ingat lagi tak kes hangat tentang seorang jurugambar yang dikatakan mengkhianati kawannya sendiri? Oh, lagi… tentang watak tunang arwah kawannya tu, saya rasa saya macam kenal dia.”
Terus tersembur minuman Kalsum. Tersedak lalu terbatuk-batuk. Meja basah dengan sisi minuman.
Dia dalam bahaya. Orang awam mulai mengesan kemiripan novel itu dengan beberapa peristiwa di masa lalu.
Kalsum meninjau ruangan komen. Video tadi hanya sekerat jalan apabila pengulas meminta penonton menunggu di lain masa untuk sambungan. Rata-rata, masing-masing bersetuju dengan pengulas. Mulalah sesi bergosip di situ.
“Nama jurufoto tu, Lukman ke? Siap masuk tv dulu kes ni! Viral juga dekat TikTok.”
“Yalah. Dia pun dah mengaku salah dia.”
“Tak silap, tunang arwah kawan dia tu kerja sebagai editor kan?”
“Editor di Penerbitan TulisBuku ya? Baru teringin nak hantar manuskrip dekat situ. Cancel!”
Sampai ke komen itu, nafasnya sudah terasa sesak.
“Yang mula sebarkan content tu dulu pun tunang arwah dan adiknya, kan? Adiknya pun dah arwah. Meninggal kena bunuh. Suspek dah kena tahan. Bekas majikan dia juga. Bukan orang lain.”
“Semua ni saling berkaitlah! Aku yakin novel ni memang dari kisah benar.”
“Woi, korang rasa siapa N. Mikah? Mesti orang terdekat atau entah-entah salah seorang daripada mereka!”
“Aku paling syak… N. Mikah ialah Lukman! Tak mungkinlah Kalsum. Takkan pula dia nak buka aib sendiri.”
Berderau darah Kalsum membaca beberapa komen. Memang dahsyat. Komen mereka hampir benar!
Dia belum berputus asa untuk menyemak video-video lain berkaitan. Tiba-tiba dia menyesali tindakannya. Terasa mahu pitam terjumpa pengguna media sosial lain memuat naik video wajah sebenar individu yang dikatakan oleh dalam ruangan komen sebelum ini. Jelas-jelas terpampang wajahnya!
Tercampak jauh telefon pintarnya.
“Tak mungkin… tak mungkin!”
Kalsum menjauhi meja makan. Tiada arah tetap untuk melangkah. Menarik-narik rambutnya. Kepalanya mulai pusing dengan masalah baharu.
Rina datang lagi ke syarikat penerbitan novel N. Mikah. Dia mahu mencuba nasib. Kali ini, mahu memanjangkan perbualan dengan penulis itu. Dia semakin yakin, penulis itu ialah suaminya iaitu Lukman setelah menonton beberapa video yang tular di media sosial.
Rupa-rupanya, hujan hanya berhenti sekejap subuh tadi. Menjelang tengahari, hujan tetap turun renyai-renyai.
Rina berpayung. Berkira-kira mahu melangkah masuk. Masih sempat untuk membatalkan niatnya memandangkan orang ramai atau lebih tepat pembaca novel N. Mikah berkumpul di situ dalam masa yang sama. Rina tahu, pasti mereka mahukan kesahihan mengenai berita tersebar serata di media sosial.
“Hei, itu bukan isteri dia ke?” Seorang dalam kalangan pembaca, menuding jari ke arahnya.
“Rina, kan?”
Terkejut Rina diseru dari jauh. Langkah terbantut. Dia terus memusingkan tubuh.
“Jadi, betullah seperti yang tular tu?”
Mereka berlari kencang dalam hujan demi mendapatkan Rina yang kekal terkaku di situ. Kakinya bagai digam.
“Awak isteri N. Mikah?”
Rina sendiri tidak mampu mengesahkannya. Dia sendiri tertanya-tanya siapa N. Mikah sebenarnya?
“Boleh minta autograf?”
“Bila N. Mikah nak keluarkan sambungan novel ni?”
“Kami teruja nak tahu pengakhiran watak perempuan jahat tu!”
Rina menekup kedua belah telinga. Payung sudah terlepas dari tangan. Dia kebasahan. Soalan-soalan dikemukakan merimaskan.
“Tak tahu… tak tahu!” Mulanya perlahan, kemudian bertukar menjadi jeritan.
Para peminat N. Mikah tercengang.
“Meminati karya seseorang tidak salah. Tapi, janganlah sampai terlalu taksub sehingga mengakibatkan huru-hara.”
Mereka dicelah oleh seseorang.
“N. Mikah…” seorang peminat bersuara perlahan. Masing-masing serba salah. Menyedari keterlanjuran dalam keterujaan.
N. Mikah memayungi Rina yang tidak berkerdip menatapnya. N. Mikah tahu, air mata Rina turut tumpah dalam hujan. Air mata kerinduan seorang bergelar isteri.
“Awak semua mahu tahu kebenarannya?” N. Mikah bersuara serius.
Mereka saling berpandangan. Lambat-lambat mengangguk.
“Bagaimana saya harus menulisnya jika perkara itu belum berlaku?”
Mereka tidak mengerti termasuklah Rina.
“Ooo…”
“Nak minta autograf, boleh?”
Mereka kembali kecoh. Kejadian sebentar tadi bagai angin lalu.
Dalam lebatnya hujan, N. Mikah melayani kerenah para pembaca. Rina tidak mampu lepas daripada menatap wajah N. Mikah tersembunyi melalui pemakaian topeng muka. Takut hatinya kerinduan selepas ini. Biarlah, walaupun hanya mampu menatap matanya sahaja.
‘Sampai bila awak nak sembunyi? Kenapa awak tak nak mengaku?’ Keluh Rina sendirian.
“Masuklah.” N. Mikah mempelawa Rina ke dalam bilik mesyuarat syarikat penerbitan. “Maaf bersepah. Masih banyak buku yang belum ditanda tangan.”
Rina melihat novel-novel N. Mikah bertimbun-timbun atas meja. Belum lagi termasuk di rak.
“Ramai minat penulisan awak.” Rina bersuara sayu.
“Alhamdulillah.” N. Mikah cuba menahan gelora jiwa. “Saya bawakan kepada awak tuala kering. Awak nak minuman panas?”
“Apa sahaja. Saya tak kisah.”
“Duduklah dulu. Selesakan diri.”
N. Mikah berbisik sesuatu kepada seorang staff yang sedia menunggu di muka pintu. Tidak lama itu, staff datang bersama tuala kering.
Rina mahu mengelap kering tubuhnya sendiri. Akan tetapi, N. Mikah terus menyelimuti tubuh Rina dengan tuala. Rina tersentak. Debaran di dada, hanya Tuhan yang tahu!
“Staff dalam perjalanan belikan awak pakaian bersih dan kering. Harap cepatlah sampai bajunya. Risau selesema dan demam.”
“Susahkan awak sahaja.”
“Tak susahkan pun sebab…” Kata-katanya mati di situ. N. Mikah tidak mampu meluahkan kenyataan.
Masing-masing terdiam. Staff tadi kembali dengan membawa seteko kopi O panas dan dua biji cawan buat mereka.
“Minumlah.”
“Awak tak minum?” Rina cuba memancing N. Mikah membuka topeng mukanya.
“Tengok awak minum pun dah cukup.”
Rina hampa. Dia menghirup perlahan minumannya.
“Baju dah sampai.” Staff datang membawa beg kertas.
“Awak periksalah dulu baju tu. Risau salah saiz. Mungkin terketat atau terbesar sangat.”
Rina membelek-belek baju di dalam beg kertas. Baju blouse dengan simbol kecil bermotifkan bunga matahari pada bahagian kiri.
“Ni…” Rina terbangun.
“Bunga kegemaran awak.”
“Bagaimana awak tahu?”
N. Mikah mengunci bicara.
Rina kembali ke bilik mesyuarat setelah selesai bersalin pakaian. Jari-jemari N. Mikah menari-nari menukilankan kata-kata penghargaan buat pembaca novelnya. N. Mikah bersaing dengan masa. Masih banyak baki novel yang belum diuruskan.
“Dah siap?” Tegur N. Mikah.
Rina mengangguk. Di atas meja, terdapat mangkuk tingkat yang digunakan untuk menghantarkan kuih dan nasi lemak tempoh hari.
“Saya berterima kasih kepada awak kerana sudi hantarkan makanan. Sedap. Dah lama saya…” N. Mikah tersedar keterlanjuran kata-kata.
“Awak boleh bila-bila masa nikmati air tangan saya. Saya… sayakan isteri awak.” Rina bersuara perlahan. Ada malu dalam bicaranya. Bimbang N. Mikah bukanlah Lukman.
Mereka tidak berani bertentangan mata. Masing-masing tertunduk malu.
“Saya… saya hantar awak balik. Hujan dah teduh.” N. Mikah mara beberapa tapak.
“Tentu boleh.”
“Saya bawakan barang awak.”
Rina tidak mampu menolak. Diberikan kepada N. Mikah beg berisi mangkuk tingkat.
Mereka mulai melangkah tanpa bicara. Rina terharu, N. Mikah membukakan pintu.
“Apa kata… kita berjalan kaki?” Usul Rina ketika mereka sudah berada di parking kereta.
“Kenapa?”
Rina tersenyum memandang ke langit biru selepas hujan. Berkaca-kaca matanya.
“Saya mahu menikmati alam selepas hujan. Bau hujan selalu mengembalikan fikiran kepada nostalgia lalu.”
N. Mikah terkedu.
Rina terlebih dahulu melangkah. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tenang.
Mereka berjalan berdua di kawasan pokok besar memayungi laluan pejalan kaki. Redup. Nyaman dengan bayu lembut menyapa tubuh.
Tabiat lama tidak mampu disorok. N. Mikah mengeluarkan telefon pintar. Merakam video Rina dari belakang.
Tidak semena-mena, Rina berpusing. Berjalan secara terbalik. Ukiran senyuman lebar kelihatan benar-benar wujud dari dalam jiwa. Rina mencapai sebelah tangan N. Mikah. Mereka berlari-lari riang sambil tergelak-gelak ketawa.
Mereka terdengar bunyi hon motosikal bertubi-tubi dari arah belakang. Akibat teruja, terlupa menitik beratkan keselamatan. Mereka tersasar dari laluan pejalan kaki sepatutnya.
“Hoi, buta ke?” Marah penunggang motosikal sebelum memecut laju. Hampir-hampir melanggar mereka berdua.
“Bahaya betul tadi!”
Rina bersetuju. “Kita patut lebih berhati-hati.”
Mereka menunggu lampu isyarat bertukar. Selepas ini, perlu menyeberang untuk meneruskan perjalanan.
Rina mengitari suasana jalan raya yang sesak. Kenderaan dari sebelah kanan dalam keadaan berhenti. Namun, ada satu kereta di barisan itu tidak mematuhi lampu isyarat dengan memecut laju.
“Kenapa kereta tu langgar lampu isyarat?” Rina menuding jari ke suatu arah.
“Huh, mana?” N. Mikah melilau pandangan, tidak dapat mengesan kereta yang dimaksudkan.
Menghampiri tempat Rina dan N. Mikah berdiri, pemandu kereta itu bertindak untuk melencong sedikit lalu melanggar Rina sebelum memecut laju meninggalkan tempat itu.
“Sayang!” N. Mikah terkejut. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dia melihat dengan biji matanya sendiri, Rina tercampak kuat ke jalan raya. Tergamam. Mengapa mesti dia menyaksikan kejadian malang menimpa isteri tercinta?
Lutut N. Mikah lembik. Dia sedaya-upaya berlari mendapatkan Rina yang sudah terkulai.
Hidung Rina mulai mengalir darah. N. Mikah memangku Rina. Nafas Rina tercunggap-cunggap.
“Jangan tinggalkan saya. Tak mungkin ini terjadi lagi.” N. Mikah mengucup dahi Rina. “Ya Allah! Tolong. Sesiapa tolong!”
Orang awam mulai mengerumuni kawasan itu. Seorang lelaki sukarela menelefon ambulans.
“Saya…” Rina tidak mampu bersuara. Dia seseolah mahu mengatakan sesuatu. Tangannya terkapai-kapai.
N. Mikah mendekatkan telinganya ke bibir Rina. “Akhirnya saya tahu. Awak… awak suami saya.”
“Ya… ya, sayang!” N. Mikah memeluk Rina.
Sekelip mata, tangan Rina longlai. Matanya tertutup.
N. Mikah terbeliak. “Tak mungkin… tak mungkin! Rina!”
“Sabar encik.”
“Ambulans dalam perjalanan.”
“Tepi… tepi! Jangan berkerumun. Tolong bagi laluan untuk udara.”
Suasana hingar-bingar mulai mengecil pada pendengaran N. Mikah. Dia berada dalam dunianya sendiri.