Halaman muka surat yang sedang dibaca basah lunyai dengan air mata. Dakwat mulai mengembang. Sudah tidak sempurna bentuk-bentuk aksara yang tertaip.
“Maafkan saya awak begitu menderita semasa saya koma. Kalaulah saya berupaya untuk sedar kehadiran awak masa tu. Maafkan saya kerana tak dapat mengingati awak.s”
Rina menyembam muka pada meja. Telinganya terdengar kokakan ayam subuh. Tidak lama itu, azan subuh mulai berkumandang.
“Dah lama rupanya aku luangkan masa untuk membaca.”
Buku itu ditutup lalu diletak elok atas meja. Rina mahu membersihkan diri sebelum mendirikan solat subuh. Rina berwuduk setelah itu.
Rina menyarung telekung. Dia mulai bersolat. Selesai memberi salam, dia berdoa bersungguh-sungguh ke hadrat Illahi.
“Ya Allah. Aku rindukan suamiku. Ya Allah, macam mana aku nak berjumpa dengan dia kembali? Ya Allah mudahkanlah perjalanan kami. Berikan petunjuk kepadaku.”
Ketika dia membuka tingkap dapur, terbau haruman nasi lemak dan daun pisang dari dapur jiran sebelah. Dia sedia maklum, jirannya membekalkan nasi lemak di warung berhampiran.
Tiba-tiba dia mendapat idea. “Awak mesti rindu air tangan saya. Saya tahu apa nak buat.”
Parang diselit bawah dapur, diambil. Rina bergegas ke belakang rumah. Ditetas beberapa batang daun pisang. Dicerai-ceraikan daun dari batangnya. Dibawa masuk rumah. Daun-daun itu dibasuh-basuh bersih. Barulah dilap dengan kain bersih. Apabila kering, dilayur pula atas dapur.
Maka, dia membuatkan nasi lemak berbungkus daun pisang kegemaran Lukman. Bukan itu sahaja, kuih kegemaran Lukman pun dibuat sekali. Air matanya tidak pernah putus mengalir.
Rina menjejaki alamat penerbit novel N. Mikah menerusi carian di Internet. Kira-kira 15 minit perjalanan dengan menaiki teksi kini, dia berdiri di depan kaunter urusan.
“Hmmm, saya datang mencari seseorang.” Rina bersuara gugup.
“Siapa?” Kerani wanita itu bertanya lembut.
“N. Mikah. Saya dapat tahu hari ni N. Mikah ada di pejabat untuk sesi tandatangan novel baru.”
“Betul dia ada. Tapi, dia tidak boleh diganggu.”
“Tolonglah. Saya… saya bawakan bekal nasi lemak, kuih onde-onde dan kuih seri muka. Dia mesti suka.”
Sejenak pekerja di kaunter itu berfikir. Timbul persoalan, apa hubungan Rina dengan N. Mikah. Wajah sayu Rina menebus masuk ke hati. Dia mulai kasihan. Tidak sanggup membenarkan wanita itu pulang dengan hampa.
“Baik. Tunggu kejap ya. Saya tanya bos. Awak duduklah dulu.”
Pekerja itu meninggalkan Rina seketika. Tidak sampai lima minit, dia kembali dengan senyuman ceria.
“Puan, silakan.”
“Terima kasih.” Rina tidak dapat menyorokkan kegembiraanya. Senyumannya lebar.
Rina mengikuti pandu arah yang diberitahu. Dia tiba di sebuah bilik. Menarik nafas dalam-dalam. Gementar mahu berhadapan dengan N. Mikah.
Kemudian, barulah mengetuk pintu. Kepalanya menjenguk melihat suasana dalam bilik itu. Kelihatan beberapa staff sedang sibuk dengan urusan pembungkusan buku-buku baru. Ketukan itu berjaya membuatkan mereka menoleh termasuk N. Mikah yang sedang menurunkan tandatangan pada buku.
N. Mikah terus berdiri. Kedatangan Rina memang mengejutkan. Lutut Rina terasa lembik. Dia cuba juga untuk kekal bertahan.
Mereka ditinggalkan berdua. Rina kekok. Duduknya serba tidak kena. Tertunduk-tunduk malu untuk memandang tepat ke bola mata N. Mikah.
“Awak apa khabar?” Rina memulakan bicara meskipun malunya menebal. ‘Benarkah dia suamiku?’
“Saya baik, Alhamdulillah.” N. Mikah tidak lepas menatap wajah Rina.
“Hmmm… saya.” Rina menunjukkan mangkuk tingkat. Disusun atas meja. “Saya bawakan nasi lemak dan kuih biasa-biasa sahaja. Kuih onde-onde dan kuih seri muka.”
Bekas makanan dibuka. Dari balik topengnya, N. Mikah kecur liur. Haruman itu lekas menyebar seluruh ruangan. Ada kenangan bersama dengan hidangan itu.
“Maaf, saya tak boleh terima.” N. Mikah cuba menekan suara walhal sedang menahan sebak mendatang.
“Awak tak sudi?” Rina kecewa.
“Bukan itu maksud saya.” N. Mikah serba-salah.
“Saya tinggalkan di sini. Awak makanlah. Anggaplah pemberian daripada seorang peminat novel awak. Sekali lagi, maafkan saya menganggu.”
Rina tergesa-gesa pergi dengan hati yang walang tanpa sempat N. Mikah menegah.
“Apa aku dah buat ni?” N. Mikah Kesal. Terduduk lemah.
Mangkuk tingkat dileraikan satu persatu. Menitik air mata jantannya. N. Mikah memakannya setelah Rina pergi. Makan sambil menitiskan air mata.
“Tak pernah berubah rasanya. Dah lama saya tak makan air tangan awak. Sukarnya untuk saya ungkapkan rindu ini.”
Dimakan sampai kuih seri muka sehingga habis. N. Mikah teresak-esak.
‘Kenapa awak menangis? Kalau awak bukan Lukman… suami saya, kenapa harus menangis?” Rintih hati Rina. Dia tidak terus pulang sebaliknya berdiri di luar bilik. ‘Ya Allah, apa sebenarnya yang dilalui suamiku? Benarkah apa yang ditulis itu?’
“Puan? Kenapa puan tak masuk? Puan kata nak jumpa N. Mikah? Dah jumpa?”
Rina lekas menyeka air mata. Cuba tersenyum.
“Dah masuk. Saya dah jumpa. Urusan saya dah selesai.”
“Puan, tak apa-apa ke?”
“Pergi dulu.” Pinta Rina. Tidak mampu menahan air mata mengalir deras.
N. Mikah terdengar perbualan mereka. Dia terus menjenguk. Terlihat Rina sedang tergesa-gesa pergi meninggalkan pejabat.
“Jadi, dia dengar?” N. Mikah sebak.
“Huh?” Terpinga-pinga kerani itu. Memandang N. Mikah dan Rina yang sedang pergi silih berganti.
“Tak ada apa.”
N. Mikah meluru keluar untuk mengejar Rina. Malangnya, Rina sudah berada di dalam teksi yang sudah bergerak laju membelah jalan raya. Bagai disayat-sayat hatinya melihat Rina menangis di dalam teksi.
“Rina…”
Mulanya, dia mahu menahan teksi untuk mengejar Rina. Namun, dia kembali berpatah masuk ke dalam pejabat.