Lukman singgah sebentar di sebuah kedai makan. Dia mahu membungkus mi goreng untuk makan malam. Dia tiada kemahiran memasak. Teringatkan dapurnya hampir terbakar dek cuba memasak sendiri setelah Rina berada dalam koma. Tidak mungkin menyusahkan ibunya yang sudah tua.
Poket seluar Lukman bergetar-getar. Terpapar nama ibunya sebagai pemanggil pada skrin telefon pintar. Lukman berdebar-debar. Sama ada berita baik mahupun buruk yang bakal diterima. Untuk meredakan tekanan, dia beristighfar berulang kali. Barulah, menekan ikon hijau. Lukman membeku tidak mampu untuk menuturkan apa-apa.
“Assalamualaikum, Lukman.” Lembut suara ibunya di hujung talian.
“Waalaikummussalam, ibu.” Semakin berdebar tatkala kedengaran ibunya mulai sayu. “Kenapa ibu?”
“Alhamdulillah. Setelah sekian lama, doa kita semua termakbul! Rina dah sedar, nak!”
Lukman tidak percaya dengan berita yang baru disampaikan oleh ibunya. Air matanya mengalir lagi.
“Alhamdulillah!” Lukman mengucapkannya berulang kali. “Terima kasih Ya Allah.”
Lukman berpatah kembali ke tempat parking. Niat membeli makanan, dibatalkan. Dia memakai kembali helmet. Memutar kunci pada tempatnya.
Setelah enjin hidup, dia memecut laju ke jalan utama. Tidak sabar bertemu sang cinta hati. Dalam hati sudah terlonjak gembira. Sudah lama tidak berasa segembira ini. Tiap hari berendam air mata. Sengaja membiarkan dirinya dibaluti kemurungan. Hidupnya kosong tanpa kasih sayang Rina. Kemudian, tersedar bahawa kasih sayang Tuhan itu melebihi segala-gala cinta yang ada di dunia ini. Dia beristighfar.
“Ya Allah, aku khilaf!”
Lukman berkhayal akan momen-momen indah bersama Rina semasa menunggang motosikalnya. Hampir-hampir menyondol bahagian belakang sebuah kereta saat mahu mencuri masuk ke ruangan kosong.
Pemandu kereta itu membunyikan hon berulang kali. Dijenguk kepala keluar dari tingkap sambil menghamburkan kata-kata yang kurang enak didengari. Lukman tidak mempedulikannya. Rina lebih penting!
“Rina, saya akan penuhi semua permintaan awak. Kita akan pergi berbulan madu ke mana sahaja destinasi pilihan awak. Kita akan bina sebuah keluarga bahagia. Awak, saya dan anak-anak kita yang comel! Rumah dekat dengan ladang bunga. Awak… awak suka hidup dikelilingi bunga. Awak ibarat rama-rama. Mereka… bunga pun suka awak Rina! Mereka gembira kalau awak ada. Mekar kembang dengan cantik dan kelihatan hidup! Bila awak tiada, mereka seakan tidak bermaya. Layu dan cepat rosak! Ladang bunga awak kehilangan seri.”
Lukman merangka-rangka rancangan di dalam fikiran sehinggakan jasadnya sahaja di situ, rohnya sudah melayang ke destinasi impiannya. Lukman tidak pernah berhenti tersenyum dengan perancangan masa depan yang belum tentu terlaksana.
Pon! Hon bertalu-talu. Lukman tertoleh ke sisi. Apabila dia tersedar, semuanya sudah terlambat. Dia melewati lampu merah. Sebuah kereta dari belah kanan tidak sempat membrek.
Pemandu itu menghentam motosikal Lukman. Tercampak tubuhnya ke bahagian hadapan kereta. Kemudian, terjatuh ke jalan raya. Trafik menjadi sesak dalam sekelip mata.
“Urgh,” Lukman mengadu kesakitan. Kepalanya pening. Terasa darah segar mengalir dari mana-mana bahagian kepalanya. Dia cuba bangkit, “Aku mesti sampai juga ke hospital. Rina sudah menunggu aku! Rina sayang, tunggu saya!”
“Encik… encik!” Pemandu itu memanggilnya berulang kali.
Penglihatan Lukman semakin kabur. Silau. Lampu kenderaan di mana-mana. Beberapa orang membantunya untuk berdiri. Salah seorang daripada mereka membantu melonggarkan bahagian leher baju agar pernafasannya lancar. Seorang lagi mengibaskan udara menggunakan tuala.
Lukman berpaut kepada pemandu itu. Kecewa rasa hati Lukman melihat motosikalnya remuk. Bagaimana caranya dia mahu menemui Rina?
“Tolong… tolong hantar saya ke… hos… hospital!” Lukman menyudahkan ayatnya dengan susah-payah.
“Ya, tentu sekali!” Pemandu itu salah sangka. Menyangka Lukman memaksudkan akan keadaan dirinya walhal sebaliknya. “Bawa masuk ke kereta saya. Kita ke hospital dapatkan rawatan.”
“Bukan… bukan!” Lukman menggeleng lemah. Cuba memberatkan badan. Tidak berjaya. Yang tinggal, tubuhnya yang longlai dan menunggu masa untuk hilang kesedaran diri. Sakitnya menjalar segenap penjuru.
Semakin lama, semakin mengecil suara orang memanggilnya untuk kekal sedar. Akhirnya, dunianya benar-benar gelap. Dia bagaikan terlena. Terlentok pada bahu pemandu itu.
“Rina!” Lukman tersedar dari pengsannya. Barulah kesakitan akibat kemalangan kembali menjalar ke seluruh tubuh.
“Lukman!” Ruminah setia di sisi anaknya, menegur. “Alhamdulillah kamu dah sedar!”
“Rina mana, ibu?” Lukman terus menggenggam kedua-dua belah tangan ibunya.
“Ada. Rina ada! Di biliknya.”
“Man nak jumpa dia!” Lukman mengenepikan selimut namun segera ditegah.
“Boleh tapi dengar dulu yang ibu nak cakap!” Ruminah bertegas.
“Ya, ibu. Apa yang ibu nak katakan?”
Ruminah mengeluh. Air mukanya mulai sedih.
“Rina… dia tak macam Rina. Dia… hilang ingatan!”
Lukman terasa dunianya gelap seketika. Nafasnya terhenti. Cuba memahami kata-kata ibunya.
“Hilang ingatan?” Lukman tidak mampu menerima hakikat. “Rina… Rina ingat tak siapa Man?”
Ruminah menggeleng. “Bahkan namanya sendiri pun… dia tak mampu ingat! Rina ibarat bayi baru lahir. Semua yang pernah berlaku… sudah diset semula! Tapi, berikanlah dia masa Man. Dia baru sedar. Doktor kata, ia kesan sementara bagi pesakit yang mengalami koma. Lambat atau cepat, dia pasti akan ingat.”
“Man nak jumpa dia!” Lukman bangkit, menyorong sekali tiang drip air menuju ke bilik Rina meskipun Ruminah terpekik-pekik memanggil namanya untuk kembali.
“Man, kamu belum sihat. Rehatlah dulu.”
Lukman menjerit akan nama Rina sepanjang koridor hospital. Mereka – pesakit, staff dan orang awam tertoleh-toleh ke arahnya. Lukman serupa orang kurang siuman.
“Rina!” Lukman menolak pintu bilik Rina. Berderau darahnya melihat katil sang isteri kosong. “Ke mana awak?”
Hampir menangis dia di situ. Takut kehilangan. Takut Rina dibawa pergi tanpa pengetahuannya.
“Ya Allah, di mana isteriku?”
Lukman membuka almari berisi barangan peribadi Rina. Semuanya masih terletak elok di tempatnya. Dia mengambil satu selendang kegemaran Rina. Dihidu-hidu baunya. Lukman menangis. Jiwanya terlalu rindu dengan isterinya.
Noraziah masuk ke dalam bilik. Berkerut dahi orang tua itu. Kedatangan Lukman paling tidak dinanti-nantikan. Rosak segala perancangannya.
“Kenapa terjerit-jerit?” Noraziah marah. Sekujur tubuh Lukman diperhati dari atas sampai bawah. “Kamu tu… kamu kemalangan tadi? Diri sendiri pun tak mampu jaga. Nak jaga anak aku? Lupakan jelah!”
Lukman terus melutut, memeluk kaki Noraziah.
“Eh, lepaslah! Rimas aku.”
“Mak, di mana Rina? Benarkan saya jumpa dia! Jangan bawa dia lari dari saya. Dialah nyawa saya. Saya tak boleh hidup tanpa dia. Saya mohon, benarkan kami bertemu,” rayunya sungguh-sungguh.
“Aku memang tak suka kau. Tapi, aku tak kejam nak larikan isteri kau! Aku bawa dia ke taman. Hirup angin segar. Dah lama dia terbaring.”
“Terima kasih, mak! Terima kasih!” Lukman memeluk ibu mentuanya erat.
Tergamam Noraziah. Terasa suatu sudut kedegilan dalam hati mencair sedikit. Noraziah lekas tersedar. Dia tidak mahu mengalah!
Lukman melajukan langkah meskipun pincang menuju ke taman.
“Ish, meluat aku!” Noraziah tetap berasa jengkel dengan Lukman. “Tak apa, sejauh mana kau nak berdrama?”
Rina sedikit tersenyum menyaksikan seekor rama-rama hinggap di atas sekuntum mawar merah. Rina mahu mengejar rama-rama itu terbang. Terlupa, pergerakan dirinya terbatas. Tika ini, sangat memerlukan kerusi roda untuk membantu dirinya ke mana-mana.
Rina terlihat seorang pelawat lelaki membawa sejambak bunga matahari. Rina memaksa fikirannya untuk berfungsi. Bunga matahari itu nanti akan diberi kepada siapa? Kekasihkah? Kenalan? Ibu bapa? Mengapa bunga matahari? Mengapa tidak bunga lain? Dari mana bunga matahari itu? Mesti bunga itu dijagai dengan penuh kasih sayang! Rina terasa sangat akrab dengan bunga yang satu itu.
Rina sakit kepala. Berlawan-lawan suara dalam minda. Terlalu banyak untuk dihadam.
“Rina! Sayang!” Jerit Lukman.
Teruja sekali melihat sang isteri. Dia memeluk Rina. Dicium-cium pipi Rina berulang kali. Air matanya begitu murah mengalir.
“Sayang. Saya macam mimpi! Awak betul-betul dah sedar! Syukurlah.”
Rina bingung. Matanya terkebil-kebil.
“Siapa?”
Jantung Lukman bagai direntap. Teringat kata-kata ibunya tadi. Diamati dalam-dalam bola mata sang isteri. Rambut sang isteri dibelai-belai. Dikucup dengan penuh kasih sayang dahi Rina.
“Saya…” Lukman menggantung ayatnya untuk melihat reaksi Rina. Isterinya menanti jawapan. “… saya suami awak, Lukman.”
“Su… suami saya? A… wak…. Awak Lukman?”
“Ya… ya, saya suami awak. Lukman.” Lukman teruja dan menyangka Rina mulai mengingati dirinya.
“Saya dah bersuami?” Pertanyaan itu bagai batu menghempap kepala Lukman. “Awak bergurau, kan?
Lukman berdehem. Kecewa namun dia harus bersabar dan memberi masa serta peluang.
“Ya. Saya suami awak.”
Dan Lukman terus menceritakan pertemuan pertama mereka sehinggalah peristiwa malang menimpa Rina. Sang isteri mendengar meskipun tidak mampu dicerna isinya. Rina bagai terpukau dengan ketampanan lelaki itu. Kesungguhan Lukman bercerita membuatkan Rina terasa seperti jatuh cinta sekali lagi! Cuma, bila kali pertama dia jatuh cinta? Rina mendesak-desak pemikirannya.
“Tak apa kalau awak masih tak ingat saya. Kita akan sama-sama pulihkan ingatan awak. Kita akan bercinta semula.” Lukman memahami kebingungan Rina berdasarkan kerutan di wajahnya.
Rina meletakkan telapak tangan pada pipi Lukman. Matanya sudah berkaca-kaca.
“Kenapa sayang?” Lukman mengelap air mata Rina yang jatuh. Dia turut sama sebak.
“Saya sedih. Saya tak mampu ingat awak walaupun awak orang yang penting dalam hidup saya.”
“Oh, sayang!” Air mata Lukman pecah jua akhirnya. Dia sudah tidak mampu untuk mengeluarkan kata-kata. Pertemuan mereka terlalu mengharukan.