Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
PROLOG

Wajah mereka disirami cahaya jingga. Petang akan mulai menghilang digantikan senja. Mereka – Lukman dan Rina berada dalam dunia mereka tersendiri. Bahagia memadu kasih. Rina memeluk erat pinggang Lukman. Motosikal dibawa dalam kelajuan sederhana. Kini, mereka hanya mahu menghargai momen bersama.

Mereka tidak tahu. Kebahagian itu hanya sebentar cuma. Saat motosikal mulai memasuki jalan raya yang lengang daripada sebarang kenderaan, tidak semena-mena mata Rina terbeliak besar.

“Darah?” Rina terperanjat. Masa itulah, sakitnya menjalar seluruh tubuh. Pegangan pada baju Lukman mulai lemah. 

“Sayang?” Lukman turut sama terkejut. Percikan cecair merah menyembur ke arah hadapan.

Lukman tidak sempat berpaling, Rina terus jatuh dari atas motor. Tubuhnya berguling-guling di atas jalan raya. Rina cuba mengangkat tangan ke udara. Bibirnya menggeletar, cuba memanggil nama Lukman.

“Sayang!”

Lukman lekas membrek. Jantungnya hampir gugur. Dia segera berpusing mendapatkan Rina yang mengalami kecederaan. Malangnya, sebuah kereta dari arah belakang tidak dapat mengawal pemanduannya sekali gus menghentam motosikal Lukman.

“Ya Allah!” Lukman terbayang maut.

Lelaki itu tercampak jauh. Dan, kuntuman bunga matahari kuning berterbangan ke udara. Sekeping gambar terselit pada bungkusan bunga, melayang ke udara ditiup angin kencang. Gambar mereka berdua berpelukan selepas selesai diijab kabul.

Jari-jemari Lukman cuba menggapai jasad Rina yang sudah hilang kesedaran. Semakin lama, pandangan kabur. 

“Sayang…” Itu yang keluar dari mulutnya.

Akhir sekali, dia benar-benar tertutup mata.


“Sayang!” Lukman terjaga mendadak. Dadanya berombak. Dahinya basah dengan peluh. Mimpi ngeri itu berulang lagi. 

Skrin komputer riba masih bernyala. Dia terlelap seketika di meja kerja semasa menaip sesuatu pada Microsoft Word. Lagu ‘Rindu Bayangan’ nyanyian JayJay dipasang berulang-ulang hanya membuatkan dia semakin beremosi. Liriknya terlalu menyentuh hati. Erti kata lain, sengaja menghanyutkan diri dalam kesedihan yang tidak berkesudahan.

“Saya bersalah, sayang! Saya bersalah. Kalaulah kita tak keluar hari tu… awak mesti dah berdiri di depan saya sekarang ni!” 

Pada hari kejadian, seseorang tidak bertanggungjawab telah menembak sang isteri pada bahagian belakang. Hampir tepat ke jantung. Sehingga kini, masih belum menunjukkan tanda-tanda Rina akan meraih kesedaran. 

Paling Lukman tidak boleh lupa, individu tidak bertanggungjawab yang berada di tempat kejadian memuat naik foto dan video kemalangan ke media sosial. Lukman tidak boleh menerimanya. Hatinya hancur berkecai melihat keadaan mendukacitakan Rina tersebar merata-rata. Dia tidak dapat mengawal amarahnya

Dalam keadaan emosi tidak stabil, ditinggalkan komen buruk kepada sang pelaku yang memuat naik video ke atas talian.

“Baik kau padam video ni! Ke kau nak aku buat report polis? Kau delete sekarang!”

“See you in court!”

“Woi, memang tak faham bahasa ya?”

Mengingati peristiwa itu memang memeritkan. Lukman bangkit, mengambil tuala dari ampaian. Dia akan mandi. Jarum jam berdetak menghampiri 6:00 pagi. Azan subuh akan segera berkumandang.


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.