HARI ini, Safi datang lagi ke rumah Umi
Hasnah. Minggu lepas dengan nasi beriani, tetapi kali ini dia berlenggang-kangkung
sahaja.
Sewaktu tiba di rumah
Umi Hasnah, baru Safi perasan ada motor lama Honda C70 di garaj sebelah kanan.
Tempoh hari tidak nampak pula. Motor itu dipandang lagi. ‘Sah-sahlah abang seri
yang pakai motor ni, takkan Kak Hajar kut?’ Safi tersenyum sendiri.
Sungguh dia tidak menyangka Idan sanggup menggunakan motor itu.
Kalau orang lain, rasanya sudah campak motor itu ke dalam lombong. Tak pun,
sudah dijual kepada tauke kedai besi buruk. Namun, dia sedikit pelik kerana
nombor platnya bukan seperti plat kenderaan yang sudah berusia berpuluh tahun.
“Itu motor arwah suami umi,” beritahu Umi Hasnah sebaik
menyedari Safi asyik menelek motor lama itu.
“Oh!” Safi berasa segan sebaik menyedari Umi Hasnah telah
lama memerhati gelagatnya. Nasib dia hanya mengutuk Idan dalam hati sahaja.
Kalau tidak, memang dia tiada harapan langsung jadi menantu Umi Hasnah!
“Umur motor tu pun sama dengan umur Idan. Sayang betul dia
dengan motor tu,” beritahu Umi Hasnah lagi. Tiba-tiba terkenang pula sewaktu
Idan kecil dahulu. Anaknya itu suka sekali dapat membonceng motor itu.
Tiap-tiap hari Idan akan mengikut arwah suaminya ke surau untuk bersolat
maghrib dan isyak.
“Dia bawak ke mana motor tu, umi?”
“Tak ke mana pun. Sejak arwah tak ada, kalau pergi masjid kat
depan tu, dia mesti naik motor ni.”
“Tak segan pulak dia guna motor tu?” tanya Safi lagi, sedikit
hairan. Andai dirinya, memang dia tidak sanggup!
“Tulah, pernah jugak umi tegur. Katanya, selagi boleh guna,
dia akan bawak pergi masjid. Dapat jugak bagi pahala kat arwah ayah.” Umi
Hasnah sedikit sebak ketika menuturkannya.
Safi terdiam dengan jawapan yang Umi Hasnah berikan.
‘Astaghfirullahalazim…’ Dia segera beristighfar dalam hati sebaik menyedari
kesalahan diri. Punyalah sesuka hati mengutuk Idan, padahal lelaki itu mahu
menjadi anak yang berbakti kepada orang tuanya.
“Eh, marilah kita masuk. Anak Hajar pun ada, boleh umi
kenalkan,” ajak Umi Hasnah.
“Yalah.” Safi mengekori Umi Hasnah masuk ke dalam rumah.
“Mariam, meh jumpa Kak Safi.” Umi Hasnah memanggil cucu
tunggalnya.
“Ya nek. Ooo… inilah Kak Safi yang nenek selalu cerita tu.
Cantik,” puji Mariam sambil menyalam tangan Safi.
“Ni anak Kak Hajar, ya?” tanya Safi sambil mengukir senyuman.
“Yup. Nama panjang Mariam Awadah, tapi akak boleh panggil
Mariam aje.”
“Eh, nama kedua kita serupalah! Kenapa Kak Hajar tak pernah
cakap pun kat Safi?” Safi menoleh memandang Hajar yang turut ada bersama.
Hajar senyum sahaja.
“Mama sengaja nak beri kejutan kat kita berdualah tu!” sampuk
Mariam.
“Kalau awal-awal dah beritahu, tak seronoklah. Kan, umi?” Hajar menjeling uminya pula.
“Betul tu. Nama korang berdua memang sedap dan maksudnya pun
bagus. Semoga jadi wanita yang solehah, lembut dan baik-baik aje,” tutur Umi
Hasnah.
“Dengar tu Mariam, apa yang nenek cakap kena semat dalam
jiwa,” pesan Hajar kepada anaknya.
“Ya, mama... Mariam akan cuba jadi anak solehah dan sentiasa
mendengar kata,” ucap Mariam sambil memeluk bahu mamanya.
“Hari ini umi nak masak istimewa sikit. Safi dengan Mariam
kena tolong, sambil tu boleh belajar sekali.”
“Bestnya dapat
masak ramai-ramai kat rumah umi.” Safi menyatakan kegembiraannya. Ingatkan
kenapalah Hajar suruh datang ke rumah, walhal hari ini dia juga tidak masuk
pejabat. Sekarang baru Safi tahu sebabnya. Selain dapat berkenalan dengan
Mariam, dapat belajar resipi umi dan makan sedap-sedap!
“Safi selalu masak kat rumah?” tanya Umi Hasnah sambil mengeluarkan
bahan mentah dari peti sejuk. Bahan-bahan lain sudah tersedia di atas meja.
“Tak jugak umi. Balik kerja dah penat. Tunggu hari minggu
baru masak. Hari lain memang makan kat kedai.” Safi berterus-terang sahaja.
Kalau sempat masak pun setakat goreng ikan dan buat telur dadar sahaja. Sayur
memang tak masaklah, sekadar timun dan tomato dibuat ulam. Itu kira sudah habis
rajin!
“Umi faham, tapi lagi bagus kalau dapat masak kat rumah.
Makan kat kedai, entah apa ramuan yang dia orang pakai,” nasihat Umi Hasnah.
“Umi tu bercakap bukan main, tapi selalu jugak order beriani kambing!” perli Hajar
pula.
“Itu lain, umi bukan makan hari-hari.”
“Tak hari-hari, apanya? Dalam seminggu tiga empat kali jugak umi makan.”
“Umi cuit aje pun, selebihnya anak-anak umi yang makan,” dalih Umi Hasnah.
Safi senyum sahaja mendengarnya. Terasa diri sebahagian dari
keluarga ini apabila bersama begini. “Hari ini kita nak masak apa, umi?”
“Hari ni kita buat daging masak hitam dengan ayam masak merah.
Resipi umi lain sikit, memang rasanya tak sama macam kat restoran.”
“Kak Safi dah tak sabar nak tahu resipi nenek. Cepatlah
mula,” sampuk Mariam pula.
“Resipi ni kena tulis, lain kali boleh rujuk. Mariam tukang
catat,” arah Umi Hasnah.
“Amboi umi… sebelum-sebelum ni bukannya nak turun ilmu kat
Hajar. Tak aci betullah umi ni!” usik Hajar.
“Aci tak aci! Dah anak cucu ada sekali, masa nilah boleh
kongsi resipi,” balas Umi Hasnah pula. Tahu anaknya sekadar mahu bergurau dan
tidak bermaksud apa-apa.
Umi Hasnah memang gembira sekali dapat berkumpul dengan anak
cucu dan insya-ALLAH bakal menantu juga. Kerja yang leceh dan remeh akhirnya
dapat disempurnakan dengan lebih cepat apabila ada yang tukang bantu. Menjelang
pukul satu, daging masak hitam dan ayam masak merah siap sedia untuk dihidangkan.
Sementara Safi dan Mariam mengemas dapur dan membasuh pinggan
mangkuk yang digunakan tadi, Umi Hasnah masuk ke bilik. Dia mahu menukar baju
kerana berasa tidak selesa. Tadi, ada rempah yang terkena bajunya.
JAM
satu petang, Idan sudah tiba di rumah. Hari ini dia makan tengah hari di rumah
untuk memenuhi permintaan uminya. Baru sahaja membuka pintu utama, bau masakan
uminya sudah menusuk ke hidung. Perut yang lapar memang sudah tidak tertahan. Tanpa
berlengah, dia terus menjejakkan kaki ke ruang dapur.
Tiba-tiba wajah Idan sudah berubah. Dia
segera mengheret tangan Hajar keluar dari dapur. Safi yang tidak perasan
kehadiran Idan meneruskan kerjanya. Selesai membasuh pinggan, dia mengelap
dapur pula.
“Sakitlah!” marah Hajar sambil merentap tangannya dari
pegangan Idan.
“Kanapa Safi ada kat rumah ni?” soal Idan tanpa berbasa-basi.
“La, sebab tu aje?” Hajar buat muka tidak bersalah.
“Akak tak jawab lagi soalan Idan!” marahnya.
“Umi yang ajak dia makan tengah hari kat sini,” beritahu
Hajar.
“Saya tak suka akak bawak orang luar datang ke rumah!” tutur
Idan. Kakaknya ini memang suka sangat buat perkara yang dia tidak gemar.
“Peduli apa akak? Janji akak dan umi suka,” balas Hajar pula.
Sengaja menaikkan darah adiknya.
“Huh!” Idan mendengus dan terus menuju ke pintu utama. Sebaik
ternampak Safi di dapur, terus hilang seleranya.
“Baru sampai, dah nak keluar pulak?”
“Idan nak balik ofis. Kenyang!”
“Umi masak makanan kegemaran arwah ayah tau!” sebut Hajar,
namun Idan sudah masuk ke dalam keretanya.
Hajar mengeluh, nasib umi tidak menyedari kepulangan Idan.
Akhirnya hanya mereka berempat sahaja menjamu selera dengan
resipi istimewa Umi Hasnah. Walaupun sedikit terkilan, Umi Hasnah tetap
gembira. Makan malam nanti masih boleh makan bersama anak bujangnya itu.