Disember, 2008
AISARAH melepaskan keluhan. Permintaan adik angkatnya memang
payah untuk ditunaikan. Ditelan memang tercekik, andai diluah sayang pulak!
Aduhai… kini, cara pemikiran dirinya sudah terbawa-bawa mengikut stail Safi. Happy go lucky, tetapi apabila tiba bab hati
dan perasaan memang jiwang habis.
“Kak…?” tegur Safi
sebaik menyedari Aisarah bagai mengelamun pula.
“Safi… boleh tak jangan buat akak macam ni? Ini tentang masa
depan akak. Akak tak sanggup nak lalui,” rayunya dengan penuh harap. Entahlah,
tiba-tiba dia berasa ragu-ragu dengan persetujuan yang telah diberi.
“Sebelum ni akak dah janji nak tolong kita orang, kan? Tak
bolehlah nak ubah fikiran pada saat terakhir.” Safi sudah tidak senang duduk.
“Akak memang rasa serba salah. Safi ikhlas ke lepaskan Abang
Arif untuk akak?” soal Aisarah pula. Dia turut merenung mata Safi dalam-dalam.
“Boleh tak, jangan ulang lagi soalan tu? Hanya akak yang tahu
bagaimana hubungan Safi dengan Abang Arif sejak dulu sampai sekarang.” Safi
memang cukup pantang apabila perkara itu diungkit lagi. Dia sudahlah masih
sukar menerima takdir yang menduga dirinya dan juga Arif Zikri. Bercinta bagai
nak rak, akhirnya mahligai impian runtuh menyembah bumi.
“Kadang-kadang akak rasa macam buat kerja gila,” luah Aisarah
dengan perasaan tertahan. Memang dia yang perkenalkan Safi kepada Arif Zikri,
namun tidak sangka pula begini akhirnya kisah cinta mereka. Andai dirinya
berada di tempat Safi, mahu demam seminggu!
“Kita bertiga dah bincang. Semua setuju dan reda dengan
ketentuan takdir. Boleh tak, akak jangan ungkit lagi?” Safi sudah pegang tangan
Aisarah minta pengertian.
“Kenapalah kau orang berdua senang sangat buat keputusan
begini?” soal Aisarah lagi.
“Sebab hanya akak sahabat baik kami. Yang tahu cerita kami,
tahu hati budi masing-masing,” jawab Safi sejujurnya. Mata sudah mula berkaca.
Sedaya upaya cuba menahan air mata agar tidak gugur. Dia tidak mahu menangis
lagi kerana isu yang satu ini. Biarlah semuanya berlalu tanpa perlu
dikenang-kenang.
“Akak takut tak dapat jadi isteri yang baik untuk Abang
Arif,” luah Aisarah. Itulah yang sering mengganggu fikirannya. Perkara ini
melibatkan perasaan dan dia tidak mahu ada hati yang terluka.
“Itu akak jangan
risau. Safi pilih akak sebab yakin dan percaya dengan akak. Kalau orang lain
yang ganti tempat Safi, sah-sah nanti Safi akan kehilangan terus Abang Arif,”
pujuk Safi bagi menyakinkan Aisarah.
“Susahlah Safi,” balas Aisarah, lemah. Memikirkan permintaan
tidak masuk akal Safi, memang membuat dirinya
berasa tertekan juga. Perasaan cinta bukannya boleh dipaksa-paksa.
“Akak tak nak ke, dapat lelaki sebaik Abang Arif sebagai
suami? Safi memang dah tak layak. Alang-alang tak dapat, biarlah sahabat baik
merangkap kakak angkat yang dapat,” ujar Safi kemudian tersenyum pula.
“Safi… Safi…” Aisarah mengeluh kecil.
“Sekurang-kurangnya Safi boleh tumpang bahagia. Kalau orang
lain yang kahwin dengan Abang Arif, Safi tumpang tengok ajelah!” Sekali lagi
senyuman terukir di bibir Safi. Namun, mana mungkin dapat menutup kesedihan di
hatinya. Andai kata hatinya dapat dilihat, memang sudah cedera parah.
“Dalam keadaan macam ni, lagi nak buat lawak!” marah
Aisarah lalu menarik tangannya dari pegangan Safi.
“Apa lagi yang boleh Safi buat? Takkan Safi nak menangis air
mata darah? Macam mana Safi sayang sekalipun, Abang Arif tetap bukan jodoh
Safi.”
“Perkara ni bukan semudah memetik jari Safi,” bidas Aisarah.
Dia yang kena menanggung segalanya, tidak kira pahit atau manis. Sekali
mengambil keputusan, bukan boleh berpatah balik.
“Tahu… tapi Safi lagi tak sanggup tengok Abang Arif dengan
orang lain,” luah Safi. Itulah yang sebenarnya!
“Akak jugak tetap orang lain…” lirih sekali suara Aisarah.
Pandangan dihalakan pada televisyen yang sejak tadi terpasang.
“Tak sama! Safi tak pernah rasa cemburu dengan akak. Sepanjang
kita berkawan, kita sama-sama mahu bahagia. Tak pernah pun ada perasaan dengki
terdetik di hati masing-masing.” Safi masih mempertahankan tindakannya.
Sepanjang mengenali Aisarah, mereka berdua saling menyokong
antara satu sama lain. Masalah Aisarah, masalah dia juga. Andai kakak angkatnya
itu sakit, Safi juga turut tidak senang hati. Kalau boleh semua benda mahu
dikongsikan bersama.
“Entahlah…” keluh Aisarah lagi.
“Kak, janganlah hampakan harapan Safi. Lagi cepat akak
bersama Abang Arif, lagi cepat Safi dapat lupakan semua ni. Akak kena bantu
kita orang.” Bertambah bersungguh-sungguh Safi merayu.
“Bukan macam tu, Safi. Dalam keadaan sekarang, macam-macam
yang akak fikir dan rasa.” Menghampakan harapan Safi, sama sahaja mengecewakan
diri sendiri. Keadaan ini benar-benar membuat fikiran Aisarah bertambah celaru.
“Abang Arif dah setuju dan reda dengan apa yang terjadi. Akak pun dengar, kan?”
“Memanglah tapi hati dia kita tak tahu,” balas Aisarah. Bagi
dirinya, bukan sesuatu yang mudah untuk menjadi seorang pengganti. Bukan
setakat makan hati berulam jantung sahaja. Silap-silap, mahu makan saman! Dalam
keadaan tertekan, dia juga terpaksa menghiburkan diri sendiri.
“Membina cinta lagi mudah dari jatuh cinta kak…” Tiba-tiba
pandai pula Safi bermadah pujangga.
“Mana mungkin begitu Safi… membina cinta juga memerlukan
pengorbanan dan kesabaran yang bukan sedikit,” bangkang Aisarah.
“Percayalah cakap Safi, cinta lebih mudah dibina setelah akad
nikah dilafazkan. Hati akan lebih mudah menerima tanpa syarat,” tutur Safi
dengan yakin sekali. Wah-wah… nampaknya selepas ini dirinya sudah boleh memohon
jawatan kaunselor di pusat kaunseling! Seketika Safi tersenyum sendiri.
Aisarah memandang Safi yang masih tidak berputus asa dan
terus memujuknya. Dalam keadaan sekarang, dia benar-benar berasa amat tersepit.
Perkahwinan bukan gelanggang untuk mencuba nasib. Ia ikatan yang sehabis boleh
perlu dipertahankan walau apa jua rintangan yang datang. Mampukah dia?