Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 28


“APALAH abang seri tu? Aku puji pun buat tak reti aje. Entah apa yang dia nak,” sungut Safi pada Ina. Bila tidak ada apa yang hendak dibuat, dia mengimbas cerita semalam pula.

“Puji ada makna, siapa yang peduli?” balas Ina pula. Kali ini Ina sendiri datang ke tempatnya untuk bersembang dan bergosip. Selalunya berborak di pantri sahaja.

“Kasih aku pada dia dari nurani aku yang paling dalam tau!” luah Safi dengan penuh perasaan dan perasan juga!

“Aduhai Safi… aku tak pernah jumpa perempuan yang macam kau ni. Terhegeh-hegeh pada yang terang-terang matahari tak nak kat kau.”

“Dia tu sebenarnya suka kat aku, saja tak nak tunjuk aje,” dalih Safi untuk menyedapkan cerita dan hati sendiri.

“Macam mana kau pasti sangat yang abang seri tu suka kat kau?” tanya Ina pula.

“Kau tak perasan ke? Sejak beberapa hari ni, dia mesti datang ke pejabat kakak dia.”

“La… tu mestilah sebab bisnes dan ada perbincangan dengan Puan Hajar.”

“Takkan semua perbincangan asyik buat kat pejabat Puan Hajar aje, betul tak?”

“Kau nak kata dia sengaja cari alasan pergi pejabat kakak dia sebab nak tengok kau, macam tu?”

“Bijak pun kau! Bukan itu aje tau.” Safi mengukir senyuman pula.

“Hmm… apa lagi?” Ina menunggu cerita selanjutnya.

“Dah banyak kali jugak aku perasan yang dia mesti tengok aku lama-lama ketika aku tak perasan.”

“Ni lagi penipu gedang! Kalau masa kau tak perasan, macam mana pulak kau boleh tahu dia tengok kau?” Boleh biul kepala Ina dengan cerita si Safi ini.

“Er… betullah apa aku cakap tu! Aku tak tipu.” Safi masih tidak mahu kalah.

“Sudahlah, dia tengok gambar lukisan yang ada kat dinding belakang kaulah!”

“Malam sikit ya? Itu gambar Agong dan Permaisuri Agong. Ada ke orang nak tenung tiap-tiap hari? Lepas tu tengok lama-lama pulak tu,” bidas Safi pula.

“Kau ni memang pelik sungguh. Entah macam manalah kau boleh nampak, ya?”

“Aku ada CCTV dan cermin sisi yang boleh beritahu aku,” jawab Safi selamba. Tadi tidak terfikir pula jawapan yang lebih bernas itu.

“Ya sangatlah tu!” Ina gelak sahaja.

“Alah, aku pasti Idan tu sukakan aku jugak.” Safi berkata dengan yakinnya. Dari setiap tindak balasnya, Safi sudah boleh agak. Lelaki yang tidak cukup kasih sayang itu memang ada hati dengan dirinya.

“Kau ni… asyik terlebih perasan. Macamlah dah terdesak sangat nak berlaki!” perli Ina pula.

“Eh, mestilah aku perasan! Tapi biasalah abang seri itu, mana pernah hendak mengaku? Tengok muka dia pun aku tahu, setiap minggu dia rindukan aku. Tapi macam biasa, dia sengaja sorok-sorok rasa rindu itu,” balas Safi, tidak mahu kalah.

“Hmm… nasiblah kau tu tak terlalu gedik. Kalau tak, aku memang tak nak mengaku kawan kau,” ujar Ina. Dahulu, dia ingat Safi tidak serius dengan apa yang dia katakan. Rupa-rupanya dia memang bersungguh mahu mengurat Idan.

“Sampai hati kau cakap macam tu.” Safi sedikit kecewa mendengarnya.

“Ni, kau mesti ada sebab nak mengurat adik bos tu, kan?”

“La… berapa kali nak cakap? Mestilah sebab aku nak kahwin dengan dia.” Cepat sahaja Safi memberikan jawapan kepada pertanyaan Ina.

“Kita ni perempuan, lebih baik kahwin dengan lelaki yang sayang kat kita. Bukan dengan lelaki yang kita sayang.” Ina memberikan kata nasihat pula.

“Hish kau ni… kalau nak tunggu lelaki sayang kat aku, sepuluh tahun lagi belum tentu aku jumpa,” balas Safi pula. Sejak dia putus dengan Arif Zikri, diam tak diam sudah enam tahun berlalu. Sampai ke hari ini, tiada juga lelaki yang sayangkan dirinya.

“Tak fahamlah aku dengan kau ni.” Kadang-kadang, Ina pun pening melayan kerenahnya. Hendak kata remaja tidak cukup umur, dia memang sudah boleh jadi emak budak. Tapi itulah, ada ketikanya seperti kurang matang pula.

“Sekarang nilah aku kena mencuba nasib,” ujar Safi.

“Mencuba nasib apa bendanya? Ni, kerja kau dah siap? Mentang-mentang Puan Hajar sayang kat kau, asyik relaks aje kat ofis,” tegur Ina pula.

“Dah tak ada kerja, relaks ajelah,” balasnya.

Tiba-tiba, ada yang menepuk meja Safi. “Wei! Pagi-pagi, berborak aje kerja kau orang. Buat kerjalah,” tegur Kak Liza. Dari tadi dia perhatikan Safi dan Ina. Mereka ini asyik bersembang macamlah sekarang ini waktu rehat.

“Kus semangat! Kak Liza ni kan, tak bagi kita orang peluang langsung!” sungut Safi bagi menyembunyikan rasa segan yang hadir.

Nasib Kak Liza, penyambut tetamu yang menegur mereka. Kalau encik pujaan hati yang menegurnya, bukankah parah? Memang kena pakai niqab terus. Biar nampak biji mata sahaja!

“Walaupun hari-hari Safi berangan pasal Encik Idan Jauhari tu, jangan nak berlebih pulak, ya? Dia tetap jauh…” usik Kak Liza yang mahu tumpang sekaki.

Dia datang ke pejabat Hajar untuk menghantar surat tetapi boleh tersangkut di meja Safi pula. Cerita gadis itu yang sukakan Idan memang dia sedia maklum kerana Ina pernah bercerita kepadanya.

“Percayalah cakap saya, Kak Liza. Akhirnya dia akan jatuh ke tangan saya jugak.” Begitu yakin sekali Safi menuturkannya.

“Dari zaman Pak Kaduk lagi, si Jauhari ni hanya kenal Manikam aje. Planet Zarikh atau Marikh pun dia tak hairan tau,” ujar Kak Liza pula.

“Itu planet, memang dia tak pandang. Ini Safi Awadah, sekali pandang memang nak pandang berkali-kali!” Mahu menang juga si Safi ini.

“Ya sangatlah tu!” Kak Liza sudah menggeleng. Entah apa yang si Safi ini berkenan sangat dengan Encik Idan itu.

Pada mulanya, dia pun pelik juga bagaimana boleh timbul gelaran abang seri itu. Hendak kata wajah Idan berseri-seri, memang tidak walaupun dia memang segak. Akhirnya boleh lekat pula walaupun tuan yang empunya diri langsung tidak tahu.

Apa yang tidak lekat cuma cinta Safi kepada Encik Idan sahaja. Sudah nama pun Idan Jauhari, memang hari-hari jauhlah! Akhirnya Kak Liza tersenyum sendiri dan kembali ke tempatnya. Begitu juga dengan Ina.



SEJAK tadi Safi tidak dapat memberi sepenuh tumpuan pada cerita Hindi yang ditontonnya. Sekejap dia nampak muka Shashi Kapoor, selepas itu wajah Rishi Kapoor pula yang muncul.

Dia pun tidak pasti siapa sebenarnya hero cerita ini. Sedar-sedar, yang dia nampak wajah Idan Jauhari pula. Ini memang sudah parah!

‘Kenapa aku rasa macam pernah jumpa Idan sebelum ini?’ Fikiran bertambah berkecamuk apabila terus-terusan diserang persoalan demi persoalan. Jawapannya pasti ada cuma dia perlukan pengesahan. Dia pernah catat sesuatu dalam diari lamanya. Tapi itulah, hendak pergi mencari kotak di stor yang buat dia malas.

Kini, sudah lebih dua bulan juga Safi bekerja di firma arkitek di Ampang Avenue itu. Dia sudah nampak sisi Idan yang orang lain tidak tahu. Dia suka Idan. Dia mahukan Idan Jauhari!

“Kau ni dah kenapa?” tanya Nana sambil menyinggung bahu sahabatnya itu.

“Cinta itu sering menidakkan sesuatu yang logik. Tahu tak sebab apa?” Spontan soalan itu keluar dari mulut Safi.

Nana menggeleng. Seperti biasa dia kena menadah telinga mendengar cerita gadis itu. Kali ini pasti cerita pasal Idan lagi. Esok, lusa dan hari-hari yang mendatang mesti pasal abang seri juga.

“Kerana di situ hati disentuh pada suatu yang tidak pernah kau rasa…” Safi mengulangi ayat yang pernah dia sebut sebelum ini.

“Aku tak fahamlah dengan kau ni. Hebat sangat ke Idan tu sampai sebegini teruk kau angau kat dia? Padahal dia tak pandang kat kau pun,” ujar Nana.

“Nak kata dia hebat sangat tu, tak ada la. Tapi entah kenapa kali ini aku betul-betul jatuh cinta pada Muhammad Idan Jauhari tu! Abang seri yang buat aku angau sepanjang hari,” akui Safi tanpa rasa segan.

“Kau ni memang dah teruk. Tak sangka aku rupanya dalam zaman moden ni ada jugak perempuan yang macam kau,” perli Nana.

“Tak boleh ke aku berperasaan begini? Aku nak bercinta dengan dia. Dah dia yang hati aku nak,” balas Safi.

“Kalau abang seri kau tu menghargai cinta kau, berbaloilah. Kalau akhirnya dia pilih orang lain, macam mana?” soal Nana pula.

“Kau selalu patahkan semangat aku. Menyampahlah,” keluh Safi.

“Kau kena rasional dan bersedia dengan segala kemungkinan. Lainlah kalau dia dah jadi tunang kau.”

“Aku memang tak nak jadi tunang dia!” Pantas Safi menolak.

“Pulak dah? Kata nak kahwin dengan Idan tu. Peninglah aku dengan kau ni,” sungut Nana.

“Aku kalau dengan Idan, nak terus kahwin aje. Tak nak tunang-tunang. Karang tak jadi lagi macam dua tunang dia yang dulu tu,” beritahu Safi.

“Takut putus tunang la ni? Kalau tak berani bertunang, jangan bermimpi nak kahwin!” ujar Nana.

“Apa la kau ni! Bertunang tu tak wajib pun, akad nikah yang paling utama. Janji akhirnya abang seri yang jadi suami aku. Macam mana aku boleh berkahwin dengan dia tak payah nak fikir sangat,” terang Safi beria-ia.

“Maknanya kalau tak ada majlis kenduri pun, kau tak kisahlah?” tanya Nana.

“Tak adalah sampai macam tu, itu kahwin koboi namanya. Kat USA bolehlah kalau kau nak buat macam tu. Aku nak jugak dua tiga khemah masa majlis kenduri aku,” jawab Safi.

“Ingatkan nak akad nikah aje, tak payah kenduri pun tak apa.” Nana mencebik. Kadang-kadang dia geram juga apabila bertekak dengan Safi ini.

“Tak bolehlah macam tu, karang orang ingat aku kena tangkap basah pulak.”

“Apa-apa ajelah Safi! Daripada melayan kau, baik aku melayan Anil Kapoor hero pujaan hatiku,” ujar Nana yang sudah bosan.

“La… Anil Kapoor ke hero cerita ni? Bukan Shashi Kapoor ke?” tanya Safi yang otaknya memang sudah ke laut.

“Aduhai Safi!” Nana sudah tidak tahu apa nak buat dengan minah sewel ini.
Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.