“TOLONG ambil RayBan saya dalam laci dashboard tu,” pinta Idan ketika kereta berhenti di lampu isyarat.
Cahaya matahari yang terus ke arah dirinya memang menyilaukan.
“Bos pun pakai reben jugak ke? Takkanlah!” Sengaja Safi mahu
membuat abang seri berasa geram.
Idan terus menjeling tajam gadis itu. Sekarang ini bukan
macam, gaya Idan memang hendak telan Safi saja!
“Alah… saya gurau aje pun nak marah!” tutur Safi sambil
menghulurkan kaca mata yang diminta kepada Idan.
“Kalau nak gurau tu agak-agaklah. Saya ni bos awak, bukan
kawan serumah awak!” tegur Idan.
Wajah dan telinganya memang jelas kelihatan merah tanda
menahan geram di hati. Hampir sahaja dia jadi serigala jadian, nasib waktu
siang!
“Yalah, saya mintak maaf.”
Hari ini Safi terpaksa menemani Idan menghadiri mesyuarat di
Shah Alam. Sepatutnya Hajar yang pergi, tetapi dia ada mesyuarat penting yang
lain pula. Hendak tak hendak Idan terpaksa membawa Safi bersama. Andai ada
apa-apa, dia boleh rujuk terus dengan gadis itu kerana dia pernah menghadiri
mesyuarat sebelum ini.
Mesyuarat bermula pukul 3.30 petang di pejabat klien.
Pelbagai isu yang diutarakan, namun kebanyakannya melibatkan syarikat lain.
Idan memang sudah tidak selesa apabila mesyuarat mula meleret-leret. Jenuh
jugalah dia duduk melangut. Sekali-sekala matanya jatuh pada wajah gadis di
sebelahnya.
Akhirnya Idan berasa lega apabila mesyuarat ditangguhkan pada
jam 6.00 petang. Inilah mesyuarat paling lama dan membosankan. Kalau dia tidak
menghadirinya pun tidak mengapa. Memang buang masa dan tenaga memandu ke Shah
Alam!
“Bos, nanti kita solat asar kat masjid negeri ajelah,” cadang
Safi.
Dia sebenarnya risau juga. Hendak patah balik ke pejabat
memang terpaksa menempuh kesesakan jalan raya. Sekarang ini pun sudah pukul
6.00 lebih. Dalam perjalanan nanti dia takut tidak sempat hendak menunaikan
solat maghrib.
Seperti biasa, apabila Idan setuju dengan cadangan Safi dia
akan terus ikut. Dia memang tidak akan berkata apa-apa dan terus menuju ke
masjid negeri.
USAI
solat asar, mereka segera bertolak menuju ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan,
seseorang telah menghubungi Idan dan mahu berjumpa dengannya pula.
Safi yang mendengarnya sudah tidak boleh tahan. Dia mahu
segera balik ke pejabat kerana keretanya diparkir di sana. Selepas itu, memandu
balik ke Selayang Bahru pula. Entah pukul berapa baru dia sampai ke rumah.
Sekarang, dia sudah rasa melekit satu badan walau berada dalam kereta mewah
bosnya.
Ketika waktu maghrib, mujur mereka sempat bersolat di surau
Petronas. Sampai di pejabat kawan Idan, Safi terpaksa menunggu dalam kereta
sementara lelaki itu berjumpa dengan kawannya. Safi terpaksa patuh sebab dia
menumpang kereta orang.
Sepatutnya tadi dia minta Idan turunkan dia di perhentian bas
atau teksi dan dia boleh balik sendiri ke pejabat. Tidak perlu mengikut Idan ke
kawasan yang dia sendiri tidak tahu di ceruk mana.
Apabila sudah bosan menunggu, tangan Safi pun gatal hendak
mengusik itu ini. Perlahan-lahan dia membuka laci dashboard untuk mencari sesuatu yang boleh dibaca. Tiba-tiba matanya
tertarik pada diari dan kad kahwin di dalam dashboard.
Tadi semasa mengambil kaca mata Idan, tidak perasan pula.
Rasa hati Safi seperti pernah tengok kad kahwin itu. Dia
berdebar-debar membaca nama pengantin yang tercatat dalam kad kahwin itu.
Rupa-rupanya memang kad kahwin Idan.
Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa beberapa tahun yang lalu.
Ketika seorang perempuan dilanggar lari dan dibiarkan di tepi jalan. Wajah
perempuan itu cuba diingati kembali.
Adakah kakak itu tunang Idan? Kad kahwin ini memang sebiji
kad kahwin yang ada bersama barangan peribadi kakak itu. Wajah yang berlumuran
darah tidak dapat diingati sepenuhnya. Apa yang Safi ingat, dia telah
menghubungi nombor panggilan terakhir di telefon kakak itu.
Spontan Safi terus mencari nombor lelaki yang pernah dia
hubungi untuk beritahu pasal kakak itu, tetapi dia tidak ingat dia save atas nama siapa pula. Dahulu pun
dia terlupa juga, padahal dia simpan nombor itu untuk bertanya perkembangan
kakak itu.
“Awak buat apa hah?” sergah Idan saat terlihat Safi sedang
memegang diarinya. Sepantas kilat Idan merampasnya. Kad kahwin pula sudah jatuh
di kaki Safi.
“Sorry, saya tak sengaja. Sumpah, saya tak buka pun diari bos tu,”
ucap Safi.
“Awak tak ada hak nak selongkar barang peribadi saya!” marah
Idan.
“Sorry bos… saya
bosan tunggu kat kereta. Jadi, saya bukalah dashboard
kut ada buku untuk dibaca.” Terketar-ketar Safi memberi alasan. Sedar sekarang
ini Idan sangat marah.
“Awak keluar sekarang!” arah Idan.
Matanya memang sudah merah menyala bagaikan Safi melakukan
kesalahan yang amat besar.
Safi pandang Idan. Biar betul? Sekarang dah malam kut? Takkan
Idan nak tinggalkan dia di sini?
“Saya mintak maaf sangat-sangat sebab buat bos marah,” ucap
Safi dengan rasa amat bersalah.
“Keluar saya kata!” jerit Idan.
Safi tidak mahu menaikkan amarah Idan, tanpa berlengah dia
keluar dari keretanya. Dalam hati dia berdoa semoga senang hendak dapat teksi.
Sebaik Safi keluar dan menutup pintu kereta, Idan terus
memecut. Turun naik dadanya menahan rasa marah di hati. Dia amat pantang andai
ada yang mengusik barang peribadinya. Uminya sendiri tidak pernah sentuh
apa-apa barang miliknya.
Tiba-tiba iPhonenya berbunyi.
“Ya, kak…” Segera dia menjawab panggilan yang masuk.
“Idan dan Safi dah sampai ofis?” tanya Hajar.
Idan diam sahaja.
“Idan, akak tanya ni?”
“Dia dah besar kak, pandailah dia balik sendiri.” Idan
menjawab malas.
“Bertuah punya adik. Dia balik naik apa?” tanya Hajar yang
kerisauan.
“Idan baru tinggalkan dia kat tepi jalan. Nanti dia naik
teksilah,” jawab Idan acuh tak acuh.
“Sekarang jugak Idan patah balik dan cari dia! Idan ni tak
belajar-belajar lagi ke? Safi tu anak orang tau, bukan anak kucing! Dah lupa ke
apa yang terjadi kat arwah Zarith?” marah Hajar.
Saat itu juga Idan terus menekan brek kereta. Mujur tiada kereta
lain di belakangnya. Kemudian dia membuat pusingan U di persimpangan jalan.
Ketika ini jantungnya berdegup kencang. Kereta dipandu selaju mungkin untuk
sampai semula ke tempat tadi.
Tidak sampai lima minit, dia sudah tiba. Matanya meliar
mencari kelibat Safi, namun hampa. Dia segera menghubungi gadis itu.
‘Jawablah!’ Dia berasa geram kerana panggilan tetap tidak berjawab.
Tiba-tiba Idan perasan ada sebuah surau. Dia segera membelok
menuju ke situ. Dia amat berharap Safi ada di situ.
Sebaik keluar dari kereta, dia segera ke pintu laluan
muslimah. Dia berasa amat lega sebaik terpandang kasut milik Safi. Lebih lima
minit juga dia menunggu, baru gadis itu muncul.
“Masuk kereta!” arahnya sebaik Safi menyarung kasutnya.
“Tak apa, saya boleh aje naik teksi,” balas Safi. Jual
mahallah kononnya.
“Masuk atau saya seret awak!” marah Idan pula.
“Yalah, yalah! Tadi bukan main suruh saya keluar dan
tinggalkan saya macam tu aje,” perli Safi. Begitupun dalam hati dia berasa amat
bersyukur.
Tadi, dia sudah mula risau sebab tiada teksi yang lalu. Mujur
dia ternampak surau ini. Baiklah dia solat isyak dahulu. Selepas itu baru fikir
siapa yang perlu dihubungi untuk menolongnya. Menunggu di surau lebih selamat
dari di tepi jalan.
“Saya mintak maaf sebab berkasar dengan awak,” pinta Idan
setelah kereta keluar dari pekarangan surau.
“Nasib ada surau tu. Kalau tak, saya pun tak tahu nak pergi
mana. Apa yang buat bos patah balik?” tanya Safi.
“Jangan banyak tanya boleh tak?”
Safi pejam mata menahan rasa geram di hati.
‘Apa jugalah abang seri ini? Sekejap marah lepas tu okey
pula. Tak lama kemudian marah balik. Kenapalah lelaki ini jugak yang aku
kejar?’ desisnya.
“Lain kali jangan sesuka hati sentuh barang orang lain. Tak
kiralah barang siapa pun,” tegur Idan tetapi dengan suara perlahan. Tiada
langsung nada marah.
“Hmm…” Safi hanya berdeham.