SETELAH memberi salam dan membuka pintu utama, Hajar mempelawa
Safi duduk di ruang tamu. Dia terus ke dapur mencari uminya. Dia mahu beritahu
tentang kedatangan Safi, bakal pembantu peribadinya.
Safi pula terus mengambil tempat di sofa kulit yang mewah.
Ruang tamu ini bukan sahaja dihias cantik, malah cukup luas. Pintu gelangsar
yang terbuka membolehkan Safi merasa kenyamanan angin yang bertiup. Hatinya
turut berbunga bahagia.
Kelihatan laman rumah menghijau dan lapang. Pokok bunga hanya
ditanam di sudut bahagian tepi. Andai ada kenduri-kendara, boleh muat tiga buah
khemah juga. Anak-anak kecil masih bebas untuk bermain dan berkejaran. Andai
anak-anak Aisarah, pasti mereka akan seronok datang ke sini.
Tiba-tiba Safi perasan yang banglo ini terlalu sunyi. ‘Kak
Hajar hanya tinggal berdua sahajakah dengan umi dia?’ Safi tertanya sendiri. Seketika
photo keluarga yang tergantung di dinding mencuri pandangannya.
Dia mengamati photo keluarga Hajar. Gambar lama! Ia jelas
sekali kerana wajah Hajar menampakkan dirinya pada usia awal dua puluhan.
Gambar lelaki di sebelahnya pula membuat Safi terpaku. Lama dia pandang, macam
pernah nampak sahaja!
Tidak berapa lama kemudian, Hajar dan uminya sudah berada di
ruang tamu. “Safi, inilah umi akak,” Hajar memperkenalkan uminya.
Safi segera bangun dan menyalam tangan yang dihulurkan.
“Safi…” beritahunya sambil tersenyum.
“Umi Hasnah, panggil umi aje.” Umi Hasnah turut mengukir
senyuman buat tetamu yang seorang ini.
Safi berasa sedikit pelik melihat wajah Umi Hasnah yang
sangat ceria. Terasa dirinya disambut bagai tetamu istimewa pula, padahal baru
hari ini kenal dengan Hajar. Kerja pun hanya bermula pada minggu hadapan.
“Jomlah kita makan nasi beriani. Makan tengah panas ni memang
menyelerakan,” ajak Hajar dan mereka beriringan menuju ke meja makan.
“Safi memang orang KL ke?” tanya Umi Hasnah sambil menyenduk
nasi ke dalam pinggan.
“Taklah, keluarga saya asal dari Kedah. Tapi saya dah lama
duduk KL sebab dulu belajar kat sini.” Safi bercerita ringkas pasal dirinya.
“Ooo… macam tu. Selalu jenguk mak ayah kat kampung?” Ramah Umi
Hasnah bertanya. Wajah Safi tidak lepas dari pandangannya.
Hajar pula hanya memerhati gadis yang duduk di hadapannya.
Suka melihat kemesraan uminya terhadap Safi.
Safi tidak terus menjawab pertanyaan Umi Hasnah, sebaliknya
menundukkan wajah. Entah kenapa dia berasa sebak dengan pertanyaan itu. Selebihnya
dia tidak tahu apa yang harus dijawab.
“Kenapa Safi? Ada apa-apa berlaku pada mak dan ayah ke? Hajar
segera bertanya sebaik terlihat perubahan pada wajahnya.
“Tak adalah, tiba-tiba rasa sedih pulak. Sebenarnya ayah saya
dah meninggal tujuh tahun lepas.” Safi cuba mengawal kesedihan di hati agar
tidak ketara sangat.
“Oh, maafkan umi,” ucap Umi Hasnah sambil mengusap bahu Safi
yang duduk di sebelahnya.
Safi hanya mengangguk. Air mata sedaya upaya ditahan agar
tidak tumpah. Mengingatkan diri yang jarang sekali balik kampung, memang buat
hati sentap juga. Kesal dengan sikap sendiri.
“Tak apa, kita ada banyak masa nak bercerita. Sekarang kita
makan dulu.” Hajar segera mengubah topik perbualan. Tidak sanggup pula dia
melihat kesedihan di wajah Safi. Dia juga pernah merasa kehilangan ayah
tersayang. Sudahlah tadi gadis itu bersedih kerana gagal dalam temu duga.
“Rumah umi macam nilah. Sunyi sepi macam tak ada penghuni.
Tak ada rezeki hendak beranak ramai.” Umi Hasnah bercerita kemudian sambung menyuap nasi.
“Umi tinggal berdua dengan Kak Hajar ke?” Terpaksalah Safi
bertanya. Masakan mahu jadi pendengar dan menjawab soalan sahaja.
“Taklah, kita orang tinggal bertiga dengan seorang lagi anak
lelaki umi. Tapi, serupa macam tak adalah! Dia tu asyik kerja memanjang,” keluh
Umi Hasnah. Berselera sekali dia menjamah kambing masak kurma.
Terukir senyuman di bibir Safi sebaik mendengarnya. Serupa
dan macam, bukankah sama maksudnya?
“Suami Hajar pulak kerja kat luar negera, tiga bulan sekali
baru balik. Anak dia sekolah asrama. Lain kali Safi boleh kenal-kenal dengan
mereka,” sambung Umi Hasnah.
“Suka Kak Hajar tengok Safi tersenyum. Manis sangat,” puji
Hajar buat gadis itu tersipu malu.
“Mesti masa belajar dulu ada ramai peminat, kan?” duga Umi
Hasnah pula.
“Siapalah nakkan orang kampung macam saya ni.” Safi bertambah
segan apabila diusik begitu.
“Lepas ni, selalulah datang ke sini. Tak payah tunggu Kak
Hajar ajak,” pelawa Umi Hasnah.
“Insya-ALLAH…” balas Safi yang senang sekali dengan layanan Umi
Hasnah sekeluarga. Kalau begini, datang hari-hari pun dia sanggup!
“Rumah umi jarang ada tetamu melainkan pada hari perayaan. Hendak
buat kenduri kahwin anak bujang sorang tu, hmm… entah bilalah.”
Safi masih setia jadi pendengar. Dalam hati mahu tahu juga
siapakah gerangan anak bujang umi itu. Melihat photonya, orangnya memang boleh
tahan segak.
Selesai menjamu hidangan tengah hari, mereka bertiga berehat
di ruang tamu pula.
“Bila Safi mula kerja dengan Hajar?” tanya Umi Hasnah.
Sebenarnya banyak benda yang dia hendak tanya juga. Entah kenapa dia suka sekali
dengan keperibadian Safi. Kalau boleh mahu berlama bersembang dengannya.
“Minggu depan, umi,” jawab Safi dengan senyuman.
“Safi ada berapa orang adik-beradik?” tanya Hajar pula.
“Saya anak tunggal,” beritahu Safi perlahan. Rasa sedikit
sedih sebenarnya. Sudahlah tiada adik-beradik lain, saudara-mara juga tidak
ramai.
“La… lebih kurang sama macam akak jugak. Tak apa, Safi boleh
aje anggap Kak Hajar macam kakak sendiri,” tutur Hajar, mesra.
“Betul ni?” teruja sekali Safi mendengarnya. Dia memang suka
menambah ahli keluarga.
“Nak terus jadi adik betul pun tak apa,” sampuk Umi Hasnah kemudian
tertawa pula.
Hajar juga turut tertawa. ‘Aduhai umi aku ni…’ desisnya yang
faham sangat maksud umi tercinta.
Safi memang berasa seronok dapat berkenalan dengan Umi Hasnah
dan Hajar. Tidak menyangka dalam satu hari bermacam rasa yang dia alami. Dari berasa
amat kecewa, terus berbunga bahagia!
Lama juga Safi meluangkan masa berbual dengan Umi Hasnah dan
Hajar. Sedar-sedar jam sudah menghampiri pukul tiga petang. Dia tumpang solat
zuhur dahulu sebelum balik ke rumah. Takut terlepas waktu andai terperangkap
dalam kesesakan jalan raya. Tambahan pula jalan-jalan di Kuala Lumpur sentiasa
sesak tidak mengira waktu.
“UMI
berkenanlah dengan Safi tu,” beritahu Umi Hasnah setelah kereta gadis itu hilang
dari pandangan. Tadi, ketika Safi meminta diri untuk pulang, dia juga sempat
berpesan agar selalu menjenguknya.
“Itu yang Hajar nak dengar dari umi. Rasa-rasanya sesuai tak
jadi calon menantu?” giat Hajar. Dari awal lagi dia sudah dapat agak yang
uminya pasti menyukai gadis itu.
“Uish, lebih dari sesuai. Umi suka sangat!” Gembira sekali
Umi Hasnah ketika menuturkannya.
“Itu jugak yang Hajar nampak masa pertama kali jumpa dia,”
beritahu Hajar. Matanya dan Umi Hasnah memang macam ada kuasa tambahan dalam
memerhatikan dan menilai seseorang.
“Umi jarang suka orang secepat ini. Kita terus pinang ajelah
si Safi ni,” saran Umi Hasnah pula. Tiba-tiba dia bagai tidak sabar hendak
bermenantu.
“Hish umi ni… sabarlah dulu. Elok-elok Safi nak kerja dengan
Hajar, karang terus berhenti pulak.”
“Ni, adik bertuah tu ada kat ofis ke?” tanya Umi Hasnah pula
sebaik teringat anak bongsunya itu.
“Dunia dia, kan ofis dan rumah aje? Takkan tak kenal lagi
perangai anak manja umi tu,” balas Hajar.
“Kalau cakap anak manja, orang mesti ingat budak kecil lagi.
Sekali bila tengok, hmm… macam tak percaya,” tutur Umi Hasnah pula mengingatkan
anak bujangnya.
“Hajar pun tak faham dengan adik tu. Macam tak ingat masa
depan,” komen Hajar.
“Kali ni, apa pulak pelan Hajar?” Tidak sabar Umi Hasnah
hendak tahu.
“Nanti-nantilah umi. Biar lambat, asal selamat.” Buat masa
ini, dia memang tidak ada rancangan lagi.
“Okey. Kali ini, apa pun pelan Hajar, umi akan setuju aje,”
balas Umi Hasnah.
“Tapi tulah… anak bujang umi tu dah kalah batu!” sungut Hajar
pula.
“Tak apa, kalau tiap-tiap hari ada air menitis, lekuk jugak
akhirnya.”
“Kalau nak tunggu batu tu lekuk, memang berjanggutlah!” balas
Hajar pula.
“Kita tak boleh putus asa,” ujar Umi Hasnah. Selama ini pun
dia tidak pernah berhenti berdoa untuk anaknya itu.
“Harap-harap lepas ni ada perubahan.” Hajar juga mengharapkan
sesuatu yang lebih positif.
“Kalau selepas ni ada apa-apa perkembangan, kena beritahu umi
tau,” pesan Umi Hasnah.
“Bisa diatur!” balas Hajar dengan ceria.