SETELAH
siap melipat baju, Aisarah ke dapur membuat air Milo untuk dirinya dan
Arif Zikri. Hari ini mereka minum petang dengan biskut kering sahaja.
“Minum bang,” pelawanya ketika meletakkan dulang di atas
meja.
“Oh! Terima kasih, sayang. Macam tau-tau aje abang dah haus.”
Aisarah sekadar tersenyum.
“Apasal lain macam aje senyuman isteri abang ni?” usik Arif
Zikri.
“Kenapa? Tak boleh senyum lain macam sikit?” gurau Aisarah
pula.
“Kalau dah senyum macam ni, mesti ada makna, kan?” Arif Zikri
faham sangat tabiat Aisarah yang satu itu.
“Tak ada la… abang tak ada ke kawan baik yang boleh
dijodohkan dengan Safi?” tanya Aisarah.
“Hmm…” Rupanya hal itu yang isterinya fikirkan. “Kita pun
tahu Safi tu macam mana, kan? Dia bukan suka orang lain aturkan hidup dia,”
balasnya.
“Abang tak kesian dengan dia?” tanya Aisarah sambil memegang
lengan suaminya.
“Abang bukan setakat kesian. Sayang sendiri tahu macam mana
kasih abang pada dia. Sampai masanya nanti, jodoh tu akan datang sendiri,”
balas Arif Zikri.
“Kalau tak cari, mana nak jumpanya?” Aisarah bersuara lagi,
tidak begitu setuju dengan alasan yang suaminya berikan.
“Sebelum ni, abang pernah cari sayang ke?” Arif Zikri
bertanya lembut. Tangan isterinya diraih lalu dikucup.
“Memanglah tak sebab saya dah ada di depan mata abang!”
Arif Zikri tertawa dengan jawapan spontan Aisarah. “Kita
kahwin sebab sayang sudah tertulis sebagai jodoh abang. Tak payah bercinta
sakan sebelum kahwin,” tutur Arif Zikri.
“Kita lain…” dalih Aisarah. Kes mereka langsung tidak sama
dengan Safi.
“Apa yang lainnya, hmm…?”
“Walaupun kita bercinta selepas kahwin, tapi kita awal-awal
lagi memang dah kenal.”
“Sebenarnya, bukan abang tak boleh carikan jodoh untuk Safi. Tapi
tulah, bukan senang nak cari lelaki yang benar-benar sayangkan Safi seperti
kita berdua sayangkan dia,” terang Arif Zikri.
“Kalau macam tu, susahlah! Kita kena beri peluang kat sesiapa
jua pun, sama macam kita dulu. Ingat kita boleh bahagia macam tu aje?” komen
Aisarah pula.
“Abang lebih rela Safi cari sendiri. Lainlah kalau abang
cukup yakin lelaki itu boleh bahagiakan dia. Abang tak nak disebabkan kita, dia
merana.” Arif Zikri menyatakan pendiriannya agar isterinya mengerti.
“Payah jugak kalau macam tu.”
“Sebab tu kita kena tunggu dan lihat aje. Tak payah
susah-susah nak sibuk pasal jodoh Safi.”
“Saya kesiankan dia…” luah Aisarah.
“Nak buat macam mana? Laluan kita dengan dia tidak sama.
TUHAN permudahkan kita, tetapi tidak buat Safi. Kita kena terimalah.”
“Apa yang abang cakap tu memang betul, tapi kita kenalah bantu dia jugak.”
“Susahnya nak bercakap dengan isteri abang ni. Nasib TUHAN
buat hati dan otak lelaki tidak sama dengan perempuan!”
“Ni abang nak mengutuk saya pulak, ya?” Aisarah sudah buat
muka merajuk.
“Tak adalah. Abang cuma nak cakap yang lelaki dan perempuan
bertindak dengan cara berbeza. Perempuan banyak ikut emosi, lelaki pulak banyak
berpandukan akal fikiran. Tu yang kepala cepat botak.”
“Jadi, apa kita nak buat kes Safi ni? Kalau boleh saya naklah
tengok dia gembira dan bahagia macam orang lain.”
“Kalau ada lelaki yang sayang Safi melebihi abang sayang dia,
abang sendiri akan tolong pinang lelaki tu,” tutur Arif Zikri.
“Okey…”
“Kenapa diam pulak? Sayang cemburu ke?”
“Mana ada? Safi dah pilih saya untuk gantikan tempat dia,
perlu apa saya nak cemburu?” balas Aisarah pula.
“Sebab itu jugak abang sayang korang berdua. Memang susahlah
nak jumpa sahabat baik sehati sejiwa ni,” puji Arif Zikri.
“Saya pun bersyukur jugak dapat suami seperti abang. Memang
satu dalam berjuta.”
“Dulu, macam mana sayang boleh terima abang?” Tiba-tiba Arif
Zikri ingin tahu pula. Selama ini, dia hanya simpan sahaja soalan itu.
“Memang susah nak cakap. Saya yang perkenalkan abang kat
Safi. Kisah cinta abang dengan dia, semuanya saya tahu. Alih-alih, abang dan
dia tak jadi kahwin pulak. Sebaliknya saya yang kena gantikan tempat Safi.”
“Macam terpaksa aje.”
“Abang ingat senang ke saya nak buat keputusan dalam masa
yang singkat? Apa pun keputusan yang saya ambil, semuanya berisiko. Dahlah
terang-terang bulan saya tahu hanya Safi di hati abang!”
“Kalau diingatkan balik, memang susah nak percaya bermacam
yang kita lalui bersama,” tutur Arif Zikri sambil memandang lembut wajah wanita
yang amat dikasihinya.
“Abang pulak, macam mana boleh terus setuju aje?”
“Tentulah abang minta pertunjuk ALLAH. Bukan sekali abang
solat istikharah. Setiap kali, memang wajah sayang yang abang nampak.”
“Betul ke? Sebelum ini tak cerita pun.” Hati Aisarah berbunga
mendengarnya.
“Takkanlah abang nak cerita kat semua orang. Memang abang
sayang sangat dengan Safi, tapi TUHAN dah gantikan dengan jodoh yang lebih baik
untuk abang.”
“Terima kasih kerana sudi ambil saya sebagai isteri abang dan jadi ayah yang terbaik untuk
anak-anak kita,” ucap Aisarah.
“Sama-sama. Eh, kenapa
rumah kita ni sunyi sepi je?” tanya Arif Zikri. Selalunya riuh-rendah
mengalahkan orang beranak sepuluh!
“Lupa ke yang hero dan heroin abang tu ikut Safi
berjalan-jalan? Abang ni…”
“Aduhai… macam mana boleh terlupa? Tapi, anak kecik kita mana?”
Tiba-tiba Arif Zikri berasa cemas sebaik menyedari anak bongsunya tiada
bersama. Selalunya asyik berdukung dengan ibunya.
“Tulah orang lelaki, bercakap bukan main lagi tapi asyik
terlupa jugak. Bukan tadi abang tidurkan dia kat bilik ke?” soal Aisarah.
“Tak baik kutuk suami sendiri. Kecik hati abang...” Arif
Zikri merapatkan wajahnya ke wajah Aisarah.
“Sorry…”
cepat-cepat Aisarah mohon ampun. Andai suaminya sudah merajuk, susah juga dia
hendak memujuk balik.
“Hmm… tiba-tiba abang rasa nak baring kat bilik la. Jom
temankan,” ajak Arif Zikri pula.
Aisarah mengikut sahaja. Dia pun mahu merehatkan diri.
Pembantu rumah sambilan yang selalu datang pada hujung minggu tidak dapat
datang pula. Itu yang dari pagi ada sahaja kerja yang Aisarah kena lakukan.
Baru separuh jalan, mereka telah dikejutkan dengan bunyi hon
kereta. Arif Zikri dan Aisarah saling berpandangan.
“Aduhai… baru nak rehat shif petang, dah kena sambung buat
kerja,” keluh Arif Zikri.
“Hish abang ni, tak baik cakap macam tu! Dia orang tu anak-anak
abang tau. Saya lagi penat mengasuh mereka sejak lahir,” marah Aisarah.
“Ayah, ibu… tengok apa yang Mama Safi beli untuk kita orang.”
Di muka pintu Aireen sudah tidak sabar hendak menunjukkan hadiah yang Safi
belikan untuk dirinya. Seronok sungguh dia apabila Safi belikan anak patung
barbie. Begitu juga dengan Wafa.
“Safi ni… jangan manjakan sangat budak-budak ni,” tegur
Aisarah.
“Tak apa la. Anak-anak akak, anak-anak Safi jugak…” balasnya.
“Betullah tu. Tapi suami akak, suami akak sorang aje, ya?”
gurau Aisarah untuk menceriakan suasana.
“Ceh! Apa la akak ni… bagi free pun Safi tak nak!” Safi juga turut mahu bercanda selepas penat
melayan kerenah anak-anak Aisarah.
“Amboi, bagi free pun tak nak, ya? Dulu abang jugak yang Safi
kejar, kan?” perli Arif Zikri pula. Dia juga tidak mahu ketinggalan.
“Apa yang free, ayah?” tanya Yusof yang tidak
faham dengan apa yang sedang dibualkan. Safi ada belikan buku cerita untuk
dirinya kerana dia tidak begitu gemar membeli barang mainan.
“Abang budak kecik, jangan menyampuk bila orang tua bercakap.”
Pantas Arif Zikri menegur, nanti lagi banyak soalan yang akan keluar dari mulut
comel anaknya. Tidak larat hendak menjawabnya.
“Abang tanya aje…” Yusof sudah mencebik.
“Alahai anak ayah ni, dah besar pun nak merajuk jugak. Jadi
anak lelaki kena macho selalu, baru boleh jadi ketua keluarga.” Arif Zikri
segera memujuk dan memeluknya.
“Macho tu apa, ayah?”
“Tak apalah, lain kali ayah jawab.” Arif Zikri sengaja mahu
mengelat.
“Abang ni teruk betullah! Bukan susah nak jawab pun,” tegur
Safi pula. Hari ini dia memang gembira dapat keluar menghiburkan hati dengan
anak-anak Aisarah dan Arif Zikri.
“Abang bukan apa, nanti kena jawab soalan-soalan iringan.
Yusof ni sebiji ikut perangai ibu dia.”
“Tengok tu, abang ni asyik nak kutuk saya aje,” sungut
Aisarah. Dia memang berasa segan dengan Safi.
“Okey… Safi faham. Asalnya nak tanya dah makan ke belum. Kalau
jawab belum, mesti akak tanya kenapa, kan? Kalau dah, mesti akak tanya, makan
kat mana, makan apa, makan dengan siapa. Betul tak?” duga Safi dengan gaya-gaya
Aisarah sekali.
“Tau tak apa,” balas Arif Zikri.
“Alah, akak banyak tanya sebab prihatin. Lagipun akak nak
berbual dengan siapa lagi kalau bukan dengan abang Safi yang sorang ni?” Kini
Aisarah pula terasa hati.
“Aduhai… kesian pulak Safi mendengarnya. Abang tulah, tak nak
faham perangai isteri sendiri,” komen
Safi pula.
“Sebab faham sangatlah sampai anak berderet-deret!” balas
Arif Zikri kemudian tertawa.
Aisarah yang geram terus mencubit lengan suaminya
berkali-kali.
“Dah… dah! Sakit sayang oii,” jeritnya.
“Buat orang merajuk lagi!” marah Aisarah.
“Macam-macamlah ayah dan ibu Yusof ni!” komen Safi. Begitupun
dia turut berasa gembira dengan telatah mereka sekeluarga.