Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 10

“ASSALAMUALAIKUM…” Seseorang memberi salam kepada Safi yang sedang leka membuat kerjanya. Semalam, langsung tiada sesiapa pun yang datang menjenguk pejabat Hajar. Ini, kira tetamu kedua semenjak dia memulakan tugas.

“Waalaikumussalam,” balas Safi sambil memandang lelaki yang menegurnya.

“Boleh saya tanya sesuatu?” soal lelaki itu sambil matanya menghala ke bilik Hajar.

“Ya, apa dia pak cik handsome?” Spontan ayat itu terucap. Seketika mata Safi juga seakan tidak mahu berkelip. Nasib ketika ini dia berkaca mata hitam.

“Apa?” Lelaki di hadapan Safi sudah terkejut mendengar panggilan buat dirinya.

Safi segera menutup mulutnya sebaik tersedar dia sudah terlepas kata. Dalam hati berkali-kali dia menyumpah diri sendiri. “Ops… ada apa saya boleh bantu, encik?” Segera Safi bertanya balik.

“Saya ni nampak dah tua sangat ke?” soal lelaki itu pula sambil membetulkan jaket yang dipakainya.

“Maaf sekali lagi, saya tak sengaja. Tadi pun ada pak cik yang datang bertanya, tu yang boleh tersasul. Lagipun saya terpaksa pakai kaca mata hitam ni sebab mata saya merah.” Ada sahaja alasan Safi untuk menyelamatkan dirinya, kononnya pandangan matanya tidak berapa jelas.

“Habis tu, kenapa tak ambil MC aje?” Lelaki itu turut memandang Safi.

“Nak buat macam mana, saya baru dua hari kerja kat sini. Takkan nak ambil MC?”

“Nanti berjangkit pulak kat orang lain, lagi susah,” balas lelaki itu pula.

“Insya-ALLAH tak,” jawab Safi dengan yakin.

“Ni, saya nak jumpa Puan Hajar. Dia ada?” Lelaki itu terus menyatakan tujuan asalnya ke situ.

“Maaf encik, dia ada mesyuarat kat luar. Encik ada janji temu dengan dia ke?” Safi inginkan kepastian. Setahunya Hajar tiada janji temu dengan sesiapa.

“Pukul berapa dia balik ofis?” soal lelaki itu pula tanpa mempedulikan pertanyaan Safi.

“Lepas lunch kut. Tapi tak tahu pukul berapa,” jawab Safi bersahaja.

“Awak PA dia, takkan tak tahu?” Tiba-tiba wajah lelaki itu berubah serius pula.

Aduhai… karang ada jugak yang kena simbah dengan air kopi. Safi menahan geram dalam hati dan menarik nafas dalam-dalam. Nasib baik segak.

“Awak tak dengar ke apa saya cakap?” sergah lelaki itu.

“Encik… kalau saya dah lama kerja kat sini, logiklah semua benda saya tahu. Ni, baru hari kedua saya bertugas.” Safi menjawab pertanyaan lelaki itu dengan rasa berbuku di hati. Nasib dia masih boleh bersabar.

“Hmm.. lepas ni kerja elok-elok, jangan nak tuang pulak bila bos tak ada.” Selamba badak lelaki itu memberi nasihat kepada Safi.

“Saya orang, bukannya air yang boleh dituang-tuang!” Sengaja Safi mencari pasal dengan lelaki di hadapannya. Siapa pun pasti akan geram apabila disindir begitu. Lainlah kalau diri itu bos besar di pejabat ini.

“Bukak kaca mata awak sekarang!” Tiba-tiba lelaki itu memberi arahan pula.

Terkejut Safi mendengarnya. “Tak payahlah, nanti jangkit kat encik pulak.” Safi segera memberi alasan. Tiba-tiba dia perasan sesuatu dan hatinya berasa kecut sekali.

“Saya kata bukak. Ikut arahan saya atau saya pecat awak!”

Ugutan lelaki itu buat Safi berasa cuak. Pasti sahaja dia bukan calang-calang orang andai sudah berkata begitu. “Okey… okey…” Safi terpaksa membuka kaca matanya, namun dia sengaja memejamkan matanya.

“Tunjuk kat saya mata awak yang merah tu,” arah lelaki itu lagi.

Mahu tak mahu Safi terpaksa mengikut arahannya. Perlahan-lahan, dia membuka matanya yang sejak semalam lagi sudah merah.

“Awak?!” Lelaki itu sudah terjerit.

Safi juga sama terkejut dan terus menutup mulutnya dengan kedua belah tangan.

“Apa kecoh sangat ni?” soal Hajar yang kebetulan sudah tiba di pejabatnya.

Safi hanya mampu mengangkat bahunya.


IDAN sudah berang. Sebentar tadi, dia memang terkejut sebaik mengetahui siapa yang menggantikan Mila, pembantu peribadi kakaknya yang telah berhenti kerja.

“Duduklah dulu,” jemput Hajar. Tahu sangat kenapa adiknya naik angin. Dia baru sahaja balik dari mesyuarat, adiknya sudah datang bertandang.

Idan masih berdiri sambil menyilang tangannya. Mereka hanya dua beradik. Hajar adalah kawan berbincang dan bertengkar juga. Setiap hari ada sahaja isu yang sering membuat mereka berdua tidak sehaluan.

“Akak memang sengaja, kan?” Mata Idan tunak memandang kakaknya.

“Apa yang sengaja?” Hajar pura-pura buat tidak faham maksud adiknya.

“Pasal budak tulah! Siapa suruh akak ambil dia bekerja dengan kita? Saya awal-awal dah reject dia!” Sedikit meninggi suara Idan.

“Dia bukan budak! Nama dia Safi Awadah. Manis orangnya, seindah namanya.” Dalam memerli, Hajar sempat memuji pembantu peribadi baharunya.

“Huh!” Idan merengus.

“Paling penting dia ada kelulusan dan memang layak pegang jawatan tu. Tak nak duduk ke?” sambung Hajar sambil meraup wajahnya. Penat menghadiri mesyuarat belum habis, kini kena menghadap kerenah adik kesayangan pula. Terpaksa sayang sebenarnya!

Akhirnya Idan menghenyakkan dirinya di kerusi di hadapan meja kakaknya.

“Lagi satu, mana akak tahu siapa yang datang temu duga di pejabat Idan. So, jangan nak marah-marah tak tentu pasal,” tegur Hajar.

“Alasan! Akak dah ada senarainya dan dah tengok resume calon-calon tu.”

“Betullah tu, tapi akak tak ada semasa Idan menemu duga dia. Mana akak tahu siapa yang Idan ambil dan siapa pulak yang kena reject,” balas Hajar.

“Habis tu, macam mana akak boleh ambil dia bekerja pulak?” soal Idan pula.

“Okeylah, akak berterus-terang aje dengan adik nan sorang ni. Akak hampir terlanggar dia dan nak belanja dia makan kat restoran. Pada masa yang sama dia bercerita pasal dia gagal temu duga tanpa sebab. Dah dia memenuhi kriteria yang akak nak, buat apa akak nak lepaskan?” Hajar memberikan alasannya.

“Melalui cerita dia, akak dah tahu saya reject dia, kan?” Mata Idan sudah terjegil.

“Akak tak fahamlah dengan Idan ni. Ini bisnes dan kita kena rembat apa sahaja yang bagus di hadapan mata.” Hajar mempertahankan tindakannya.

“Tapi kenapa dia?” Idan masih tidak berpuas hati.

“Safi Awadah tak ada cacat celanya duhai adik kusayang…” Hajar cuba mengawal suaranya. Memang tipulah andai langsung tidak berasa bengang dengan adik bertuahnya ini.

“Tapi saya tak suka!” tegas Idan, geram.

“Tak adil Idan buat begitu kat dia. Kesian tau, dia tu dahlah hidup sebatang kara. Besar tau pahalanya dapat menolong anak yatim ni.”

“Sempat pulak dia bercerita asal usul bagai? Dia dah besarlah kak, orang dah tak panggil anak yatim!”

“Tak kiralah,” balas Hajar.

“Sebenarnya akak memang ada niat lain, kan?” duga Idan.

“Niat apa? Akak pun perlukan pembantu untuk tolong uruskan bisnes kita.”

“Itu hanya alasan akak!”

“Suka hati Idanlah nak fikir apa pun. Akak dah ambil dia bekerja. Dia staf akak dan Idan tak ada hak nak tentukan siapa akak nak ambil,” tegas Hajar.

“Baik!” sebut Idan lalu bangun dan melangkah keluar dari bilik Hajar.

Hajar hanya mampu mengeluh dengan tingkah adiknya. Dia sebenarnya sudah bosan dengan sikap Idan yang tidak mahu berubah. Orang lain pun ada masalah juga, tetapi tidaklah sampai tidak boleh diselesaikan langsung.

Sebetulnya Idan ini bukannya ada masalah besar sangat dalam hidup, tetapi sengaja mencari masalah! Perkara kecil suka diperbesar-besarkan. Benda yang sudah tidak ada dan patut dilepaskan, masih mahu digenggam pula.

Hajar amat pasti tiada yang akan tahan dengan sikapnya. Ego, tidak boleh ditegur dan bermacam lagilah. Memang malanglah nasib perempuan yang akan menjadi isterinya. Bukan setakat tiap-tiap menjeruk rasa, tidur pun pasti tidak lena!

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.