“INA… kau rasa kan, apasal Encik Idan tu perangai semacam?”
tanya Safi sambil menikmati sarapan pagi.
Hari ini mereka berdua datang awal ke pejabat dan
berkesempatan bersarapan di restoran. Selalunya makan nasi lemak di pantri
sahaja.
“Percayalah cakap aku,
Encik Idan jadi macam tu sebab perempuan.”
“Maksud kau, ada kaitan dengan tunang dia ke?” soal Safi
kemudian sambung menyisip air kopinya pula.
“Hah la.”
“Sebenarnya apa yang berlaku kat tunang dia? Hari tu kau
cerita tak habis kat aku,” tanya Safi lagi. Selagi tiada yang bercerita, susah
juga dia merancang strategi mengurat adik bosnya itu.
“Sebenarnya aku pun tahu sikit aje,” akui Ina dan meneruskan
suapan.
Nasi lemak memang kegemarannya, tidak kira lauk apa. Waktu
pagi perlu mengisi perut agar dapat membekalkan tenaga sewaktu bekerja.
Walaupun ramai yang mengatakan selepas makan nasi lemak pasti mengantuk,
perkara itu tidak pula terjadi kepada dirinya.
“Yalah, sikit tu apa dia?” Pagi-pagi ini buat Safi geram pula
dengan gelagat si Ina ini.
“Macam yang pernah aku beritahu kau, sudah dua kali jugak dia
tak jadi kahwin.”
“Sebab apa? Putus tunang atau ada benda lain yang berlaku?”
Tidak sabar Safi hendak tahu.
“Entahlah, nak cakap pun tak berani, takut tersalah. Tunang
dia yang pertama aku tak ingat sangat sebab masa tu aku tak kerja kat sini
lagi.”
“Tak sangka pulak aku, dalam kerek dia, bertunang lebih dari sekali!”
Safi tertawa kecil.
“Nama kedua-dua tunang Idan ni pun dekat-dekat nak sama. Kalau tak silap, macam nama Permaisuri Johor,”
beritahu Ina lagi.
“Zarith Sofia?”
“Ha’ah. Tunang yang pertama tu Zarith Sofia rasanya. Yang
kedua pulak, Zarith apa entah...”
“Kembar ke?” tanya Safi.
“Taklah, setahu aku binti lain-lain.”
“Hmm… nak buat macam mana, kan? Dah bukan jodoh dia orang
dengan Encik Idan tu. Nanti adalah perempuan sesat yang akan jadi jodoh adik
bos tu.”
“Aleh, cakap ajelah yang kau nak beritahu kaulah jodoh dia!”
perli Ina pula.
“Haha… lebih kuranglah!” Safi tersengih.
“Kau ni… jangan terlebih perasan boleh tak? Nanti kau jugak
yang kecewa.”
“Nak buat macam mana? Semenjak aku kerja kat sini, memang
hari-hari wajah abang seri tu menghiasi pandangan mata ini. Kalau bukan dia
yang naik ke atas, aku pulak yang turun ke pejabat dia.”
“Ke… kau ni dah kena sihir?” Ina tergelak.
“Hish! Sihir apa pulak zaman moden ni?” Safi mana mahu
percaya perkara khurafat macam itu.
“Dah serigala jadian, mesti ada kuasa tambahan buat kau asyik teringat kat dia aje,” gurau Ina.
“Gamaknya la. Tapi aku rasa macam dia pernah muncul dalam
hidup aku sebelum ni. Bukan sekali, tapi dua kali!” cerita Safi beria-ia.
“Kau ni, ada-ada aje!”
“Aku tak tipu. Bila dah lama-lama, aku rasa suara dia sangat familiar di pendengaran aku,” beritahu
Safi sambil kedua tangannya melekat di pipi.
“Kalau dah angau memang akan cakap macam tu!” kutuk Ina.
“Angau tu satu hal, hati aku memang terasa sesuatulah. Senang
cerita, di hati ini dah terasa Kush Kush
Hota Hai,” beritahu Safi sambil menyanyikan lagu Hindi itu walaupun cuma
sebaris.
“Lepas tu terus Dil Tol
Pagal Hai, ya? Hmm… cinta kau itu memang gila!” komen Ina.
“Betullah apa yang kau cakap tu.” Safi mengeyakan kemudian
ketawa kecil.
“Sekarang ni kau betul-betul jatuh cinta kat dia ke?” Sekejap
Ina berasa tidak logik pula dengan apa yang Safi alami. Ada ketikanya dia rasa seperti
ada sesuatu di sebaliknya.
“Jatuh cinta tu, tak lagilah. Cuma hati aku kuat mengatakan
yang aku patut membina cinta dengan dia.” Safi tersenyum simpul ketika
menuturkannya.
“Wah, wah, wah! Kenapa mesti dengan dia?” Ina semakin
berminat pula dengan cerita Safi.
“Macam yang selalu kita baca, jodoh kita biasanya mempunyai
sifat yang berlawanan dengan kita. Lagi susah kita nak rapat, lagi memberi
petanda.”
“Kau ni banyak sangat beranganlah!” tegur Ina. Padanya, semakin
menjadi-jadi pula perangai pelik Safi.
“Berangan dulu, baru boleh jadi kenyataan,” balas Safi pula.
“Eh, jomlah kita balik ofis. Dah dekat pukul sembilan ni.”
Sebaik perasan, Ina segera menghabiskan air minumannya.
“Yalah. Hari ini aku belanja.” Safi bermurah hati pula hendak
belanja rakan sepejabatnya itu
“Alhamdulillah...” ucap Ina.
MENGHAMPIRI
pukul dua belas tengah hari, Hajar menuju ke meja Safi yang tekun membuat
kerjanya. Itu yang Hajar suka tentang gadis itu. Suruhlah buat apa pun, dia
akan membuatnya dengan bersungguh-sungguh. Paling Hajar suka, dalam serius
menyelesaikan tugasan, Safi pandai sahaja membuat lawak bagi menceriakan suasana.
“Eh, Kak Hajar. Kenapa tak panggil Safi aje?” tanya Safi
sebaik menyedari kehadiran bosnya.
“Pukul dua belas nanti Safi pergi rumah umi. Jangan lupa
tapau nasi beriani sekali,” pesan Hajar.
“Akak tak balik sekali?”
“Tak, umi akak tu nak jumpa Safi. Rindu katanya.”
“La… macam tu ke? Saya pun rindu jugak nak jumpa dengan umi
akak tu,” akui Safi, bukan sekadar berbahasa.
“Petang nanti tak payah masuk ofis. Safi temankan umi akak
aje.”
“Kerja saya ni, macam mana?” soal Safi pula.
“Esok boleh aje sambung. Tak urgent pun, kan?”
“Karang Encik Idan kata saya curi tulang pulak.”
“Safi tak payah risaulah. Kalau Idan tanya, pandailah akak
jawab. Lagipun kerja tu staf dia yang patut buat.”
“Okeylah kalau akak dah cakap macam tu,” balas Safi dengan
senang hati.
Dia memang dari sehari ke sehari hendak berjumpa dengan Umi
Hasnah. Mengingatkan diri baru sahaja kenal wanita itu, tidak mahulah berlebih
pula. Walaupun Umi Hasnah pernah pelawa, lebih baik dia datang apabila ada yang
jemput.
Sebelum meninggalkan pejabat, Safi memastikan mejanya kemas
dan komputer juga telah dimatikan. Setelah berpuas hati, dia mahu segera pergi
ke restoran untuk membeli nasi beriani kegemaran Umi Hasnah. Safi tidaklah suka
sangat, namun setakat ini tekak dia memang boleh sahaja masuk semua makanan.
Ketika berada di lobi, terserempak pula dengan Encik Idan.
Ini yang Safi tidak berapa suka. Kalau lelaki itu bertanya, dia hendak jawab
apa? Takkan hendak beritahu perkara sebenar? Dia berkira-kira sendiri.
“Awal lagi nak lunch,
awak nak ke mana?” tegur Idan dengan wajah serius.
“Saya ada hal. Lagipun Puan Hajar dah beri kebenaran.”
Terkulat-kulat Safi beritahu Idan tanpa memandang wajahnya.
“Ada awak mintak kebenaran saya?”
“Saya kerja di bawah Puan Hajar, bukan dengan encik,” jawab
Safi perlahan. Tahu Idan tidak suka stafnya keluar pejabat atas urusan lain.
“Siapa sain cek gaji awak?” soal Idan lagi. Kali ini nada
suaranya sedikit meninggi.
“Maaflah encik Idan, saya dah lambat. Kalau encik Idan rasa
nak potong gaji saya, potong ajelah,” jawab Safi dan terus berlalu. Andai dia
masih di situ memang takkan terlepas.
Sekilas Safi menoleh kembali ke arah Idan. ‘La… dia masih kat
situ?’ desisnya dan sengaja melambai tangan ke arah lelaki itu.
Idan menjeling Safi tanda marah dan tidak suka perlakuan
gadis itu.
Safi terpaksa mengukir senyuman sehabis manis. Dia tidak
kisah meskipun tidak berbalas. Dia percaya suatu hari nanti pasti abang seri
akan teringatkan senyumannya itu.