SELEPAS
balik dari kerja, Hajar melepaskan lelahnya dengan berehat di sofa. Ada kalanya
dia berasa bosan juga kerana tinggal berjauhan suami dan anak tersayang. Mariam
Awadah, satu-satunya anak yang dia ada, kini sedang menuntut di Kolej Tunku
Kurshiah. Dua minggu sekali dia akan melawatnya untuk melepaskan rindu. Sekejap
sahaja, sudah lima belas tahun usia anak gadisnya itu.
Andai rindu dengan suami tercinta,
hanya mampu menghubunginya melalui telefon atau skype sahaja. Masuk tahun ini,
sudah hampir setahun Taufik bertugas di Dubai. Tiga bulan sekali baru suaminya itu
balik. Andai Hajar tidak sibuk, dia pula yang berkunjung ke sana.
Seketika dia memejamkan matanya dan
tersenyum sendiri. Safi Awadah, Safi Awadah! Kalaulah gadis itu tahu nama
akhirnya sangat bermakna buat adik bertuahnya, agak-agak apa dia rasa, ya? Dia
tertanya sendiri.
“Hajar,” sapa Umi Hasnah sambil meletakkan dulang di atas
meja kopi. Sebaik menyedari kepulangan anaknya, dia segera ke dapur untuk
buatkan air oren.
Hajar segera membuka mata. “Umi ni… kenapa susah-susah? Hajar
boleh aje buat sendiri.”
“Tak apalah, umi pun nak basahkan tekak jugak,” balas Umi
Hasnah sambil mengambil tempat di sebelah anaknya.
“Terima kasih umi kusayang,” ucap Hajar kemudian menyisip air
oren yang uminya sediakan.
“Nampak ceria aje anak umi ni. Encik suami nak balik ke?”
duga Umi Hasnah.
“Taklah…”
“Habis tu, kenapa dari tadi senyum memanjang? Tak nak kongsi
dengan umi ke?” Hanya selepas anak-anak pulang dari pejabat, barulah Umi Hasnah
ada teman berbual. Walaupun ada bibik, pembantu rumahnya itu sentiasa ada kerja
yang perlu diselesaikan.
“Kira berita baik jugak la,” beritahu Hajar.
“Ni mesti ada kaitan dengan Idan.”
“Mestilah! Langkah pertama sudah berjaya diatur,” beritahu
Hajar bagi menggembirakan uminya.
“Itu yang umi nak dengar. Apa reaksi Idan?” Bersungguh Umi
Hasnah hendak tahu.
“Macam biasalah! Dia memang boleh agak dan dapat baca, tapi
Hajar bagi alasan yang konkrit kat dia.”
“Maknanya dia tak bangkang Safi terlibat dengan projek kat
Johor Bahru tu?”
“Nak tak nak dia kena akur dengan keputusan kakak dia. Mana
boleh lawan cakap orang tua!” beritahu Hajar sambil tersengih.
“Lepas ni, apa pulak?” Umi Hasnah berasa lega mendengarnya.
Minggu lepas Hajar sudah beritahu pasal pelan A yang akan dimulakan.
“Umi jangan risau, rancangan kita akan jadi lebih mudah,”
beritahu Hajar dengan yakin sekali.
“Ya ke? Safi suka kat anak bujang umi tu ke?” Wajah umi
Hasnah bercahaya mendengar pelan yang dirancang berjalan lancar.
“Hajar tak berani cakaplah. Tengok cara dia menangani kerenah
anak manja umi tu, lagi senang kerja kita.” Hajar memang tidak boleh lupa lawak
spontan yang Safi buat. Memang kena dengan batang hidung Idan!
“Sebelum terlupa, bila tarikh percutian bersama staf ke New
Zealand tu?” tanya Umi Hasnah pula.
“Lagi dua bulan. Kenapa umi?”
“Jangan lupa masukkan nama Safi,” suruh Umi Hasnah.
“Yang itu susah sikit la, Safi baru aje kerja. Staf yang
terpilih pun cuma pengurus kanan dan beberapa staf senior. Nanti ada pulak yang
tak puas hati, lebih-lebih lagi anak umi tu, ” jelas Hajar. Dirinya hampir
terlupa pula pasal hal itu.
“Safi tu, kes lain. Umi sudah ada jawapan kalau Idan bangkang,”
balas Umi pula.
“Amboi, mahu tunjuk kuasa veto!” usik Hajar.
“Bila lagi nak guna? Lagipun banyak alasan umi boleh bagi
untuk Safi ikut sama. Staf lain tak boleh nak pertikaikan keputusan umi.”
“Aduhai… apa pulak yang umi nak rancang masa percutian di New
Zealand tu nanti?” tanya Hajar. Ingatkan uminya tidak ada pelan apa-apa.
Rupanya sudah jauh ke hadapan.
“Tak ada la apa-apa. Yang penting umi perlukan teman sebilik
yang kena tengokkan umi, temankan umi dan macam-macam lagilah.” Umi Hasnah
tersenyum meleret. Angan-angannya memang sudah panjang.
“Huhu… beruntung sungguh Safi Awadah! Belum jadi menantu,
sudah jadi kesayangan Umi Hasnah. Hebat!”
“Entahlah, dalam hati ini, memang kuat mengatakan Safilah
orangnya,” tutur Umi Hasnah. Dalam doanya sentiasa ada nama gadis itu. Amat
mengharapkan TUHAN makbulkan hajat di hatinya.
“Umi janganlah terlalu berharap, karang kecewa lagi.” Hajar
mengingatkan uminya.
“Kali ini umi memang yakin sangat. Kalau tak hujung tahun ni,
awal tahun depan Idan bernikah dengan Safi.”
“Amboi umi… biar betul? Kita pun tak tahu tuan punya badan
macam mana.”
“Percayalah cakap umi, macam mana susah pun laluannya,
akhirnya menantu umi pasti Safi Awadah jugak!” ujar Umi Hasnah dengan penuh
yakin.
“Umi… umi...” Hajar sendiri sudah tidak tahu hendak berkata
apa. Dengar dek orang lain, lagilah mereka menuduh yang bukan-bukan. ‘Baru
berjumpa sekali, sudah mahu dijadikan menantu? Melampau sungguh umi aku ini!’ desisnya,
tetapi dia pun suka juga andai Safi menjadi adik iparnya.
“Ni, bila nak ajak Safi datang sini?” tanya Umi Hasnah pula.
“Esok boleh aje Hajar suruh dia tapau nasi beriani dan hantar
kat umi. Sampai petang Hajar bagi dia temankan umi!” beritahu Hajar yang faham
sangat keinginan uminya. Sudah rindulah tu!
“Sungguh ke ni?” Senyuman di bibir Umi Hasnah semakin
melebar.
“Umi punya pasal, apa sahaja anak umi ini sanggup lakukan!”
janji Hajar dengan bersemangat.
“Alhamdulillah…” ucap Umi Hasnah dan terus memeluk anak
sulungnya.
“Tapi umi, kalau Idan tahu pelan kita ni, macam mana?” Hajar
meluahkan kerisauannya.
“Tak payah nak fikir sangatlah. Sekarang ni pun tentu dia dah
boleh agak, kan?”
“Hajar bukan apa, nanti kesian pulak dengan si Safi tu. Kita
macam ambil kesempatan kat dia.” Tiba-tiba Hajar berasa serba salah pula.
“Kita bukan ambil kesempatan, kita nak ambil dia jadi ahli
keluarga kita! Insya-ALLAH semuanya akan okey. Umi tahu perempuan macam mana
yang Idan suka. Walaupun berpuluh kali dia tak mengaku, umi faham sangat
perangai dia.”
“Lega sikit hati ini bila umi dah cakap macam tu.” Hajar
tersenyum memandang uminya. Sudah lama uminya tidak seceria hari ini. Semoga
apa yang diharapkan menjadi kenyataan. Doanya dalam hati.