Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 22

HARI ini Safi mengenakan tudung berwarna biru. Minggu lepas dia membelinya apabila tertarik dengan fesyen dua muka tudung itu. Lagipun hendak memakainya dan menggayakannya pun mudah.

Seperti biasa, sampai sahaja di pejabat dia akan memulakan tugas dengan semangat dan berwajah ceria. Mood pada waktu pagi akan menentukan moodnya sepanjang hari. Andai okey, semuanya akan berjalan lancar hingga ke petang.

Kalau pagi-pagi sudah kena sebiji dengan bos yang lagi seorang itu, memang dia akan mengambil masa juga hendak memulihkan semangatnya. Tapi, semenjak minggu lepas, dia sudah tidak kisah sangat. Lagi suka andai dapat menyakat abang seri itu.

Tambahan pula, dia cukup suka perhatikan lelaki itu ketika dia datang berjumpa Hajar. Idan ini memang segak orangnya. Pakai baju fesyen apa pun nampak bergaya. Safi sebenarnya tidak kisah pun kena jeling tiap-tiap hari. Kalau boleh memang dia selalu mahu terserempak dengan lelaki itu di lif, pantri atau di mana-mana sahajalah.

“Rajin nampak?” Ina yang dilanda kebosanan datang menyapa Safi. Di pejabat Hajar ini tidak begitu ramai staf perempuan. Pengurus projek semuanya lelaki dan kebanyakan mereka berada di tingkat bawah.

Ada beberapa yang senior sahaja mempunyai bilik sendiri di pejabat Hajar. Apabila mereka keluar mesyuarat atau melawat tapak projek, tinggallah Safi dan Ina dan dua orang lagi pelukis pelan.

“Aku memang hari-hari rajin. Lebih-lebih lagi kalau disuruh buat sesuatu yang ada kaitan dengan abang seri.”

“Kau, kalau pasal dia memang tak payah disuruh!” perli Ina. Faham sangat dengan perangai Safi.

“Tengok jugak. Kalau datang malas aku, nak jawab panggilan telefon pun aku tak ingin.”

“Pukul sepuluh nanti ada mesyuarat. Kau masuk tak?” tanya Ina.

“Mestilah masuk. PA bos tu… kenapa kau tanya?”

“Tak adalah. Kalau kau tak masuk, ada kawan menyembang,” ujar Ina.

“Projek masuk berdentum-dentum, kau tak sibuk ke?” tanya Safi pula.

“Mahunya tak sibuk? Tapi kalau kerja di bawah Puan Hajar, tak adalah tension sangat.”

“Safi…” Tiba-tiba Kak Tun memanggilnya.

“Kenapa Kak Tun?” Terkejut Safi melihat Kak Tun yang kelihatan sedikit kelam-kabut.

“Hari ni Encik Idan buang tabiat pulak. Dah hari-hari minum air teh, kali ni dia nak minum air kopi dalam mesyuarat nanti. Mana akak nak gagau? Nescafe ada la.”

“Relaks kak. Akak buat aje air teh untuk orang lain. Saya akan tolong buat air kopi istimewa untuk dia. Nanti akak tolong hidang aje.”

“Kat pantri tu mana ada kopi?” balas Kak Tun pula.

“Saya memang ada bawa kopi dari kampung. Ni ha, kopi cap gantang. Mai dari Kedah dan susah nak jumpa kat Kuala Lumpur ni.” Safi menarik lacinya dan tunjuk kopi yang dia maksudkan.

“Huh lega!” Kak Tun mengurut dadanya.

“Kak Tun ni… memang kartunlah! Pasal kopi pun dah cemas semacam,” komen Ina.

“Nak buat macam mana? Kalau nak pergi beli kat kedai, bukannya dekat. Itupun belum tentu ada.”

“Kita orang faham Kak Tun. Lebih-lebih lagi kalau ada kaitan dangan Encik Idan,” ujar Ina.

“Tahu tak apa,” balas Kak Tun.

“Hmm… kau pulak, masih nak teruskan misi kau ke?” tanya Ina kepada Safi.

“Sekali menyeluk pekasam, biar sampai ke hujung lengan! Ini Safi Awadah, takkan buat kerja sekerat jalan.” Safi penuh yakin menuturkannya.

“Cayalah!” ucap Ina sambil tunjuk ibu jari tanda sokongan daripadanya.


MESYUARAT bulanan yang diadakan pada hari ini lebih kepada untuk mengetahui status terkini projek yang sedang dalam pembinaan. Setiap pengurus projek telah bersedia dengan laporan projek di bawah kendalian masing-masing.

Setakat ini tiada masalah besar di tapak pembinaan. Kontraktor yang dilantik memang pakar dalam bidang mereka. Andai ada masalah di tapak projek, mereka akan terus berurusan dengan resident engineer yang sepenuh masa bertugas di sana.

Pukul dua belas tengah hari, Hajar menangguhkan mesyuarat. Dia berasa amat gembira kerana semua projek mengikut jadual. Projek baharu pula banyak masuk. Paling penting tiada isu penangguhan projek atau kontraktor yang bermasalah.

“Idan dan Zahim nak keluar makan. Akak nak ikut atau nak tapau?” tanya Idan sebaik keluar dari bilik mesyuarat.

“Tapau ajelah. Tak kisah lauk apa pun.”

“Okey,” balas Idan sambil meletakkan fail pojek terbaharu di atas meja Safi. Fail itu memang disimpan di kabinet di pejabat Hajar. Tadi, dia meminjamnya.

“Saya, encik Idan tak tanya ke?” tanya Safi sambil buat muka kasihan.

“Awak pun nak tapau jugak ke?” tanya Idan. Selama ini, tidak pernah sesiapapun yang berani berpesan untuk belikan makanan.

“Apalah Encik Idan ni, tak nyonyalah kalau tapau untuk Puan Hajar aje. Saya pun buat kerja jugak!” Selamba sahaja Safi buat permintaan tanpa berasa segan.

“Apa awak sebut? Tak nyonya?” ulang Idan.

“Asyik sebut aci aje, sekali-sekala naklah panggil nyonya pulak,” jawab Safi sambil tersenyum.

Sepasang mata coklat Idan tajam merenung gadis di hadapannya. Memang dia hendak ketawa juga, tetapi segera ditahan.

Zahim dan Hajar sudah meledak tawa mereka. Memang lawak betul apa yang Safi sebutkan tadi.

Akhirnya Safi juga tertawa kerana tidak dapat menyimpan rasa kelakarnya. Apatah lagi melihat wajah Idan yang sudah bertukar persis binatang jadian itu.

Idan pula masih tunjuk muka serius dia, begitupun tetap comel pada pandangan Safi.

“Seronoklah dapat ketawakan saya, ya?” jeling Idan.

“Idan ni… dah alang-alang, apa salahnya tapau untuk Safi sekali?” tegur Hajar sebaik tawanya sudah reda. Naik semput juga apabila sudah terlebih ketawa.

“Betul tu! Bukan luak pun duit Encik Idan yang berkepuk-kepuk tu. Kalau hari-hari belanja saya, lagi mencurah-curah rezeki masuk.” Semakin berani pula Safi bersuara. Mentang-mentang Hajar ada di sebelah.

“Dah! Tak payah nak membebel macam mak nenek. Jom Zahim,” ajak Idan. Tidak pasal-pasal dia kena tapau lebih pula. Ni, lain kali mesti terkena lagi. Sempat juga dia bersungut dalam hati.

“Kelakarlah si Safi tu. Siapa dapat dia, pasti bahagia selalu!” komen Zahim. Geli sungguh hati dia mendengar lawak spontan gadis itu.

Idan tidak membalas apa-apa. Malas hendak berbicara lebih-lebih lagi pasal Safi.

“Kau ni dah kenapa?” soal Zahim sebaik menyedari tiada respons langsung daripada Idan.

“Kalau kau nak berbual dengan aku, cerita pasal benda lain,” tegas Idan.

“Yalah, Encik Idan Jauhari,” balas Zahim. Melihat reaksi pada wajah Idan, Zahim beralah sahaja. Tidak mahu menambah rasa geram di hati sepupunya itu.

“Nah kunci, aku tak ada mood nak memandu.”

Tanpa bantahan, Zahim menyambut kunci yang Idan hulurkan. Bukan tidak biasa, malah selalu juga dia jadi pemandu tidak rasmi kepada Idan.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.