HAJAR melangkah masuk ke bilik Idan yang sedia terbuka.
Seperti selalu, dia terus sahaja duduk tanpa adiknya pelawa. Tidak perlu
bertanya sama ada Idan sibuk atau sebaliknya.
Idan segera berhenti meneliti dokumen di tangan sebaik
menyedari siapa yang berkunjung ke biliknya.
“Idan dah baca kertas cadangan yang akak bagi hari tu?” soal
Hajar mengenai projek yang sedang syarikat mereka usahakan.
“Hmm…” Idan melonggarkan ikatan tali lehernya. Tiba-tiba
berasa tidak selesa pula kerana agak ketat.
“So, macam mana?”
Tidak sabar pula Hajar hendak tahu komen daripada adik kesayangan.
“Not badlah… siapa
yang buat?” tanya Idan sambil mengemas mejanya yang sedikit berselerak.
“No bad aje?” soal
Hajar sambil mengerut dahi. Bukan itu yang dia hendak dengar daripada Idan.
“Okeylah, ianya sangat bagus.” Terpaksa juga dia memuji hasil
kerja staf di bawah kakaknya.
“Macam tulah, bukan susah sangat nak puji pun,” perli Hajar.
Masak sangat dengan perangai Idan yang payah hendak memuji orang lain. Padahal,
bukan rugi pun. Orang yang dipuji pasti habis hati dan akan berusaha membuat yang
lebih baik lagi.
“Apasal kali ini macam lain dari yang biasa? Sebenarnya siapa
yang buat?” Semalam, ketika menelitinya memang dia berasa kagum. Kalau dirinya adalah
klien, dia akan terus luluskan tanpa
banyak soal. Kertas cadangan yang mereka sediakan sebelum ini tidak selengkap
seperti yang ini.
“Tentulah bagus sebab gadis yang hebat tolong siapkan,” beritahu
Hajar sambil mengukir senyuman.
“Boleh tak, kalau akak tak berteka-teki?” Idan berasa kurang
senang pula apabila kakaknya asyik menyindir dirinya.
“Siapa lagi? Safi Awadah.”
“Dia yang buat semua tu?” Terkejut Idan mendengarnya.
“Ingat dia tu tak reti buat kerja ke? Untuk pengetahuan Idan,
dia jugak pernah berkerja dengan pemaju dan syarikat konsultan. Bukan buat
projek yang celah gigi, ya?” ujar Hajar.
“Kalau dia bagus sangat, kenapa berhenti pulak?” Idan berasa
bosan pula dengan kakaknya yang tidak habis-habis memuji gadis itu.
“Boleh tak adik akak ni tak berprasangka dengan orang lain?
Lagi satu, jangan pandang sebelah mata dengan Safi tu,” tegur Hajar.
“Yalah! Ni apa lagi yang akak nak bincang dengan Idan? Idan
ada banyak kerja nak buat.” Dia cuba mengelak agar kakaknya tidak terus-terusan
berbicara pasal gadis itu.
“Macam mana dengan projek kita dekat Johor Bahru tu?” Itulah
tujuan asal Hajar datang ke bilik adiknya di samping cuba menyelam sambil minum air.
“Bila-bila masa aje mereka akan panggil kita buat
pembentangan.” Idan yakin sangat dengan hal itu. Minggu lepas Encik Adam selaku
pengurus besar ada menghubunginya. Mereka cuma menunggu kata putus daripada Datuk
Kamal sahaja.
“Harap bos dia orang tak panggil mesyuarat pada saat terakhir.
Johor Bahru tu bukannya dekat, lainlah kalau kita sempat tempah tiket
penerbangan.” Hajar memang risau dengan perangai Datuk Kamal yang sesuka hati mengadakan
mensyuarat. Bukannya dia hendak mengambil kira masalah orang lain.
“Apa masalahnya? Kita boleh aje memandu ke sana kalau tak
naik kapal terbang.”
“Mesyuaratnya tak lama mana, nak pergi tu yang bercinta!”
Hajar meluahkan apa yang tidak dia gemari. Andai kena memandu, memang
memenatkan.
“Sebenarnya akak ada benda lain nak bagitahu Idan, kan?”
Melihat reaksi kakaknya, dia sudah dapat menduganya. Ini mesti ada apa-apa,
macamlah tidak biasa memandu ke sana.
“Betullah tu!” Hajar tertawa kecil. Adiknya dapat tangkap pun
niatnya.
“Hmm… apa dia?”
“Akak nak Safi terlibat dengan projek ni. Nanti kalau akak
ada hal lain, dia sedia maklum dengan semua perkara,” beritahu Hajar.
“Dah agak! Kalau kerja sebagai pembantu peribadi, buatlah
kerja yang biasa tu. Tahu sikit-sikit pasal projek, cukuplah. Buat apa akak nak
libatkan dia?” Idan sudah tidak puas hati. Tidak senang dengan cadangan
kakaknya.
“Idan jangan lupa, akak takkan sentiasa sibukkan diri dengan
berbagai projek. Akak ada suami walaupun dia tak ada kat sini. Anak akak yang
kat asrama, kena ambil berat jugak. Idan tak apalah, tak ada komitmen lain.”
Banyak sungguh alasan Hajar.
“Zahim, kan ada?” balas Idan pula.
“Idan ni memang tak bertimbang rasa langsung! Sekarang ni pun
dia dah handle banyak projek. Nanti
bila dah tak tertanggung, semuanya dia serahkan balik kat Idan. Masa tu baru
padan muka!” Hajar mengingatkan Idan yang terlalu bergantung kepada sepupu
mereka itu.
“Itu alasan akak aje. Akak memang ada niat lain, kan?” Wajah
Hajar direnung tajam.
“Terpulanglah apa yang Idan nak anggap. Sampai masanya, akak
pun hendak beri tumpuan pada rumah tangga akak. Akak dah penat nak fikir pasal
kumpul harta dan besarkan bisnes. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong
pulak berciciran.”
“Habis tu, takkan Idan nak handle sorang-sorang bisnes kita ni?” Perkara ini yang Idan tidak
suka. Dia masih perlukan khidmat kakaknya. Tiada orang lain yang dapat mengganti
tempatnya.
“Sebab tu kena latih staf yang ada ni untuk memudahkan semua
urusan. Kalau semua benda kita kena uruskan sendiri, penatlah!” tegas Hajar.
“Kita bayar dia orang, kak...”
“Bukan semua orang kejar gaji yang tinggi, Idan. Ingat mereka
tak ada impian sendiri? Mereka pun tentu nak ada syarikat sendiri. Takkan
selamanya kerja makan gaji?” bidas Hajar pula.
“Suka hati akaklah!” Idan sudah malas hendak bertekak pasal
hal itu.
“Okeylah, akak tak nak ganggu Idan.” Hajar terus bangun dan
berlalu. Apa yang dia hendak beritahu sudah disampaikan. Bercakap berhadapan
dengan Idan lebih mudah kerana akhirnya dia akan akur juga dengan keputusannya.
Idan memerhati kakaknya melangkah hingga hilang dari
pandangan. Apabila difikirkan semula, ada benarnya kata-kata Hajar. Namun,
hatinya tetap kuat mengatakan yang kakaknya ada tujuan lain.