Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,605
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

Bab 24

Fir juga berwajah sayu saat mahu melepaskan aku pergi. Tidak sudah dia mengingatkan agar aku menjaga diri. Keprihatinannya sangat aku hargai. Pastinya aku akan teringatkannya nanti. Tidak sangka, dalam beberapa hari saja, kami sudah menjadi begitu rapat dan serasi. Terlalu banyak budinya untukku dalam beberapa hari ini. Sehinggakan percutiannya dipenuhi dengan agenda melayani dan menemaniku saja. Semakin hampir waktu untuk berpisah, semakin Fir mengelak dari memandangku. Aku mula dapat mengesan perubahan itu.

“Fir sedih ya sebab Zaira nak balik?” Tegurku.

“Takkanlah tidak. Tapi, mana Zaira tahu?” Balasnya.

“Iyalah, Fir Asyik tak nak pandang Zaira aje. Selalu tu sikit-sikit pandang. Asyik-asyik jeling.” Ujarku meluahkan apa yang aku rasa sambil tersenyum tawar. Sengaja aku mengulang tentang hal ‘pandang’ dan ‘jeling’ itu untuk mengusiknya.

Fir tersenyum kecil mendengarnya. Tanpa menafikan kata-kataku Fir menunduk saja.

“Tengoklah tu, tak nak pandang Zaira lagi. Pandanglah sini.” Bidasku sambil memaksanya memandangku.

Bila bersamanya, aku rasa sangat selesa untuk menjadi diriku yang sebenar. Fir menggeleng sambil memandang ke arah lain.

“Kenapa?” Soalku.

“Takde apa.” Balasnya masih tidak mahu memandangku sambil menggeleng.

“Kenapa?” Aku terus memaksa dia memberitahu sebabnya.

Dia memandangku sekilas sebelum memberitahu sebabnya.

“Abang takut, abang akan lebih jatuh cinta kalau abang terus pandang wajah Zaira.” Ujarnya perlahan.

Terdiam aku mendengarnya. Jatuh cinta denganku? Sedikit berubah wajahku menerimanya. Reaksiku yang terdiam membuatkan Fir kembali memandangku.

“Gelabahlah tu.” Usiknya pula.

Usikannya langsung tidak mendapat perhatianku.

“Takdelah.” Pujuknya untuk melunakkan hatiku sambil tergelak kecil.

Tentulah gelak itu sebagai tanda dia benar-benar bergurau dengan kata-katanya sebelum ini. Aku lega. Janganlah di saat akhir ini ada perkara yang bisa merosakkan persahabatan kami. Aku tidak mahu itu terjadi.

“Abang takut abang menangis nanti kalau asyik pandang Zaira sebab sedih nak lepaskan Zaira balik.” Katanya memberitahu hal sebenar sambil memandangku tenang dengan senyuman manisnya.

Aku tersenyum padanya sambil mengucapkan terima kasih dan rasa berbesar hatiku kerana ditemani olehnya dalam kebanyakan masa aku di sini.

“Bila-bila Fir datang KL nanti, Zaira belanja Fir ya.” Janjiku sebagai tanda berterima kasih kepadanya.

Fir sekadar tersenyum tawar mendengar janjiku. Reaksinya bagaikan semua itu adalah sangat tidak perlu.

LIMA jam dalam perjalanan pulang, akhirnya aku sampai di tempat tumpah darahku. Sepanjang perjalanan aku menghabiskan masa dengan melelapkan mata. Aku mahu rasa segar tatkala bertemu dengan cinta hati dan buah hatiku nanti. Aku menarik nafas pajang sebelum keluar dari perut kapal terbang. Aku bertekad mahu menjalani hidup yang sudah ditakdirkan untukku sebaik mungkin. Semangat yang Fir dan Azrai bekalkan menjadi penguat untukku. Sepanjang jalan menuju ke balai ketibaan, wajahku penuh dengan keceriaan. Dalam fikiran sudah terbayang wajah-wajah kesayangan. Mengikut janjinya, Ikmal dan anak-anak akan datang menjemputku. Namun kelibatnya tidak kelihatan. Bayang anak-anak yang sangat aku rindui juga tidak kunjung tiba. Berulang kali aku cuba menghubunginya. Namun ianya terus gagal untuk dihubungi. Panggilanku yang berulang kali juga tidak mendapat balasan darinya. Setelah hampir dua jam aku menunggu, barulah ada panggilan masuk darinya.

“Awak dah sampai ke? Sorry awak, saya lupa sangat-sangat yang awak nak balik hari ni. Saya masih di kampung Sufi lagi ni. Awak balik rumah naik teksi dululah ya. Nak tunggu saya nanti berapa jam pulak saya nak sampai sana. Lagipun kat sini adik beradik Sufi sedang berkumpul. Takkan saya nak hilangkan diri pulak. Esoklah saya balik dan jumpa awak.”

Bagaikan mahu menitik air mataku mendengar kata-katanya. Kelmarin aku sudah mengingatkannya. Semalam aku tidak mengingatkannya lagi kerana tidak menyangka yang Ikmal akan terlupa mengenainya. Rinduku padanya bukan kepalang. Tidak sabar untuk aku bertemu dengannya. Tapi.. boleh pula dia terlupa akan kepulanganku hari ini. Bagaikan kepulanganku tidak diharapkan. Nampak sangat yang kepulanganku bukan sesuatu yang dinantikan olehnya. Sampainya hati Ikmal. Belum pun apa-apa, keluarga yang di sana sudah dilebihkan. Kecil betul hatiku dibuatnya. Tekad yang aku pasang serta semangat yang aku kumpul tadi terasa mula mengendur saat ini. Mulutku terasa mahu membebel memarahinya. Tapi mujur aku cepat-cepat sedar. Aku sudah ada saingan sekarang. Bukanlah langkah yang bijak untuk aku buatkan Ikmal terus mual dengan sikapku yang sememangnya tidak disenangi olehnya. Oleh sebab itu, sebelum mulutku mengeluarkan kata-kata yang tidak disenanginya, cepat saja aku menamatkan perbualan yang membosankan dan benar-benar mendera perasaanku.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.