Bab 11
Amin memejam mata. Tidak sabar mahu bertemu dengan adiknya. Masa juga baginya terasa begitu lambat. Abah tidak sedap hati. Mak menggosok-gosok kaki Amin. Hampir setahun Amin hilang kudrat untuk berjalan. Segala macam minyak digunakan untuk mengurut. Biar kuat dan gagah. Dengar orang kata, rendam kaki di sungai dan laut, tanam di dalam pasir dan dimandikan air kolah masjid dan surau semua dibuatnya. Namun Amin masih begitu. Disuruh cari tebu gunung, sampai juga di rumah. Mak potong menegak pendek-pendek untuk Amin makan juga tidak menjadi. Akar kayu, buah dan sayur semua dicuba. Dimakan dan dihadam. Ditumbuk, diperah dan diminum juga tidak menjadi. Mak dan abah bertawakkal. Berdoa dan sembahyang hajat hari-hari. Amin biar sembuh dan kuat. Tiada yang berubah kecuali hari ini. 


Tampak lebih segar dan bercahaya. Berseri dan merah muka tanda sihat. Hanya kakinya sahaja. Mak pergi mengutip mangga muda di pokok berhampiran rumah. Amin terliur hendak cicah dengan kicap. Biasanya jarang Amin makan benda yang masam-masam. Dimakannya sehingga licin satu piring. Abah dan mak hanya melihat sahaja. Seleranya juga semakin bertambah. Humaira sampai di rumah dengan beg sekolah yang mencecah belakang paha. Amin tersenyum. Kasihankan adik yang membawa buku yang agak berat. Assalamualaikung! Humaira kuat memberi salam. Berlari laju dia apabila melihat Amin turut sama berehat di beranda rumah. Abang sehak doh ke? Baek doh demang? Esok buleh gi skoloh doh ar. Yeay! Humaira terlalu girang. Begitu bersemangat ingin ditemani abang ke sekolah dan belajar bersama-sama.Petang itu selepas asar mereka masih di luar beranda. Abang, adik ade buak balek buoh epa ni. Takdi adik buleh di skoloh. Mak sebak. Abah hanya memandang dua beradik itu. Amin mengambil daripada tangan Humaira dan mengunyah sehingga separuh. Dihulur kembali kepada Humaira. Amin menyambung tidur di atas pangkuan mak. Aboh, adik, mok, abang Amin nok tido ni. Nati gerok smula abng Amin deh. Letih rase. Abang nok semayang garrib dengan mok aboh dengang adik pulok kekgi. Amin meminta dikejutkan lagi dia untuk sembahyang maghrib. Kopiah putih masih melekat di kepalanya. 


Angin bertiup agak kuat tapi sejuk dan sepoi-sepoi. Menerbangkan daun-daun kering di beranda. Mak dan abah agak terkejut. Humaira menghabiskan epal yang dimakan abangnya. Menghayun-hayunkan kakinya menikmati sedikit epal itu. Selendang mak bergerak-gerak. Dibetulkan mak dan dipegang agar tidak terbang di bawa angin. Tangan Amin terkulai layu di tepi abah. Nafasnya terhembus lembut dan agak panjang sehingga habis. Itu yang terakhir kali. Amin meninggal dalam tidur yang nyenyak. Jam 5.30 petang hari Khamis. Humaira tidak sedar itu, dengan mulut yang masih bercakap tentang sekolahnya hari ini.


Jenazah Amin disimpan malam itu. Abah meletakkan kapur di depan semua bingkai pintu bagi menghalau semut. Kemenyan dibakar untuk mengelak bau busuk walau jenazah Amin masih segar dan elok. Pagi esok akan dikebumikan. Mak mengalas tilam nipis yang sudah agak buruk dengan kain batik miliknya. Diikat kepala Amin sampai ke dagu. Dibetulkan tangan ke perut dan diluruskan kaki dengan kain diikat di hujung kaki. Batu sebesar tapak tangan diletak di atas perut Amin agar tidak gelembung. Ditutup wajah Amin dengan selendang putih kain kasa yang jarang. Malam itu, mak dan abah tidak tidur. Melihat sepuas-puasnya wajah Amin. Humaira terlelap disisi jenazah Amin. Dia lupa abangnya akan dikuburkan esok pagi. Dia menangis semahunya sehingga letih ketiduran. Tidurnya dalam sendu bersama abang dalam malam yang terakhir. Syurga di sana menanti Amin. Jiwa yang masih bersih tanpa noda. Dibawa pergi bersamanya segala kenangan bersama abah, mak dan Humaira. Susah dan senang bersama, namun kini tanpanya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh