Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Apa Itu Jemaah Intifada Sedunia? ~ Fragmen 16

Seri Perdana, Putrajaya

12.00 MALAM. Perdana Menteri duduk bersila di sofa. Dia yang mengenakan baju Melayu dan berkain pelikat sungguh relaks pada malam ini. Di tangannya ada secawan kopi tongkat ali. Sambil menghirup minuman, matanya tertumpu ke kaca TV. Menonton saluran Bernama TV untuk mengikuti perkembangan semasa.

Sebentar tadi, dia baru sahaja menjamu pegawai-pegawai tinggi kerajaannya dalam satu majlis doa selamat dan diikuti dengan jamuan makan malam. Sememangnya beliau kerap mengadakan majlis begitu untuk mengeratkan silaturrahim dengan para pegawainya. Dalam suasana yang lebih relaks dan di luar protokol, para pegawainya lebih mudah berkongsi idea, berbual dan berseloroh dalam mood yang santai.

Kini mereka semua sudah pulang. Yang tinggal hanyalah Tuan Aziz Tuan Ghani, Ketua Pengarah Biro Risikan Negara. Tuan Aziz sudah biasa begini. Datang ke rumah PM lebih awal dan pulang lebih lewat. Jika dia hendak pulang ke rumah sebaik sahaja tamat majlis, PM akan menahan untuk mengajaknya menjadi teman berbual. Kerana kelaziman itu, Tuan Aziz akan sentiasa menanti sehingga semua tetamu pulang dan kemudian berbual-bual dengan PM sebelum meminta diri.

Tetapi malam ini berbeza dengan malam-malam yang lain. Malam ini, Tuan Aziz memang ternanti-nanti semua tetamu mengundur diri kerana ada sesuatu yang amat penting dan rahsia perlu disampaikan kepada PM. Perkara ini perlu tiba ke pengetahuan PM kerana ia melibatkan imej dan sekali gus keselamatan negara.

Kerana itu, dia melambat-lambatkan diri meminum kopi yang terhidang. Biar dihirupnya perlahan-lahan untuk membeli masa. Sambil itu dia membiarkan PM merehatkan diri barang seketika sehingga dia bersedia untuk berbincang. Pada ketika itu, barulah dia akan sampaikan berita yang amat penting itu.

“You seemed restless, Aziz,” tegur PM meskipun pandangannya masih tertumpu ke kaca TV.

Tuan Aziz kaget dengan komen ketuanya. Namun dia berasa lega kerana sudah tiba masanya dia menyampaikan apa yang tersimpan di dalam hatinya. Moga-moga PM akan mendengar dan menyakininya. Maklumlah, PM adalah antara insan yang paling sukar untuk diyakinkan. Namun, seandainya dia percaya, segala tindakan susulan akan menjadi mudah, bagaikan mendapat cek kosong yang sudah ditandatangani.

“Datuk Seri... kita ada tetamu istimewa yang akan berkunjung ke Malaysia...” Tuan Aziz bermukadimah dengan berhati-hati.

“Tetamu istimewa? Pemimpin negara mana yang nak datang, Aziz? Mandela? Lee Kuan Yew? Ahmadinejad?” Perdana Menteri berseloroh. Meskipun matanya masih tertumpu di kaca TV, dia tetap memasang telinga.

“Khaleed. Khaleed al-Nahyan yang hendak berkunjung ke mari.”

“Khaleed jutawan keturunan Palestin, tu?” PM menoleh. Kemudian dia berkalih. Menandakan minatnya sudah ditarik dari kaca TV. Pandangannya kini tertumpu ke arah Tuan Aziz. “Saya tahu dia. Syarikatnya, Khaleed Group sudah 5 tahun berturut-turut tersenarai di tangga 20 korporat terkaya di carta Forbes 500. Khaleed ada banyak pelaburan di negara ini. Yang terbesar di WPI. Tapi, MITI pun tak maklumkan pada saya yang dia hendak ke mari. Apa hal dia ke sini?”

Tuan Aziz mengeluh. Dia meraup rambutnya. Bagai hendak membuang kerisauan jauh-jauh dari hatinya. Perlakuannya mula menghairankan Perdana Menteri. Dia mula berasa pelik dengan gelagat pegawainya. Lantas dia mencapai kacamata yang terletak di meja sisi dan menyarungnya. Dia ingin melihat dengan jelas wajah Tuan Aziz agar lebih faham apa yang bakal disampaikan oleh lelaki itu.

“Kunjungan peribadi, Datuk Seri. Dia datang untuk membuat beberapa urusan perniagaan. Tetapi yang lebih penting, dia datang hendak berjumpa Abu Afdhal...” jawab Tuan Aziz.

“Abu Afdhal? Siapa dia?” soal PM semakin teruja kerana dia tidak pernah mendengar nama itu.

“Dialah orang yang merisaukan saya.” Tuan Aziz mengeluh dalam-dalam sebelum meneruskan penerangan. “Abu Afdhal adalah seorang pejuang Palestin dari Jemaah Intifada Sedunia atau JIS. JIS adalah sebuah pertubuhan yang mengumpul dana simpatisan perjuangan Palestin dari seluruh pelosok dunia.

Dia juga adalah pengatur dana dengan membuka akaun di merata dunia secara sulit dan menyalurkannya untuk perjuangan intifada di Palestin. Aktivitinya kini dapat dihidu CIA, polis perisikan Israel MOSSAD dan Gerakan Zionis Antarabangsa. Kini dia dalam buruan.

BISIK tahu Khaleed sudah lama membantu JIS. Bayangkan betapa sensitifnya bila dua orang ini bertemu di negara kita, Datuk Seri. Bila Khaleed, seorang jutawan muslim bertemu dengan Abu Afdhal, seorang pengumpul dana intifada, tidak sukar pihak perisikan CIA membuat tafsiran, Datuk Seri,” jelas Tuan Aziz dengan panjang lebar.

“Mengapa Khaleed perlu bertemu Abu Afdhal? Bukankah lebih baik Khaleed gunakan orang-orangnya sahaja untuk menyampaikan bantuannya? Takkanlah dia tak tahu bahaya yang akan menimpa dirinya bila dia bertemu dengan Abu Afdhal?” PM mempersoalkan kewajaran pertemuan mereka.

“Abang dengan adik, Datuk Seri.”

“Abang dengan adik?”

“Ya. Khaleed sebenarnya adalah abang kepada Abu Afdhal. Sejak Intifada pertama meletus di Palestin pada tahun 1987, Khaleed tak pernah bertemu dengan adiknya. 20 tahun mereka terpisah. Dan mereka pilih untuk bertemu di Malaysia kerana mereka menganggap Malaysia negara Islam yang selamat. Tapi tindakan mereka itu akan menjadikan negara kita pula tak selamat dari tohmahan media barat terutamanya Amerika.

Datuk Seri ingat tak kes 9-11 dulu? Pihak Amerika tuduh kita benarkan pengganas membuat sarang di sini bila anggota al-Qaeda buat perjumpaan di negara kita. Padahal, kita sendiri memberi maklumat kepada CIA bila anggota al-Qaeda membuat pertemuan di negara ini, dulu.”

PM terangguk-angguk mendengar taklimat Tuan Aziz. Hatinya mula diresapi bimbang. Bimbang dengan fitnah pentadbiran Amerika. Media yang dikuasai mereka akan menyahut tohmahan itu dan berlakulah kempen untuk memburuk-burukkan imej negara. Iklim pelaburan akan terjejas dan terbantut.

Padahal, negara ini secara rasmi atau tidak rasmi tidak percaya dengan pendekatan radikal. Apatah lagi dengan cara bersekongkol dengan pihak yang menggunakan cara menumpahkan darah sebagai jalan menyelesaikan masalah.

“Bila mereka nak ke mari, Aziz?” tanya PM setelah beberapa ketika suasana menjadi sepi.

“Khaleed akan ke mari esok dengan Japan Airlines dari Tokyo, Datuk Seri. Kita ada perincian maklumat penerbangannya. Budak-budak saya sudah bersedia untuk mengekorinya sebaik saja dia menjejakkan kaki di bumi Malaysia,” ujar Tuan Aziz dengan yakin sekali.

“Abu Afdhal? Bila dia akan ke sini?” Soal PM dengan nada yang sedikit mendesak.

“Err... maaf, Datuk Seri,” jawab Tuan Aziz dengan nada perlahan. “Abu Afdhal bergerak seperti bayang-bayang. Dia sukar dijejak. BISIK belum memperoleh maklumat dari sumber-sumber kita, bila dan bagaimana cara dia masuk ke mari. Tapi saya dah arahkan semua budak-budak BISIK memantau semua jalan udara, darat dan laut.Unit Komunikasi BISIK sedang memantau komunikasi melalui telefon, internet malah ham radio dan morse code,” jawab Tuan Aziz.

“You kena buat lebih dari itu, Aziz.BISIK mesti sentiasa memantau mereka selagi mereka berada di bumi Malaysia. 24-7,” kata PM.

“24-7.Ya, Datuk Seri,” jawab Tuan Aziz. Dia memahami 24-7 bermaksud 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

“Biar mereka masuk secara diam-diam dan pergi pun secara senyap-senyap.Selagi mereka tak cabul kedaulatan undang-undang negara kita, mereka dua beradik bebas bertemu. Saya tak mau berlaku apa-apa yang boleh menarik perhatian media ataupun perisikan pihak-pihak lain. You kena pantau mereka dengan ketat,” perintah PM.

“BISIK akan gunakan Pintas 3,” jawab Tuan Aziz.

“Exactly... Pintas 3,” ajuk PM kerana mengerti.

Pintas 3 adalah kod di mana subjek sasaran hanya dikepung tetapi pergerakkannya dilorongkan agar dapat melepaskan diri. Ia dilakukan untuk mengelak kesan yang mengakibatkan masalah lebih besar kepada negara. Ia berbeza dengan kod Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian ditangkap atau dilarikan. Pintas 1 pula bermakna subjek dihapuskan serta merta.


Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED