Kg. Sg. Pencala, Damansara, Kuala Lumpur
KERETA BMW yang dipandu Fariz Zahar
membelok dan memasuki pekarangan banglo Tan Sri Daud lalu berhenti di anjung
kereta. Tan Sri Daud yang sudah lama menunggu di wakaf terus bergegas untuk
menyambut tetamunya.
“Assalamualaikum sahabatku,” sapa Khaleed dengan
wajah girang.
“Waalaikumsalam, Khaleed al-Nahyan,” jawab Tan Sri
Daud lalu bersalaman dan memeluk lelaki itu.
Tan Sri Daud memandang Abu Afdhal. Dia tidak
pernah lihat lelaki ini. Seingatnya, Khaleed ada seorang pengawal peribadi
bernama Akbar.
“Maaf, Khaleed. Mengapa Akbar tak ikut sama?”
“Akbar? Oh, dia tidak datang,” jawab Khaleed. Bila
dia terpandang Tan Sri Daud dan Abu Afdhal saling berpandangan, barulah Khaleed
tersedar yang dia masih belum memperkenalkan adiknya kepada Tan Sri Daud.
“Ini adik saya, Khalid.”
“Khalid?” soal Tan Sri Daud kembali dengan rasa
hairan.
“Ya, kami punyai nama yang sama. Ketika saya
kecil, dan ketika ibu saya mengandungkan Khalid, pengganas Israel telah
menyerang kem pelarian keluarga kami di Faraheen. Dalam kekecohan itu, saya
terpisah dari keluarga. Seorang lelaki tua menyelamatkan saya dan membawa saya
lari jauh dari kem pelarian itu.
Berminggu-minggu ibu saya meratap di atas
kehilangan saya. Maklumlah, sayalah satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga
kami. Akhirnya bila ibu saya melahirkan bayi, dia mendesak papa saya
menamakannya Khalid, untuk mengingati nama saya.
ALLAHuakbar… selepas 40 hari Khalid lahir, saya
dikembalikan oleh orang tua itu. Lalu keluarga kami punyai dua orang anak
lelaki yang mempunyai nama yang sama. Kini, setelah adik saya berkahwin, anak
sulungnya diberi nama Afdhal. Maka Khalid terus mendapat gelaran Abu Afdhal,
iaitu ayah kepada Afdhal.”
Abu Afdhal tersenyum-senyum mendengar pengkisahan
dari abangnya. Tan Sri Daud mula mengerti. Lantas dia terus bersalaman dengan
Abu Afdhal.
“Assalamualaikum,” ucap Abu Afdhal.
“Waalaikumsalam. Subhan-ALLAH. Memang sah anda
berdua adik beradik!” ujar Tan Sri Daud.
“Mengapa tuan berkata begitu?” tanya Khaleed.
Bukan sahaja rupa tuan hamba berdua hampir serupa.
Seperti kembar! Suara tuan
berdua pun hampir sama,” ucap Tan Sri Daud.
Lalu ketiga-tiga mereka ketawa. Fariz yang berdiri tidak jauh dari situ mencuri
dengar perbualan mereka dengan tekun meskipun dia kelihatan sibuk menurunkan
bagasi kedua-dua lelaki Arab itu. Namun, sebaik sahaja keretanya memasuki
garaj, Fariz segera menghubungi ibu
pejabat BISIK mengenai kedatangan Abu Afdhal yang dinanti-nantikan!
Akhirnya BISIK tahu juga kedatangan Abu Afdhal ke
Malaysia. Meskipun diketahui setelah dia menjejakkan kaki ke mari, ia masih
belum terlewat. Yang lebih penting, nyawa Abu Afdhal mesti dilindungi. BISIK
tidak mahu krisis Palestin melarat dalam bentuk pertumpahan darah di bumi
Malaysia.
DARI semak samun berhampiran, Tobias sedang
memerhati mereka melalui sebuah teropong. Dia tiba di kawasan ini setelah
ketiga-tiga lelaki itu berbual-bual di wakaf. Di antara ketiga-tiga lelaki itu,
seorang lagi yang datang
bersama-sama Khaleed tidak dapat dicamnya. Lelaki itu duduk membelakangkannya.
Dia bertubuh kecil. Bukan seperti Akbar yang pernah dilihatnya sebelum ini.
Akbar bertubuh besar.
“Bruce… aku nampak Khaleed,” kata Tobias perlahan
melalui fonsel tanpa wayarnya. “Tapi aku tak nampak Akbar. Dia tidak datang
bersama Khaleed. Lelaki yang aku lihat ini orang lain. Mungkin pengawal
peribadi Khaleed yang baru.”
“Betul ke bukan Akbar? Cuba halakan kamera
teropong tu semula…” cadang Bruce di hujung talian.
Dari bilik apartmennya, Bruce dapat melihat apa
yang diperhatikan oleh rakannya yang dipancarkan dari kamera
teropong Tobias ke komputernya. Bruce mendekatkan wajahnya ke skrin. Meneliti
lelaki yang bersama Khaleed.
“Aku tak nampak muka lelaki itu. Cuba cari sudut
lain. Aku nak cam muka dia dari hadapan,” perintah Bruce.
“Tak boleh. Hanya kawasan ini yang bersemak.
Kawasan lain bertanah lapang. Pergerakan aku akan menarik perhatian mereka,”
jawab Tobias.“Di mana Abu
Afdhal sekarang?”
“Aku tak dapat maklumat lagi.Ibu pejabat kata, dia belum sampai ke
Malaysia. Kita kena tunggu dia,” jawab Bruce.
“Kalau macam tu, operasi hari ini tamat! Hari pun,
dah senja,” kata Tobias lalu memadamkan kamera teropongnya.
Peralatan itu dimasukkan ke dalam beg sandangnya.
Sambil berkemas-kemas, dia masih memerhati ketiga-tiga lelaki itu. Seringkali
dia terpandang Khaleed menjawab panggilan dengan fonselnya.
“Tak lama lagi, kau tak akan sesibuk itu,
Khaleed!” gumam Tobias dengan penuh geram. “Abu Afdhal! Di mana kau? Aku tak
sabar nak jumpa kau. Hutang mesti dibayar!” gumam Tobias lagi lalu menyapu
peluh di wajahnya.
Jejarinya menyentuh mengikut bentuk daging yang timbul di wajahnya. Itulah
kesan torehan pisau Abu Afdhal pada suatu peristiwa dahulu. Langsung dia tidak
menyedari yang Abu Afdhal kini berada di depan matanya. Cuma lelaki itu duduk
membelakangkannya.
Perlahan-lahan, Tobias mengundur dari kawasan
pengintipannya. Dia memerhati ke kawasan sekeliling mencari tempat dia berehat
malam ini. Dia masih punyai banyak masa kerana pada keyakinannya, Abu Afdhal
masih belum tiba.
Sebaik sahaja Tobias mula melangkah, dia
terpandang bumbung sebuah pondok melalui celah-celah dedaun tidak jauh dari
tempatnya berdiri. Hatinya tertarik untuk melihat apa yang ada di dalam pondok
itu. Dengan berhati-hati dia bergerak ke situ.
“SAUDARAKU, Tan Sri Daud.”Khaleed
mula berbicara dengan wajah yang serius. “Sebenarnya kami berdua adalah pejuang
Jemaah Intifada Sedunia. Kami ke mari untuk meminta pertolongan tuan.”
Kata-kata itu mengejutkan Tan Sri Daud. Dia tidak
menyangka yang selama ini, sahabatnya Khaleed adalah anggota sebuah pertubuhan
yang terkenal menentang rejim Zionis.
Pada sangkaannya, Khaleed hanya datang ke mari
untuk urusan pelaburannya di beberapa buah syarikat Globest. Rupa-rupanya
tujuan sahabatnya datang kali ini adalah untuk meminta pertolongan.
“Sudah tiga orang sahabat kami yang menyumbang
wang dana
perjuangan telah dibunuh oleh anggota Gerakan Zionis Antarabangsa. Pihak Zionis akan membunuh penyumbang dan
juga pengutip dana.
Mereka hendak lumpuhkan saluran dana pertubuhan
kami kepada rakyat Palestin. Tanpa wang, gerakan intifada tidak boleh bergerak,
kakitangan kerajaan Palestin terpaksa bekerja tanpa gaji, negara kami tidak
boleh membangun dan yang paling malang, anak-anak kecil kami akan mati
kebuluran.”
Rasa simpati terhadap umat Islam di Palestin mula
meruntun hati Tan Sri Daud. Selama ini
dia hanya mengikuti perkembangan pergolakan di Palestin melalui akhbar dan
TV. Dia tahu tentang Jemaah Intifada
Sedunia. Tetapi dia tidak menyangka akan bertemu dengan dua orang anggotanya
pada petang ini.
“Sebab itulah kami akan terus berjuang mengusir
kaum Yahudi dari bumi Palestin. Inilah ikrar kami para Jemaah Intifada Sedunia
walau di mana kami berada di muka bumi ini,” ujar Khaleed lagi.
“Kami tahu yang kami sentiasa diintip. Pihak
Zionis sentiasa menanti peluang untuk menamatkan riwayat kami. Pada bila-bila
masa, saya dan Abu Afdhal boleh terbunuh. Namun, kami percaya kepada takdir
ALLAH.
Jika ajal kami belum sampai, kami akan selamat.
Tetapi jika DIA putuskan yang sumbangan kami hanya setakat ini, kami sedia
mengembalikan nyawa kami ke dalam genggaman-NYA. Kami tau, kalau peluru Yahudi
menembusi jantung kami, kami gugur bukan kerana angkara Yahudi laknat itu,
tetapi kerana kami dipanggil ALLAH yang sentiasa sayangkan sekalian pejuang
agama-NYA.”
Kata-kata itu membuatkan Tan Sri Daud terus
terpegun.Dia semakin sedar
akan betapa sukarnya umat Islam di Palestin berjuang menentang penjajah Yahudi.
Akhirnya Tan Sri Daud bersuara, “Apa bentuk bantuan yang Khaleed mahukan dari
saya? Nyatakanlah. Nescaya saya akan bantu.”
“Pihak Zionis sentiasa mendapat sokongan kerajaan
Israel untuk mendapatkan maklumat saluran-saluran kewangan ke negara Palestin.
Aliran wang kami di bank-bank antarabangsa pula sentiasa dipantau oleh Amerika
melalui CIA.
Alhamdulilah, kerana Malaysia adalah negara yang
mempelopori perbankan Islam, kini sistem ini telah berkembang ke merata dunia.
Dengan adanya rangkaian bank-bank Islam dari negara-negara Arab di sini, segala
maklumatnya sukar dihidu musuh.
Kita ada perniagaan usaha sama, Tan Sri Daud. Saya
bercadang mulai sekarang, kesemua bayaran Khaleed Group kepada Globest dianggap sebagai sedekah.
Khaleed Group akan bayar lebih dari harganya.
Ambil sahaja nilai eksport itu. Sebahagian lagi, tuan masukkan ke dalam sebuah
akaun lain yang akan kami berikan nombornya. Dengan cara itulah wang kami dapat
disalurkan kepada dana jemaah. Bolehkah saudara…”
“Insya-ALLAH, Khaleed. Saya juga ingin membantu
umat Palestin. Malah, permintaan Khaleed ini adalah satu penghormatan tuan
kepada saya. Tuan sebenarnya mengajak saya berjihad secara langsung demi negara
Palestin. Insya-ALLAH dengan adanya saluran ini, ada ramai lagi sahabat-sahabat
kita di Malaysia ini yang akan turut membantu.” Begitulah pengakuan Tan Sri
Daud dengan penuh bersemangat.
“Alhamdulilah, sahabatku. Syukran, syukran…” kata
Khaleed. Kedua beradik itu terus berjabat tangan dengan Tan Sri Daud sebagai
tanda ucapan terima kasih yang tidak terhingga.
Insya-ALLAH, bersambung Ahad hadapan...