BISIK, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
SEBAIK sahaja Fariz muncul di muka pintu, Tuan Aziz terus
menggamitnya. Dengan perlahan dia melangkah masuk ke bilik bosnya. Hatinya
berasa lega kerana Tuan Aziz tersenyum senang. Ada gambaran gembira di wajah
bosnya berikutan dengan kemunculannya.
“Terima
kasih Fariz. Terima kasih kerana ambil keputusan yang tepat untuk terus bersama
BISIK,” ujar Tuan Aziz dengan rasa bangga.
Fariz hanya tersenyum. Percutian seminggunya
benar-benar melegakan fikirannya. Berehat di rumah nenek di kampung yang damai
benar-benar merehatkan. Dia dapat bermuhasabah diri dan memandang jauh ke
hadapan. Namun peristiwa di Thailand itulah yang membuatkan dia berasa teruja
untuk terus berkhidmat dengan BISIK.
Seminggu
lalu, dia tidak yakin dengan diri. Tidak tahu apakah dia layak menganggotai
BISIK. Kelembapannya membuat keputusan telah mengakibatkan kematian rakan
sejawatnya. Namun pemergiannya ke Thailand untuk membantu seorang kawan lama
memberinya jawapan bahawa dia sebenarnya mampu bertindak pantas, tepat dan
jitu. Dia sudah sedar, dirinya sebenarnya berani. Cuma tempohari dia tak pandai
merebut peluang yang terbuka. Itulah kesimpulan yang diperoleh Fariz di hari akhir cutinya setelah menunaikan
solat istikharah pada malam sebelumnya.
“Saya ada satu tugasan penting untuk awak.
Tapi awak ke mana? Susah sangat nak hubungi awak.”
Soalan
itu membuatkan wajah Fariz berubah. Lantas dia teringat akan panggilan dari
BISIK ketika dia berada di Pulau Ko Pha Ngan. Panggilan itu tidak dijawabnya
sampai ke sudah. Mungkin, Tuan Aziz sendiri yang menghubunginya tempohari!
“Saya...
saya ada kat kampung...”
“Ya,
ke? Awak tak ke mana-mana?” soal Tuan Aziz sambil tersenyum-senyum.
Fariz hanya menggeleng selamba. Tuan Aziz pula
mengeluh dalam.
“Oleh
kerana saya tak dapat hubungi awak, saya minta bilik operasi memantau lokasi
awak. Dia orang dapat maklumat, awak berada di pulau Ko Pha Ngan, Thailand!”
Darah
Fariz tersirap ke mukanya. Menjadikan
wajahnya memerah. Sebagai orang berpengalaman, Tuan Aziz peka dengan perubahan
air muka anak buahnya ini. Dia memerhati dada Fariz yang mula bergelombang menahan perasaan
gabra.
“Err...
saya ikut kawan saya ke pulau itu membantu urusan dia,” jawab Fariz. Dia tidak
boleh berdalih lagi.
“Urusan
apa?” Tersangkat kening Tuan Aziz bila bertanya soalan itu.
“Urusan
peribadi.”
“Peribadi?”
Tuan Aziz mengerinyutkan hidungnya tanda ragu-ragu. Namun dia tidak mahu
mendesak Fariz menceritakan tujuannya ke
pulau itu. “Dua hari lepas, saya terima laporan INTERPOL mengenai kematian Awut
Chaovalit. Awut adalah penjenayah yang paling dikehendaki oleh pihak INTERPOL
kerana aktiviti memperdagangkan manusia terutamanya kanak-kanak.
Sudah
setahun INTERPOL mengekorinya hingga menghidu sarangnya di pulau Ko Pha Ngan.
Mereka hampir dapat menangkapnya hidup-hidup. Tiba-tiba dia ditembak mati oleh
orang yang tidak dikenali. Kematiannya merumitkan siasatan INTERPOL. Jaringan
aktiviti Awut terus terpadam bersama jasadnya. INTERPOL kena menyusur kembali
salasilah jaringan operasi Awut. Usaha mereka setahun bagai sia-sia. Now, they are back to square one!”
Fariz diam sediam-diamnya. Tidak berani menentang
wajah bosnya. Dia khuatir, andainya dia bertentang mata dengan Tuan Aziz, orang
tua itu akan dapat membaca yang dia terlibat dengan pembunuhan itu. Dari
perlakuan Fariz, Tuan Aziz mula berasa anak muda itu menyembunyikan sesuatu
darinya.
“Awak
ada di pulau itu. Awak tak ada dengar ke berita mengenai pembunuhan Awut
Chaovalit?”
Fariz hanya menggeleng. Secara spontan, bibirnya
dikatup rapat-rapat. Takut terloncat sesuatu jawapan yang akan berlanjutan
menjadi soalsiasat pula. Berbohong memang sukar. Meskipun dia dilatih untuk
menyimpan rahsia, namun pembohongan yang ini bukan mengenai tugasnya. Ia soal
peribadi.
“Alright. I’m giving you the benefit of the doubt. Kita lupakan persoalan itu. Saya tak akan soal lagi hal-hal peribadi
awak.”
Kata-kata
Tuan Aziz itu melegakan hati Fariz. Namun, satu perasaan lain pula timbul di
hatinya. Dia bersyukur bila mengetahui Awut adalah penjenayah kejam. Kerana
itu, tindakannya menembak lelaki itu dirasakan adil dan wajar. Justeru, dia
tidak berasa terbeban kerana membunuh lelaki itu.
“Mari kita bincang mengenai tugasan baru
awak.”
Kata-kata
itu memadam ingatan Fariz terhadap apa
yang dialami tempohari. Dia terus menumpukan perhatian terhadap apa yang ingin
disampaikan oleh Tuan Aziz. Lelaki itu terus memutar skrin komputer ke arahnya.
Terpapar wajah seorang lelaki segak berambut ikal. Hitam rambutnya sama banyak
dengan putihnya. Dia bermisai tebal. Dan dia bersongkok.
“Ini
Tan Sri Daud, Pengerusi Eksekutif
Globest Corporation. Awak kenal dia?”
“Ya.
Wajah dia selalu muncul di TV dan akhbar,” jawab Fariz.
“Dia
adalah di antara usahawan yang sedang
meningkat naik di negara ini. Beliau juga punyai kepentingan perniagaan di luar
negara, khususnya di Cina, India, Afrika dan negara-negara Teluk. Tugas awak
adalah mengiringi dia.”
“Sebagai
pengawal peribadi?” tanya Fariz.
“Tidak.”
Dahi
Fariz berkerut mendengar jawapan itu.
“Bukannya
jadi pengawal peribadi, tapi pemandu peribadi,” ujar Tuan Aziz sambil menguntum
senyuman.
“Selain
daripada itu, apa tugasan saya?” tanya Fariz, sedikit gugup. Berasa tidak
teruja dengan tugasan itu. Dia mengambil keputusan untuk terus menganggotai
BISIK sebagai ejen penyiasat, bukannya bekerja sebagai drebar!
“Sebagai
pemandu, tentu awak akan diminta mencuci kereta, menghantarnya ke bengkel untuk
dibaikpulih. Err... mungkin membawa isterinya,
Salwa ke pasar...” jawab Tuan Aziz. Selamba.
Fariz terkelip-kelip mendengar jawapan Tuan Aziz.
Terlintas di benaknya, apakah ini tugasan ataupun ujian? Andainya ia tugasan,
tidak banyak yang dia perlu lakukan kecuali memandu. Andainya ia ujian, mengapa
perlu dia dipinta menjadi pemandu peribadi orang lain? Bukankah lebih baik dia
menjadi pemandu peribadi Tuan Aziz sendiri?
“Jangan banyak sangat bersoal-jawab, Fariz,”
usik Tuan Aziz seolah-olah memahami apa yang bersimpang-siur di fikirannya
sekarang. “Sesuaikan diri dulu dengan tugasan baru tu. Kerja tu memang
membosankan. Tapi percayalah, awak melakukannya sebagai pengorbanan untuk
negara!”
‘Untuk
negara? Macam mana menjadi pemandu kepada seorang Tan Sri itu satu pengorbanan
untuk negara?’ fikir Fariz.
Sesungguhnya
bosnya ini mahu berteka-teki dengannya. Jika dilayan berfikir, menjadi semak di
kepala. Biarlah dia alami sahaja apa yang mendatang kerana pengalaman itu
sendiri pembawa jawapan kepada apa jua persoalan di fikiran.
SEBAIK sahaja Fariz keluar dari pejabatnya, Tuan Aziz mendail sahabat lamanya
Tan Sri Daud, Pengerusi Eksekutif Globest Corporation.
Daud... anak saudara aku sanggup jadi drebar engkau,” kata Tuan
Aziz sebaik sahaja fonsel diangkat. “Aku dah suruh dia datang ke pejabat kau,
esok.”
“Baguslah
kalau macam tu. Anak saudara kau tu dari mana?” soal Tan Sri Daud.
“Anak
saudara sebelah isteri aku... budak Terengganu.”
“Dia
ada pengalaman memandu, ke?” tanya Tan Sri Daud lagi.
“Dulu
dia bawak ambulan Persatuan Bulan Sabit Merah...”
“Kalau
macam tu, dia suka pandu laju...” ujar Tan Sri Daud, sedikit kaget.
“...
tapi dia juga tau selok-belok jalan di KL, ni. Eh, kau ni banyak sangat
tanyalah. Kalau engkau tak hendak, aku kensel aje!”
“Oklah,
oklah... suruhlah dia datang jumpa aku, esok.”
Insya-ALLAH bersambung Rabu hadapan...