Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Aku Benci Kamu, Faryna! (Fragmen 6)

Globest Corporation, Kuala Lumpur

TOMBOL pintu yang disentuhnya berasa dingin sekali. Tubuhnya tergigil seketika. Fariz dapat mengagak suasana di dalam pasti lebih sejuk. Benar seperti jangkaannya. Udara sejuk menyapu wajahnya sebaik sahaja dia melangkah ke ruang pejabat Tan Sri Daud.

“Assalamualaikum. Selamat pagi. Cik... Setiausaha Tan Sri Daud, ke?” ucap Fariz.

Gadis yang ditegurnya sedikit tersentap. Ketika itu dia sedang tertunduk-tunduk menyuap mi goreng. Gadis itu terdongak dan memandangnya tanpa berkelip-kelip. Bila menyedari Fariz memandang seurat mi yang terjuntai di tepi bibirnya, dia segera menyapunya dengan kertas tisu. Kemudian dia tersengih-sengih malu.

“Waalaikumsalam. Saya bukan setiausaha dia. Saya Siti. Kerani aje. Saya ganti tempat Kak Ati, Setiausaha dia. Dia cuti bersalin. Anak kembar! Encik nak cari siapa?” tanya gadis yang bernama Siti itu.

“Nama saya Fariz Zafar. Saya nak jumpa Tan Sri Daud.”

Gadis itu merenungnya kehairanan. Barangkali tidak percaya lelaki yang berpakaian kemeja lengan pendek dan berseluar slack ini mahu bertemu dengan bos besarnya.

“Encik ada buat appointmentke?”

“Err... tak ada. Tapi saya diminta bertemunya untuk lapor diri.”

“Lapor diri?” Dahi gadis itu berkerut. Matanya terkebil-kebil memandang siling. “Oooo... awak ni pemandu peribadi baru dia ke?”

Fariz mengangguk lalu tersengih.

“Tan Sri sampai sekejap lagi. Abang duduk kat situ dulu, ya? Nah, abang bacalah paper ni sementara menunggu Tan Sri,” kata gadis itu lalu menghulurkan akhbar Sinar Harian.

Fariz berasa senang. Panggilan ‘encik’ terhadapnya sebelum ini bertukar menjadi ‘abang.’ Petanda kehadirannya diterima oleh gadis itu sebagai bakal rakan sepejabat. Fariz terus duduk lalu menatap akhbar pagi ini. Sehelai demi sehelai halaman akhbar itu ditatapnya.

“Kalau you tak ada masa, tak apalah!”

Tumpuan bacaan Fariz terganggu bila terdengar suara dari arah pintu.

“Ek eleh! Kalau you tak nak, I pun tak ingin!”

Fariz tertoleh ke pintu. Dari daunnya yang sedikit terkuak, dia nampak seorang gadis berpakaian ranggi sedang bercakap di fonselnya. Pintu tertutup semula. Suasana sepi kembali. Fariz meneruskan bacaannya.

“Tapi, esok jangan terhegeh-hegeh cari I, okey?”

Fariz tertoleh semula ke pintu yang terkuak semula. Kini gadis itu kini berdiri di depan pintu. Kakinya menyendal pintu agar tidak terkatup. Mulutnya ternganga-nganga mendengar percakapan pemanggil di hujung talian. Bagai tak sabar-sabar hendak menyampuk meluahkan seribu kata.

“Ah, sudahlah! This is the end. Goodbye! Full stop!”

Gadis itu menutup fonselnya lalu melangkah ke kaunter meja Siti. Fariz menggeleng melihat ulah gadis yang naik angin satu badan itu. Tak kuasa dia memberi perhatian. Lalu dia terus membelek akhbar di tangannya.

“Siti! Mana paperaku?” Gadis itu bersuara dengan lantang.

Siti terkejut. Lantas dia berdiri. Matanya terkelip-kelip. Wajahnya dihurung kerisauan. Lalu dia memandang Fariz. Fariz sedar dia diperhatikan.

“Oh, kau bagi dia ya? Bukankah itu paper aku?” tengking gadis yang becok itu.

Melalui ekor matanya, Fariz nampak gadis itu melangkah ke arahnya. Fariz pasti, akhbar yang dipegangnya ini kepunyaan gadis itu.

“Oi, cik abang... boleh saya dapatkan surat khabar saya?” kata gadis itu dengan rayuan yang dibuat-buat.

Fariz berhenti membaca. Hatinya mula berasap. Namun dia perlu menahan rasa meluatnya. Hari ini hari pertama dia bertugas. Tak molek menegur gadis yang dirasakan celupar ini. Perlahan-lahan dia melipat akhbar itu lalu berdiri dengan penuh hormat. Senyuman menguntum di bibirnya. Gadis itu membalasnya dengan cebikan di bibirnya. Hati Fariz sedikit terguris. Tanpa rasa hormat, dengan pantas gadis itu merenggut akhbar dari tangan Fariz. Lalu dia berpaling dan melangkah masuk ke dalam.

“Maafkan saya, sebab beri abang surat khabar Ryna tu,” kata Siti perlahan. “Selalunya dia lewat masuk ke pejabat. Kalau jam belum pukul 12.00 tengahari, jangan harap nak nampak batang hidung dia kat ofis ni. Sebab itulah Siti pinjamkan surat khabardia kat abang.”

“Tak apa, Siti. Bukan salah awak. Saya tak kisah,” jawab Fariz selamba. “Tapi Ryna tu siapa?”

“Faryna tu anak bongsu Tan Sri. Dia seorang sahaja anak perempuan dan dia seorang yang berperangai macam tu. Abang-abang dan kakak-kakak dia semuanya baik-baik dan berbudi bahasa. Pandai hormatkan pekerja kat sini. Alah, anak manja, bang. Dia ingat dia yang bayar gaji kita orang semua.

Mujurlah Tan Sri tu baik sangat orangnya. Sebab kami semua sayangkan dialah, maka kami tulikan telinga, butakan mata, bisukan mulut dengan perangai sombong Ryna tu. Kalau tidak, dah lama kami semua belah. Perangai dia tu, tak ada orang yang tahan.” Siti mengambil peluang untuk melepaskan geramnya.

“Dia bertugas di bahagian mana, Siti?”

“Alah... dia tu sedang cuti semester. Dia belajar kat Klang Valley College ambil kursus Seni Grafik. Papanya yang suruh dia buat latihan praktikal kat sini, di Jabatan Pemasaran.”

Fariz terangguk-angguk mendengarnya. Mulutnya membulat tanda mengerti.

“Apa yang dikecohkan Ryna tu?” Fariz mula mengorek rahsia.

“Apa lagi kalau tak bergaduh dengan pakwe dia. Entahlah bang. Dia tu lebih banyak bergaduh daripada berbaik dengan Zack. Yang si Zack tu dah banyak kali kena cerai dengan si Ryna tu. Masih tak serik-serik nak berkawan dengan si Ryna tu. Sehari-dua aje mereka tu berbaik-baik, sampai berdarling-darling bilabercakap dalam telefon tu.Masuk hari ketiga, I love you terus jadi I hate you! Alah, budak-budak, bang...”

Fariz mula tersenyum. Hanya dengan satu soalan, Siti telah menceritakan segala-galanya. Nampak gayanya banyak perkara di dalam syarikat ini akan dapat dikoreknya melalui Siti. Dan Ryna pula mempunyai perangai yang boleh menaikkan darah. Ya. Dia pasti akan menemui lagi gadis itu. Walau apa pun, Fariz mula berasakan yang tugas barunya ini tidak akan membosankan!


“DUDUK, Fariz. Maaflah sebab saya lambat masuk ke pejabat hari ini. Penerbangan dari Singapura tadi lewat sikit.”

Fariz kaget dengan mukadimah Tan Sri Daud. Tidak seharusnya seseorang majikan memohon maaf kepada pekerjanya bersama alasannya sekali. Lebih-lebih lagi kepadanya yang baru sahaja melapor diri pada pagi ini. Lelaki itu belum pun kenal Fariz. Tetapi, cara dia memohon maaf menunjukkan dia insan yang sentiasa merendah diri walaupun dia adalah tuan besar di syarikat ini.

“Awak ada pengalaman sebagai pemandu?” soal Tan Sri.

“Sebelum ini tak pernah. Tapi saya tau juga jalan-jalan di Lembah Kelang ini.”

Jawapan Fariz mengejutkannya. Seingatnya, sahabatnya Tuan Aziz mengatakan yang anak saudaranya ini bekas pemandu ambulan. Namun, dia tidak mahu menyelidik latar belakang Fariz kerana percayakan sahabatnya itu.

“Kalau kita tau jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur ni, dah bagus sangatlah tu. Kita boleh elak trafik jem. Masa saya muda-muda dulu, saya selalu naik teksi. Jadi banyak jugalah lorong-lorong pintas yang saya tau melalui pemandu-pemandu teksi yang dah hafal selok belok jalan-jalan di Kuala Lumpur, ni.”

“Fariz ni saudara di sebelah Tuan Aziz atau isteri dia?” tanya Tan Sri Daud sambil meletakkan songkoknya di atas meja. Soalan itu membuatkan Fariz serba salah.

“Sebenarnya saya bekerja dengan dia. Maksud saya, saya pernah bekerja dengan dia.”

Fariz menelan ludah. Tidak pandai hendak mereka-reka jawapan. Meskipun tugasnya ini adalah satu bentuk penyamaran yang dia sendiri belum tahu untuk apa, namun dia berasa janggal untuk berhelah dengan Tan Sri Daud. Lainlah jika orang di depannya ini seorang penjenayah. Andainya penjenayah, dia tidak kekok untuk berbohong apa sahaja sebagai muslihat.

“Apa tugasan saya hari ini, Tan Sri?” tanya Fariz. Tidak mahu bercerita panjang-panjang. Dia khuatir, semakin banyak bercerita, identitinya semakin tersingkap.

“Hmm... hari ini tak ada apa-apa tugasan. Isteri saya akan datang ambil saya. Ada kenduri di rumah jiran. Tapi, saya hendak awak ke KLIA untuk mengambil seorang mat salih bernama Bruce McCallum. Dapatkan perincian dari Siti di luar sana tu.”

“Papa! Kereta Ryna masuk kat bengkel. Macam mana nak ambil baju kat butik? Malam ni ada dinner.”

Mereka berdua tertoleh ke ambang pintu. Di situ Faryna berdiri. Fariz mengeluh perlahan. Cuba menyembunyikan perasaan rengsanya dengan kemunculan gadis ini. Faryna menghampiri ayahnya. Langkahnya tiba-tiba terhenti bila perasan akan kehadiran Fariz.

“Opps... sori ayah! papa ada tamu ya?” Lalu dia memandang Fariz. “Maafkan saya, encik.” Suara Faryna amat perlahan bagai berbisik. Amat berbeza daripada suaranya yang sentiasa meninggi di ruang tamu pejabat pada pagi tadi. Memandang Fariz dengan wajah yang lembut. Seolah-olah itulah pertama kali dia memandang pemuda ini.

“Itulah... bukankah orang tua-tua ada kata, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Janganlah main terjah aje ke dalam pejabat papa ni. Nasib baik, hanya Fariz yang ada kat sini. Kalaulah ada klien ayah, bukankah tak elok,” kata Tan Sri Daud dengan lembut.

“Maafkan saya, ayah. Lain kali Ryna tak buat lagi, ya?” jawab Faryna sambil tersengih-sengih.

“Ha, ini papa kenalkan... Fariz Zafar, pemandu peribadi ayah. Dia mula kerja dengan kita pada hari ini.”

“Oh, ye ke? Selamat bertugas!” Dengan kepala yang sengaja dilentuk-lentuk, Faryna menghulurkan tangannya. “Abang Fariz ... apa khabar?”

Dengan teragak-agak Fariz menyambutnya. Mereka bertentang mata. Lalu Faryna tersengih. Tetapi Fariz membalasnya dengan senyuman tawar.

“Ha, tadi Ryna kata kereta Ryna rosak, ya?” tanya Tan Sri Daud.

“Ya, lah papa. Boleh tak saya pinjam kereta papa?”

“Apa pulak tak bolehnya? Tapi Fariz nak pakai kereta untuk ke airport pada pukul 6.00 petang ni. Apa kata Fariz saja yang bawa Ryna ke butik dan kemudian hantar ke rumah sebelum ke airport?” cadang Tan Sri Daud seraya memandang kedua-duanya.

“He, he. Pandai papa baca apa yang ada dalam fikiran Ryna ni. Boleh, kan papa?”

“Boleh.” Tan Sri Daud memandang jamnya. “Ha, sekarang baru pukul 3.00. Papa cadangkan Ryna pergi sekarang. Kalau tidak, nanti terlewat.”

“Thank you, papa,” jawab Faryna lalu menerpa dan mencium pipi ayahnya.

“Jom, abang Fariz ...”

Dengan pantas Faryna melangkah diikuti oleh Fariz. Namun, sebaik sahaja mereka di luar pintu, Faryna terus berhenti melangkah, lantas berpaling. Wajahnya yang ayu seketika tadi terus berubah masam seperti terlebih cuka.

“Sekarang aku nak tunggu dekat foyer. Pergi cepat-cepat ambil kereta. Kalau kau lambat, siaplah aku laporkan pada papa aku. Faham?”

Fariz hanya mengangguk. Malas dia hendak melayan kerenah gadis itu. Hatinya membengkak. Lebih baik bersemuka dengan penjenayah daripada berdepan dengan gadis yang tak tentu arah ini. Demikian kata hatinya.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED