Hotel Nilton, Brickfields, K. Lumpur
“YOU waste my time,” kata Tobias lalu menoleh mengekori
pergerakan Bruce. “Aku dah tak ada masa. Engkau mesti ajar aku cara gunakan
Silent Dead, sekarang!” Dia memandang Bruce dengan pandangan yang tajam menikam.
Wajahnya memerah. Matanya bersinar memandang Bruce yang masuk ke biliknya tanpa
dipelawa. Bruce terus duduk di sofa. Lelaki yang bersubang di telinga
kanannya itu hanya tersengih.
Tobias berasa dirinya diperlekeh. Hampir separuh
hari dia terperap di bilik hotel ini menunggu Bruce datang untuk mengajarnya
menggunakan Slient Dead. Dia perlu tahu menggunakan alat itu segera agar dia
boleh berlatih dan merangka pelan bertindak. Bila dia menghubungi Bruce,
panggilan-panggilannya langsung tidak dijawab. Tobias berasa dirinya tidak
dipedulikan. Seolah-olah misinya tidak penting.
“Sorilah. Aku ada lunch appointment,” jawab Bruce sambil membuka butang jaketnya
untuk menyelesakan dirinya.
“Aku tak suka EHM. Banyak sangat habiskan duit
kompeni. Joli sana, joli sini. Akhirnya bila gagal, orang macam aku ini jugalah
yang dipanggil menyelesaikan masalah.” Tobias meluahkan kemarahannya.
“Wei! Aku bukan makan-makan aje, tau! Aku makan
sambil berbincang mengenai bisnes!” Bruce meninggikan suaranya kerana diprovok.
“Semua tu majlis sosial yang menghabiskan masa dan
wang!” jawab Tobias dengan sinis.
“Hello! Kami bawa keuntungan berbilion
kepada kompeni! Silap-silap, satu negara kami beli, tau tak? Gaji kamu pun kami
bayar, tau!” tingkah Bruce.
“EHM buat kerja berbulan-bulan. Tetapi kami
selesaikan kerja dalam masa 72 jam! Kadang-kadang tak sampai pun 24 jam! Tak
perlu tunggu lama-lama, tak payah buang duit!” jawab Tobias, tidak mahu mengaku
kalah.
“72 jam? Eh, tipulah! Berapa bulan kamu semua cari
Saddam? Osama Laden pun kau orang tak
jumpa-jumpa lagi. Dah berapa tahun, tu?
72 jam? Dan, kalau jackalcekap
sangat, kenapa Fidel Castro masih hidup sampai sekarang?” Bruce menempelak
hingga wajah Tobias merah padam.
“Kau jangan hina kami, tau!” jerkah Tobias.
“Oh, rupanya kau baru tau yang kau orang terhina?
Semua jackal adalah robot pembunuh.
Tak lebih dari itu! Otak kamu bukan di
sini...” katanya sambil menuding ke kepalanya. “Tetapi di sini...” ujar Bruce
lalu menuding ke kepala lututnya!
Tanpa amaran, Tobias menerkam Bruce. Berat badan
kedua-duanya membuatkan sofa yang diduduki Bruce menyenget dan tumbang ke
belakang. Tobias merentang lengannya ke leher Bruce. Kerahan tenaganya
menampakkan urat-urat di lengannya timbul. Wajah Bruce memerah kerana dia tidak
boleh bernafas. Namun dia segera menghenyak perut Tobias dengan lututnya.
Tobias tertolak dan terduduk di birai katil.
Mata Tobias pantas melilau dan terpandang telefon
di bilik itu. Wayar telefon itu disentap. Plagnya tercabut dari soket. Kini
Tobias mempunyai telefon sebagai senjata. Wayar itu diputar-putar dan gagang
telefon pun berpusing-pusing. Bruce mula gelabah. Dia tertoleh-toleh dan
tercari-cari sesuatu yang boleh digunakan sebagai pelindung diri. Lalu dia
mencapai buku panduan telefon yang beratnya sekilogram. Dalam keadaan cemas ini, buku panduan telefon
akan digunakannya sebagai perisai.
Kedua-duanya teracah-acah. Wayar telefon yang
berpintal-pintal itu menjadikan ia seperti spring. Mudah sahaja Tobias melontar
gagang telefon itu mencari kepala Bruce sebagai sasaran. Bruce pula menggenggam
buku panduan telefon itu menutup wajahnya. Dia terelak-elak.
BISIK, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
TUAN AZIZ tersenyum sinis. Fariz
turut tersengih. Beberapa orang rakan sekerjanya yang ada di situ
tergelak-gelak sama. Mata mereka terpaku di kaca TV yang memaparkan adegan
pergelutan Bruce dan Tobias melalui kamera intipan yang dipancar terus ke bilik
operasi BISIK.
“Macam
kucing dengan anjing…” komen Tuan Aziz. “Begitulah perangainya kalau bertugas
dengan niat nak menunjuk-nunjuk… masing-masing berasa jabatannya lebih penting
dari jabatan orang lain.
Sepatutnya
kita bekerja untuk satu matlamat bersama. Masing-masing ada peranan, tak kira
kecil atau besar. Kesemua unit, bahagian atau jabatan sama-sama mustahak. Tak
perlulah membesar diri dan kata mengata sampai bergaduh macam dua orang mat
salih tu…”
Sambil
mengkritik gelagat Bruce dan Tobias, Tuan Aziz sempat menyelitkan kata-kata
ingatan dan nasihat kepada anak-anak buahnya. Begitulah sikapnya. Pandai
menyelitkan nasihat pada bila-bila masa dengan menggunakan situasi yang terjadi
sebagai tamsilan.
Tuan
Aziz tahu anak-anak buahnya yang ada di situ memasang telinga walaupun
pandangan mereka tertumpu ke kaca TV. Melihat Bruce yang kini kelihatan
tertiarap di lantai dan Tobias tertenggek di belakangnya. Wayar telefon sudah
terlilit di leher Bruce. Dengan tenang Tobias meregang wayar itu. Sebagai
pembunuh, dia sudah biasa melakukan kerja-kerja mendera itu. Tangan Bruce
kelihatan tergapai-gapai untuk berpaut di birai sofa. Tetapi dia kelihatan
semakin lemah tak berdaya.
“Mala…” seru Tuan Aziz melalui alat komunikasi
tanpa wayarnya.
Fariz menoleh memandang bosnya. Kaget seketika bila
terdengar nama rakan seniornya diseru.
“Go in!Leraikan mereka!” Tuan Aziz
meminta Normala melakukan sesuatu untuk
menamatkan pergelutan Bruce dan Tobias.
Hotel Nilton,
Bickfields, Kuala Lumpur
‘DING-DONG…’ Loceng bilik berbunyi. Menandakan
seseorang berada di luar bilik. Tobias bingkas bangun lalu meneropong di lubang
intai yang terdapat di pintu hadapan. Dia nampak seorang petugas wanita
tersenyum simpul, seolah-olah tahu dirinya diperhatikan dari lubang intai itu.
Tobias nampak sebuah troli berhampiran dengan petugas itu. Tampak seperti
makanan.
“Your lunch, sir! Lunch for two?” kata Normala dengan sopan sebaik sahaja wajah Tobias terjengul di
ambang pintu. Dia terus mengangkat penutup salah satu dari pinggan hidangan.
Menyerlahkan kepak-kepak ayam goreng yang masih berasap.
“I did not order any lunch…”
jawab Tobias sambil mengusap dagunya ragu-ragu. Namun, dia menelan liur kerana
kecur. “But, why not… bring it in!”kata
Tobias lagi sambil menggamit agar Normala menolak troli itu masuk.
“Boleh
saya tolong?” Tiba-tiba Bruce muncul dan membantu Normala menarik troli itu.
Tobias hanya tersenyum sinis. Geramnya terhadap Bruce sudah menurun. Gangguan
Normala tiba tepat pada masanya. Dengan mengalih perhatian Tobias, fikiran
lelaki itu dapat dirasionalkan kembali. Mujurlah tidak terjadi apa-apa yang
tidak diingini. Jika salah seorang dari mereka cedera, malah terbunuh, hala
tuju operasi Tuan Aziz dan anak-anak buahnya akan terjejas.
“Let’s enjoy our lunch!” kata
Bruce lalu mencapai sepotong kepak ayam.
“And then… work!” Tobias
mengingatkan.
Lalu
kedua-duanya makan sambil berdiri. Sesekali mereka tertawa seolah-olah tiada
apa-apa perselisihan yang terjadi di antara mereka. Seolah-olah pergelutan
mereka hingga hampir putus nyawa itu bagaikan riadah semata-mata.
“DUDUK kat sini, Tobias,”
kata Bruce sambil menepuk sofa di sebelahnya. “Beri aku fonsel yang aku berikan
pada kau semalam.”
Tobias
menghulurkan fonsel kepada Bruce.
“Inilah
dia Silent Dead!”
Kata-kata
Bruce itu membuatkan mata Tobias mencerlang memandang fonsel itu. Tidak
menyangka sama sekali fonsel yang diberi Bruce kelmarin adalah senjata pembunuh
yang diperkatakan. Bruce itu menyeluk poket jaketnya. Dikeluarkan sebuah buku
kecil dari dompetnya. Lalu diletak ke atas meja. Kemudian dia membuka fonsel
itu. Diletakkan sebelah menyebelah. Tobias memerhati dengan penuh tumpuan
hingga keningnya berkerut-kerut.
“Ini
buku panduan mengenai kecanggihan fonsel ini. Lihat butang oren yang punyai
ikon tengkorak ini. Tengok… bila aku tekan butangnya, tak ada apa-apa yang
berlaku.” Bruce menekan-nekan butang oren itu untuk mendemonstrasikan
maksudnya.
“Tetapi,
sebenarnya fonsel ini boleh membunuh sesiapa sahaja yang kau hubungi. Caranya
ialah, kau dail nombor orang itu. Sebaik sahaja dia menjawab, kau tekan sahaja
butang oren ini. Itu saja,” jelas Bruce.
“Itu
aje? Bagaimana ia membunuh?” soal Tobias.
“Begini…
fonsel menggunakan gelombang radio,” kata Bruce lalu menyelak beberapa halaman
buku kecil itu dan berhenti di sub-judul ‘Fakta Sains.’ “Bila panggilan biasa
dibuat dan penerima panggilan itu menjawabnya, gelombang radio dari fonsel ini
terus pergi ke pusat kawalan telco, kemudian ke pencawang dan terus ke telefon
pengguna.
Selagi
perbualan berlaku, selagi itulah gelombang radio di antara fonsel kau dan si
penerima akan tersambung. Butang oren ini pula mengirim gelombang ultra-radio.
Bila butang oren ini ditekan, gelombang ultra-radio akan terjalin dengan
menolak gelombang radio yang sedia ada dengan kelajuan melebihi Mach 1!” jelas
Bruce.
“Itu kelajuan jet supersonik!” celah Tobias.
“Hmm… Kelajuannya itulah yang merempuh gegendang
telinga si penerima. Kepanasannya pula akan membuatkan sel-sel menjadi cair.
Oleh kerana fonsel digunakan berhampiran dengan otak, gelombang ultra-radio ini
akan mencairkan synapse iaitu
penghubung ke sel-sel neuron. Bila ini terjadi, memori si penerima akan
terputus.”
“Hmm… seperti black-out?”
tanya Tobias.
“Bukan
sahaja black-out, tapi breakdown!Kerana kepanasan, sel-sel ini akan meletup dan si
penerima panggilan akan mati dalam masa 30 saat!”
“Sebenarnya, apa yang berlaku pada mangsa?” soal
Tobias.
“Telinga penerima akan berdesing kuat. Seperti
mendengar bunyi enjin jet di dalam kepalanya. Kepalanya boleh berasap. Bila dia
mati, darah akan keluar bukan sahaja dari telinga, hidung dan mulutnya tetapi
melalui kepalanya kerana liang-liang rambutnya akan terbuka akibat kepanasan!”
jawab Bruce.
Bruce memandang Tobias. Lelaki yang pada mulanya
serius itu mula tersenyum meleret. Kemudian dia tertawa berdekah-dekah.
Nampaknya dia seronok mendapat alat permainan yang baru. Tidak sabar lagi
hatinya hendak mempraktikkan apa yang diperolehinya. Wajah Abu Afdhal
tertayang-tayang di mindanya. Gigi gerahamnya berlaga. Otot-otot di pipinya
kelihatan bergerak-gerak.
“Kaulah orang yang pertama diberikan penghormatan
untuk menggunakan alat ini. Dan, aku tau siapa yang ada di fikiran kau. Kau teringatkan
Abu Afdhal, kan?”
“Hmph!” jawab Tobias lalu mendengus. Tangannnya
masih tak lepas membelek-belek Silent Dead.
“Do your job, Tobias.Aku
diarahkan ibu pejabat untuk bantu kau.”Itulah
janji Bruce kepada rakannya.
“Boleh aku tanya kau
sesuatu, Bruce?”
“Apa?”
“Siapa yang cipta alat
ini?”
“Entah!” jawab Bruce
seraya membuat muka bodoh. Walhal, dia dan Willemlah yang mencipta senjata
pembunuh itu.
BISIK, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
FARIZ terpaku melihat senjata baru
yang bakal digunakan Tobias. Bagaimana untuk menghalang Tobias melakukan
pembunuhan itu? Apakah dengan menangkap lelaki itu sebelum dia bertindak? Atau
melarikan Silent Dead, atau menghalang Abu Afdhal menggunakan fonselnya?
“Fariz ... saya nak tau apa itu Silent Dead
sebenarnya...”
Fariz
menoleh ke arah Tuan Aziz bila lelaki itu bersuara. Bersedia mendengar
dan menerima arahan. Apabila perintah dicetuskan, dia akan melaksanakan dengan
cekap dan kemas. Tepat pada jangkamasa yang ditetapkan.
“Apa spesifikasi Silent Dead, fungsinya, frekuensi
gelombangnya, teknologi dari mana... Saya nak tau secara terperinci. Kita belum
pernah berdepan dengan senjata seperti ini. Kerana itu... saya hendak senjata
itu di tangan saya! Go and get it!”
“Baik, tuan,” jawab Fariz. Di mindanya terbayang
komputer Bruce di pejabat Globest. Dia percaya, segala maklumat mengenai Silent
Dead boleh digali dari komputer itu. Untuk mendapatkan Silent Dead pula, bukan
kerja yang mudah. Namun, dia akan laksanakan tugasan itu. Mencuri atau
merampasnya dari tangan Tobias bukan pokok persoalannya lagi.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...