Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Senjata Pembunuh Silent Dead ~ Fragmen 23

Bukit Bintang, K. Lumpur

DARI stesen monorel Bukit Bintang, Tobias menyusuri kakilima untuk mencari restoran Arabian Tent. Dia perlu memandang dengan berhati-hati kerana di kawasan Bukit Bintang juga terdapat pelbagai restoran Pakistan dan India selain daripada restoran Vietnam, Cina dan Melayu.

Sekali pandang, memang dia keliru kerana terdapat berpuluh-puluh restoran di situ. Di hadapan Lot 10, dia terpandang Restoran Tarbush, sebuah restoran makanan Arab-Lubnan. Setelah menyeberangi jalan, dia terpandang pula Restoran Naab, sebuah lagi restoran masakan Arab-Iran.

Dengan sebuah kamera digital di tangan, sekali-sekala, Tobias berpura-pura mengambil foto agar kelihatan seperti seorang pelancong. Sekali-sakala, dia membuka fonselnya untuk mencari tempat dituju melalui sistem GPS. Akhirnya dia nampak pintu gerbang Ain Arabia jauh di seberang jalan.

Ain Arabia ialah kawasan bazar untuk pelancong Arab. Sempena tahun melawat Malaysia pada 2007, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan telah memperuntukkan kawasan di Jalan Berangan ini sebagai tempat para pelancong dari negara Arab membeli-belah.

Langkah Tobias semakin pantas. Setelah melewati pintu gerbang, dia tercari-cari restoran Arabian Tent yang dinyatakan di dalam mesej yang diterimanya. Tidak sukar menemui restoran itu kerana ia terletak tidak jauh dari simpang jalan.

Restoran yang berbentuk khemah itu penuh dengan pengunjung. Rata-rata mereka dari kalangan para pelancong dari negara Timur Tengah. Dengan wajah ala-orang Arab, Tobias mudah sahaja mendapatkan tempat jauh di sudut yang membolehkannya melihat ke seluruh kawasan restoran.

Perutnya terasa lapar. Lalu dia memesan salad shirazi iaitu hidangan sepinggan yang mengandungi tomato, bawang, timun yang digaul dengan pelbagai herba.

“Tobias...” Seseorang membisik namanya.

Tobias terkejut. Terus bersedia untuk mempertahankan diri andainya diserang. Gerakannya terhenti bila dia cam lelaki yang kini tampil di hadapannya ialah Bruce. Dia menerima imej lelaki itu bersama imej Abu Afdhal melalui MMS sebentar tadi. Lalu dia menghulurkan tangan. Mereka bersalaman. Namun dia kaget dengan kemunculan Bruce secara tiba-tiba.

“Macam mana kau tau aku ada kat sini?”

Bruce tertawa perlahan. Fonsel kecilnya ditayang dan digoyang-goyangnya di depan mata Tobias.

“Fonsel aku yang beritahu kat mana kau berada, Tobias. Bila aku panggil kau dan fonsel kau berdering, aku tau kau berada di mana,” jawab Bruce. Fonselnya canggih kerana dapat mengenalpasti lokasi si penerima bila panggilan tersambung.

“Fon aku berdering?” tanya Tobias sambil mengeluarkan fonselnya. Dia mengeluh bila tidak sedar ada satu panggilan masuk kerana dia membisukan bunyi nada dering. Kerana itulah Bruce boleh menjejakinya.

“Kau tau tak, kalau aku pembunuh upahan, aku boleh bunuh kau, Tobias?” kata Bruce perlahan sambil tergelak-gelak.

Tobias terhenti mengunyah. Sebagai seorang pembunuh, dia biasa menyerang. Jarang sekali dia diserang kembali kerana tindakannya pantas, kemas dan jitu menewaskan musuh. Kata-kata Bruce itu membuatkan bulu tengkuknya berdiri kerana teringat musuhnya yang masih belum tewas iaitu Abu Afdhal al-Nahyan.

“Tapi teknologi yang kau gunakan ini dah lama ada, Bruce. Aku tak hairan. Sistem GPS tak boleh digunakan kalau aku sentiasa berjalan di kawasan yang berbumbung. Sebab isyarat satelit tak akan sampai. Hah! Aku boleh aje mengelak,” ujar Tobias bagi menyedapkan hatinya.

“He, he, he! Fon ini tak gunakan GPS, tapi MGPR. Micro Ground Penetrating Radar menggunakan gelombang mikro frekuensi rendah. Isyaratnya sampai walaupun kau berada dalam perut bumi! Kau nak lari ke mana?” kata Bruce dengan yakin. Sebagai seorang pakar kewangan yang juga seorang pakar IT, dia lebih tahu mengenai teknologi maklumat.

Tobias tidak menunjukkan reaksi. Walaupun dia tahu kebenaran kata-kata Bruce, namun dia buat-buat tidak mengerti. Seolah-olah kata-kata Bruce itu tidak berupa ancaman. Pembunuh terlatih tidak takut dengan kata-kata.

“Willem kata, kau seorang jackal,” bisik Bruce secara tiba-tiba.

Tobias lekas-lekas melintangkan jari telunjuk ke bibirnya. Matanya melingas memandang ke sekeliling kerana khuatir kata-kata Bruce didengari mereka yang duduk berhampiran kerana jackal adalah gelaran bagi pembunuh upahan. Bruce yang tersentap dengan reaksi itu hanya terpaku.

“Kalau kau sebut perkataan itu lagi, aku patahkan leher engkau. Mengerti?” bisik Tobias sambil mengetap bibir kerana geram.

“Okey, okey,” ujar Bruce lalu mengangkat kedua-dua tangannya bagai orang menyerah kalah.

Tobias sendawa lalu mengelap mulutnya dengan napkin. Tekaknya tersekat kerana berasa kering. Segelas minuman air suam di hadapannya sudah habis.

“Hei, kau nak pesan minuman lagi? Aku belanja?” Bruce cuba mengambil hati.

Tobias mengangguk. Terasa hendak minum lagi.

“Aha, aku nak perkenalkan pada kau minuman kegemaran rakyat Malaysia. Kau mesti rasa,” kata Bruce dengan niat mengambil hati rakan barunya itu. Dia terus melambai seorang pelayan berhampiran. “Berikan dua teh tarik halia!”

Seketika kemudian, dua gelas besar minuman berwarna coklat muda yang berbuih itu sampai ke meja yang diletakkan oleh seorang pelayan wanita. Mereka terus menghirupnya sambil berbual perkara-perkara yang menjurus ke arah kerjaya masing-masing.

“Silakan minum, Tobias. Kau akan rasa keistimewaannya,” pelawa Bruce.

Mereka bergelak ketawa. Sedikit pun mereka tidak peduli siapa pelayan wanita yang menghidangkan minuman mereka. Lantas wanita itu pergi ke satu sudut untuk menghubungi seseorang.

“Tuan... Bruce ada di sini dengan seorang lelaki bernama Tobias,” ujar wanita itu melalui fonsel tanpa wayarnya.

“Terima kasih, Mala! Nanti saya belanja awak teh tarik gelas besar!”

Wanita itu hanya tersenyum mendengar suara usikan bosnya Tuan Aziz.


MENJELANG petang, para pengunjung ke restoran ini semakin bertambah. Tobias menanti peluang yang baik untuk bertanya apakah arahan yang akan Bruce sampaikan kepadanya. Oleh kerana meja-meja di Arabian Tent ini dipenuhi dengan para pelancong Arab, mereka harus berhati-hati dalam perbualan.

“Aku diminta untuk sampaikan maklumat baru ini kepada kau,” ujar Bruce separuh berbisik.

Tobias berpura-pura tidak memandangnya. Namun dia memasang telinga. Lalu mengangguk sedikit sebagai isyarat agar Bruce meneruskan kata-katanya.

“Ada satu lagi sasaran yang akan tiba ke Malaysia!” bisik Bruce.

“Siapa?”

“Khaleed al-Nahyan!”

“Khaleed al-Nahyan? Siapa dia?”

“Abang Abu Afdhal!”

“Abang Abu Afdhal?” Tobias mengerutkan dahinya.

“Dialah di antara pembiaya gerakan Jemaah Intifada Sedunia. Kita baru tahu mengenainya. Selepas tiga saluran kewangan Abu Afdhal kita keringkan, kita dapati dia masih mendapat bantuan kewangan. Rupa-rupanya ada seorang lagi pembiaya iaitu abangnya sendiri. Khaleed juga seorang jutawan. Khaleed dan Abu Afdhal memang rapat sejak kecil...”

Pengkisahan Bruce dengan penuh semangat itu terhenti bila Tobias mengangkat tangannya. Bibirnya diketap menahan geram. “Kau tau... aku tak perlu asal usul seseorang sebelum aku bunuh dia. Cepat ceritakan apa arahan untuk aku!”

Bruce tersenyum kerana Tobias nampaknya tak sabar. “Apa lagi tugas engkau kalau tak membunuh?”

“Bunuh siapa?”

“Abu Afdhal!”

Tobias terangguk-angguk. Sekali lagi wajah lelaki Palestin itu terbayang di layar mindanya. Pergelutannya dengan lelaki itu di Perancis hingga meninggalkan parut yang berbekas di wajahnya itu tidak akan dilupakannya untuk sepanjang hayat. Kali ini, dia berpeluang untuk membalas dendam. Dendam kesumat yang berakar dari lubuk hatinya yang hitam.

“Boleh aku tanya kau sesuatu?” tanya Tobias setelah seketika dia termenung.

“Kenapa tidak?” jawab Bruce.

“Kau seorang EHM. Selalunya EHM tak ada kena mengena dengan hal-hal seperti ini.”

Bruce mengukir senyuman bangga.

“Ada dua sebab, Tobias... yang pertama, Abu Afdhal dan Khaleed akan datang menemui pengerusi syarikat di mana aku bertugas. Sebab itu aku terlibat kerana aku ditugaskan untuk memberi kau maklumat terkini. Kedua, aku diarahkan untuk bekalkan kau senjata. Faham?”

Dengan kata-kata itu, Bruce mengangkat punggung.

“Hei, kau nak ke mana tu?” soal Tobias.

“Balik,” jawab Bruce.

“Mana senjata aku?”

Bruce tidak menjawab. Namun dia menyeluk poket dan mengeluarkan sebuah fonsel lalu meletakkannya di atas meja. Kening Tobias terangkat. Dia kehairanan kerana Bruce tidak menjawab pertanyaannya.

“Pakailah telefon ni. Ia lengkap dengan semua data penting mengenai Malaysia, internet, GPS, MMS dan segala fungsi komputer. Yang lebih penting, ia pasca bayar!” kata Bruce separuh bergurau. “Tapi ingat! Jangan sekali-kali kau sentuh butang yang warna oren yang tiga segi tu! Tunggu sampai aku ajar kau cara menggunakannya!” ujar Bruce.

Seketika sahaja dia sudah menghilang di celah-celah orang ramai meninggalkan Tobias yang termangu-mangu. Dia mencapai fonsel Bruce dan membelek permukaan yang dipenuhi dengan butang-butang angka. Lalu matanya terpandang butang oren berbentuk tiga segi yang dimaksudkan. Butang itu tidak bernombor. Sebaliknya ia mempunyai ikon tengkorak manusia.

Dengan selamba dia memasukkan fonsel yang tidak berjenama itu ke dalam jaketnya. Dia sama sekali tidak mengetahui fonsel itu mempunyai nama ~ Silent Dead!

Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED