Palladium 18, Putrajaya
APABILA Tuan Aziz mematikan enjin keretanya, suasana menjadi sepi. Sesekali
kedengaran bunyi guruh di kejauhan. Dia menguap dan menggeliat. Matanya mula
mengantuk. Ketika berbincang dengan PM sebentar tadi, dia tidak langsung berasa
penat dan letih. Hanya ketika memandu sebentar tadi, baharulah kepenatan
menjelma.
Sebaik sahaja melangkah keluar kereta, hujan
gerimis mulai gugur. Sambil menapak, dia mengintai melihat bilik tidurnya di
tingkat atas banglonya. Hanya cahaya lampu tidur kuning yang suram terbias ke
langsir. Tuan Aziz melihat ke bilik di hujung banglonya. Bilik itu sudah gelap.
Pasti kedua-dua anaknya telah terlena.
Dia melangkah perlahan di
patio. Sambil itu matanya memandang ke kiri dan kanan sudut kediamannya. Ada
cahaya berupa titik merah yang berkelip-kelip di kedua-dua sudut bangunan itu.
Menandakan CCTV di rumahnya sedang berfungsi.
Sebagai anggota perisikan, dia juga amat prihatin
dengan soal keselamatan diri dan keluarganya. Tuan Aziz menyeluk saku.
Mengeluarkan kunci rumah dan membuka pintu. Tombol pintu dipulas.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi derap tapak
kasut yang menggeser pasir di simen. Bunyi itu datang dari arah belakangnya.
Tangan Tuan Aziz secara spontan pantas menggenggam pistol yang tersisip di
pinggangnya. Lalu dia berpaling dan mensasarkan pistolnya ke arah satu lembaga
di belakangnya.
“Maaf... maafkan saya tuan,” kata suara itu lalu
melangkah dari kegelapan untuk mempamerkan dirinya dengan kedua-dua tangannya
tergawang sebagai isyarat menyerah diri. Tuan Aziz mengeluh lega bila melihat
wajah itu.
“Awak mengejutkan saya, Fariz,” ujar Tuan Aziz.
“Jangan buat macam tu lagi. Mujur saya
cepat cam awak. Kalau tidak...” Tuan Aziz tidak menghabiskan kata-katanya. Dia
hanya tergeleng-geleng kesal membuatkan Fariz
terasa bersalah.
Fariz terkebil-kebil bila menyedari akan
kesilapannya. Seharusnya dia menghubungi bosnya terlebih dahulu sebelum ke
mari. Sepatutnya dia berdehem dan tidak menyelinap seperti pencuri. Fariz tidak menyangka kemunculannya mengejutkan
lelaki separuh umur itu. Mungkin bosnya itu sedang memikirkan sesuatu hingga
tidak sedar akan kehadirannya. Walaupun dia tidak berniat untuk membuat kejutan
terhadap bosnya, kemunculannya dengan cara begitu boleh mengundang padah.
“Err... masuklah, Fariz. Awak ada perkara penting,
kan?” pelawa Tuan Aziz setelah beberapa ketika dia berdiam diri.
Fariz
menonong memasuki rumah. Dia perlu berdiam diri membiarkan Tuan Aziz
menenangkan hati sebelum menyampaikan apa yang ditemuinya mengenai Bruce
McCallum. Oleh itu dia hanya memerhati
bosnya merapatkan pintu dan meletakkan kunci keretanya di meja kecil di sisi
sofa. Kemudian memasang kipas angin menggunakan alat kawalan jauh. Kipas yang
mula berputar dari perlahan hingga laju itu mengibarkan sedikit helaian-helaian
akhbar yang terletak di sebuah sofa.
“Apa cerita menarik mengenai Bruce McCallum, Fariz?”
soal Tuan Aziz sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di sofa.
Fariz
menyeluk poket dijaketnya lalu mengeluarkan beberapa helai kertas yang
dilipat empat. Dia membukanya dan meletaknya di atas meja cermin di antara
mereka. Sebuah mangkuk kristal kecil yang terletak di atas meja digunakan untuk
menindih kertas-kertas itu dari melayang.
Tuan Aziz hanya tersandar memerhati. Tidak
langsung menunjukkan reaksi. Dia mahu Fariz
sahaja yang memberikan penjelasan. Jika perlu, baharulah dia meneliti
apa yang tercetak di helaian kertas putih itu.
“Mula-mula, latar belakangnya, tuan...” kata
Fariz perlahan.
“Straight to the point, Fariz. Saya dah tahu latar belakangnya
sebagai pakar ekonomi di JustWorld tu. Teruskan pada perkara yang lain,” celah
Tuan Aziz bagai mahu mematikan keterujaan Fariz
yang baru mula membuka bicara.
“Begini, tuan... selain dari pakar ekonomi, dia
juga pakar IT, tuan,” jawab Fariz dengan
yakin. “Selain belajar di Havard Business School, Bruce pernah belajar di
University of Stuttgart, German dalam bidang IT. Sebelum bekerja di JustWorld,
dia pernah bertugas di Combyte Systems di Santa Clara, California. Combyte Systems ialah syarikat yang
menggabungkan teknologi komputer dalam pensenjataan.
Saya dah layari laman Combyte. Syarikat ini adalah
vendor teknologi komputer untuk pelbagai jenis senjata moden, dari pistol
hingga ke bahan letupan. Bruce pernah bertugas sebagai penyelidik di syarikat
itu.”
Tuan Aziz mula tertarik dengan penerangan Fariz. Dari
kedudukan bersandar, dia mula duduk tegak. Fariz perasan akan minat yang mula ditunjukkan oleh
bosnya. Dia semakin bersemangat memberi laporan.
“Saya mengesyaki Bruce adalah orang yang berbahaya
buat Globest, tuan. Jika tidak dikekang, tindakannya akan menjahanamkan
syarikat itu. Baru seminggu bertugas, dia sudah mengirim maklumat-maklumat sensitif
Globest ke JustWorld! Setakat ini, dia dah kirim 15 e-mel ke ibu pejabatnya.
Semua e-melnya disertakan dengan sisipan fail, foto dan video perancangan
pelaburan-pelaburan Globest di Bwana,
Afrika. Dan...”
“Err... saya tak nampak apa-apa yang pelik, Fariz,”
celah Tuan Aziz. Dia sengaja memprovok anak buahnya itu untuk menguji. “Bagi
saya, sebagai penasihat ekonomi dan wakil pihak pelabur, tentu sekali Bruce
akan mengirim apa sahaja maklumat untuk kajian dan rujukan ibu pejabatnya.”
Kata-kata itu menyentap tangkai hati Fariz. Dia
tahu Tuan Aziz belum yakin dengan apa yang dibentangnya. Lalu dia mengangkat
sehelai kertas yang dipenuhi cetakan komputer dan diunjukkan kepada ketuanya.
“Ini adalah rekod aktiviti carian Bruce. Kalau
segala fail, video dan foto diambil dari fail umum, ia bukan masalah. Tetapi,
masalah akan berlaku bila dia dapat segala maklumat rahsia syarikat. Tuan...
saya kesan dia cuba memecah katalaluan untuk mengakses server Globest. Setiap hari dia lakukan perkara ini. Setakat ini...
dia belum berhasil. Saya percaya dia akan cuba masuk sehingga berjaya dan
kemudian mencuri segala maklumat Globest!”
Mendengarkan itu, Tuan Aziz mengucap panjang di
dalam hati. Telahannya mengenai kehadiran Bruce dan beberapa orang penasihat
pelaburan di pelbagai syarikat kerajaan dan swasta dengan niat jahat semakin
terserlah.
Dia teringat taklimatnya kepada PM tempohari
mengenai sekumpulan economic hitman
atau EHM untuk berpangkalan di dalam syarikat-syarikat utama di negara ini.
Cadangannya kepada PM agar memberinya peluang membuktikan kewujudan EHM telah
diterima. Kini, dia hampir dapat membuktikan salah satu darinya. Apa yang perlu
ialah mengesan tindakan-tindakan Bruce yang bakal melumpuhkan Globest. Jika dia
berjaya memperoleh bukti-bukti itu, baharulah PM akan bertindak mengekang
aktiviti kesemua penasihat-penasihat pelaburan dari luar yang berada di
syarikat-syarikat lain.
Tuan Aziz termenung panjang memikirkan tindakan
yang patut dilakukan. Tidak disedari perilakunya diperhatikan Fariz. Namun,
pemuda itu tidak mahu mengganggu bosnya dengan pertanyaan. Lalu membiarkan Tuan
Aziz berbicara dengan fikirannya. Setelah beberapa ketika baharulah Tuan Aziz
tersedar yang Fariz hanya duduk tercatuk
menunggu perintah darinya.
“Fariz ...” katanya perlahan.
Pemuda itu mengangkat kepala bila mendengar
namanya diseru. Matanya memandang Tuan Aziz tanpa berkelip-kelip. Sentiasa
menanti perintah selanjutnya.
“Awak teruskan pemantauan. Saya nak tahu tindakan
Bruce selanjutnya. Pengintipan ini amat penting. Kalau kita berjaya buktikan
aktiviti Bruce tanpa ragu-ragu lagi, negara kita akan terselamat.”
Fariz terangguk-angguk meskipun tidak mengerti
bagaimana kejayaan pengintipannya boleh menyelamatkan negara. Mungkin Tuan Aziz
bercakap begitu untuk memotivasinya. Walau apa pun, tanpa motivasi begitu dia
akan lakukan tugas yang diarahkan dengan baik kerana dia berpegang pada amanah.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...