Pulau Ko Pha Ngan, Thailand
SENJA mula berlabuh.
Mentari mula bersembunyi di sebalik bukit. Alam yang terang mula berubah suram.
Kerlipan lampu-lampu kapal di horizon mula kelihatan. Sebuah perahu bermotor
sangkut yang mengharungi laut dari pantai Surathanee semakin menghampiri Pulau
Ko Pha Ngan.
Enjin
bot diperlahankan. Kiet begitu berhati-hati mengemudinya dengan tenang agar
tidak terlanggar batu karang. Matanya meliar memandang ke sekeliling kawasan.
Khuatir kalau-kalau kehadiran mereka disedari orang.
Enjin
dimatikan. Perlahan-lahan bot itu meluncur mendekati kawasan pantai yang
berbatu. Kawasan yang agak jauh dari orang ramai ini akan menjadi tempat
mendarat. Bot akan disembunyikan di sini sehingga operasi selesai dan mereka
menghilang dari pulau ini.
“Kita dah sampai,” bisik Kiet.
Fariz Zafar membuka matanya. Tidak sedar bila dia
terlena. Kepalanya digeleng-geleng. Matanya masih lagi terasa berat. Kemudian
dia bingkas bangun bila tersedar suara yang didengarnya itu suara Kiet.
Ingatannya terhadap tujuannya ke mari bersama rakan sekampusnya itu menyerbu ke
fikirannya. Sudah seharian mereka memasuki Thailand, terus ke pekan Tak Bai,
langsung ke Narathiwat dan ke Surathanee sebelum mengharungi lautan ke pulau
ini.
“Kenapa
kau tak gerakkan aku?” tanya Fariz
sambil menyarung baju-T. Kemudian dia menepuk-nepuk sebuah beg kanvas
yang kelihatan tepu berisi sesuatu lalu menyandangnya.
“Aku
tau kau penat. Biarlah kau tidur dulu,” jawab Kiet.
Kedua-duanya
terus turun meranduk air lalu menolak bot hingga ke celah-celah batu. Lalu
mereka berdua duduk seketika melepas lelah dan menanti hari gelap.
“Adik kau ada kat mana?” bisik Fariz.
“200 meter di hadapan,” jawab Kiet lalu menuding jari ke
suatu arah. “Ada kawasan calet bernama Coconut Resort. Adik aku ada di calet
yang paling hujung. Okey, kita bersiap...” perintah Kiet.
Kiet
menyeluk sakunya lalu mengeluarkan seutas rantai berloketkan kuku harimau yang
diperbuat dari jed. Dia menghulurkan kepada Fariz.
“Pakailah,”
cadang Kiet.
“Apa,
ni? Eh, aku tak pakai azimatlah, Kiet.”
“Itu
bukan azimat. Itu tanda pengenalan.”
“Ha,
yang ini barulah azimat,” ujar Kiet lalu menghulurkan sesuatu. Fariz menyambut benda yang berbonggol itu. Dalam
kesuraman kawasan sekeliling, dia cuba membelek apa yang dihulurkan oleh Kiet.
“Engkau pandai guna pistol?” soal Kiet. “Ha, engkau
PALAPES di kampus dulu, kan?”
Fariz mengangguk.
“Apa senjata kau pulak?”
“Pisau.
Pisau Rambo,” jawab Kiet lalu menayangkan sebilah pisau berukuran 30
sentimeter. Tampak kilatannya dibias cahaya rambulan. Mereka bersalaman.
“Okey.
Kita berpecah, sekarang,” kata Fariz.
“Hmm... seperti
yang dirancang, ya?” jawab Kiet.
“Beres!” Kedua-duanya menjawab serentak sambil membuat bulatan menggunakan ibu jari
dan jari telunjuk ebagai isyarat ‘okey.’
Fariz
melangkah ke hala pantai sementara Kiet pula merentasi jalan dan menyusup semak
samun di celah-celah pohon kelapa. Sambil
melangkah dengan berhati-hati, Fariz terus memasang telinga. Apa sahaja bunyi
yang menarik perhatiannya akan membuatkan langkahnya terhenti. Bila bunyi yang
disedarinya itu bukan dari manusia, baharulah dia meneruskan langkah.
Tiba-tiba Fariz terasa poketnya bergetar. Fonselnya
menerima panggilan. Fariz berhenti melangkah lalu mengepil di sebatang pohon
kelapa. Fonselnya segera ditarik dari poket. Matanya segera menekur ke skrin.
‘Alamak... apa yang dia orang nak?’ Bebel Fariz di dalam
hati lantas terus mematikan fonselnya.
Fikirannya terus melayang ke ibu pejabat BISIK.
Tertanya-tanya mengapa dia menerima panggilan dari situ. Bukankah dia bercuti?
Bercuti di atas arahan Ketua Pengarahnya sendiri iaitu Tuan Aziz? Fariz
terfikir juga, mungkin panggilan dari ibu pejabatnya itu penting dan perlu
dijawab.
Tetapi, misi yang sedang ditangani ini juga penting.
Meskipun ia adalah misi peribadi kerana menolong seorang sahabat, namun ia
adalah soal hidup dan mati. Soal hidup dan mati Kiet, adiknya, malah dirinya
sendiri!
BUNYI letupan bergema di angkasa. Fariz
terkejut dan bersembunyi di sebalik pohon kelapa. Bersiap sedia
menghadapi sebarang kemungkinan. Bunyi trumpet pula kedengaran. Kemudian
diikuti dengan bunyi gitar elektrik. Menggegar dada. Membingit telinga. Setelah
mengamati bunyi-bunyi itu, Fariz
tersenyum sendirian.
Terasa
malu kerana menyangka bunyi pukulan deram yang dipantul dari alat pembesar
suara itu adalah bunyi tembakan mesin
gun. Padahal bunyi itu adalah sebahagian dari irama lagu.
Fariz bergerak menghala ke arah bunyi-bunyian itu.
Sebaik sahaja dia memandang ke kaki langit, Fariz terpesona memandang bulan
penuh mula mengambang. Cahayanya yang remang-remang menyeri suasana. Persis
sebuah lukisan realisme di dada malam.
Malam
ini, seperti malam-malam bulan penuh yang lain, Full Moon Party atau Pesta Bulan Penuh diadakan di pulau ini. Meja-meja kecil sudah tersusun berderet di
sepanjang pantai dan beribu-ribu lampu kecil dinyalakan. Menghidupkan suasana
pantai di waktu malam.
Bila
muzik bergema, bermulalah pesta tarian mengikuti irama. Tak kira sama ada dari
genre trance, techno mahupun raggae, sesiapa sahaja bebas menari
mengikut rentak yang digilai. Makanan dan minuman disediakan di deretan
gerai-gerai di sepanjang pantai ini. Para pelancong dari merata dunia memenuhi
dan menyesakkan keadaan. Inilah satu-satunya identiti pesta di Pantai Ko Pha
Ngan ini. Dalam sesebuah pesta bulanan ini, antara 7,000 – 10,000 pengunjung
akan menghilangkan siuman di sini.
Fariz tersenyum sendirian. Dia kagum melihat begitu
ramainya orang barat di pantai ini. Pada jangkaannya, tentulah pulau yang
terpencil ini dipenuhi oleh penduduk tempatan. Masing-masing menari bagai tak
ingat dunia. Sambil berjalan menyelit di antara mereka yang terkinja-kinja
menari, dia tertarik melihat seorang ahli sarkis tak henti-henti menelan api
dan menyemburnya. Lelaki itu seolah-olah berjalan mengiringinya ketika dia
melangkah sambil melakukan aksinya.
Pada
satu ketika ahli sarkis itu menoleh dan merenung rantai berloketkan kuku
harimau yang dipakainya. Lalu dia terus menyembur api ke arah Fariz. Nyaris dia
disambar api. Darahnya menyirap. Lalu dia merenung lelaki itu dengan rasa geram
kerana diperlakukan begitu. Namun lelaki itu hanya tersengih lalu berkata...
“Go to Coconut Resort and find a black chalet. Someone is
waiting for you!”
Fariz kaget seketika. Tidak sedar yang rupanya dia
sudah menemui kontaknya di sini. Fariz
terus melangkah ke deretan calet. Semakin lama dia menapak, semakin
gelap suasana di sekeliling. Hanya cahaya lampu yang dilindungi oleh pepohon
kelapa sahaja menyinari jalan ke calet itu.
Sambil berjalan, dia memasang telinga dan memantau dengan ekor matanya.
Derianya
terasa ada kelibat manusia mengekorinya. Dari satu pohon ke satu pohon, lembaga
itu bergerak pantas membayangi pergerakannya. Fariz berhenti. Memandang tepat ke semak lalang di
bawah sebuah pohon kelapa. Dia nampak kelibat itu bersembunyi di situ. Lama
juga dia memerhati. Namun, selama itu jugalah kelibat itu tidak menampakkan
bayang.
Tiba-tiba
tengkuknya terasa ditendang. Fariz
tersungkur. Belum sempat dia bergerak, tubuhnya ditelentangkan. Seorang
lelaki bertubuh besar menindihnya. Cahaya lampu suluh terus memanah ke anak
matanya. Fariz tersilau.
“Kau
bukan Kiet!” seru lelaki itu.
“Kiet
tak dapat datang! Aku sepupunya.” Fariz
berbohong.
“Kau
bawa duit?”
“5,000. Dalam matawang U.S.” jawab Fariz.
“Kau
bawa ini untuk apa?” tanya lelaki berbadan besar itu lalu menayang-nayangkan
sepucuk pistol. Baharulah Fariz sedar
yang senjatanya sudah dirampas!
“Untuk
keselamatan. Kalau orang lain rompak duit yang aku bawa, bos kau tak akan dapat
apa-apa,” jawab Fariz sambil
menepuk-nepuk beg sandang yang dibawanya.
BILA pintu terkuak, Fariz nampak seorang
lelaki botak dan berjambang duduk menghadap ke pintu. Kepalanya dililit dengan
kain merah. Kakinya terjulur di atas meja. Mata sepetnya tak berkelip memandang
Fariz. Bulu keningnya yang tebal itu menambah garang raut wajahnya.
Menggerunkan sesiapa sahaja yang lemah semangat. Pasti lelaki ini adalah ketua
sindiket seperti yang dikhabarkan oleh Kiet. Ada dua orang lelaki berdiri
memeluk tubuh di kanan dan kirinya.
Fariz ditolak ke depan. Nyaris dia tersungkur
mencium kasut lelaki itu. Mujurlah dia dapat menahan tubuhnya dengan tangan.
Fariz terasa beg sandangnya diragut dari
belakang. Seketika sahaja begnya sudah diletakkan ke atas meja, di antara
kedua-dua kaki lelaki berjambang itu. Lelaki bertubuh besar yang menghenyaknya
sebentar tadi amat pantas bertindak. Seketika tadi, pistolnya dirampas tanpa
disedarinya. Kini begnya ditarik sebegitu sahaja.
Bahu
Fariz ditarik. Dia dipaksa duduk
bersandar pula. Lelaki botak yang berjambang itu terus berdiri dan berjalan
berlegar-legar di depannya. Kemudian dia menguit jarinya menggesa Fariz membuka beg sandangnya. Perlahan-lahan
Fariz menyentuh beg itu. Gerakannya
diperlambatkan kerana menanti isyarat dari Kiet. Jejarinya terkial-kial membuka
ikatan beg kanvas itu. Dia sengaja berpura-pura seolah-olah sukar membuka tali
penutup beg itu.
‘Mana
isyarat Kiet?’ tanya hatinya. ‘Cepatlah!’
Tiba-tiba
dia berasakan fonsel di dalam poketnya bergetar. Sekali, dua kali dan berhenti.
Sekali, dua kali dan berhenti. Dua kali panggilan sudah jelas menandakan yang
Kiet sudah berada di pantai. Pasti Kiet sudah dapat menyelamatkan adiknya.
“Woi!
Kau nak aku tunggu duit tu sampai esok pagi? Cepatlah!” tengking lelaki
berjambang itu.
“Tali
beg ini dah tersimpul mati. Susah nak bukak. Ada pisau?” Fariz memberi alasan seperti yang dirancang.
Lelaki
berjambang itu mengisyaratkan agar lelaki yang bertubuh besar itu menghulurkan
pisau. Tiba-tiba kedengaran bunyi bising dari arah belakang calet. Menarik
perhatian kesemua mereka di dalam ruang ini. Seketika sahaja seorang lelaki
muncul dengan wajah cemas di muka pintu.
“Awut!
Mangsa culik dah lari!”
“Apa?”
Soal lelaki berjambang itu seolah-olah meminta kuncunya mengulang kenyataan.
Secara spontan lelaki yang bernama Awut itu menoleh ke arah Fariz. Matanya yang
sepet itu dibeliakkan. Menzahirkan lagi kemalaunannya.
“Kalau
mangsa dah lari, aku tak boleh berikan wang ini!” Dengan spontan Fariz membuat alasan. Melengahkan masa untuk
mencari akal.
“Sekarang
wang itu jadi cagaran! Bawa ke mari!” jerit Awut.
“Nah!”
Dengan
pantas, Fariz merejam beg itu.
Menghalang seketika pandangan Awut. Pada saat itu juga, Fariz merampas pisau di tangan lelaki yang
berhampiran dengannya.
Dengan
pantas, lengan lelaki itu ditikam. Lelaki itu meraung. Fariz melompat ke atas meja dan menendang seorang
lagi lelaki yang berada di situ. Dia terhenyak ke belakang, menghempap sekali
lelaki yang muncul membawa khabar buruk itu. Lalu mereka jatuh terlentang ke
luar pintu. Kini, tiga orang telah tertewas.
Fariz menoleh ke belakang. Ekor matanya dapat
menangkap kelibat Awut yang cuba mengacu pistol ke arahnya. Dengan pantas Fariz menunduk dan menendang kerusi menyebabkan ia
melayang dan mengalih perhatian Awut bila dia cuba mengelak. Sepantas kilat
Fariz melayangkan dirinya lalu menendang
Awut.
Lelaki
itu tersungkur. Pistolnya terpelanting. Dengan tangkas, Fariz merebahkan dirinya dan mencapai pistol yang
tercampak di lantai. Lalu dia berdiri sambil mengacukan pistol ke arah Awut.
Tiba-tiba bayangan peristiwa di Apartmen Dahlia menyerbu ke layar mindanya.
Fariz nampak Mehmoud merenungnya dengan tajam.
Menjadikan dia gementar. Tangannya menggigil hingga dapat dilihat Mehmoud.
Ketidakyakinannya itulah yang membuatkan Mehmoud melangkah pergi dengan yakin.
Fariz cuba menghalang. Namun
tidak dipedulikan.
Akhirnya Mehmoud berlalu. Akhirnya Sharif tertembak. Akhirnya Fariz menanggung trauma hingga ke saat-saat genting
ini.
“Wei!
Tembaklah aku!”
Kata-kata
Awut itu menyedarkan Fariz kembali pada
situasi kini. Dia perasan Awut kini nampak tangannya yang menggigil. Fariz meluruskan tangannya dan terus mengacu
pistol. Menggenggam buntut pistol dengan kedua-dua tangannya. Nafasnya dihela
dalam-dalam bagi menenangkan hatinya. Namun, muncung pistolnya masih kelihatan
bergetar.
“Hei,
bila lagi?” seru Awut lalu merentap baju kemejanya. Menepuk-nepuk dadanya agar
Fariz terus menembaknya. Dengan bongkak,
Awut melangkah. Dia tersengih-sengih lalu tertawa mengejek. Seperti orang
kerasukan. Ketawanya panjang. Sengaja menakut-nakutkan Fariz.
“Bunuhlah
aku! Kalau kau berani, letupkan pistol tu. Kau penakut! Kau pondan! Kau...”
‘Tam!’
Langkah
Awut terhenti.
‘Tam!!’
Awut tertunduk melihat darah menyembur dari dadanya.
‘Tam!!!’
Mata Awut terbelalak. Dia terdongak kerana nafasnya mula rasa tersekat. Dengan
terketar-ketar Awut cuba berdiri tegak. Namun, lututnya sudah bertemu lutut.
Akhirnya Awut tersungkur di kaki Fariz. Dia rebah setelah tiga butir peluru
menembusi jantung, halkum dan dahinya.
‘Astaghafirullah...’
Ucapan
ampun kepada Yang Maha Hidup dilafaznya di dalam hati. Fariz memandang muncung pistolnya yang masih
berasap. Kemudian, melihat kepala Awut yang terkulai di hujung kakinya. Kini
Fariz sedar yang dia sudah menembak
seseorang! Bukan dengan peluru plastik, bukan dengan peluru getah seperti di
dalam latihan.
Dan
orang yang ditembaknya sudah mati. Bukannya berlakon mati seperti di dalam
operasi olok-olok. Benarkah dia sudah membunuh? Atau orang itu mati kerana
nyawanya disentap malaikat Izrael?
Persoalan-persoalan
ini bersimpang-siur di dalam fikirannya. Perlahan-lahan Fariz berdiri. Memerhati ke sekeliling melihat
musuh-musuhnya yang bergelimpangan. Kemudian dia melangkah pergi membawa
bersama seribu perasaan.
Insya-ALLAH akan bersambung pada Rabu hadapan.