Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Berita Dari Thailand (Fragmen 3)

Kg. Rhu Teduh, Terengganu

LANGIT sudah memerah. Membiaskan warnanya ke air laut yang mula pasang.Desiran ombak makin kedengaran. Pohon-pohon kelapa mula melambai disapu angin Laut Cina Selatan. Fariz duduk di tangga di depan rumah. Renungannya terarah ke laut. Namun lamunannya tak terjangkau pun ke horizon. Sebaliknya, fikiran Fariz kini berada di Kuala Lumpur. Mengimbau kembali apa yang terjadi.

Bila terkenangkan arwah Sharif, rasa hibanya mendatang. Kesal di hati turut bertandang. Sesekali bibirnya tersebut nama rakan setugasnya itu kerana masih menyesali tragedi kematian rakan setugas akibat kesilapan diri. Terngiang-ngiang pula kata-kata Tuan Aziz yang melarangnya bermeletakkan jawatan. Pintu sanubarinya kerap disergah dan disanggah keputusan yang berbolak-balik samada pulang ke Kuala Lumpur pada hari esok atau terus mengucapkan selamat tinggal buat ibukota itu. Kembali bertugas atau berundur diri.

Ah, Fariz tidak punyai keputusan. Tiada firasat yang mendatang. Mungkin istikharah pada malam ini bakal memberi jawapan. Itulah yang akan dijadikan panduan kerana dia percaya, dorongan hati setelah solat itu adalah panduan yang datang dari Yang Maha Esa.

“Teringatkan siapa tu?”

Fariz tersenyum terdengar suara itu lalu menoleh ke sisi. Wajah uzur neneknya ditatap dengan penuh kasih. Lalu dia menuruni tangga dan mencapai raga yang berisi keropok lekor dari tangan Nek Tijah. Sebelah tangan neneknya dipimpin menaiki tangga.

“Baik sangatlah cucu nenek ni. Sayang sungguh kat nenek dia,” ucap Nek Tijah perlahan. Tampak dirinya mengah kepenatan kerana usianya. Nek Tijah duduk di anak tangga. Setingkat lebih tinggi dari cucunya. Fariz melekapkan kepalanya ke lutut Nek Tijah. Memanjakan diri pada satu-satunya wanita dalam hidupnya. Malah, satu-satunya insan yang membelai dan membelanya dari kecil sehingga dewasa.

“Bila Paris nak pimpin isteri pulak?” soal Nek Tijah sambil mengusap rambut cucunya. Fariz dipanggil ‘Paris’ mengikut panggilan timangannya.Dia ikut sahaja memanggil nama itu kerana ia pemberian anak dan menantunya. Kedua-duanya telah meninggal dalam kebakaran rumah mereka, meninggalkan satu-satunya cucunya ini.

“Saya baru aje kerja, nek. Baru sekali nenek merasa gaji saya. Baru sepasang pakaian yang hadiahkan pada nenek.” Fariz mengelak untuk menjawab persoalan mengenai teman hidup secara lembut. Hati orang tua ini mesti dijaga. Kalau tidak, rajuknya lama.

“Tak payahlah belikan baju untuk nenek, Paris. Kalau nak beri pun, sehelai dua cukuplah. Orang tua tak perlu banyak pakaian. Simpan sajalah duit itu buat belanja kahwin.”

“Alah, nenek ni. Siapalah yang hendakkan saya, Nek. Kalau pun ada calon, lambat lagi saya nak kahwin, nek. Saya belum puas balas jasa nenek.”

Nek Timah tersengih-sengih senang dengan ucapan cucunya.Dia tahu Fariz pemuda yang baik. Sikapnya sebaik arwah menantunya. Budi bahasanya pula selembut arwah anaknya. Beruntung dia mendapat cucu seperti Fariz, meskipun tunggal.

“Paris kerja apa di Kuala Lumpur tu?”

Pertanyaan itu membuatkan Fariz sedikit kaget. Tidak tahu bagaimana hendak berhelah dengan neneknya. Patutkah dia memberitahu yang dia bercadang untuk meletak jawatan?

“Saya bekerja di pejabat, nek.”Itu yang terlafaz dari bibirnya. Tidak mahu menyusahkan hati insan kesayangannya.

“Dengan kerajaan?”

“Ya, nek.”

“Jadi ketua ke?”

Fariz tergelak mendengar soalan ini. “Tidaklah, nek. Bukan ke saya ni pekerja baru. Tentulah saya jadi pekerja bawahan. Pekerja biasa aje, nek.”

“Kerja elok-elok, Paris. Biar rajin macam arwah ayah Paris. Biar amanah macam emak Paris,” nasihat Nek Tijah.

Fariz terangguk-angguk setuju. Menyemat satu lagi nasihat neneknya ke dalam hati.

“Kalau kerja tu, biarlah tekun. Jangan tukar-tukar kerja.” Nek Tijah memapah pemegang tangga lalu bangun. “Orang kata, kalau asyik berpindah rumah, kita boleh jadi papa.Ha, kalau Paris asyik tukar-tukar kerja, Paris lambat jadi orang,” nasihat Nek Tijah sebelum bangun dan beredar ke dalam rumah.

Kata-kata itu menyentap tangkai hatinya.Terkena batang hidungnya! Matanya terkebil-kebil mendengar kata-kata itu. Memang ada benarnya kata-kata neneknya itu. Wajah Tuan Aziz tertayang di matanya. Kata-kata bosnya itu terngiang-ngiang kembali. Namun, menungannya terganggu bila fonselnya berdering. Nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin fonselnya.

“Fariz!” kedengaran namanya diseru cemas.

“Sapa ni?” soal Fariz kembali.

“Kiet!”

“Kiet?” Wajah rakan sekampusnya terus menerpa ke layar mindanya. “Apa hal?”

“Aku mintak tolong kau. Kawan-kawan semua kata hanya kau saja yang boleh tolong aku. Dia orang kata kau ada kat kampung.”

“Tolong apa?” tanya Fariz kerana tidak tahu hujung pangkal permintaan rakannya.

“Adik aku! Adik aku kat Tak Bai dilarikan orang!”

“Bila?”

“Petang tadi. Eh, aku dah ada kat Kota Bharu, ni. Aku tunggu sampai kau datang. Malam ni juga kita mesti masuk ke Thailand!”

Insya-ALLAH, bersambung Rabu hadapan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED