Restoran Al-Muntaha, Burj al-Arab, Dubai
BURJ
al-Arab atau Menara Orang-orang Arab adalah sebuah hotel mewah yang dibina oleh
Said Khalil, seorang jutawan tempatan. Bangunan itu direkabentuk menyerupai
sebuah kapal layar dhow, iaitu
sejenis kapal layar Arab. Dengan ketinggian 321 meter, ia adalah hotel yang
tertinggi di dunia yang dibina di atas sebuah pulau tiruan di pantai Jumeirah
dan dihubungkan dengan sebuah jambatan bengkok ke daratan.
Malam indah yang dihiasi beribu bintang di langit
menyerlahkan kehebatan bangunan ini. Kerdipan lampunya boleh dilihat dari
tengah laut. Bagai sebuah kapal yang sedang meluncur dengan layar terkembang di
lautan lepas. Inilah manifestasi penciptanya agar Burj al-Arab menjadi
mercutanda Dubai sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif.
Khaleed al-Nahyan, anak kelahiran negara Palestin
baharu sahaja menikmati makan malam di restoran Al-Muntaha. Alis matanya yang
tebal serta kelopaknya yang dalam membuatkan pandangan biasanya seolah-olah
seperti orang merenung. Ditambah pula dengan sikapnya yang suka berfikir,
menjadikan jutawan berusia awal 30an ini kelihatan matang.
Janggut dan misainya diandam rapi. Nipis dan tidak
panjang. Cukup untuk menjadikan ia identiti sebagai seorang Arab yang punyai
ciri-ciri konservatif meskipun dia adalah seorang jutawan yang berfikiran yang
amat moden. Kerana itu, Said Khalil, tuanpunya bangunan ini menjadikan dia
sahabatnya.
Kini dia duduk tersandar memerhati rakan-rakan
niaganya berbual sambil bergelak ketawa. Sesekali dia melemparkan pandangannya
sesaujana mata memandang ke arah bandaraya Dubai yang boleh dilihat dari
jendela restoran ini. Sesekali dia tersenyum dan tertawa perlahan kerana
terhibur dengan gelagat kawan-kawannya. Itupun hanya untuk mengambil hati agar
kawan-kawannya tidak berasa yang dia meluat dengan perangai mereka.
“Telefon…” bisik Akbar, pengawal peribadinya
sambil menghulurkan fonsel.
“Wahai adikku Abu Afdhal,” seru Khaleed sebaik
sahaja fonsel itu terlekap ke telinganya.
“Khaleed. Aku rindukan kau,” jawab Abu Afdhal
separuh terjerit keriangan.
“Aku pun. Bersabarlah. ALLAH bersama orang-orang
yang sabar, wahai adikku,” nasihat Khaleed.
“Ya. Aku sentiasa ingat pada ALLAH. Pada janji
ALLAH. DIA bersama-sama orang
yang benar.”
“Bagaimana dengan sekalian jamaah?” soal Khaleed.
“Alhamdulilah. Ahli-ahli Jemaah Intifada Sedunia
kesemuanya berjihad di sepanjang masa.Cuma kita sentiasa mendapat tentangan,” jawab Abu Afdhal.
“Ya, adikku. Aku tau Gerakan Zionis Antarabangsa
sentiasa membayangi setiap langkah kita. Hati-hati, adikku.”
“Insya-ALLAH, insya-ALLAH. Err… aku memanggil
kerana aku perlu jumpa kau, abangku.”
Ucapan Abu Afdhal itu membuatkan Khaleed terdiam.
Walaupun dia merindui adiknya, namun dia tahu bahaya yang bakal terjadi bila
mereka bertemu. Rasa bimbang mula membayanginya.
“Khaleed…” ujar Abu Afdhal bila abangnya tidak
menjawab.
“Emm… boleh. Kita jumpa di Malaysia.”
“Malaysia?” tanya Abu Afdhal.
“Ya, Malaysia. Negara Islam di timur yang aman.
Aku rasa kita lebih selesa di sana,” jawab Khaleed dengan yakin.
“Boleh...
boleh. Kita jumpa di sana,” jawab Abu Afdhal.
Khaleed memutuskan talian. Sejurus dia berpaling kepada Akbar.
“Akbar. Siapkan tiket penerbangan ke Kuala
Lumpur. Aku hendak melawat tapak
projek-projek usaha sama aku di sana. Aku juga nak bertemu Abu Afdhal.”
“Ya, Khaleed,” jawab Akbar. “Penginapan di hotel
mana, tuan?”
“Tak perlu membazir. Aku nak menginap di rumah
sahabatku, Daud Hasani.”
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...