Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Lelaki Yang Suka Lelaki (Fragmen 7)

KLIA, Sepang, Selangor


SEBAIK sahaja penerbangan terus MH73 dari Hong Kong mendarat, seorang lelaki berkulit putih bingkas bangun bila semua lampu isyarat bernyala. Menandakan para penumpangnya boleh keluar dari pesawat. Tubuhnya yang tinggi memudahkan dia menjenguk dan menarik begnya di tempat letak barang di atas kepala. Tidak peduli bila begnya terhimpit tangan seorang wanita mat salih separuh umur yang turut menggagau mendapatkan begnya.

“Ouch!” jerit wanita itu.

Gerakan lelaki yang berambut pendek potongan G.I itu terhenti seketika. Dia tak menoleh pun pada wanita itu untuk memohon maaf. Sebaliknya dia hanya terjeling tanpa berkata apa-apa. Kemudian begnya diangkat dan disandang.

“You are rude!” ceceh wanita berambut putih itu. Dia mencekak pinggang dan merenung lelaki itu. Kedut-kedut di pipinya menambah ekspresi tikaman pandangannya. Namun lelaki itu buat-buat tak faham. Tanpa menjawab, dia menarik dan menurunkan beg wanita itu pula. Lalu dicampak ke atas kerusi. Kemudian dia terus melangkah setapak. Tiba-tiba dia mematikan langkah lalu menoleh.

“You are rude, too!” kata lelaki itu dengan suara yang parau.

“Why?” Spontan wanita itu bertanya. Nadanya bergetar kerana menahan amarah.

Lelaki itu menuding ke arah beg wanita itu. “I helped you... but you do not even say thank you!”

Lantas lelaki itu melangkah kembali meninggalkan wanita itu.

“Well... THANK YOU!” jerit wanita itu. Cebikan di bibirnya memanifestasikan rasa hatinya yang jelek di saat itu.

FARIZ berjalan pantas.Sesekali dia terlari-lari menyelit di antara khalayak ramai menuju ke Balai Ketibaan. Dia terlewat sampai ke mari kerana melayani kerenah Faryna yang meminta membawanya ke butik. Sudahlah dia asyik membuang masa memperaga baju-baju lain yang terpamer, baju yang ditempahnya pun tidak jadi diambilnya.

Kesabaran Fariz amat teruji pada petang ini.  Keluar sahaja dari butik, Faryna memerintah agar singgah ke salun rambut sebelum ke salun kuku pula. Sehingga jam 6.30 petang barulah dia bertolak dari Damansara ke mari. Fariz mendongak memandang papan jadual penerbangan.

Sudah sah, penerbangan dari Lapangan Terbang Kai Tak, Hong Kong telahpun mendarat. Fariz menekur merenung jam. Sudah 7.30 malam. Sambil berkeliaran di balai ketibaan, tangannya memegang sekeping kadbod yang tertulis nama Bruce McCallum. Matanya melilau mencari wajah-wajah mat salih sambil menayang-nayangkan kad itu dengan harapan salah seorang dari mereka adalah Bruce McCallum.

Setelah setengah jam dia melilau, Fariz mengambil keputusan untuk kembali ke kereta. Sambil melangkah, dia cuba menelefon ke pejabat. Ingin bertanya sama ada Bruce McCallum ada menghubungi. Siti yang menjawab telefon memberikan jawapan yang mengecewakan. Fariz mendengus. Terfikir-fikir apa yang harus dilakukan.

“Hi!” sapa satu suara.

Fariz tertoleh. Seorang mat salih berdiri begitu hampir di belakangnya. Sekilas matanya memandang subang kecil yang terlengkang di telinga kanan lelaki itu. Membuatkan Fariz terundur setapak. Terkejut kerana lelaki ini mungkin dari jenis yang meminati lelaki. Namun lelaki itu berbuat selamba walaupun dia menyedari reaksi Fariz.

“From Globest?” tanya mat salih tinggi itu.

“Yes!” jawab Fariz.“You’re Bruce? Bruce McCallum?”

“Yes, I am, ” jawab Bruce.

“Fariz Zafar. Sorry I’m late.”

Mereka bersalaman.

“Saya tak kisah, sebab saya juga lambat sampai ke mari.”

Fariz terkaget mendengar telor Bruce. Macam orang Indonesia bercakap. Bruce tersengih bila dia nampak Fariz berasa pelik.

“Kamu hairan dengan pertuturan saya? Saya boleh berbahasa Melayu kerana pernah menjadi ahli sukarela Peace Corps di Jawa Barat, Indonesia. Tiga tahun saya di sana.

Oh, ya. Saya lambat kerana kapal terbang tidak boleh berlepas sebab tiba-tiba ada amaran puting beliung. Tidak pernah berlaku puting beliung pada musim ini di Hong Kong. Mengapa ya? Akhir-akhir ini cuaca tidak menentu kerana pemanasan global.”

“Mungkin bukan kerana pemanasan global, Mr. Bruce...” tingkah Fariz. Membuatkan Bruce sedikit hairan. “Mungkin juga kerana penyejukan global. Bila salji cair, ia menjadi air dan melimpah ke kawasan panas. Kawasan panas pula bertukar sejuk. Menyebabkan salji juga turun di kawasan-kawasan yang tidak pernah bersalji. Jika keadaan ini berterusan, akhirnya boleh berlaku penyejukan global.”

“Oh, saya pernah terbaca mengenai glaciation. Tapi itu hanya teori sains yang belum pernah terbukti, Fariz,” celah Bruce.

“Bukankah dunia pernah dilitupi ais beribu tahun lalu? Ice Age? Bukankah itu buktinya, Mr. Bruce?” soal Fariz.

“Ha, ha. Awak pun seperti saya. Minat mengenai alam sekitar. Bagus. Kalau ramai orang seperti awak yang peka mengenai alam, dunia akan terjaga dengan baik. Err... di mana kereta awak?”

“Itu dia. Silakan,” jawab Fariz sambil mendepangkan tangannya untuk memberi laluan kepada Bruce.

“Terima kasih, Fariz. Tapi, awak tak perlu panggil saya Mr. Bruce. Tak perlu panggil saya tuan. Panggil Bruce sahaja, itu sudah memadai.”

“Apa tugas Fariz di Globest Corporation?” tanya Bruce ketika kenderaan yang dipandu Fariz memasuki lebuhraya menuju ke Kuala Lumpur.

“Saya pemandu peribadi kepada Tan Sri Daud.”

“Oh, awak mesti berkelulusan tinggi sebab pengetahuan dan hujah awak menunjukkan tahap pemikiran awak,” puji Bruce.

“Saya lulusan universiti. Ini kerja sementara sahaja. Apa pula tugas Bruce di sini?” Giliran Fariz pula bertanya.

“Saya mewakili JustWorld Foundation dari U.S. Kami dapat tahu Globest ingin membuat prasarana pengairan pertanian di Bwana, Afrika. Ada banyak yayasan kebajikan di U.S yang ingin menyumbang dana kepada mana-mana syarikat yang ingin membina negara-negara mundur. Sebab itulah saya datang ke mari sebagai koordinator supaya dana dari yayasan-yayasan kebajikan itu dapat disalurkan kepada Globest untuk membina Bwana.”

“Mengapa yayasan-yayasan kebajikan yang berminat? Tidak adakah syarikat-syarikat korporat Amerika yang ingin membina prasarana pertanian di Bwana?” soal Fariz.

“Oh, mereka lebih berminat untuk membina prasarana di negara-negara minyak. Awak tentu tahu nilai emas hitam yang melambung sekarang. Saya sendiri tidak suka pada syarikat-syarikat Amerika yang memilih. Hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan masa depan insan sejagat,” ujar Bruce dengan mulut yang tercebir-cebir.

Fariz terangguk-angguk mengiyakan. Pabila mereka tiada modal berbual, sesekali dia nampak Bruce mencuri-curi pandang ke arahnya melalui cermin pandang belakang. Hatinya mula berasa tidak selesa dengan perawakan Bruce.


“AWAK tak hendak masuk dulu? Kita minum?” tanya Bruce sebaik sahaja mereka tiba di tempat penginapan. Dia memandang Fariz lalu mengenyitkan matanya.

“Maaf, Bruce. Lain kalilah. Malam ini saya perlu bawa bos saya menghadiri jamuan makan malam,” Fariz berbohong. “Saya pergi dulu, ya?”

‘Engkau jangan ingat, aku ni spesis macam engkau, Bruce. Kalau nak kena penampar gila aku, cubalah buat perangai tak senonoh tu kat aku!’ bebel Fariz di dalam hati.

Dia amat tidak berkenan dengan perangai Bruce atau mana-mana lelaki yang punyai selera songsang terhadap lelaki juga. Perangai itu bukan sahaja bertentangan dengan fitrah manusia, malah harus ditentang.

Sambil menanti lif, Fariz tergeleng-geleng. Petang tadi, dia melayan kerenah Faryna yang berlagak. Yang itu, perempuan yang tidak sukakan lelaki. Yang ini pula, lelaki yang sukakan lelaki. Fariz mengeluh perlahan. Fikirnya, cabaran ejen perisik hanya berdepan dengan suasana yang cemas dan tegang. Tetapi cabaran kerja sebegini  belum terjangkau akalnya. Namun demi tugas, dia harus akur.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED