Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Bos! Saya gagal! (Fragmen 2)

BISIK, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

BIRO Risikan Negara atau BISIK adalah sebuah biro di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia berfungsi sebagai sebuah badan risikan keselamatan negara khususnya yang berkaitan dengan hal-hal antarabangsa. Hal ehwal jenayah kolar putih, politik dan ekonomi menjadi tumpuan pemantauannya.

Ia berbeza dari fungsi Cawangan Khas PDRM dari segi keanggotaan. Selain dari anggota polis yang direkrut menjadi kakitangannya, BISIK juga dianggotai oleh mereka yang terpilih dari pelbagai jabatan kerajaan yang lain seperti tentera, bomba, BPR, Kastam, Imigresen, malah dari kalangan kakitangan MyCert iaitu jabatan yang memantau masalah kecemasan komputer. Bagaimana pun, Ketua Pengarahnya adalah seorang pegawai berpangkat Komisioner Polis. Jawatan itu kini dipegang oleh Tuan Aziz Tuan Ghani. Dia melapor terus kepada Perdana Menteri.


TUAN AZIZ menutup fail Ops Mehmoud. Melihatkan itu, Fariz Zahar terus menekur ke lantai. Dia memasang telinga untuk mendengar apa yang bakal diperkatakan oleh bosnya. Tidak berani bertentang mata dengan lelaki itu walaupun dia tahu Tuan Aziz sedang memandangnya.

Sebentar tadi, Tuan Aziz memanggilnya. Fariz mengagak lelaki yang beruban ini mahu menemuinya kerana tragedi dua hari lalu. Apakah jenis kata-kata yang akan dihambur Tuan Aziz? Walaupun wajah orang tua itu kelihatan tenang, tidak mustahil dia akan menyinga pada bila-bila masa. Orang kata, Tuan Aziz garang orangnya.

“Mala baru saja dipindahkan dari wad ICU. Awak dah melawat dia?”

“Sudah, tuan,” jawab Fariz dengan suara yang hampir tenggelam kerana gusar.

Tuan Aziz terus merenungnya. Mahu tidak mahu, Fariz terpaksa memandang bosnya walaupun dengan hati yang resah kerana khuatir dikatakan kurang ajar. Akhirnya mata mereka berlaga. Memang Fariz tak berdaya bertentang mata dengan lelaki itu. Lalu dia tertunduk kembali.

“Arwah Sharif adalah antara ejen terbaik yang saya ada.”

Pokok bicara yang tidak mahu didengar Fariz itu akhirnya diluahkan Tuan Aziz. Ia bagai satu tamparan buat Fariz. Walaupun ringkas, ertinya mula menghiris hatinya. Namun Fariz pasrah. Andainya kata-kata berikutnya berupa celaan yang teradun dengan kata nista, dia akan menerima seadanya.

“Sewaktu kami sama-sama dalam pasukan polis dulu, dia pernah selamatkan nyawa saya. Kalau tidak kerana dia yang menampan peluru dari menembusi dada saya, saya dah jadi arwah lebih dahulu darinya.”

Perlahan-lahan Fariz mendongak memandang ketuanya itu. Rasa kesal mula menyelinap di jiwanya. Mengapa dia tidak menembak sahaja Mehmoud tempohari? Mengapa dia teragak-agak untuk bertindak? Jika pun tembakannya tersasar, sekurang-kurangnya ia akan menarik perhatian Sharif untuk siaga. Kalau itu berlaku, keadaan tidak akan jadi begini.

“Saya kesal, tuan. Sungguh-sungguh kesal.” Tiba-tiba Fariz meluahkan apa yang terbuku di kalbunya. Dia ingin menangis, tetapi ditahannya rasa sebak di dada.

“Fariz. Awak jangan rasa bersalah, pulak,” kata Tuan Aziz tenang. “Saya cuma ceritakan yang saya rapat dengan arwah. Cuma hendak berkongsi kenangan. Supaya awak tau kita di BISIK bekerja dalam satu pasukan. Suka duka dilalui bersama.

Kerja kita sememangnya mempertaruh nyawa. Itu terkandung dalam ikrar kita. Bila kita setuju menganggotai BISIK, kita juga sudah sedia menggadai nyawa. Jangan terbawa-bawa rasa kesal tu. Tak tertanggung kalau disimpan di dalam hati, Fariz.”

Fariz terdiam mendengar kata-kata itu. Ada benarnya apa yang dinasihatkan oleh Tuan Aziz. Namun, hatinya belum terpujuk.

“Saya tak boleh paksa diri saya untuk lupakan apa yang terjadi begitu saja, tuan. Ia operasi pertama yang saya sertai. Dan saya gagal!”

“Sebab itulah kita mesti lihat prestasi operasi sebagai sebuah pasukan.” Tuan Aziz memintas kata-kata Fariz. “Memang betul, awak teragak-agak membuat keputusan pada malam itu. Akibatnya, Sharif terkorban.

Tapi jangan lupa ada anggota lain yang membantu. Mehmoud dapat juga ditangkap oleh pasukan back-up kita bersama bukti kukuh. Dia tak akan lepas bila kesnya dibicarakan. Secara pasukan, ops itu berjaya.”

Buat beberapa ketika mereka berdua hanya mendiamkan diri. Membiarkan imej-imej Sharif tertayang di layar minda masing-masing. Akhirnya Tuan Aziz mengeluh dalam. Lalu dia mengambil sepucuk surat yang terselit di diarinya. Dia membuka dan menatapnya. Fariz kaget. Dari kerusinya, Fariz tahu kertas sehelai itu adalah surat perletakan jawatannya! Pagi tadi, dia serahkan surat itu ke Bahagian Perjawatan. Kini Fariz tahu Tuan Aziz ingin menemuinya bukan sangat kerana Ops Mehmoud, tetapi kerana suratnya itu. Perbualan sebentar tadi hanya berbasa-basi semata-mata.

“Awak nak berhenti kerja, ya?” soal Tuan Aziz.

“Saya, tuan!”

“Betul? Awak dah fikir masak-masak?”

“Sudah, tuan,” jawab Fariz antara dengar dengan tidak.

Tuan Aziz mendengus. Tanpa memandangnya, perlahan-lahan Tuan Aziz mengoyak surat itu! Mula-mula disiat dua, kemudian empat, enam dan seterusnya hingga kertas itu menjadi kecil. Fariz memandang dengan hati yang berbelah bahagi. Ada rasa geram kerana Tuan Aziz seolah-olah tidak menghormati keputusannya. Namun, rasa bersalah mula menjelma di hati Fariz bila dia memandang kerutan-kerutan kecewa di dahi bosnya itu.

Malam tadi dia sudah menulis surat perletakan jawatannya. Keputusan itu diambil kerana dia berasa gagal menjalankan tugas. Buat apa memikul tugas bersama rasa malu dan bersalah kerana tak berani memetik pistol? Biarlah. Biarlah impiannya hendak menjadi ejen perisik seperti angan-angannya sejak kecil itu tinggal bagai mimpi. Ada kalanya mimpi tak perlu diusik untuk menjelma menjadi realiti. Realiti bukannya indah seperti mimpi. Lagipun, dunia ini luas. Rezeki ada di mana-mana. Biarlah dia mencuba mencari kerjaya di tempat lain.

“Saya boleh terima yang awak kurang pengalaman. Kerana itu, awak kurang cekap dan gementar di lokasi. Awak bukan datang dari mana-mana pasukan keselamatan atau penguatkuasaan seperti anggota BISIK yang lain. Sebaliknya, awak graduan yang baru keluar dari universiti.

Awak sememangnya mentah dalam hal-ehwal perisikan. Tapi, sebelum ini tak pernah terjadi seorang graduan universiti menjadi pelatih terbaik BISIK. Awaklah orang yang pertama. Ini menunjukkan awak ada potensi.

Sebab itulah saya arahkan Bahagian Latihan hantar awak ke Bahagian Perisikan walaupun pada mulanya Bahagian Latihan hendak meletakkan awak di Bahagian Penyelidikan.”

Tuan Aziz memandang tepat ke anak matanya. Fariz turut merenungnya tanpa berkelip-kelip untuk menzahirkan keberaniannya membuat keputusan berhenti kerja. Namun Tuan Aziz terus memanifestasikan ketegasannya. Perlahan-lahan surat itu digumpal-gumpal hingga menjadi sebuah bola kecil. Lalu dia menghulurnya kepada Fariz.

“Kalau awak berani, tulislah sepucuk lagi surat berhenti kerja. Kalau saya dapat, saya akan panggil awak dan bakar surat itu di depan awak!” ujar Tuan Aziz dengan suara yang tegas.

“Tuan... saya...”

Tuan Aziz mengangkat tangannya sebagai isyarat agar Fariz tidak meneruskan kata.

“Fariz, Fariz. Saya tau fikiran awak masih terganggu. Awak kini dalam trauma. Malu. Terkilan. Kecewa. Pergi ambil cuti seminggu. Balik kampung untuk berehat. Go home, kid. Go home and take some rest!”

Fariz tidak boleh berkata apa-apa lagi. Lantas dia bangun untuk mengundur diri.

“Datang balik lepas bercuti, hmm? BISIK perlukan tenaga muda seperti awak!” pujuk Tuan Aziz ketika Fariz melangkah keluar.

Fariz tidak menoleh atau mengangguk kepada bosnya sebagai tanda akur. Namun jejarinya menggenggam erat gumpalan surat perletakan jawatannya. Melahirkan geram atau menzahirkan semangat, dia sendiri belum memutuskannya.

Bersambung Rabu hadapan, insya-ALLAH...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED