MP 5

Kala ku pandang kerlip bintang nun jauh di sana
Sayup kudengar melodi cinta yang menggema
Terasa kembali gelora jiwa mudaku
Karena tersentuh alunan lagu semerdu kopi dangdut,

Api asmara yang dahulu pernah membara
Semakin hangat bagai ciuman yang pertama
Detak jantungku seakan ikut irama
Karena terlena oleh pesona alunan kopi dangdut...

SYOK betul menyanyi dan menarik sambil mengemop lantai rumah. Kalau tak, memang layulah aku pegang batang mop ni macam tak ada perasaan. Apalah nasib menjadi seorang pembantu rumah, hari-hari kena mop lantai rumah agam ini. Boleh tercabut semua anggota badan macam ni gayanya. Mujur saja gaji lumayan dengan kerjanya. Kalau tidak, memang aku berhenti awal-awal.

BUSH!

Serentak nyanyian dan tarian aku terhenti. Mata aku terpejam rapat. Apa yang aku rasakan sekarang ni adalah, seluruh tubuh badanku basah lencun. Datang mana air yang menyimbah aku ni? Sudahlah berbau. Ya Allah... 

"Hoi, perempuan! Kau buat apa? Kerja ke nak berdangdut dalam rumah ni?" Bergema-gema suara tengkingan Jessica di segenap ruangan tingkat bawah.  

Aku menggigit bibir sebelum mataku dicelikkan perlahan. Aku ada buat salah apa lagi ni sampaikan dia simbah aku dengan air yang berada dalam baldi mop tu?

"Puan..."

Jessica terus menarik kasar rambut aku sehingga aku terundur beberapa tapak. Sakit dia tak payah cakap. Perit! Mak tolong Aara, mak... 

"Kau ni memang sengaja nak naikkan darah aku, kan? Kau dok bergelek-gelek dekat tengah ruang tamu ni sengaja nak goda suami aku, kan?" 

Perlahan air mataku mengalir dek kerana tidak tahan keperitan pada kepala aku. Kenapa dia ni suka berburuk sangka dengan aku? Aku langsung tak pernah terniat pun nak goda suami dia. 

"Puan, sakit... saya tak ada niat apa-apa pun. Saya cuma jalankan tugas saya. Saya tak ada niat nak goda suami puan pun...," rayu aku. Air mataku lebat mengalir ke pipi.

"Bodoh punya perempuan! Kau ni kan, aku perhatikan aje tau. Makin lama makin menjadi-jadi!" tengking Jessica. 

Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Sungguh aku tak buat semua tu! Aku cuma mop lantai aje sambil menari. Salah ke? Aku tak ada kacau sesiapa pun!

"Sis! What are you doing?" Seorang lelaki berambut blonde berlari ke arah kami. Laju saja dia meleraikan cengkaman Jessica pada rambut aku. 

"Non sei occupato! (Kau jangan sibuk!)" jerit Jessica. Aku nampak dadanya berombak laju. Betul-betul dia marahkan aku. Kenapa nasib aku macam ni?

"Sei pazzo? (Kau gila ke?)" marah lelaki itu kepada Jessica. Dua-dua sama tegang urat. Aku yang berada di belakang lelaki rambut berwarna blonde ni menjadi takut. Seram melihat mereka begitu. 

"Kenapa semua nak backup kau, huh? Aku bencilah!" tempik Jessica. 

"Kau tu dah kenapa, Jess? Kena sawan ke? Kau nak bunuh pembantu kau sendiri ke? Kau dah lama sangat hidup dekat luar ni? Tak sabar nak hidup dekat dalam?" perli lelaki itu dengan sindiran pedas. 

"Kau dah apa hal nak masuk rumah aku?" Jessica merenung tajam ke arah kami berdua.

"Dah pintu utama terbuka. Tak reti nak tutup. Aku abang kau. Tak akan aku tak boleh nak melawat kau kut?"

Jessica ada abang rupanya. Tapi, sepertinya tidak sekepala. Jessica pandang abang dia macam benci sangat. Kehadiran abang dia pun tak dialukan. Memang Jessica ni ada masalah dengan semua orang, ya? Tak akan disebabkan mandul. Dia jadi meroyan macam ni? Ivander aku tengok dia setia aje dengan Jessica. Ke dah kahwin dua?

"Kau abang aku? Ye ke? Sejak bila? Bukan adik kau yang lagi sorang ke? Oh ya, aku lupa. Adik kau yang lagi sorang tu dah tak ada. Dah mati!" 

Pang! Suasana menjadi sunyi-sepi. Aku terdiam seribu bahasa melihat adegan di hadapan mata ini. Jessica kena tampar dengan abang dia sendiri. Ya Allah... sakitnya...

"Kau jangan nak kurang ajar, Jess! Aku tahu kau bencikan aku sebab aku lebihkan dia! Tapi, jangan kau sesekali nak cakap macam tu depan aku!" 

Jessica menangis teresak-esak sambil memegang pipinya yang terkena tamparan si abang. Kesian pula aku tengok dia. Sakit tu kena tamparan percuma. Aku pun tak pernah kena lagi tamparan daripada sesiapa. 

"Sampai mati, aku benci kau Julian! Kau bukan abang aku! Kau tak payah nak melawat aku. Boleh berambus!" jerit Jessica sebelum dia berlari menaiki tangga ke tingkat atas. 

Aku hanya membisu. Badan aku mula tidak selesa. Tak sanggup nak bau badan sendiri. Busuk!

"Are you okay?" soal lelaki bernama Julian itu sebaik saja dia memusingkan tubuhnya menghadap aku. 

Aku sekadar menganggukkan kepala. Kaki aku bawa undur setapak. Tak kuasa aku nak dekat-dekat dengan dia kalau dah bau badan macam air longkang.

"Kenapa?" soalnya dengan kerutan di dahi. Lembut saja suara dia. 

"Saya... saya busuk. Puan Jess simbah saya dengan air baldi mop..." Terketar-ketar aku menjawab. Aku pun tak tahu nak bagi jawapan apa. Jujur ajelah. Tak akan aku nak cakap, aku mengemop sambil mandi pula. Tak masuk akal.

"Ya Allah..." 

Aku terkedu. Ini kali pertama aku dengar saudara atau penghuni dalam rumah ni menyebut nama Tuhan. Agak janggal di situ. Aku pun kadang-kadang tertanya, dia orang semua ni orang beragama Islam ke bukan? Tapi, mak ada cakap hari tu. Mereka semua beragama Islam. Mungkin dia orang dah biasa dengan gaya kehidupan barat.

"Awak okey tak? Pergi tukar pakaian awak."

Aku sekadar menganggukkan kepala. Lantas, aku meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Memang dah tak sanggup nak hidu bau sendiri. Sampai pening kepala dibuatnya. Satu hal pula lepas mandi, nak kena bersihkan semula lantai tu. Apalah nasib aku ni? Mak pula tak habis-habis ikut Abang Hanz keluar. Ni mesti kerja Si Jessica. Baik aku seorang aje yang jadi pembantu rumah ni. Mak kalau balik pun, Jessica panggil masuk dalam bilik dia. Minta urut. Aku aje nak kena bersihkan satu rumah dia ni. Apalah nasib...

AKU meletakkan secawan air kopi di atas meja kopi. Malu pula aku nak berdepan dengan Julian. Yelah, habis saja aku mandi, terus keluar dari bilik. Tengok-tengok lantai tu dah bersih. Licin. Aku cuba cari kelibat Julian, rupanya dia dah duduk dekat taman belakang. Termenung jauh. 

"Encik... terima kasih sebab..."

"Julian. Panggil saya Julian." Laju saja dia memotong percakapan aku. Bibirnya mengukirkan senyuman manis. Kejap, nak cair ke tak dengan senyuman dia tu?

"Err... Julian. Terima kasih, Julian sebab tolong saya bersihkan lantai tu."

Dia menggelengkan kepala dan masih lagi tersenyum. Aku syak dia ni pemurah senyuman. Asyik senyum aje dari tadi. Tak lekang dari bibirnya.

"Benda kecil saja. Nama awak siapa?" 

Aku tersenyum kecil. 

"Aara. Aara Malika."

Aku nampak Julian terdiam lama. Anak matanya merenung anak mata aku dalam. Okey, aku dah cuak sekarang ni. Aku salah jawab soalan dia ke apa?

"Aara ada kacukan?" 

Entah berapa kalilah aku kena hadap soalan ini. Penat dah aku cakap yang aku ni tak ada kacukan. Arwah ayah dengan mak aku orang Melayu tulen. Ni mesti disebabkan anak mata aku dia orang jadi pelik. Dah kuasa Allah. Tak akan aku nak cungkil biji mata aku, tukar biji mata yang menampakkan aku ni tak ada mana-mana kacukan. Gila!

"Tak ada. Aara tak ada kacukan. Arwah ayah dengan mak Aara orang Melayu tulen."

Julian tidak membalas. Dia masih lagi merenung aku lama. Seram pula bila lelaki main tenung-tenung lama macam ni. Meremang bulu roma!

"Tapi, anak mata Aara menjelaskan yang Aara sepertinya ada kacukan. Anak mata Aara warna hijau hazel. Cantik. Jarang nak nampak anak mata warna macam ni dekat Malaysia."

Aku terdiam. Haih... kenapalah susah sangat nak percaya?

"Tak. Aara yakin Aara tak ada kacukan. Aara orang Melayu."

Julian tertawa kecil sambil menganggukkan kepalanya. Haa... mengalah pun! Berbuih dah mulut aku cakap yang aku tak ada kacukan. 

"Aara okey kerja sini? Dah banyak kali ke, Jessica buat macam tu dekat Aara?" 

Aku terdiam. Nak jujur ke tak, eh? 

"Tak apalah, Julian faham. Julian tahu Aara dah kena banyak kali dengan dia. Tengok air muka pun, Julian dah tahu. Duduklah. Jangan berdiri macam tu. Teman Julian minum, boleh?" 

Aku tersenyum sambil menganggukkan kepala. Kerja aku pun dah siap. Tak salahkan aku nak duduk sekejap. Berkenalan dengan Julian. Tengok cara dia macam seorang lelaki yang baik. Okey, aku tak ada niat apa-apa. Cuma nak berkawan saja. Aku sedar yang tak semua lelaki macam Si Arif tu.

"Aara, masuk dalam." 

Satu suara garau membuatkan aku terbantut hendak melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan Julian. Perlahan aku menoleh ke belakang. Aik! Sejak bila dia balik? Awal betul dia balik rumah. 

"Aara, I said go inside!" marah Ivander dengan tenungan matanya agak tajam.

"It's okay, Aara. Next time, okay?

Aku akur. Cepat-cepat aku masuk ke dalam rumah. Laju saja aku bersembunyi di sebalik dinding dapur. Nak tengok apa Ivander buat dengan Julian. Kenapa Jessica dengan Ivander macam tak suka Julian? 


Previous: MP 4
Next: MP 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.