MP 13

HAIRAN aku lihat sikap Rae yang semakin lama semakin menjauhkan diri daripada aku. Kecuali perjumpaan staf atau dia ingin memberikan aku tugas untuk disiapkan. Tak lagi macam dulu. Kelas mengaji online pun sudah lama dia tidak hadirkan diri. Aku ada buat apa-apa kesalahan ke? Apa ya?

"Jangan termenung. Buat kerja tu," tegur Rae yang tiba-tiba saja muncul depan aku. Kus semangat! Cubalah bagi salam ke apa. Ni tidak, main sergah orang saja. Mujur tiada penyakit jantung. Kalau tidak, mahu kena mati mengejut akibat serangan jantung.

"Rae..."

Rae langsung tidak menyahut panggilan aku. Dia terus memusingkan tubuhnya sebaik saja meletakkan sebuah fail di atas meja aku. Terasa hati aku dibuatnya. Dia tak pandang aku pun. Apa salah aku? Sakitnya hati aku bila dia buat perangai macam ni tiba-tiba.

Rery pula entah ke mana. Sudah lama aku tak nampak dia masuk pejabat. Mujur Julian sentiasa ada dengan aku. Dialah yang membuatkan semangat aku masih tersisa untuk terus bekerja walaupun hati aku sakit melihat perubahan Rae terhadap aku.

"Aara... Aara..."

Suara itu sangat aku kenal. Ada apa Melina datang ke sini? Selama aku bekerja, ini kali pertama dia datang ke syarikat Princeville Holdings.

"Mel, kenapa awak kat sini?" sambut aku dengan senyuman. Melina membalas senyumanku. Tubuhku dipeluk erat olehnya dari belakang.

"Ian cakap awak perlukan seseorang untuk teman. Jadi, dia suruh saya teman awak buat sementara waktu. Sekarang ni waktu lunch, jom kita pergi makan. Saya lapar...," rengek Melina.

Perasaan sedih aku berubah menjadi gembira. Walaupun sedikit pelik, Melina akan teman aku di sini buat sementara waktu tapi aku tetap gembira. Melina sajalah yang sentiasa ada dengan aku.

"Jom!" sahut aku dengan nada teruja. Meja kerja yang sedikit bersepah aku kemas terlebih dahulu sebelum mengikut Melina keluar makan tengah hari bersama.

Biasanya Rae yang akan ajak aku keluar makan bersama. Tapi sekarang dah tak ada. Dah hampir seminggu dia berubah dingin dengan aku. Tanpa aku tahu apa salah aku. Jujur, aku rindukan Rae. Rindu nak bercerita dengan dia. Meluahkan perasaan aku dekat dia.

"SIKITNYA awak makan Aara. Awak tak ada selera ke?" soal Melina sebaik saja makanan kami sampai. Aku hanya memesan roti bakar yang disapu dengan perisa kaya.

Aku tersenyum. Perlu ke aku luahkan perasaan aku pada Melina, apa yang aku rasa saat ini?

"Aara, awak macam ada masalah je. Awak okey? Ian sendiri beritahu saya, sekarang awak lebih banyak termenung. Tapi bila tanya awak tak nak beritahu kenapa..."

Aku mengemamkan bibir. Menahan rasa sedih yang terbuku di hati. Ya, aku memang seorang hati tisu. Aku memang terasa dengan sikap Rae yang semakin berjauhan dengan aku. Aku nak tahu apa salah aku sampai dia buat aku macam ni? Seminggu aku memendam rasa. Kali terakhir aku dengan dia meluangkan masa sewaktu makan tengah hari bersama. Waktu itu, dia tak ada menunjukkan apa-apa perubahan. Baik saja dengan aku. Bergelak-tawa. Tapi sekarang, semuanya hanya tinggal kenangan.

"Tak, saya... saya sebenarnya sedih dengan Rae. Dia..."

Splash!

Secara automatik aku memejamkan mataku sekali gus aku dapat rasakan keadaan aku sekarang basah lencun.

"Ohh... seronok kau ya sekarang?"

Perlahan-lahan aku membuka mata. Kelihatan Jessica berdiri betul-betul di sisiku dan pada tangannya terdapat segelas air yang pesan tadi. Melina tergamam.

"Pu... puan..."

Jessica merenung tajam ke arah aku. Aku cuba mencari kelibat seorang lagi tetapi tak ada. Adakah Jessica datang seorang diri saja?

"Hah! Kau cari siapa? Suami aku? Kau memang perempuan sundal, kan? Dahlah main tinggal aje tempat kerja lama. Seronok kau kerja dengan orang kaya dengan dalam keadaan kau tak ada kelulusan tinggi!" herdik Jessica kepada aku di hadapan orang ramai. Semua memerhatikan aku dengan pandangan pelik dan ada yang terkejut. Sungguh aku malu sekarang ni.

"Tak, puan. Ke... kenapa puan buat saya macam ni?"

Jessica ketawa. Besar gelak-tawanya. Entah apa yang kelakar pun aku tak tahu. Aku rasa aku tak ada buat lawak apa-apa pun. Apa masalah lah dengan dia ni?

"Aku dah viralkan pasal kau yang kurang ajar dengan majikan lama. Sekarang ni Princeville Holdings terlibat sekali. Pandai-pandai kaulah bersihkan nama syarikat yang gah tu. Bye!"

Aku terdiam seribu bahasa. Jessica viralkan aku? Dia... dia buat apa? Dan kenapa dia babitkan sekali syarikat Princeville Holding?

"Kenapa puan buat saya macam ni?" jerit aku dari jauh. Sungguh aku tak mampu menahan geram terhadap Jessica lagi. Dia semakin melampau. Semakin aku mendiamkan diri, semakin itulah dia mudah nak pijak maruah aku.

"Aara, sabar. Awak basah lencun ni. Kita pergi tandas dulu," ajak Melina.

Aku akur dengan ajakan Melina. Hati aku sakit sekarang ni. Aku nak jumpa dengan Rae. Aku tak boleh nak mendiamkan diri lagi.

"Sabar, Aara. Saya faham apa yang awak rasa sekarang."

Aku menggelengkan kepala. Bibir aku kemam perlahan. Hati aku sakit. Sangat sakit. Kenapa aku diperlakukan seperti ini? Aku ada hati dan perasaan. Kenapa buat aku seolah-olah bukan seorang manusia?

"Apa salah saya, Mel? Apa salah saya..." Akhirnya tangisan aku terhambur. Teresak-esak. Melina pantas mendakap tubuh aku erat. Dia mengusap belakang tubuhku sepertinya mahu menenangkan aku.

"Saya ada dengan awak, Aara. Jangan menangis. Saya tak sampai hati nak tengok awak macam ni. Dalam keadaan awak basah lencun macam ni. Kenapalah dia simbah awak dengan air? Tak boleh cakap elok-elok ke? Mentang-mentang orang kaya, sesuka hati saja apa dia nak buat?" bebel Melina sambil membersihkan baju kemeja aku dengan tisu basah.

"Kita bungkus boleh tak? Lepas tu, teman saya beli baju dekat kedai bundle sana."

Melina laju menganggukkan kepalanya. Dia menggenggam tangan aku erat sebelum kami melangkah keluar bersama dari tandas kedai makan itu.

Tok. Tok.

"COME in," sahut Rae dari dalam bilik pejabatnya. Aku menarik kemudian menghembus nafasku sebelum menolak dedaun pintu bilik kerja Rae. Jantung aku berdetak kencang. Berdebar-debar aku dibuatnya.

"Erm... nak apa? Bukan tadi dah hantar ke fail tu?"

Tengok. Cara dia macam dah tak nak jumpa aku langsung. Aku dah tahu apa sebabnya. Mesti sebab yang Jessica katakan tadi semasa di kedai makan.

"Awak kenapa, Rae? Awak dingin dengan saya? Ada perkara buruk berlaku, kan? Kenapa awak tak cerita dekat saya? Kenapa awak berperangai asing macam ni seolah-olah kita tak pernah kenal?"

Bergetar suaraku saat meluahkan isi hati yang terbuku di dalam hati.

"Kau dah kenapa ni? Period ke tiba-tiba nak emosi macam ni? Aku tak ada masa lah nak layan kau. Baik kau siapkan kerja kau. Jangan buat aku naik angin."

Aku menggelengkan kepala. Air mata sudah mengalir lebat. Aku tak boleh terima jawapan Rae. Sakit. Perit. Jangan cakap yang aku sukakan dia. Tolonglah hati. Aku dah pernah sekali disakiti. Peritnya hanya Allah saja yang tahu.

"Alahai perempuan ni. Nak menangis pulak. Hei! Aku cakap tu cubalah dengar!" tengking Rae. Terhinjut bahu aku dibuatnya akibat terkejut mendengar tengkingan daripada Rae. Sungguh, dia tak pernah tinggikan suara dia dekat aku.

"Rae..." Aku tak mampu meneruskan percakapan aku. Tubuhku menggeletar kuat. Dada aku berasa sesak. Tak mampu nak bernafas dengan sempurna.

"Kau nak tahu sangat, kan? Sebab apa aku jadi macam ni? Sebab kaulah, perempuan! Kau dah susahkan hidup aku. Syarikat Princeville sekarang ni tengah goyah disebabkan kau! Aku tak sangka yang nama kau ni boleh terpengaruh dalam dunia perniagaan!"

Aku terpanar. Sungguh kasar bahasanya. Hati aku bagaikan dicucuk-cucuk dengan anak panah.

"Saya tak tahu, Rae. Saya tak tahu pun yang Jess viralkan saya. Dia baru je..."

PAM!

Aku terkejut sehingga terundur selangkah ke belakang saat Rae menampar meja kerjanya kuat.

"Aku dah muak dengar alasan kau. Kau sengaja nak minta simpati orang ramai! Sebab tak ada siapa nak tolong kau, kan? Seteruk-teruk Ivan, aku tahu dia macam mana. Dia sepupu aku walaupun kami tak berapa rapat! Dia tak mudah rapat dengan perempuan. Kau tu yang goda dia!"

Semakin lebat tangisanku. Hati aku hancur saat orang yang aku percaya, hina aku sebegini. Aku tahu Ivan sepupu dia. Tapi, seratus peratus ke dia tahu tentang sepupunya itu?

"Sudahlah, Aara. Kau tak tahu nak cakap apa sebab belang kau dah terbongkar. Aku rasa dengan baiknya kau keluarlah dari sini. Jangan nak menambahkan lagi keburukan dekat Princeville Holdings ni."

Aku menggelengkan kepala. Perlahan-lahan aku mendekati dia sebelum melutut di hadapannya.

"Rae, saya percayakan awak. Tolong jangan hancurkan kepercayaan saya dekat awak. Saya dah mula sayangkan awak sebagai seorang sahabat. Dari kita jumpa lagi, awak yang selalu ada dengan saya. Saya merayu jangan buat saya macam ni. Maafkan saya." Esakan aku semakin kuat. Itu menandakan yang hati aku terlalu sakit. Entah mana datang keberanian, aku memeluk kaki kanannya. Merayu supaya dia tidak bersikap begini. Kenapa aku bodoh sangat?

"Lepaslah!" Rae menepis aku sehingga dahiku tergeser pada bucu meja kerjanya. Sakitnya tak sesakit hati aku.

"Rae!" jerit Julian sebelum dia menghadiahkan tumbukan tepat pada wajah Rae. Melina menekup mulutnya melihat aku yang terbaring di atas lantai.

"Aara!" Melina memeluk tubuhku. Sehelai tisu di ambil dari atas meja kopi kemudian ditekup pada dahiku.

"Julian... sudah..." Aku tak sanggup melihat Julian dan Rae bergaduh disebabkan aku. Aku tak nak menjadi penyebab hubungan kekeluargaan dan persahabatan mereka goyah.

"Kalau dah tak nak, jangan cederakan dia!" amuk Julian sebelum dia mencempung tubuhku dibawa keluar dari situ.

"Kita pergi klinik." Tegas nada suara Julian.

Aku hanya mampu ikut saja. Hati aku berkecai. Kosong. Perasaan aku sepertinya hilang saat ini. Dulu aku letakkan kepercayaan aku pada Arif dan semudah-mudahnya dia hancurkan. Kini, Rae pula yang menghancurkannya.

Sekarang pada siapa lagi yang aku boleh percayai? Julian? Ataupun Rery?


Previous: MP 12
Next: MP 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.