MP 2

"AARA! Dah siap ke belum? Kereta tu dah sampai!" jerit mak dari luar bilik aku. Nasib tak bergegar rumah dibuatnya. Tahulah teruja sangat nak pergi rumah mewah. Kut ya pun tak payahlah menjerit sampai bergema-gema suasana rumah. Mahu terdengar jiran sebelah.

"Ya, mak! Dah siap!" Segera aku menggalas beg pada bahu. Sempat lagi aku memeriksa sekeliling bilik aku. Takut-takut ada barang penting yang tertinggal. Sudahlah nak pergi jauh. Jenuh pula nanti nak patah balik bagai.

"Dah, mak. Jomlah." 

Mak menganggukkan kepala. Pandangan aku terpaku pada sebuah kereta yang berhenti betul-betul di hadapan rumah kami. Terkejut aku dibuatnya. Mewah betul kereta. Vellfire warna putih berkilauan! Ini kali pertama aku tengok kereta mewah macam ni depan mata.

"Aara, apa kamu tengok lagi tu? Cepat naik," panggil mak yang sudah masuk ke dalam perut kereta. Terkebil-kebil aku memandang mak. Laju betul mak ni. Entah bila masa dia masuk, tup-tup dah ada dalam kereta. Nampak sangat tak sabar.

Tanpa membuang masa, aku masuk ke dalam perut Vellfire itu. Terpusing kepala aku dibuatnya apabila melihat suasana di dalam kereta itu. Betul-betul mewah. Siap ada televisyen kecil. Penghawa dingin sangat sejuk! Ada makanan ringan yang sudah siap tersedia. Boleh ambil ke?

"Saya Hanz selaku pemandu peribadi Tuan Ivander dan Puan Jessica. Perjalanan kita mengambil masa selama sejam lebih. Makanan ringan yang ada kat belakang tu sememangnya tersedia untuk puan dan cik." Hanz mengukir senyuman.

"Panggil Mak Azi aje. Ni anak Mak Azi, Aara namanya. Terima kasih Hanz." 

Aku hanya mendiamkan diri. Senyum pun tidak. Aku tak nak bagi muka sangat dekat lelaki. Jual mahal sikit. Aku bukan lagi Aara Malika yang senang jatuh cinta dengan lelaki. Tidak lagi. Cukuplah sekali. Serik. Sakit ni masih ada lagi. Aku tak tahu macam mana nak lupakan. Dulu aku pernah berangan, nak ada suami orang kaya. Tapi sekarang, semua angan-angan aku sudah terpadam dek seorang lelaki yang telah melukakan hati aku. 

"Mak harap, Aara boleh layan majikan kita baik-baik. Dia orang tu orang kaya. Jangan buat malu, mak."

Aku sekadar menganggukkan kepala. Niat aku memang satu. Menjalankan tugas sebagai seorang pembantu rumah. Tak lebih dari itu. Tak ada niat pun aku nak cari jodoh dekat dalam rumah tu nanti. Aku sanggup jadi andartu sampai bila-bila. Kata-kata Arif semalam masih segar dalam kepala otak aku. 

Katanya cinta pertama tidak akan sama seperti cinta kedua dan ketiga. Pada aku, bekas cinta tak sama dengan cinta yang setia dan asli. Tak sama. Tak apalah. Bukan jodoh aku bersama dengan dia. Mungkin aku ditakdirkan untuk setia duduk bersama mak. Biarlah aku jaga mak sampai aku mati sekalipun.

Selamat tinggal rumahku. Ayah, Aara janji yang Aara akan jaga mak. Satu hari nanti, Aara dan mak akan balik semula ke rumah ini. Rumah ini terlalu banyak kenangan Aara bersama ayah dan mak. Aara sayang ayah...

"INI Mak cik Azirah, ya?" Seorang perempuan muda menyapa mak sebaik saja kami menjejakkan kaki ke dalam rumah agam yang bagaikan istana ini. Mewah betul rumah dia. Tak lepas mata aku memandang sekitar rumahnya. Selama ni aku dapat tengok melalui kaca televisyen saja. Tapi hari ni, depan mata. Siapa yang tergamam?

"Ya saya. Ni Puan Jessica, ya?" 

Aku nampak dia menganggukkan kepala. Oh, ini rupanya Jessica. Nama serupa ahli kumpulan Korea, Girls Generation. Aku fikirkan majikan aku orang Korea lah tadi. Rupanya... bila tengok tengok anak mata dengan wajahnya tidak seperti orang melayu. Kacukan ke?

"Ya saya, Mak Azi. Panggil saya Jess saja. Saya harap Mak Azi selesa bekerja dengan kami. Ini kali pertama saya ambil pembantu rumah yang berasal dari Malaysia. Biasanya saya ambil dari Filipina atau Thailand. Semuanya tak boleh ngam. Habis semua barang saya dibawa larinya."

Mak mengangguk-anggukkan kepala. Dah kau kaya sangat, mana taknya orang bawak lari barang kau. Tapi, bila tengok rumahnya. Tak ada pulak makin sikit barangnya. Makin banyak adalah. Dengan perabotnya yang lip-lap. Memang kena teliti bila nak lap semua perabot rumah dia ni. 

"Ni anak Mak Azi, Aara namanya."

Aku tanpa senyuman terus menghulurkan tangan untuk bersalaman. Akan tetapi, salaman aku ditolak. Dia hanya pandang saja tangan aku. Kenapa? Jijik sangat ke nak bersalaman dengan aku? Inilah perangai orang kaya. Selalu pandang serong dekat orang bukan kaya. Bawa kubur agaknya semua ni.

"Oh, Aara. Muda. Umur berapa?" soalnya sambil melirik tubuh aku dari atas sehingga ke bawah. Dia mengimbas ke apa? Macam nak terkeluar biji mata tu bila tengok aku. 

"Umur saya tahun ni 23 tahun," jawab aku apabila mak mencuit siku aku. Kalau ikutkan hati, nak aje cakap umur aku tiga tahun. Dah dia kata muda, kan? 

Dia menganggukkan kepala. 

"Amore (Sayang)..." 

Terdongak kepala aku secara spontan apabila terdengar suara garau milik seseorang yang berdiri tercegat di anak tangga paling atas. Sakit kepala aku. Kut ya pun nak panggil, turunlah dulu sampai habis. Haih... macam-macam ragamlah orang kaya ni.

"Ya, biy. Mereka dah sampai."

Lelaki itu menuruni anak tangga sehingga habis sebelum mendekati kami bertiga. Pada mulanya aku agak tergamam juga melihat dia. Boleh tahan kacak. Anak matanya menggoda. Tapi, sekejap aje. Aku tetap dengan niat asal aku. Say no to man. 

"I am Ivander. Nice to meet you both."

Wah! Dia ajak aku berspeaking dengan dia. Fikir aku tak habis sekolah, aku tak boleh speaking ke? Bahasa Inggeris adalah subjek kegemaran aku. Walaupun dah habis sekolah, aku tetap belajar sendiri. Aku memang suka belajar macam-macam bahasa. Tapi, tak ada mahir sangat.

"Nice to meet you too, Tuan Ivander," balas aku tanpa senyuman. No need to smile. Bahaya.

"Baiklah, Mak Azi dengan Aara boleh letak barang dekat dalam bilik sebelah dapur tu. Ada dua bilik. Boleh guna dua-dua. Ada privasi sendiri-sendiri. Is that okay?" ujar Jesicca sambil membalikkan rambutnya yang terurai itu. Dia nak buat iklan syampu agaknya. 

"Boleh, Puan Jess. Terima kasih," ucap mak kemudian menarik tangan aku menuju ke bilik yang dimaksudkan oleh Jessica sebentar tadi. 

"Aara, kenapa kamu tenung suami dia macam tu? Mak tak sukalah. Kamu tak nampak tadi Puan Jess dah pandang lain dekat kamu?"

Ah... mak ni. Mula dah. Suka bersangka buruk dengan aku. Ini salah satu sikap mak yang aku tak berapa minat. Dia suka cakap yang bukan-bukan tanpa sahkan perkara yang sebenar. 

"Mana ada, mak. Tak baik mak ni tuduh Aara macam tu. Aara pandang biasa aje. Mana ada main kenyit-kenyit mata ke apa..."

"Tengoklah tu. Mak cakap ada aje nak menjawab. Mak cilikan juga mulut tu. Macam mak tak tahu cara kamu pandang macam mana. Beringat sikit. Kamu tu baru aje kena dengan lelaki. Kahwin tak jadi. Senang sangat orang lelaki mempermainkan kamu. Percayakan sangat lelaki."

Bibir aku gigit perlahan. Tersentap dengan kata-kata mak. Semalam mak bagi aku semangat. Tiba-tiba mak ungkit semula cerita semalam. Kenapa? Perlu ke nak ulang balik? Sakit aku belum lagi hilang. Bertambah sakit bila mak cakap macam tu.

"Mak pesan kat kamu. Dalam rumah ni kerja bukan nak goda lelaki. Jangan nak malukan mak. Dia orang ni semua pengaruh besar-besar. Mak dah penat dah hidup susah. Sini sajalah punca pendapatan yang mak ada. Duduk kampung tu tak habis-habis nak kena hadap mulut-mulut orang. Penat dah...," bebel mak.

Aku hanya membisu saja. Tiada guna pun mahu menjawab. Nanti ada saja yang mak bidas semula. Bertambah-tambah lagi sentap aku nanti. Macam inilah sikap mak. Ada masa dia sokong aku. Ada masa dia ungkitnya kisah lama. Macam semalam dia bagi aku semangat. Tiba ke hari ni, dia nak ungkit pula hal semalam. Aku dah tak nak ingat apa-apa dah tadi. Tapi, mak dah buat aku ingat lelaki tu lagi. Apalah nasib aku...


Previous: MP 1
Next: MP 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.