Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 10: Apa Kaitan Jhaznarul Dengan Mamu Arries?

Sebaik sahaja mengerjakan solat Subuh dan bersarapan pagi bersama keluarga tercinta, Jhaznarul terus menghayunkan langkah kakinya menuju ke arah pokok besar yang terletak di hadapan tingkap dapurnya. Jhaznarul memandang ke arah pokok besar itu dengan teliti sambil berfikir hal semalam.

“Aku yakin lelaki yang ada di bawah pokok ni semalam adalah Mamu Arries. Buat apa dia datang rumah aku? Apa yang dia nak sebenarnya?” akal Jhaznarul ligat berputar untuk mencerna sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.

“Tapi, bagaimana dia tahu rumah aku? Sedangkan kami baru pertama kali jumpa di motel miliknya. Mustahil dengan semudah itu dia tahu rumah aku di mana?” Jhaznarul tidak mahu mempercayai dengan frasa yang baru sahaja selesai dilakukannya.

“Uwargh!”

“Argh!” Terpelanting Jhaznarul ke belakang dengan sergahan secara tiba-tiba datang menjengah dirinya.

Orang yang menyergahnya pula, kini sedang ketawa geli hati. Jarang sekarang Jhaznarul hendak terperanjat begitu. Sungguh tidak terduga, sesekali Jhaznarul terperanjat, rupanya lebih buruk dari biasa.

“Kurang lemon betul kau ni, Firdee. Dah tak reti nak bagi salam? Nasib baik jantung aku sihat walafiat tau. Kalau tak, aku dah jadi arwah sebentar tadi,” marah sungguh Jhaznarul dengan tingkah laku Firdee Aqasha yang kadang-kala hendak bergurau tidak bertempat.

Firdee Aqasha masih tidak mahu menghentikan ketawa yang terhambur. Namun, dia tidak pula lokek menghulurkan tangan untuk membantu Jhaznarul berdiri semula.

“Boleh tahan juga kalau kau dah terperanjat ya? Kalah Pak Belang dalam hutan tu. Sekali pandang macam muka cipanzi pun ada juga.” Firdee Aqasha makin besar pula gelak ketawanya.

Masam sahaja muka Jhaznarul yang menerima lawak ekstrem daripada temannya itu. Seketika kemudian, Jhaznarul melipat kakinya ke betis Firdee Aqasha sehingga jejaka itu terhempas punggungnya ke tanah. Kali ini giliran Jhaznarul pula yang mengeluarkan ketawanya dari peti simpanan suara.

“Oh, balas dendam ya? Mangkuk punya kawan.” Firdee Aqasha menggosok-gosok punggungnya yang sakit terhentak.

“Muka kau pun ala mawas tadi. Ada hati nak sindir aku. Barulah adil, sama-sama bermuka ala-ala haiwan dari kumpulan tu.” Jhaznarul mengeluarkan sengihannya yang cukup berperisa sinis pada Firdee Aqasha.

“Sudah, sudah. Jangan nak mengata aku pula. Yang kau asyik belek pokok ni sedari tadi apasal? Pokok ni ada ala-ala rupa Risyam ke?” begitulah Firdee Aqasha yang tidak pernah sunyi dari mengusik teman-temannya. Dan yang kerap terkena di musim cuti semester, tidak lain dan tidak bukan Jhaznarullah, siapa lagi?

“Cakap sopan-santun sikit ya. Risyam aku lebih cantik dari semua makhluk ALLAH yang tercipta di sini.” Jhaznarul mempertahankan Husnarisyam. Iyalah, mana boleh kutuk awek orang sesuka hati, kan?

“Okey. Okey. Risyam dia soranglah yang cantik. Miran aku pun lawa jugalah. Tak nak kongsi cerita dengan aku?” Firdee Aqasha tidak mahu membangkitkan soal awek masing-masing sekarang kerana perasaan ingin tahunya lebih tinggi untuk dilunaskan. Semenjak pulang dari perkhemahan mereka, tingkah laku Jhaznarul sedikit berubah. Di atas faktor apa, masih tidak dapat dipastikan lagi.

“Semalam masa kita sedang makan kat rumah aku. Aku ada nampak bayangan manusia di bawah pokok ni. Aku yakin bayangan tu adalah seorang lelaki dan aku lebih yakin lagi bahawa bayangan tu adalah Mamu Arries.” Jhaznarul menjelaskan apa yang menghantui fikirannya sejak dari malam semalam.

Kedutan beribu tiba-tiba muncul di dahi Firdee Aqasha. Namun, kedutan itu hanya singgah sebentar sahaja sesudah digantikan dengan ketawa yang berdekah-dekah. Jhaz ni mamai ke apa? Mana mungkin Mamu Arries tahu akan lokasi rumah mereka. Kenal pun tidak. Ketawa Firdee Aqasha masih belum lerai.

“Kau biar betul nampak Mamu Arries kat sini semalam? Kau tak salah orang ke?” tanya Firdee Aqasha untuk memastikan Jhaznarul benar-benar yakin yang dilihatnya itu adalah Mamu Arries.

“Aku tak tipu kaulah. Dari gerak-geri, muka dia memang sama dengan Mamu Arries. Aku yakin tu Mamu Arrieslah. Tapi yang aku tak fahamnya, buat apa dia datang kat rumah aku? Dia cari siapa atau apa?” Akal Jhaznarul ligat berputar semula untuk mencari jawapan yang masih samar.

Firdee Aqasha menepuk bahu Jhaznarul dengan sengihan yang masih melekat di pinggir bibir. “Jhaz, mana mungkin Mamu Arries dapat cari lokasi rumah kita, sedangkan nama kita pun dia tak tahu? Bukankah Dahuri yang daftarkan atas nama dia? Mustahil Mamu Arries dapat cari lokasi rumah kita dengan mudah.” Firdee Aqasha menggeleng-gelengkan kepalanya melihat pada kekeliruan yang muncul di dalam diri Jhaznarul.

Jhaznarul menarik nafasnya dalam-dalam. Logik juga apa yang Firdee katakan tu. Mustahil seseorang yang tidak tahu nama mereka, tiba-tiba dapat cari rumah mereka dengan mudah. Tak mungkin Mamu Arries pakai ilmu psikik. Hisy, merepek apa aku ni. Suara hati Jhaznarul bergelumang di dalamnya seketika bagi menimbangkan antara realiti dan khayalan.

“Logik tak apa yang aku cakap ni, Jhaz? Lagipun, Mamu Arries cari rumah kita buat apa? Bukannya kita berhutang dengan dia. Duit motel yang kita sewa beberapa saat tu pun tak kita ambil.” Firdee Aqasha cuba membawa Jhaznarul ke alam yang nyata agar fikirannya tidak melencong ke arah benda-benda yang tidak masuk akal.

Sekali lagi Jhaznarul menarik nafasnya sebelum menghembuskan satu keluhan yang amat berat. Tiba-tiba sahaja dia diheret ke kancah permasalahan ini bermula dari perkhemahan itu, siapalah yang tidak terusik kewarasan mentalnya, kan?

“Ya. Apa yang kau cakapkan tu memang logik. Mungkin aku terlalu banyak berfikir. Kau tahu Firdee, semalam aku ada mimpi yang cukup menakutkan. Mimpi tu seolah-olah benar dan bukannya mimpi,” wajah Jhaznarul sedikit pucat tatkala mengingati mimpinya semalam.

“Biar aku teka. Kau mimpi nenek tua tu lagi ya?” tekaan Firdee Aqasha sememangnya tepat sehingga membeliakkan mata Jhaznarul yang sedang melurus ke arahnya.

“Bagaimana kau tahu? Kau pun ada mimpi dia juga?” tanya Jhaznarul dengan penuh minat sekali.

“Merepek kau ni. Mana ada aku mimpi nenek tua tu. Entah-entah nenek tua tu terpikat pada kau, sebab itulah dia datang pada kau.” Firdee Aqasha mengekek setelah berjaya mempersendakan Jhaznarul. Satu tumbukan ala-ala mesra hinggap di lengan Firdee Aqasha membuatkan jejaka itu meraung sakit sambil menggosok-gosokkan lengannya.

“Aku tak suka kau gurau macam ni,” tegas nada Jhaznarul yang berunsur amaran.

“Okey. Okey. Aku minta maaf. Ceritalah apa yang kau mimpi semalam?” pinta Firdee Aqasha. Lalu Jhaznarul menceritakan apa yang berlaku pada dirinya malam semalam. Sebaik sahaja selepas Jhaznarul selesai sesi penceritaannya, Firdee Aqasha pula menghela nafas berat.

“Jhaz, sebagai sahabat, aku nak nasihatkan kau supaya jangan terlalu obses sangat tenteng roh nenek tua tu. Dan tolonglah jangan fikirkan sangat benda-benda yang tak logik. Kalau kau terus berfikir dan mengingatinya, tak mustahil kau akan mengalami masalah mental nanti. Aku tak nak kawan aku mental pula.” Firdee Aqasha masih boleh bergurau di saat genting begini.

“Aku pun tak tahulah, tiba-tiba saja benda ni semua berlaku pada aku. Susah untuk aku buat-buat tak tahu. Tapi insya-ALLAH, aku akan cuba untuk melupakan semua yang kita lalui. Terima kasih ya Firdee kerana menenangkan aku.” Jhaznarul baru mampu mengukir senyuman.

“Itulah gunanya kawan. Jom masuk.” Firdee Aqasha memaut bahu Jhaznarul dan membawa sahabatnya itu masuk ke dalam rumah semula.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.