Pada malam itu,
keluarga Jhaznarul mengajak keluarga Firdee Aqasha untuk menjamu selera di
rumah mereka. Jhaznarul hendak melepaskan hajat Firdee Aqasha yang hendak makan
kepah. Kuantiti kepah yang dibekalkan terlalu banyak, tidak terhabis oleh
mereka sekeluarga.
Manakala keluarga Firdee Aqasha pula menerima pelawaan itu dengan senang
hati. Lagipun, keluarga Firdee Aqasha dan keluarga Jhaznarul sudah bagaikan
adik-beradik. Kedua ibu bapa mereka telah bersahabat sejak dari zaman muda lagi
dan tradisi itu diteruskan pula oleh anak-anak mereka. Bertapa uniknya
persahabatan antara dua buah keluarga ini.
“Alhamdulillah rezeki kita dapat makan kepah malam ni. Dah lama tak makan
kepah.” Zafarul Zaini yang merupakan bapa kepada Firdee Aqasha mengucap syukur
dengan rezeki kurniaan ALLAH swt.
“Kebetulan Jhaz bawa balik banyak, apa salahnya kalau kita saling
berkongsikan? Kami sekeluarga tak terhabis kalau nak makan kepah ni,” balas
Fizaham pula (bapa kepada Jhaznarul).
“Nasib baik nenek tua tu berikan kau buah tangankan? Kalau tak memang tak
merasalah makan kepah malam ni,” galak Firdee Aqasha mengusik Jhaznarul.
Manakala Jhaznarul pula menjeling tajam pada Firdee Aqasha. Hantu betul.
Dalam diam dia kenakan aku. Jhaznarul pura-pura tidak dengar dengan usikan
Firdee Aqasha dan meneruskan suapan isi kepahnya yang terlalu manis. Puas dapat
makan kepah bersaiz besar malam ini.
“Baik betul nenek tua tu yang berikan kau kepah, Jhaz. Kita patut berterima
kasih pada nenek tua tu.” Muzie Azirah ibu kepada Jhaznarul menyokong kata-kata
Firdee Aqasha membuatkan sahabatnya itu melukis segaris senyuman di atas bibir.
Haah. Berterima kasih sangatlah. Kalaulah ma dan pa tahu apa yang dah jadi
pada kami semua, pasti ma dan pa pun takkan berterima kasih pada nenek tua tu.
Hee ... nak kena lunyai juga si Firdee ni. Mulut celopar betul sama dengan
perangai hantu dia. Kutuk Jhaznarul di dalam hati.
“Betul tu Jhaz. Kita patut berterima kasih pada dia.” Firdee Aqasha sengaja
menyimbah minyak ke dalam api yang sedang menggelegak naik.
“Kau pun patut berterima kasih pada dia juga. Kalau tak, mana mungkin kau
dapat makan kepah yang sedap ni,” dalam selamba Jhaznarul memulangkan paku buah
keras pada Firdee Aqasha membuatkan jejaka itu menetas senyuman.
Setan punya Jhaz. Senyap-senyap dia kenakan aku. Firdee Aqasha tidak
bersuara lagi. Hidangan malam itu terus dinikmati dengan penuh rakus.
Ibu bapa kedua buah keluarga itu, berbual sakan sambil menikmati saki-baki
hidangan yang masih banyak. Begitu juga dengan Jhaznarul, Firdee Aqasha serta
adik-adik kedua jejaka ini.
Dalam asyik menikmati hidangan yang jarang-jarang diperolehi, tiba-tiba
mata Jhaznarul menangkap satu kelibat manusia yang sedang berdiri tegak di
bawah sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan tingkap dapur
mereka. Kelibat manusia yang berjaya ditangkap oleh mata Jhaznarul sedang
memerhatikan ke arah mereka. Tidak berkelip-kelip mata manusia yang berada di
sana. Makin lama Jhaznarul perhatikan, makin dalam pula manusia itu membalas
balik. Namun, perbuatan Jhaznarul ini tidak diperasan oleh sesiapa pun kecuali
dirinya sendiri. Jhaznarul sendiri tidak mahu membuka mulut untuk memberitahu
akan hal itu kepada sesiapa jua termasuk keluarganya.
Tiba-tiba sahaja, hati Jhaznarul dilanda ombak tsunami dengan amat kuat
sekali. Setelah diteliti betul-betul, Jhaznarul seakan-akan mengenali kelibat
bayangan manusia itu. Namun, untuk memberitahu pada Firdee Aqasha, Jhaznarul
tidak mempunyai kekuatan kerana apa yang dilihat oleh mata kasarnya,
kemungkinan besar tidak benar. Dia tidak mahu tertipu oleh ilusi matanya
sendiri.
Tak mungkin dia. Aku yakin bukan dia. Masakan dia mahu datang sebegini jauh
semata-mata untuk memerhatikan kami. Untuk apa dia mahu lakukan begitu? Kami
tidak ada kaitan langsung dengan dia. Ah, persetankanlah. Mungkin hanya igauan
aku saja. Jhaznarul cuba menyedapkan hatinya sendiri.
Tiba-tiba sahaja kelibat manusia yang ternyata seorang lelaki itu menyengih
pula pada Jhaznarul. Seraya dengan itu, bulu tengkuk Jhaznarul meremang dengan
mendadak. Hatinya bagaikan dipalu gong bertalu-talu. Jhaznarul pantas mengambil
air kosong di sisinya lalu meneguk rakus. Sekali lagi dia menghala pandangan
matanya meluruskan ke arah pokok besar itu, namun kehairanan menetas pula di
benaknya. Masakan dalam sekelip mata sahaja lelaki itu boleh lenyap. Jhaznarul
cuba mencari lagi kelibat manusia itu tetapi hampa sahaja kerana kelibat itu
benar-benar sudah tiada di tempat asalnya.
Jhaznarul beristighfar panjang di dalam hati. Mungkin itu hanyalah khayalan
aku sahaja. Mana mungkin orang datang sini tanpa tujuan. Tapi kenapa sengihan
dia menyeramkan aku? Aku rasa bukan dia yang sebenar. Ah, sudahlah. Aku tak nak
fikirkan lagi hal yang mengarut tu.
Seusai makan malam, keluarga Firdee Aqasha meminta diri untuk pulang dan
Jhaznarul pula meminta diri untuk naik ke atas. Begitu juga dengan adik
Jhaznarul yang bernama Jhazfeena. Masing-masing mempunyai agenda yang
tersendiri pada malam itu. Jhaznarul ingin melayan matanya sahaja, manakala
Jhazreena, apa lagi kalau bukan hendak main laman muka buku.
Mata Jhaznarul terpaku sebaik sahaja pintu biliknya dibuka. Keadaan
biliknya sudah berubah dalam sekelip mata dan akal waras Jhaznarul tidak dapat
menerimanya dengan mudah.
“Apa dah jadi ni? Tak mungkin. Tak mungkin. Tak mungkin aku kembali semula
ke hutan tu. Aku kan dah ada di rumah. Aku tak boleh masuk dalam bilik ni. Aku
kena beritahu ma dan pa,” kaki Jhaznarul memusing semula ke belakang dan sekali
lagi dia terpasung. Gerak langkahnya ternyata berat hendak meneruskan apa yang
diagendakan dalam minda. Air liur yang menuruni tekak Jhaznarul benar-benar
rasa berpaku.
“Ya ALLAH. Apa dah jadi rumah aku ni? Takkan kami kembali ke hutan tu
semula. Mana keluarga aku? Ma. Pa. Feena.” Jhaznarul melaung-laung nama setiap
orang ahli anggota keluarganya tetapi laungannya tidak bersahut.
“Astaghfirullahalazim. Takkan aku sorang-sorang kat sini,” dada Jhaznarul
semakin dipalu debaran rasa yang entah apa iramanya. Dia sendiri tidak dapat
mentafsirkannya.
Baru sahaja dia ingin memanggil semula ibu bapanya, tiba-tiba dia melihat
wajah seseorang yang menyapa di skrin matanya. Wajah yang rentung itu menyengih
sehingga menampakkan barisan gigi yang cukup hitam legam serta runcing-runcing
ketajamannya. Makin lama, wajah itu makin menghampirinya sehingga Jhaznarul
rasa lemah untuk melarikan diri.
“Kenapa dia ikut aku? Bukan aku yang seru dia. Ini semua Firdee punya
pasal. Kenapa aku yang menjadi mangsa,” sekali lagi tekak Jhaznarul menelani
air liur yang hampir kering.
“Cu ... mana nak lari cu. Nenek dah dekat ni. Jangan lari cu. Tolong nenek
cu.” Nenek tua yang separuh rentung itu makin mendekatkan dirinya kepada diri
Jhaznarul. Jhaznarul cuba menapak ke belakang namun kakinya terasa berat sekali
untuk terus bergerak.
“Jangan ganggu saya nek. Saya tak kejutkan nenek. Pergi! Pergi! Jangan
ganggu saya.” Jhaznarul mula berteriak ke arah nenek tua itu.
“Cu ... jangan buat nenek macam ni cu ... Tolong nenek cu.” Nenek tua itu
sudah pun merapati dirinya dengan Jhaznarul dan tiba-tiba sahaja tubuh
Jhaznarul dipeluk erat oleh nenek tua itu.
Ketika berada di dalam pelukan nenek tua itu, Jhaznarul dapat merasakan
lidah nenek tua itu menjilat batang tengkuknya dengan rakus. Makin lama makin
basah tengkuk Jhaznarul membuatkan jejaka itu tidak selesa langsung.
“Ya ALLAH, aku dah nak mati ke ni? Nek .... jangan bunuh saya nek. Nenek
...” Jhaznarul menjerit sekuat hati. Nenek tua itu ketawa nyaring yang cukup
menyeramkan.
“Kamu milik nenek, cu ...” suara nenek tua itu bergema semula sambil ketawa
yang cukup menyeramkan. Tengkuk Jhaznarul sekali lagi menjadi mangsa rakus
jilatan lidah nenek tua itu.
“Nek, lepaskan saya. Saya bukan hak nenek. Lepaskannnn ...” Jhaznarul
meronta-ronta untuk melepaskan diri. Tiba-tiba sahaja dia merasakan tubuhnya
bergegar kuat dan sayup-sayup dia mendengar suara mamanya sedang memanggil.
“Ma ....” Jhaznarul terbangun dari lenanya. Satu badan dibanjiri peluh
dingin. Mata Jhaznarul menerawang di sekeliling sebelum dia mampu menarik nafas
lega. Dia masih di bilik rupanya.
“Astaghfirullahalazim. Apa dah jadi pada kau ni, Jhaz? Terpekik, terlolong
macam orang kena rasuk,” suara tegas Fizaham mengejutkan Jhaznarul dari terus
bermimpi. Aturan pernafasan masih tidak menentu. Jhaznarul masih gagal
menenangkan dirinya sendiri.
“Kau mimpi apa Jhaz sampai berpeluh macam ni? Dah solat Isyak?” tanya Muzi
Azirah pula.
Perlahan-lahan Jhaznarul beristighfar dan menyeka peluh dingin yang
membasahi dahinya. Mata Jhaznarul sekejap dipejam dan sekejap dibuka. Seketika
selepas itu, barulah pandangan Jhaznarul melurus memandang kedua ibu bapanya.
Baru juga air liur dapat menuruni rengkungnya dengan laju. Tidak berpaku lagi.
“Jhaz mimpi hantu.” Jhaznarul terpaksa berterus-terang.
“Mainan tidur tu. Dah solat sebelum tidur tadi?” tanya Muzie Azirah sekali
lagi dan Jhaznarul mengangguk lemah.
“Sekarang ni, Jhaz pergi ambil air sembahyang dan solat sunat pula.
Mudah-mudahan tidur Jhaz tak diganggu lagi.” Fizaham memberi arahan dan
dipatuhi oleh anak bujang mereka itu.