Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 10 - HANTU ASKAR JEPUN

HANTU ASKAR JEPUN

Buat pertama kali dalam hidupnya, Salmah melihat bangunan pencakar langit yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia di hadapan matanya. Terselit rasa kagum melihat reka bentuk bangunan tersebut yang cukup canggih, cantik dan moden.

Matanya merayapi keseluruhan bangunan tersebut sehingga ke puncak. Terasa lenguh sebaik lehernya mendongak kerana cuba melihat puncak menara tersebut. Bagi seorang gadis kampung sepertinya yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pemandangan tersebut terasa sangat mengujakan.

Kalau mak dan abah ada mesti lagi seronok!’bisik hati kecil Salmah.

Kini, kakinya bertapak di hadapan pintu rumah sewa milik rakan sekampungnya, Hanna. Kedatangan dia ke Kuala Lumpur adalah hasil nasihat Hanna yang mengatakan di situ adalah lubuk duit. Peluang pekerjaan terbuka di mana-mana sahaja. Malahan Salmah juga tergiur melihat kemewahan yang dimiliki Hanna. Berkereta mewah, memakai telefon bimbit canggih, berpakaian serba cantik dan berjenama dan sentiasa mengenakan minyak wangi yang mahal.

Salmah terlalu mengagumi rakannya itu walhal dahulu mereka adalah setaraf. Tetapi kini wanita itu telah jauh ke hadapan berbanding dirinya. Setiap kali pulang ke kampung, pasti penduduk akan bercerita tentang kejayaan Hanna yang kini hidup senang lenang. Begitu juga dengan ibu dan ayah Hanna yang turut menumpang kesenangan anak tunggalnya itu.

Pada mulanya, ibu dan ayahnya enggan merelakan pemergiannya ke Kuala Lumpur. Puas dia berusaha meyakini kedua-dua orang tuanya itu. Bahkan Hanna juga turut membantu. Puas memujuk akhirnya ibu dan ayah Salmah bersetuju untuk melepaskan anaknya itu merantau di negeri orang meskipun hati terasa berat untuk melepaskannya.

Pelbagai nasihat telah dititipkan kepada Salmah sebelum dia berangkat. Yang paling ditekan oleh ibu dan bapanya adalah supaya menjaga maruah diri dan keluarga. Biar kita hilang wang ringgit asalkan kita tidak hilang maruah diri.

Sebaik pintu rumah terbuka, Salmah mencecahkan kaki melangkah masuk. Matanya terbuntang luas melihat kemewahan di dalam rumah tersebut. Dia benar-benar terpegun. Set perabot mewah, televisyen LCD berserta set home teater, hiasan dalaman yang cantik dan segala-galanya cukup lengkap dan sempurna. Jauh berbeza berbanding rumahnya di kampung. Rumah yang dimiliki Hanna jauh lebih luas meskipun hanya rumah flat, fikir Salmah sendirian.

“Besarnya rumah kau Hanna. Dekat K.L memang rumah flat besar ni ke?”tanya Salmah kebingungan. Matanya mengitari kawasan dalaman rumah. Lalu melabuhkan punggung di atas. Terasa sofa tersebut cukup lembut dan empuk.

Hanna tergelak kecil. “Ini bukan rumah flat lah Salmah. Ini yang dinamakan kondominium.”terang Hanna sambil menggeleng melihat Salmah yang tidak tahu apa-apa tentang dunia luar. Sama seperti dirinya sewaktu pertama kali menjejak kaki ke Kuala Lumpur.

Salmah yang tidak tahu menahu hanya mendiamkan diri. Matanya masih merayapi keseluruhan rumah Hanna. Dia benar-benar mengagumi rumah yang dimiliki Hanna itu. Dalam hati kecilnya mula memasang tekad untuk memilik rumah sebegitu jika telah memiliki duit yang banyak kelak.

“Kau tinggal sorang ke dalam rumah sebesar ni?”soal Salmah.

Hanna merebahkan diri di atas sofa. Tudung yang dipakai dilonggarkan dan dibuka. Tangannya mencapai alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen. Salmah terpukau melihat siaran televisyen tersebut yang cukup jelas dan real.

“Aku tinggal dengan kawan aku. Mereka berdua menyewa dekat sini. Tak sanggup aku tinggal sorang-sorang. Mati kebosanan jawabnya.”jawab Hanna. Matanya tertancap di kaca televisyen.

“Mana kawan-kawan kau tu? Boleh jugak aku nak kenal-kenal.”ujar Salmah.

“Kejap aku panggil. Tina! Rita!”laung Hanna memanggil nama rakan-rakannya.

Tidak lama kemudian, Tina dan Rita muncul. Mereka menyambut mesra kedatangan Salmah. Mereka sangat ramah dan melayan Salmah dengan baik. Ternyata tanggapan awal Salmah terhadap penduduk Kuala Lumpur berubah. Pada mulanya dia menganggap kebanyakkan orang bandar adalah sombong tetapi ternyata apa yang difikirnya itu berbeza.

“Kami dulu pun macam kau jugak. First time datang K.L memang canggung. Tapi lama-lama okaylah. Macam kawan kau ni.”ujar Rita sambil melirik ke arah Hanna sambil tersenyum simpul.

Salmah hanya tersenyum-senyum kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Rita.

“Nama asal korang berdua Rita dan Tina ke?”tanya Salmah bersungguh-sungguh.

Serentak itu tawa terhambur daripada mereka bertiga.

“Hidup dekat K.L ni nama kena vogue! Nama asal aku Sarimah tapi nak glamour punya pasal aku guna nama Rita. Tina ni pulak nama asal Kartina. Dah macam nama indon pun ada.”jelas Rita. Selajur itu mereka tertawa lagi. Salmah turut tertawa melihat keriangan mereka.

“Kau pun patut tukar nama jugak. Mulai hari ni kami panggil kau Sal. Hmm.. Sedap nama tu.”puji Tina sebaik memberi nama baru kepada Salmah.

“Kau patut belajar daripada kawan baik kau ni. Banyak yang kau tak tahu lagi dunia Kuala Lumpur. Kami pun banyak belajar dari dia.”sanggah Rita.

Salmah hanya tersenyum sambil melihat sekilas ke arah Hanna. Kekagumannya terhadap Hanna semakin menggunung. Hanna mengajak Salmah untuk menunjuk bilik baru yang bakal dihuninya.

“Kau mandi dan rehat dulu. Nanti malam kita keluar makan.”pesan Hanna sebelum berlalu pergi.

Salmah akur lalu mengunci pintu bilik. Di dalam bilik tersebut segalanya lengkap tersedia. Salmah bersyukur dikurniakan rakan sebaik itu. Bahkan dia juga tidak dikenakan sewa memandangkan Salmah adalah rakan sekampungnya. Salmah berbaring di atas katil empuk tersebut. Fikirannya menerawang jauh memikirkan tentang dirinya dan masa depannya.



Malam tersebut mereka berempat keluar makan di kedai makan berhampiran. Salmah sedikit terperanjat melihat penampilan Hanna yang jauh berbeza berbanding semasa dia berada di kampung dan awal pagi tadi. 360 darjah sangat berbeza. Salmah ingin menegur tetapi sengaja didiamkannya terlebih dahulu. Bahkan kedua-dua rakan Hanna juga tidak mengenakan tudung dan mengenakan pakaian yang agak sendat. Manakala Salmah selesa dengan berbaju kurung dan bertudung litup.

Sebaik tiba di kedai makan dan memesan makanan, mereka berbual kosong. Hanya Salmah agak mendiamkan diri. Dia agak kurang senang apabila dirinya dirasakan menjadi perhatian pelanggan di kedai makan itu. Mungkin kerana hanya dia yang berpakaian agak berbeza berbanding rakan-rakannya itu. Sikap Salmah yang agak berlainan mengundang rasa hairan Hanna.

“Kenapa kau diam saja ni? Tak sihat ke?”tanya Hanna.

Salmah menggeleng lemah. “Err. Aku nak tanya kau sikit boleh?”

Hanna mengangguk. Dia memandang wajah Salmah erat. Soalan yang bakal terpacul dari bibir Salmah dapat diduga olehnya

“Kenapa kau tak pakai tudung? Rambut tu kan aurat. Lagi pulak kau pakai baju agak ketat lar Hanna. Kalau mak dan ayah kau tahu mesti diorang marah.”tegur Salmah ikhlas.

Ternyata tekaannya tidak meleset. Hanna hanya tersenyum simpul sambil dituruti oleh rakan-rakannya.

“Sal, mari sini aku nak terang dekat kau. Kita sekarang ni bukan lagi hidup dekat kampung tau. Kita bukan lagi macam zaman budak-budak dulu. Kita sekarang berada di bandar dan zaman yang serba serbi moden. Jadi kita pun kena ikut sama moden. Kalau tak kita akan ketinggalan..”ujar Hanna.

“Tapi.. err..”

Belum sempat Salmah berkata, Rita memintas.

“Betul cakap Hanna tu, Sal. Kalau kau nak jadi macam kami, kau kena berubah. Kami dulu pun macam kau jugak. Tapi last-last kami jugak yang rugi. Itu yang kami berubah. Dan untungnya kami yang dapat. Peluang pekerjaan lebih mudah dapat kalau kau tak bertudung dan berpakaian ikut peredaran zaman. Berada di Kuala Lumpur ni, pemikiran kau kena berubah. Bukan lagi macam dekat kampung dulu.”

Salmah terdiam. Apa yang dikatakan oleh Hanna dan Rita jelas bertentang dengan prinsipnya.

“Aku tahu mula-mula kau akan berasa bersalah. But trust me! Lama-lama kau akan terbiasa dengan semua ni. Bergaul bebas dan bersuka ria. Hidup cuma sekali. Jadi kita enjoy puas-puas dulu.”tokok Tina pula.

Lantas mereka bertiga tertawa. Hanna menepuk-nepuk bahu Salmah. Dia mengerti rakannya itu masih tidak mengerti dengan gelora kehidupan yang sebenar. Dia percaya lambat laun Salmah pasti akan menjadi seperti dirinya juga. Akhirnya masing-masing menikmati makan malam yang dibelanja oleh Hanna itu.

“Sal, mari sini aku nak terang dekat kau. Kita sekarang ni bukan lagi hidup dekat kampung tau. Kita bukan lagi macam zaman budak-budak dulu. Kita sekarang berada di bandar dan zaman yang serba serbi moden. Jadi kita pun kena ikut sama moden. Kalau tak kita akan ketinggalan..”

“Tapi.. err..”

“Betul cakap Hanna tu, Sal. Kalau kau nak jadi macam kami, kau kena berubah. Kami dulu pun macam kau jugak. Tapi last-last kami jugak yang rugi. Itu yang kami berubah. Dan untungnya kami yang dapat. Peluang pekerjaan lebih mudah dapat kalau kau tak bertudung dan berpakaian ikut peredaran zaman. Berada di Kuala Lumpur ni, pemikiran kau kena berubah. Bukan lagi macam dekat kampung dulu.”

“Aku tahu mula-mula kau akan berasa bersalah. But trust me! Lama-lama kau akan terbiasa dengan semua ni. Bergaul bebas dan bersuka ria. Hidup cuma sekali. Jadi kita enjoy puas-puas dulu.”

Kata-kata Hanna, Rita dan Tina terasa menendang-nendang kotak fikirannya. Yang jelas dia sangat tidak bersetuju dengan kata-kata rakan-rakannya itu. Salmah terkilan melihat Hanna yang kelihatan telah berubah tidak seperti yang dikenalinya dahulu. Semuanya hanya demi mengikut peredaran zaman dan demi mengejar kekayaan.

Salmah menghempaskan tubuhnya di atas katil. Hanya demi mengejar dunia manusia sanggup mengorbankan akhirat. Salmah mengeluh. Dia mengetap bibir. Tidak semena-mena pesanan dan nasihat ibu bapanya terngiang-ngiang di telinga. Wajah ibu bapanya muncul silih berganti. Salmah nekad untuk tidak mengikut jejak langkah ketiga-tiga rakannya itu. Biarlah apa pun yang terjadi, dia tetap tidak akan berubah. Salmah membulat tekad. Dalam masa yang sama, dia berharap dan berdoa agar mereka sedar dan kembali ke jalan yang diredhai ALLAH.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.