Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik keempat

Detik keempat.

Sehari selepas perkahwinan Danish dan Ain, mereka bersiap-siap untuk ke Terengganu. Desakan Zamia membuatkan pasangan itu terpaksa menuruti sahaja. Lagipun mereka sudah berjanji akan membenarkan gadis itu ke banglo biru selepas selesai sahaja majlis perkahwinan mereka.

Zamia mencapai bingkai gambar pertunangannya dengan arwah Azriq di atas meja solek. Dia memasukkan bingkai gambar bersaiz sederhana itu ke dalam beg pakaiannya.

Mentari pagi yang bercahaya terang di celahan gunung diperhatikan penuh khusyuk. Zamia tersenyum pahit ke arah Danish yang sedang sibuk memeriksa enjin keretanya. Dia tidak memaksa lelaki itu untuk menemaninya di banglo biru namun dia memahami kebimbangan yang bersarang di hati Danish.

Ain bergegas mendapatkan suaminya di perkarangan rumah.

“Riz..” Ain menyerahkan telefon bimbit kepada suaminya.

Danish tersengih meleret tatkala mendengar suara sahabat baiknya di hujung talian.

“Lepas ni kitorang bertolak. Kau kat mana ni?” Danish menyoal mesra rakannya.

Imriz menyandarkan belakangnya ke tiang anjung rumah.

“Aku dah ada di Terengganu. Hello-hello lah aku bila korang dah sampai nanti.” Seketika kemudian, tangannya diangkat mesra ke arah Lebai Manaf yang melintasinya dengan motosikal.

“Okay. Assalamualaikum...” Danish mematikan talian.

Senang hatinya mendengar suara Imriz yang merupakan anak jati Terengganu itu. Semasa menuntut di Tokyo dahulu, lelaki itu selalu bercerita tentang keenakan budu dan betapa dia merindui makanan tradisional pantai timur itu. Danish ketawa kecil mengenangkan hal tersebut.

Ain mengintai ke dalam bilik Zamia. Gadis itu sedang berdiri di muka jendela.

“Mia dah siapkan semuanya?” Ain menyapa mesra.

Zamia pantas menoleh ke arah kakak iparnya dan mengukir senyuman. Dia mengangguk perlahan sebagai menjawab soalan kakak iparnya.

“Takpe, biar Mia bawak sendiri.” Zamia cepat-cepat mengambil beg pakaiannya dari tangan Ain kerana tidak mahu menyusahkan wanita itu.

Ain tersenyum pahit.

“Mia..” Panggil Puan Hatila dari dapur. Tangannya ligat mengacau air kopi panas di dalam teko.

Zamia mengatur langkah ke dapur sambil membimbit beg pakaiannya.

“Ada apa bu?”

Puan Hatila memandang anak gadisnya sekilas. Kemudian dia bergegas membalik-balikkan karipap berinti tuna yang sedang digoreng di dalam kuali.

“Lepas letak beg dalam kereta abang, ajak kak Ain dengan abang sarapan ye.” Arah Puan Hatila tanpa menoleh ke arah Zamia.

Danish meletakkan beg pakaian Zamia ke dalam but kereta. Wajahnya kemerah-merahan disambar sinaran mentari pagi.

“Ibu ajak breakfast.” Zamia menyampaikan pesanan si ibu. Danish mengangguk faham.

Danish dan Zamia beriringan masuk ke dapur untuk bersarapan pagi. Manakala Ain pula sibuk menyenduk mi goreng udang ke dalam pinggan suami dan adik iparnya.

“Kamu ambil cuti berapa hari?” Soal Encik Zahari. Dia mencapai sebiji karipap lalu mengunyahnya perlahan.

“Dua minggu yah.” Balas Danish ringkas. Ayahnya mengangguk faham.

Zamia menyuap mi goreng ke dalam mulutnya dan mengunyahnya lesu. Dia tidak mahu rebah di hadapan ahli keluarganya lagi. Hal itu sungguh memalukan dan pasti menyusahkan hati mereka. Mi goreng yang sedang dikunyah terasa hambar dan tawar sahaja.

“Ain pulak?” Encik Zahari menyoal menantunya pula.

“Dua minggu jugak yah.” Balas Ain sambil tersenyum.

Puan Hatila memerhatikan gerak-geri Zamia. Wajah anak bongsunya itu masih keruh dan tidak ceria. Sedikit sebanyak naluri keibuannya terusik.

“Berapa lama Mia nak duduk kat sana?” Kali ini Encik Zahari menyoal anak gadisnya pula. Semua mata memandang ke arah Zamia.

Gadis itu meletakkan garfu ke dalam pinggan dan mengangkat wajahnya.

“Lebih dari dua minggu.” Itu jawapan Zamia. Encik Zahari menerima jawapan itu dengan tenang. Berbeza pula dengan Puan Hatila yang tidak senang duduk setelah mendengar jawapan tersebut.

“Nanti abang dengan kak Ain balik sini, sapa nak jaga Mia kat sana?” Puan Hatila merenung bulat ke arah Zamia.

Zamia mengeluh.

“Mia boleh jaga diri bu. Ibu janganlah bimbang sangat.”

Jawapan yang diterima langsung tidak menyenangkan hati Puan Hatila. Sudahlah Terengganu itu jauh dari Kuala Lumpur. Jika terjadi apa-apa pada Zamia pasti tiada sesiapapun yang tahu.

“Mia..” Belum sempat Puan Hatila menghabiskan ayatnya, Encik Zahari pantas mencelah.

“Biarlah ibunya. Zamia kan dah besar panjang, taulah dia jaga diri.”

Puan Hatila menjeling tajam ke arah suaminya yang sedang enak menghirup kopi panas. Seperti biasa, orang tua itu tenang sahaja. Tidak bimbangkah dia dengan keselamatan anak gadis mereka? Bebel Puan Hatila dalam hatinya.

“Ibu, Mia akan jaga diri bila abang dengan kak Ain balik nanti.” Zamia mengulangi ayat ayahnya. Makin sakit pula hati Puan Hatila pada Encik Zahari.

“Awaklah ni!” Dia membebel dan menjeling tajam ke arah suaminya.

Danish memandang Ain dan keduanya hanya mampu tersenyum pahit. Rasa lucu pun ada apabila melihat Puan Hatila yang suka meleteri Encik Zahari.

“Makan cepat, nanti terlewat pulak nak bertolak ke sana.” Encik Zahari memekakkan telinga dengan bebelan isterinya.

Selesai bersarapan pagi, Danish menghidupkan enjin kereta yang diparkir di perkarangan kediaman mereka.

“Ain tolong jaga Mia ye.” Puan Hatila tidak henti-henti berpesan sejak dari tadi. Bimbang benar dia dengan Zamia yang masih belum pulih semangatnya itu.

“Ibu jangan bimbang. Ain akan jaga Mia..” Ain cuba menenangkan perasaan ibu mertuanya. Berkerut-kerut sahaja wajah orang tua itu.

“Mia jaga diri baik-baik.. Jangan sedih-sedih lagi.” Puan Hatila memeluk Zamia erat. Zamia mengangguk perlahan.

Selepas bersalaman dengan ibu dan ayahnya, Zamia berlalu ke kereta.


Di sepanjang perjalanan, gadis itu hanya membisu dan merebahkan kepalanya ke kusyen tempat duduk kereta. Pemandangan di luar di pandang sepi. Tiada apa yang dapat menarik perhatiannya.

Danish memandang isterinya yang sudah terlentuk di sebelahnya. Mengantuk benar agaknya. Kemudian dia menoleh ke belakang pula. Zamia sedang termenung panjang.

“Mia..” Dia memanggil adiknya namun gadis itu mengelamun jauh sehingga tidak mendengar panggilan Danish.

Danish melepaskan keluhan yang panjang lalu meneruskan perjalanan setelah lampu trafik bertukar hijau.

Langit yang cerah mulai jingga. Waktu itu hampir masuknya fardhu maghrib. Danish memarkir kereta di perkarangan bangunan yang tersergam indah yang diberi nama banglo biru. Dia mematikan enjin dan menggeliat perlahan. Sengaja mahu mengendurkan urat dan saraf yang tegang selepas memandu jauh.

Dia melirik jam di tangannya. Jarum jam menunjukkan pukul 7 petang. Hujan renyai-renyai di luar membuatkan kaki langit gelita tanpa kerdipan bintang malam.

“Ain, bangun sayang. Kita dah sampai.” Tangannya menggerak lembut lengan isterinya yang sedang lena. Isterinya terpisat-pisat.

Ain membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Dia mengintai keadaan di luar, gelap sahaja. Titik-titik hujan pula semakin galak membasahi kereta suaminya.

“Tak perasan saya.” Ujar Ain sambil mengilas beg tangannya.

Danish memasang lampu untuk menerangi dalaman keretanya. Tangannya merayap memegang kaki adiknya yang turut lena di belakang.

“Bangun Mia. Kita dah sampai ni.”

Mata Zamia dibuka perlahan-lahan. Dia mencuri pandang ke luar, banglo biru tersergam indah di hadapan mereka.

Danish memayungi isteri sehingga ke anjung banglo. Kemudian dia mengulangi perkara yang sama dengan adiknya. Dia bergegas membuka but kereta untuk mengambil beg-beg pakaian mereka.

Zamia dan Ain memandang ke sekeliling banglo tersebut. Kiri kanan bangunan itu dipenuhi dengan semak-samun. Serta-merta bulu roma Ain meremang apabila melihat pokok gergasi di belakang banglo tersebut. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya dari situ. Khuatir jika sesuatu yang aneh akan muncul di situ.

“Mari masuk.” Suara Danish memecahkan keheningan petang itu.

Hujan semakin galak membasahi bumi. Sesekali bunyi guruh bersahut-sahutan di kaki langit.

“Abang pegi mandi dulu..” Danish beredar ke bilik tidur untuk mengambil tuala mandinya. 


Ain duduk di birai katil dengan perasaan yang kurang senang. Seperti ada sesuatu yang mengganggu ketenteraman hatinya di kala itu. Dia cuba mematikan perasaan aneh tersebut namun gagal. Dia tidak mahu melayan perasaan aneh yang menghantui dirinya selepas berkahwin dengan Danish.


Zamia duduk di hadapan cermin solek. Dia memerhatikan wajahnya yang cengkung. Dia melepaskan keluhan berat apabila menyedari berat badannya susut dengan mendadak. Pemergian Azriq membuatkan dia terlupa bahawa dia harus makan.

Tuala mandi yang terlipat kemas di dalam beg diambil. Dia mengatur langkah ke bilik mandi yang terletak di sebelah dapur banglo tersebut.

Dia ingin menenangkan perasaannya tanpa menyedari ada sesuatu yang turut menemaninya di situ. Dia mahu mendapatkan kembali semangatnya yang hilang tanpa menyedari ada sesuatu yang bakal meratah semangatnya hidup-hidup di situ.

Pintu bilik mandi dikunci. Zamia menadahkan kepalanya di bawah pancuran air. Lama dia bertafakur di bawah pancuran tersebut.

Dia mencurah syampu ke rambut panjang separas bahunya dan mengurut kulit kepalanya perlahan-lahan. Hilang segala masalah yang terkumpul di otaknya semenjak kematian Azriq. Kemudian dia kembali menadah kepalanya ke situ. Matanya dipejam ketat-ketat. Buat seketika fikiran yang kusut terasa lapang.


Danish melemparkan senyuman ke arah isterinya yang sedang duduk di birai katil.

“Pergilah mandi, then kita solat berjemaah.” Danish mencuit dagu isterinya dengan manja. Ain mengangguk faham.

“Hmm yelah..” Dia berlalu ke bilik mandi bersama bakul mandiannya.

Danish menyarung t-shirt berwarna putih. Kemudian dia mengatur langkahnya ke bilik Zamia untuk mengajak adiknya solat berjemaah. Dia tidak mahu terbitnya rasa tersisih dalam sanubari gadis itu. Kasih-sayangnya pada Zamia tidak akan pernah berubah walaupun dia sudah berkahwin dengan Ain.

Dia bersyukur pada Allah kerana mengurniakan seorang isteri yang cantik dan berjiwa murni seperti Ain Shakina. Dia sudah lama mengenali isterinya. Sepuluh tahun usia perkenalan lantas membibitkan rasa cinta di hati mereka. Tambahan pula, Ain merupakan sahabat baik Zamia.

Dia sudah pun terpacak di hadapan pintu bilik adiknya. Pintu itu tidak berkunci dan terkuak luas. Danish mengintai ke dalam namun adiknya tiada di situ. Cuping telinga lelaki itu bergerak-gerak tatkala mendengar bunyi di luar bilik tidur tersebut. Seperti kuku seseorang mencakau dinding batu. Kening hitam pekatnya berkerut.

“Siapa tu?”

Tanpa berlengah, dia melangkah masuk ke dalam bilik Zamia dan mengintai ke luar jendela. Matanya rakus mencari kelibat sesiapa sahaja yang sedang berada di luar banglo itu. Bebola matanya difokuskan pada setiap makhluk yang bergerak ditiup angin malam. Keluhan hampa dihela.

Danish menutup jendela dan menguncinya kemas. Bimbang hatinya mengenangkan adiknya yang bakal bersendirian di banglo itu dua minggu dari sekarang. Hatinya runsing memikirkan kedegilan Zamia untuk terus tinggal di situ buat jangka masa panjang.

“Mungkin kerja budak-budak nakal kot.” Bisiknya.

Dia tersentak apabila bunyi mencakau itu kembali mengganggu pendengarannya. Dia merapati jendela dan mengintai secara senyap-senyap. Dia pasti akan mengajar sesiapa sahaja yang sengaja berbuat begitu.

Keadaan masih seperti tadi, sunyi dan gelita.

“Abang intai apa tu?” Soalan Zamia menyebabkan Danish tersentak teruk. Terkejut benar dia dengan adiknya yang menyapa secara tiba-tiba dari belakang.

Dia menggelengkan kepala, mahu menyembunyikan hal yang terjadi.

“Kita solat berjemaah. Abang dengan kak Ain tunggu Mia kat bilik.”

Danish segera beredar. Zamia terpinga-pinga.

Zamia memandang jendela biliknya. Lama dia merenung jendela yang dibasahi hujan lebat itu. Apa yang telah menarik minat abangnya sebentar tadi?


Ain mengukir senyuman pada adik iparnya yang baru melangkah masuk. Zamia pantas mengambil posisi di sebelah Ain.

“Bismillahirahmanirahim…” Danish mengimamkan solat.


Di luar banglo, bunyi mencakar dinding sayup-sayup memecah keheningan malam. Bunyi unggas dan cengkerik seirama dengan bunyi angin yang bertiup kencang menampar pepohonan di sekitar. Ranting reput di pokok gergasi bergoyang-goyang.

Previous: Detik ketiga

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman