Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kesebelas

Detik kesebelas.

Zamia mengangkat kain yang berjemur di ampaian sebelum senja melabuhkan tirainya. Awan kelabu juga mulai kelihatan di kaki langit. Angin sepoi-sepoi bahasa pula membuatkan petang itu nyaman sekali.

Kain yang sudah kering diletakkan ke dalam bakul. Zamia terpaku melihat keindahan laut yang berada tidak jauh dari banglo biru. Bunyi ombak memecah pantai menghiburkan hatinya. Kedamaian demi kedamaian mulai terasa mengisi ruangan hatinya yang sepi. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghelanya perlahan.

“Suka betul Mia duduk kat sini.” Danish berkata perlahan. Dia memandang ke arah adik perempuannya. Segaris senyuman pahit berbunga di bibirnya.

“Dia dah dapat balik semangat dia yang hilang sebelum ni. Senang hati saya tengok dia berselera makan.” Tambah Ain. Tangannya ligat melipat pakaian suaminya di ruang tamu.

“Saya risaulah dia duduk sini sorang-sorang.” Danish meluahkan kebimbangannya. Kalau boleh dia mahu Zamia sama-sama pulang ke Kuala Lumpur lusa ini namun dia faham benar dengan perangai adiknya yang keras kepala itu.

“In shaa Allah takde apa-apa. Awak janganlah risau sangat.” Nasihat Ain. Kain yang telah dilipat disusun ke dalam bakul berwarna biru muda.

“Saya tengok awak tenang aje...” Danish memandang seraut wajah tenang isterinya. Wanita itu langsung tidak memandang ke arahnya.

“Saya tengok dia boleh dapat ketenangan kat kampung ni. Saya takut kalau dia balik KL nanti, dia jadi sedih balik.” Balas Ain. Terlalu banyak benda yang mengingatkan Zamia pada arwah di situ. Danish mengeluh.

“Tak lama lagi waktu maghrib, awak pergilah mandi dulu.” Ain mengusul dan bingkas bangun dengan bakul baju di celah ketiaknya. Wanita itu berlalu ke bilik tidur untuk menyusun baju yang telah dilipat ke dalam almari pakaian.

Danish berlalu ke pintu utama. Zamia masih menikmati bayu petang di luar. “Mia, dah dekat waktu maghrib ni.. Mari masuk.” Panggil Danish di muka pintu.

“Ye...” Zamia menyahut.

Setelah kelibat abangnya sudah tiada di muka pintu, Zamia kembali membuang pandangannya ke lautan biru itu. Keinginannya untuk bersiar-siar di tepi pantai tiba-tiba membuak datang. Hampir dua minggu dia berada di situ namun tidak sekalipun dia bersiar-siar di tepi pantai.


Selesai solat maghrib, Zamia menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah Azriq yang sudah empat minggu pergi meninggalkannya. Setiapkali dia menitipkan doa buat arwah, air matanya pasti laju mengalir di pipi. Al-Quran yang terletak di birai katil dicapai dan dialunkan indah.

Danish dan Ain yang baru selesai bersolat di bilik sebelah dapat mendengar suara Zamia membaca Al-Quran. Merdu dan bergemersik sekali.

Ranting-ranting pada pokok gergasi bergerak-gerak. Sesekali lolongan dahsyat berkumandang dari situ.

“Aamiin…” Al-Quran dikembalikan ke birai katil. Zamia mengesat air mata yang membasahi pipi dengan tangannya.

“Betul ke Imriz suka pada Mia?” Ain tiba-tiba menyoal Danish.

Danish pantas menoleh ke arah isterinya. Ain sedang menantikan jawapan dari mulutnya. Dia mengangguk perlahan.

“Sejak bila?” Soal Ain lagi.

Danish termenung seketika. Cuba untuk mengingati kembali saat-saat Imriz mula jatuh hati pada adiknya. “Since our wedding day.”

Ain mengangguk faham. Patutlah semasa Imriz menjadi pengapit pengantin pada hari itu, matanya asyik menjeling ke arah Zamia.

“Jadi awak pun perasan Riz suka Mia..” Ujar Danish perlahan. Khuatir jika didengari oleh Zamia yang berada di bilik sebelah.

“Saya tengok Riz renung Mia lain macam…Macam tulah renungan awak pada saya dulu...” Kata-kata isterinya membuatkan Danish ketawa gelihati. Perkenalan sejak zaman sekolah membuatkan hubungan keduanya seperti rakan karib. Banyak yang telah dikongsi bersama, pahit ataupun manis. Pernah juga air mata isterinya mengalir kerana dibulinya.

“Awak suka buli saya dulu.” Ain mengomel. Danish mendekati isteri yang duduk di kerusi lalu tangannya mengurut manja bahu wanita itu.

“Saya gurau jelah. Maafkan saya ye?” Danish berbisik manja ke telinga Ain. Wanita itu mencebikkan bibirnya. Sejurus kemudian, satu ciuman hinggap di pipi Ain.

“Saya maafkan awak..” Balas Ain sambil melakar senyuman manis. Danish tersengih. Senyuman yang terlakar di bibir Ain membuatkan hati lelakinya berdebar-debar.

“Ibu call.” Ain menyerahkan telefon bimbit pada suaminya. Danish segera menjawab panggilan yang datangnya daripada ibu tersayang.

“Waalaikumsalam bu. Ibu apa khabar?” Soalnya mesra.

Puan Hatila yang sudah beberapa hari tidak menghubungi anak-anaknya akhirnya mampu tersenyum lega. Suara anak lelakinya yang berada di hujung talian kedengaran ceria sahaja.

“Ibu sihat alhamdulillah Danny. Ayah kamu pun sihat-sihat aje.” Balas wanita itu sambil melirik ke arah Encik Zahari yang sedang menonton berita di televisyen.

“Semua sihat-sihat ke kat sana?” Tanya Puan Hatila pula.

Danish berlalu ke tingkap dan berdiri di situ. Angin yang berhembus dari luar terasa dingin menyentuh kulit mukanya. “Kami sihat alhamdulillah bu. Lusa ni saya dengan Ain baliklah ke KL.”

Puan Hatila mengerut kening. Bagaimana dengan Zamia?

“Mia tak ikut kamu balik sekali ke nanti?” Puan Hatila mulai bimbang.

“Tak bu. Saya dengan Ain dah puas pujuk dia tapi dia tetap nak duduk dekat sini jugak. Bukan ibu tak tau dengan keras kepala Zamia tu.” Danish mengomel.

Ain sekadar tersenyum mendengar kata-kata suaminya.

“Ibu bimbang dia kat situ sorang-sorang Danny. Kalau kamu dengan Ain balik ke sini, siapa yang akan jaga dia nanti?”

Ada benarnya kata-kata ibu itu. Malahan dia sendiripun risau dengan keadaan adik bongsunya. Pelbagai cara dan kaedah pujukan yang telah digunakan untuk memujuk gadis itu namun semuanya gagal.

“Nantilah saya pujuk dia lagi, tengoklah macamana. Ibu janganlah risau sangat.” Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Danish. Puan Hatila mengeluh. Jika tidak kerana suaminya, pasti dia akan ke Terengganu untuk menemani anak gadisnya itu.

“Mia mana? Ibu ada call dia tapi dia tak angkat.”

“Dia ada dalam bilik dia kot.” Balas Danish lalu berlalu ke luar untuk menjenguk keadaan adiknya.

“Patutlah dia tak angkat call, dia takde kat bilik dia bu.”

Kemudian Danish berlalu ke dapur pula. Kelihatan adiknya sedang sibuk mengacau air milo panas di dalam teko. “Ibu nak bercakap dengan dia ke?”

“Boleh jugak. Ibu dah lama tak dengar suara dia.” Balas Puan Hatila dengan nada mengharap. Danish mencuit bahu adiknya dan menyerahkan telefon bimbit kepada gadis itu.

“Assalamualaikum bu.”

Puan Hatila lega mendengar suara serak-serak basah milik Zamia. Suara itu kedengaran lebih bersemangat dari sebelum ini.

“Waalaikumsalam Mia. Mia apa khabar?” Soal Puan Hatila lembut. Kerinduannya pada Zamia membuak-buak. Zamia melabuhkan punggungnya ke atas kerusi di meja makan. Sebutir nasi yang tersadai di atas meja dikuis dengan jari.

“Sihat Alhamdulillah bu. Ibu dengan ayah sihat?”

“Ibu dengan ayah sihat alhamdulillah Mia. Mia tak balik sekali dengan abang ke nanti?” Puan Hatila memulakan strategi memujuknya.

“Tak bu. Mia masih nak duduk sini.” Zamia membalas tenang.

“Siapa yang akan jaga Mia nanti?” Soal Puan Hatila tegas. Hati gadis itu harus dilembutkan.

“Mia pandai jaga diri bu, Mia kan dah besar panjang.” Zamia berkata tegas. Danish yang sedang menghirup air milo panas memasang telinga penuh minat. Dia pasti ibu mereka sedang memujuk Zamia.

“Ibu bimbang Mia kat situ sorang-sorang. Banglo tu pun dah lama takde orang duduk..” Kata-kata ibunya mengundang rasa curiga di benak hati Zamia. Apa yang cuba disampaikan oleh ibunya itu? Mengapa jika ia terbiar lama? Hati Zamia tertanya-tanya.

“Ini kan rumah arwah tok aki dengan tok wan, apa yang nak ditakutkan?” Ujar Zamia selamba. Baginya banglo itu selamat dan masih kukuh untuk didiami.

Puan Hatila serba-salah. Tidak mungkin dia akan menceritakan kisah yang sebenarnya. “Takpelah Mia. Mana abang Danny?”

Zamia menyerahkan telefon bimbit pada abangnya.

“Adik kamu tu memang degil.” Puan Hatila membebel. Geram pula dia dengan keras kepala Zamia itu. Danish hanya mampu tersengih.

“Saya dah cakap bu.” Balasnya. Danish mengerling ke arah adiknya yang berada di sinki.

“Ain mana?” Puan Hatila bertanyakan tentang menantunya pula.

“Dia ada kat bilik. Ibu nak bercakap dengan dia ke?”

Puan Hatila menggeleng kerana dia tidak mahu mengganggu menantunya itu. Keduanya menamatkan perbualan selepas saling berbalas salam.

“Ibu cuma bimbangkan Mia.” Ujar Danish selepas mematikan talian.

Zamia tersenyum tawar. Dia tidak mahu membuatkan ibunya risau namun dia juga mahu terus tinggal di situ. Berat hatinya untuk meninggalkan banglo biru. Dia mahu mencari ketenangan di situ. Kuala Lumpur terlalu banyak mengingatkannya pada Azriq.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman