Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik ketujuh

Detik ketujuh.

“Assalamualaikum!” Danish melaung di kaki tangga. Manakala Ain dan Zamia pula sekadar tercongok di belakang lelaki itu. Mata keduanya meninjau sekitar kediaman itu dengan penuh minat. Bersih sahaja kawasannya. Rajinnya Imriz membersihkan kawasan rumahnya.

“Riz!” Danish melaung lagi. Kali ini kakinya naik setapak anak tangga.

Beberapa minit kemudian, derapan kaki Imriz kedengaran laju mendekati pintu utama kediaman tersebut. Dia menguak pintu luas-luas.

“La! bila kau sampai? Kenapa tak call aku dulu?” Imriz membebel di muka pintu. Danish tersengih macam kerang busuk.

Kemudian para tetamu dipelawa masuk penuh mesra. Seperti biasa, kehadiran Zamia di situ menarik perhatiannya.

“Duduklah dulu. Aku ke dapur buat air kejap.” Ujar Imriz pada Danish yang sedang menjengah kepalanya keluar jendela yang terbuka.

“Tak payah susah-susah Riz..” Ain tersenyum. Matanya memandang dalaman rumah desa itu dengan penuh minat. Kemas betul hiasan dalaman rumah Imriz, hatinya memuji-muji.

“Takde susahnya Ain. Buat air aje..” Balas Imriz sambil tergelak. Sempat pula mata nakalnya melirik ke arah Zamia yang sedang duduk. Hatinya berbunga-bunga.

Serbuk kopi diceduk ke dalam teko besi. Beberapa sudu gula turut dikacau bersama serbuk kopi tadi yang kini telah dicampurkan dengan air panas. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman kerana mengenangkan Zamia.

Imriz menghidangkan minuman ke atas meja. Asap dari air kopi tersebut berkepul-kepul naik ke udara. Danish menghirup air kopi buatan rakannya itu dengan berselera. Bukannya selalu dapat merasa kopi buatan tangan Imriz.

“Jemput minum Mia..” Imriz menolak cawan kopi mendekati gadis itu.

Tanpa banyak bicara, Zamia mencapai cawan tersebut dan minum air kopi itu dengan perlahan-lahan. Imriz senang melihat Zamia yang tersenyum ketika pandangan mereka bertaut sebentar tadi. Bibir nipis bak delima milik gadis itu benar-benar memikat hatinya.

“Kau ni bila lagi nak berbini Riz? Tak sabar pulak aku nak makan nasi minyak kau..” Idea nakal selalu sahaja timbul di kepala Danish. Suka benar dia mengusik sahabat baiknya itu.

Imriz berdehem dua tiga kali.

“Belum ada calon lagilah..” Matanya mengerling penuh makna pada Zamia. Namun gadis itu tidak perasan dengan kerlingan tersebut.

Danish tersenyum mengejek. Idea nakalnya mula membuak-buak datang.

“Kau memilih sangat kot. Kau kan ramai peminat time kita study dulu.”

Imriz menghadiahkan jelingan geram pada Danish. Pandai-pandai sahaja lelaki itu menokok tambah cerita! Imriz mengetap bibir.

“Kau yang banyak awek, bukan aku.” Imriz membuat serangan balas yang agak pedas. Ain menjeling tajam suaminya.

Kemudian tawa dua sahabat itu berderai.


Pili air di dapur terbuka. Keadaan sunyi membongkar bunyi-bunyian dalam banglo tersebut. Sesekali televisyen di ruang tamu terbuka dan tertutup sendiri. Kipas siling yang tertutup, tiba-tiba berpusing tanpa arah. Bergoyang-goyang di siling.

Bunyi esak tangis wanita tua bergema membelah kesunyian malam. Suara parau lelaki bertempik lantang. Bunyi derapan kaki mundar-mandir di dalam banglo menandakan bahawa ada makhluk lain yang turut menghuni banglo itu.


Danish membuang pandangannya ke luar jendela. Langit mendung kini bertukar gelita. Cengkerik mulai berlagu riang.

“Kitorang balik dulu Riz. Nak Maghrib dah ni.” Danish bangkit dari duduknya, diikuti oleh Ain dan Zamia.

“Drive elok-elok.” Pesan Imriz sambil menghantar mereka ke pintu.

“Balik dulu Riz. Assalamualaikum.” Ucap Danish sambil menuruni takah-takah anak tangga dan berlalu ke kereta yang diparkir di perkarangan rumah itu.

“Waalaikumsalam.” Balas Imriz perlahan. Dia mencuri pandang ke arah Zamia.

Seketika kemudian, Danish memandu keretanya pergi dari situ. Deruan enjin kereta Danish ditelan keheningan malam. Imriz mengunci pintu yang terkuak dan bersedia menunaikan solat maghrib yang akan bermula tidak lama lagi.


Ain memandang jalanraya di hadapannya. Kabus tebal menyelubungi jalan kampung itu. Setahu Ain, kabus hanya muncul pada waktu dinihari sahaja.

Ain seolah terkunci kaki dan tangannya tatkala melihat sesuatu sedang berdiri di bahu jalan. Aneh dan menyeramkan. Bulu tengkuknya meremang. Kebetulan waktu itu sudah hampir masuknya waktu maghrib. Pasti syaitan dan iblis berkeliaran pada waktu itu.

“Awak sejuk ke?” Soal Danish apabila melihat isterinya berpeluk tubuh. Pucat sahaja wajah Ain. Danish memperlahankan penghawa dingin.

Ain cuba memejamkan mata namun gagal. Bayangan yang menakutkan itu seolah-olah mengikuti perjalanan mereka.

“Allahuakbar…” Bisik wanita itu dengan suara yang bergetar. Kerongkongnya terasa kering dan sakit. Lidahnya kelu.

Danish yang sedang memandu kaget melihat isterinya yang menggigil secara tiba-tiba. Penghawa dingin kereta sudahpun diperlahankan.

“Ain, awak okay ke ni?” Soal Danish sekali lagi.

Kabus yang mulanya nipis mulai menebal. Ain yang menggigil membulatkan biji matanya ke bahu jalan. Namun kabus tebal membataskan penglihatannya.

Ain terperanjat besar apabila tangan suami mencuit bahunya. Hampir-hampir dia melompat dalam kereta.

“Awak okay ke ni?” Suara suami sayup-sayup kedengaran menjentik gegendang telinganya.

Zamia yang duduk di belakang mengerut kening kehairanan. Apa yang difikirkan oleh kakak iparnya itu? Pasti Ain merasakan sesuatu yang tidak elok. Ain mudah mengesan kehadiran makhluk ghaib.

“Awak tanya apa tadi?” Ain bertanya cemas.

Danish beristighfar panjang. Mustahil isterinya itu tidak mendengar pertanyaannya sebentar tadi. Apa yang difikirkan oleh Ain pada kala itu?

“Awak okay tak ni?” Dia mengulangi soalannya.

Ain tidak mengangguk ataupun menggeleng. Wanita itu merenung suaminya dengan mulut yang terkunci rapat.

Kereta diparkir dan enjin dimatikan. Mereka sudah sampai ke banglo biru. Danish dan Zamia yang sudah keluar dari perut kereta menoleh ke arah Ain yang mematungkan diri di dalam kereta. Wanita itu tidak bergerak. Hanya matanya sahaja yang sedang merenung tepat banglo tersebut. Danish merapati isteri yang tiba-tiba bersikap aneh itu dengan kening yang berkerut.

“Awak tak nak masuk ke?”

Ain meraup muka dengan tangannya. Dia mula keluar dari kereta selepas beberapa minit.

Banglo biru membuatkan hatinya berdebar-debar. Bulu romanya meremang. Ain mengalihkan pandangannya ke pokok gergasi di belakang banglo tersebut.

“Ain…”

Ain tersentak apabila bahunya disentuh oleh Danish.

“Dah masuk waktu maghrib ni..Mari masuk.” Danish menarik lembut tangan isterinya dan keduanya beriringan masuk ke dalam banglo yang menyimpan sejuta rahsia itu.

Ain termenung seorang diri. Banyak benda yang mengganggu perasaannya. Bunyi televisyen di luar menarik perhatiannya.

“Menung jauh nampak?”

Ain bingkas bangun apabila suaminya mendekatinya di atas katil. Berbunga senyuman di bibir lelaki tinggi lampai itu.

“Takde apalah.” Ain berbohong.

Danish melabuhkan punggungnya di sebelah isteri. Seraut wajah lembut itu direnung.

“Awak okay?” Soal Danish sambil menyentuh dahi isterinya.

Ain memegang erat tangan suami dan kepalanya dilentukkan ke bahu lelaki itu. “Takde apalah. Saya okay..” Bohongnya.

Danish mencium pipi isterinya. Bimbang jika isterinya itu tidak sihat. Ain memejamkan mata dan bayangan menakutkan itu segera menerjah ruang ingatannya. Dia mengeluh. Hatinya berdebar hebat. Entah mengapa bayangan itu terus mengelabui mindanya.

Danish pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu perasaan Ain. Cuma isterinya sahaja yang tidak mahu menceritakan hal yang sebenar.

“Kenapa ni sayang? Awak tak sihat ke?” Dia melingkarkan tangannya ke bahu isteri yang sedang bermuram.

“Takde apa-apalah. Saya sihat je.” Jawapan Ain tetap tidak mampu meyakinkan hati sang suami yang sedang bimbang.

“Pergilah sambung tengok tv.” Ain berdalih kerana tidak mahu Danish bertanya dengan lebih lanjut.

Danish mengangguk. Dia bingkas bangun dan berlalu ke ruang tamu. Ain memandang jendela yang berkunci. Angin yang menderu menggegarkan atap banglo itu. Berdesing telinga Ain dibuatnya.

Semak-samun yang merimbum di luar terbuai-buai dihembus angin. Semakin lama semakin asyik pergerakan tersebut dan sesekali ia menyerupai figura-figura aneh yang menggerunkan.

“Allahuakbar…” Ain menundukkan wajahnya ke katil. Seketika kemudian, rintik-rintik hujan menimpa atap zink lantas menambahkan kebingitan malam itu.

Badannya direbahkan ke atas katil dengan dada yang berombak kencang. Sejak Zamia menceritakan mimpi buruknya tentang arwah Azriq, fikiran dan perasaannya menjadi tidak menentu. Hijab yang tertutup kini terbuka semula.

“Apa yang dia cuba sampaikan?”

Berserabut otaknya memikirkan kejadian-kejadian aneh yang sering mengganggu kehidupannya. Ain terlelap setelah lama melayani fikiran yang kusut.


“Kak Ain tak sihat ke?” Soal Zamia. Danish yang asyik menonton perlawanan bola sepak direnung lama.

Danish mengunyah sehiris epal yang terhidang di atas meja.

“Abang dah tanya tadi tapi dia cakap dia okay.” Balas Danish tenang namun terlukis kegelisahan pada riak wajahnya.

“Kak Ain macam sembunyikan sesuatu dari kitalah bang.”

Berkerut wajah Danish mendengar kata-kata yang terlafaz dari mulut Zamia. Kilat petir yang tiba-tiba menyambar di kaki langit memeranjatkan dua beradik itu.

Danish dan Zamia beristighfar serentak. Lelaki itu cepat-cepat mematikan suis televisyen yang terpasang. Bahaya jika kilat memancar tepat pada sumber elektrik.

“Pasal kak Ain, abang akan pujuk dia supaya ceritakan hal sebenar.” Ujar Danish lalu beredar ke bilik tidur untuk meninjau keadaan isterinya. Zamia yang masih berada di ruang tamu memandang sekeliling ruang itu dengan perasaan ingin tahu. Arwah membawanya ke situ di dalam mimpi. Apakah kaitan arwah Azriq dengan banglo biru?

“Eh?”

Zamia bingkas bangun dari sofa dan bergegas ke dapur. Pili air di dapur tiba-tiba terbuka sendiri. Pelik.

Pili air ditutup rapat. Zamia merenung kepala pili itu dengan sejuta persoalan. Pili air itu seringkali terbuka sendiri. Seketika selepas itu, cuping telinga Zamia bergerak-gerak apabila mendengar sesuatu dalam bilik mandi yang terletak di sebelah dapur. Kedengarannya seperti seseorang sedang mandi di situ. Kak Ain?


Danish membelai kepala Ain yang sudah lena di atas katil. Wajah isterinya pucat sahaja. Kerisauannya membuak-buak. Adakah isterinya sedang sakit? Dia meraba dahi dan tengkuk isterinya namun suhu tubuhnya elok sahaja.


“Grummm!!” Kilat terus mengganas di kaki tinggi. Bergegar bumi. Zamia mengurut dadanya dan beristighfar panjang.

Langkahnya diatur perlahan ke bilik mandi. Dia berdiri di hadapan bilik mandi dan cuba meneliti bunyi pancuran air. Siapa yang sedang mandi pada waktu-waktu begitu? Setahunya kak Ain dan abang Danny sedang berada di dalam bilik.

Pancuran air berhenti secara tiba-tiba. Kini bilik itu sunyi sahaja. Hanya titisan air sahaja yang berbunyi menghentam jubin bilik mandi tersebut.

Tanpa berfikir panjang, Zamia melangkah pergi dari situ. Tidak ingin dia menunggu lebih lama di luar bilik mandi yang misteri seperti itu. Zamia bergegas ke bilik tidur. Semasa melintasi ruang tamu, sempat dia mengerling ke sudut yang sepi itu dengan hujung ekor matanya. Hanya cahaya dari chandelier sahaja yang menerangi sudut tersebut. Ruang tamu dengan hiasan ala-ala inggeris itu menggamit memorinya bersama arwah tok wan dan arwah tok akinya.


Banglo biru, 1999.

Wajah tua tok wan direnung manja. Orang tua itu seronok melayan keletah cucu bongsunya yang bertandang ke situ. Puan Hatila yang sedang menyapu halaman banglo tersenyum melihat orang tua itu memeluk cium cucu kesayangannya.

“Cucu tok wan ni mesti belajar pandai-pandai ya?” Tok wan memberi nasihat berguna pada Zamia yang baru berumur lapan tahun ketika itu. Zamia tersengih sambil melingkarkan tangannya ke tubuh tok wan yang amat dirindui. Manakala Danish yang berusia sepuluh tahun ketika itu sudah menghilang entah ke mana. Begitulah perangainya setiapkali bertandang ke banglo biru. Bermacam aktiviti kampung yang mahu dicubanya.

“Abang mana?” Tanya Zamia.

Tok wan mengukir senyuman manis. “Abang Danny ikut tok aki pergi menjala.”

“Menjala tu apa?” Tanya Zamia lagi.

Tok wan mencuit dagu comel kanak-kanak itu dengan geram. “Menjala tu pergi menangkap ikan...”

Zamia mengangguk faham.

“Jadi ikan yang tok wan masak tu, ikan tok aki?” Pertanyaan spontan Zamia membuatkan tok wannya tergelak. Kemudian orang itu menganggukkan kepalanya.

Puan Hatila yang baru selesai membersihkan halaman rumah mendongakkan kepalanya ke atas. Pokok gergasi di belakang banglo itu masih utuh walaupun hanya ranting-ranting kayunya sahaja yang tinggal.

“Mak tak nak tebang ke pokok besar belakang rumah ni?” Soal Puan Hatila dan melabuhkan duduk di sisi ibu mertuanya yang sedang memangku Zamia. Wajah orang tua itu segera berubah.

“Biarlah..Pokok tu tak mengacau apa-apa.” Balas tok wan dengan suara yang agak keras. Puan Hatila mengebas kainnya yang berdebu lalu menyambung.

“Bukan apa mak, saya tengok pokok tu dekat sangat dengan rumah. Ranting kayunya kalau jatuh boleh membahayakan tau.” Jelas Puan Hatila bersungguh-sungguh. Sudah banyak berita yang dibacanya di akhbar. Ramai yang terkorban atau cedera parah kerana dihempap ranting kayu dari pokok besar seperti itu.

“Biarkan aje. Pokok tu kat situ dah lama. Dia pun nak hidup jugak.” Balas tok wan sambil merenung tajam menantunya.

Puan Hatila mengeluh.


Bunyi kilat mematikan lamunan Zamia. Langkahnya diatur pantas ke bilik tidurnya.

Punggung dilabuh perlahan ke atas kerusi. Dia mencapai bingkai gambar di atas meja solek. Wajah arwah direnung penuh rindu.

Lima minit kemudian, dia berlalu ke katil untuk tidur. Matanya terasa berat, dia menguap beberapa kali.

“Aduh!” Zamia mengangkat tapak kakinya secara spontan. Kakinya berdenyut dan pedih.

“Dari mana pulak datangnya kaca-kaca ni?” Kening Zamia berkerut melihat kaca yang melata di lantai biliknya. Kaki yang berdarah dikesat dengan tisu. Dia terbongkok-bongkok mengutip serpihan kaca dengan jemarinya. Satu-persatu diletakkan ke dalam bekas penyodok.

Previous: Detik keenam

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman