Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kelapan

Detik kelapan.

Selesai membersihkan lantai, Zamia membaringkan tubuhnya ke atas katil. Kaki yang luka masih terasa pedihnya. Dia berkelubung dalam selimut. Hujan lebat dan kilat petir di luar menambahkan kedinginan di hati Zamia. Seketika kemudian, dia terlena.


Danish khusyuk membaca tafsir Al-Quran. Sesekali dia beristighfar apabila kilat menyambar ke bumi. Matanya tidak mampu dilelapkan.

Bahu Ain yang bergerak-gerak menarik perhatian suaminya yang belum tidur.

“Ain..” Danish memanggil perlahan.

Ain menoleh, mulutnya tersenyum pahit. “Awak panggil saya?” Soalnya lembut.

Danish meletakkan tafsir Al-Quran ke atas meja dan merenung wajah Ain. Wanita itu terpinga-pinga.

“Kenapa awak renung saya macam tu?” Isterinya bertanya malu. Danish menggeleng dan tergelak.

“Awak mengigaulah sayang. Tak cuci kakilah tu.” Danish mengusik nakal. Semenjak dua menjak ini, Ain seolah terganggu oleh sesuatu. Hati lelaki itu menjadi tidak tenang.

“Saya mengigau?” Ain pantas meraup mukanya yang berpeluh. Dingin sekali telapak tangannya. Sebenarnya sekali lagi arwah Azriq menghantui alam tidurnya.

“Ada apa-apa yang awak nak ceritakan pada saya?” Pertanyaan Danish membuatkan Ain terkelu. Dia serba-salah mahu menceritakan hal yang sebenar. Dibimbangi jika suaminya tidak akan mempercayai kata-katanya.

Danish bersandar ke kepala katil. Dia bersedia mendengar luahan hati Ain. Sebagai seorang yang bergelar suami, dia harus mengetahui apa yang sedang mengganggu perasaan isterinya ketika itu.

“Nanti awak ketawakan saya..” Ain mengeluh.

Kopiah di atas kepala diletakkan ke atas meja. Kemudian dia memandang isterinya dengan senyuman berbunga di bibir.

“Saya janji tak akan ketawakan awak..”

Ain mengetap bibirnya, menarik nafas dan menghelanya perlahan. Cuba mengumpul kekuatan.

“Saya rasa tak sedap hati dengan banglo ni.” Ujarnya. Dia mengalih pandangannya ke jendela yang berkunci.

“Kenapa dengan banglo ni?” Soal Danish penuh minat.

Ain menundukkan wajahnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya. Lagipun Danish seorang yang tidak mudah percaya dengan perkara-perkara seperti itu. Hantu jauh sekali.

“Saya alami benda yang pelik-pelik.” Ain menyambung ceritanya. Dia kelihatan serba-salah. Dahi Danish berkerut.

“Arwah Azriq selalu muncul dalam mimpi saya dan Mia.” Sambungnya lagi.

Danish tersentak. Azriq?

“Dalam perjalanan balik ke sini tadi, saya ternampak lembaga kat bahu jalan.” Ain menceritakan pengalamannya.

“Patutlah awak pucat semacam aje..” Danish mulai memahami situasi yang sebenarnya. Patutlah isterinya serba tidak kena di sepanjang perjalanan petang tadi.

“Tok wan meninggal sebab sakit apa?” Soalan Ain memeranjatkan suaminya. Soalan sama yang selalu diajukan oleh adiknya.

“Tok wan sakit tua.” Balasnya selamba.

“Saya tak sempat jumpa tok wan buat kali terakhir…” Ain berkata penuh sesal.

Masih dia ingat, ketika tok wan sakit tenat, dia sedang berada di Dubai melawat keluarga sebelah ibunya. Sudah takdir Allah, tok wan meninggal dunia semasa dia di lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia.

“Ajal tok wan dah sampai. Kita kena redha..Awak janganlah fikir pasal ni lagi.” Danish menasihati isterinya. Semoga kematian tok wan tidak akan dibangkitkan lagi selepas ini.

Keluhan berat dilepaskan. Bulu romanya akan meremang setiapkali dia menjejakkan kaki ke banglo itu. Perasaannya tidak tenteram setiapkali bertandang ke situ.

“Pasal arwah, awak mimpi pasal apa?” Danish menggerakkan keningnya ke arah Ain. Ingatannya tentang Zamia yang mahu berjumpa dengan arwah tiba-tiba bermain di fikiran.

“Menakutkan…” Ain membalas perlahan. Dia menelan liur, jantungnya berdegup kencang. Si mati itu sering muncul dalam keadaan yang menggerunkan. Padahal arwah seorang yang baik hati dan menyenangkan.

“Hmm..” Danish menggosok-gosok dagunya.

“Saya alami mimpi yang sama dengan Mia..” Suara Ain tenggelam timbul. Dadanya terasa sesak. Bayangan Azriq dan makhluk aneh di bahu jalan bersilih ganti menghantui mindanya.

“Awak berehat dulu.. Nanti kita sambung okey?” Danish risau melihat keadaan isterinya yang semakin lemah. Dahi wanita itu berpeluh-peluh dan dingin sahaja suhu tubuhnya.

“Esok kita ke klinik..Awak tak sihat ni.” Danish mengusul.

Ain menggeleng tanda protes. Dia langsung tidak sakit, jadi mengapa dia harus ke klinik? Danish tidak akan mengerti perasaannya sampai bila-bila!

“Ain, awak demam ni. Kaki tangan awak sejuk je.” Lelaki itu memujuk. Dia menggosok-gosok bahu Ain.

“Buat apa ke klinik kalau saya tak sakit?” Bantah Ain. Dia berdegil tidak mahu ke klinik walaupun dipujuk oleh suaminya.

“Esok kita ke klinik.” Danish berkeras. Ain mengeluh.

“Saya tak sakit..” Ain turut sama berkeras. Danish menggeleng-geleng.

“Kita ke klinik.” Lelaki itu berkata selamba dan terus merebahkan kepalanya ke atas bantal. Tidak mahu bertengkar dengan isterinya. Ain mengetap giginya dengan geram.

Ain yang dihantui perasaan seram sejuk cuba melelapkan matanya. Tubuhnya semakin dingin. Semakin lama dia di banglo itu, semakin lemah pula tubuhnya.


Zamia menarik selimut yang terselak hingga ke paras lututnya. Kedinginan berpusu-pusu memukul tubuhnya. Hujan lebat terus gugur menghentam kawasan itu. Angin semakin menggila, laju membelah kilat yang menyambar di langit.

“Mia…”

Suara itu kembali menyeru. Sayup-sayup kedengaran dari laut yang bergelora. Sesusuk tubuh melayang-layang dari pantai ke banglo biru, tersenyum sinis dan merenung tajam ke banglo usang tersebut.

“Mia!”

Zamia tersedar dari lena. Dadanya berdebar-debar. Suara itu lagi! Dia bingkas bangun. Peluh dingin yang mengalir di dahi diseka dengan jemarinya. Bilik yang gelap itu dipandang dengan cemas. Cahaya kilat sesekali menerangi kegelapan bilik itu.

Dia bertafakur di atas katil sambil memeluk lututnya. Mengapa insan yang amat dicintainya itu menghantui mimpi-mimpinya dengan rupa yang menggerunkan?


Sementara itu, Ain seolah dapat merasakan sesuatu sedang mengganggu adik iparnya ketika itu. Dia bingkas bangun dari katil dan mengatur langkahnya ke bilik Zamia.

“Mia..” Panggilnya sambil mengetuk pintu bilik itu dengan perlahan-lahan.

Zamia tersentak. Itu suara Ain. Dia menjadi ragu-ragu untuk membuka pintu biliknya.

“Mia, akak ni. Boleh akak masuk?” Ain memanggil lagi.

Zamia serba-salah. Adakah itu benar-benar Ain Shakina?

“Akak ada sesuatu nak bincang dengan Mia. Ni akak ni..” Ain cuba meyakinkan Zamia. Akhirnya Zamia membuka pintu biliknya. Sebaik sahaja pintu dibuka, Ain meluru masuk ke bilik tersebut.

Jarinya pantas memetik suis lampu. Keduanya melabuhkan duduk di atas katil. Zamia merenung wajah Ain tidak berkelip. Wanita itu menggenggam erat jemarinya dan pandangan mata keduanya bertaut.

“Arwah ada muncul dalam mimpi Mia lagi?”

Pertanyaan Ain itu menimbulkan persoalan dalam hati Zamia. Kakak iparnya seolah mengetahui yang Azriq telah muncul dalam mimpinya sebentar tadi. Jadi Ain bergegas menemuinya kerana hal itu?

Zamia mengangguk perlahan.

“Akak tak sedap hati dengan banglo ni.” Ujar Ain sambil meraba batang lehernya yang meremang.

“Kak Ain rasa banglo ni berpuaka ke?”

Kilat menyambar ke bumi selepas Zamia bertanya begitu.

“Mia tau tak apa-apa pasal banglo ni?” Tanya Ain tanpa mempedulikan bunyi kilat yang berdentum hebat di luar.

Zamia memerhatikan setiap sudut dalam bilik tidurnya. “Banglo ni tok aki bina untuk tok wan empat puluh tahun yang lepas.”

“Selain tu?” Ain menyoal lagi.

“Mia pun tak tau.” Zamia berkata perlahan.

Ain melepaskan keluhan yang panjang. Nampaknya adik iparnya tidak mengetahui lebih daripada itu. Ingin sahaja dia bertanya pada suaminya namun lelaki itu seolah menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya. Danish selalu mengelak dari membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan arwah datuk neneknya. Alasannya, tidak mahu membangkitkan perihal orang yang sudah pergi.

“Cuba akak tanya abang. Mesti abang tau.”

Cadangan Zamia itu seolah mencurah air ke daun keladi sahaja. Lelaki itu tidak akan menceritakan hal yang sebenarnya walaupun didesak berkali-kali. Bermacam-macam sahaja alasannya!

“Mia serius ke nak duduk sini lepas akak dengan abang balik KL?”

“Serius kak..” Balas Zamia sambil mengalihkan pandangannya ke dinding.

“Mia tak takut ke sorang-sorang kat sini?”

Zamia kemudian menundukkan wajahnya. Dia membisu seribu bahasa. Dia sendiripun tidak pasti mengapa hatinya berkeras mahu tinggal di banglo yang penuh misteri seperti itu.

“Mia tak tau kak..” Itu jawapan Zamia.

Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia mengikuti abang dan kakak iparnya pulang ke Kuala Lumpur kelak. Tetapi hatinya bagaikan ditarik-tarik untuk terus tinggal di situ. Dia tidak mampu melawan naluri aneh yang sedang mengawal hatinya.

“Akak bimbang Mia kat sini sorang-sorang.” Ain gelisah memikirkan adik iparnya yang bakal bersendirian di banglo itu kelak. Entah apa yang akan berlaku seterusnya dia pun tidak tahu.

“In shaa Allah semuanya okey..Akak pergilah tidur. Mia tengok akak macam tak sihat aje.” Zamia pantas mengubah topik perbualan. Ain membatukan dirinya.

“Akak cuma tak sedap badan aje. Abang Mia tu aje yang sibuk suruh akak pergi klinik esok.” Ain mengomel.

“Elok jugak tu kak. Mia bimbang tengok akak tak sihat macam ni.” Pujuk Zamia. Ain tidak memberi apa-apa reaksi.

“Selamat malam..” Ucap Ain dan bingkas bangun untuk kembali ke bilik tidurnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman