Detik kedua belas.
Selepas
solat subuh, Danish dan Ain sudah bersiap-siap untuk bertolak pulang ke Kuala
Lumpur. Manakala Zamia pula sibuk menyediakan sarapan pagi buat abang dan kakak
iparnya di dapur. Langit masih kelam, mendung seperti mahu hujan.
Danish
memeriksa enjin keretanya dengan bantuan cahaya lampu di anjung banglo.
“Mia
masak apa tu?” Ain menyapa. Dia merapati adik iparnya yang sedang sibuk memasak
di dapur.
“Takde
apa sangatpun kak, cuma nasi goreng aje.” Balas Zamia sambil menguntum
senyuman. Ain terpesona dengan nasi goreng yang dimasak oleh Zamia. Pandai adik
iparnya ini memasak.
“Abang
mana?” Soal Zamia tanpa menoleh ke arah Ain yang sudah melabuhkan duduknya di atas
kerusi.
“Tengah
service kereta kat luar..” Balas Ain. Seketika kemudian dia bingkas bangun dan
mendekati Zamia sekali lagi.
“Apa-apa
yang berlaku lepas ni, Mia mesti bagitau akak tau?” Wanita itu berbisik ke
telinga Zamia. Kening gadis itu
berkerut-kerut.
“Mia
faham kan?” Bisik Ain lagi. Zamia mengangguk faham.
“Duduklah,
Mia ada buat nasi goreng ni.” Ain berkata semasa Danish melangkah masuk ke
dapur. Tanpa membuang masa, lelaki itu terus sahaja melabuhkan duduknya.
“Sedapnya
bau! Pandai Mia masak ye…Boleh lawan kak Ain ni.” Usik Danish tidak
habis-habis. Ain hanya ketawa mendengar usikan suaminya itu.
“Ala,
takde apa pun. Kak Ain lagi pandai masak dari Mialah..” Zamia merendah diri.
Dia menyenduk nasi goreng ke pinggan Danish dan Ain. Kemudian dia menuang air
kopi panas ke dalam cawan.
“Mia
janganlah down to earth sangat…Dulu kak Ain ni langsung tak pandai masak.”
Danish mengungkit kisah zaman dahulu kala. Ain mencebik.
“Tapi
sekarang saya pandai kan?” Ain bertanya tidak puas hati. Danish sekadar menjungkit
bahu sebagai menjawab pertanyaan isterinya. Sengaja dia mengusik wanita cantik
itu.
“Pandailah
jugak. Dua tiga pinggan jugak saya makan kalau awak masak.” Jawabnya selamba.
Tubuh yang tinggi lampai itu kini sedikit berisi selepas berbulan madu di banglo
biru. Kepakaran isterinya memasak masakan kampung membuatkan selera makannya
bertambah-tambah.
“Kerana
budulah. Kalau ada budu, empat lima pinggan awak bedal.” Ain mengusik diikuti
gelak tawa Zamia dan Danish.
“Kalaulah
si Riz tu tak perkenalkan budu pada saya, mesti badan saya masih sasa macam
dulu.” Ujar Danish dalam nada menyesal. Malah dia telah membeli dua dozen budu
untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur . Kini makannya tidak lengkap jika tiada
budu.
“Assalamualaikum..”
Kedengaran suara Imriz memberi salam di muka pintu. Danish yang menjemputnya ke
situ.
“Waalaikumsalam!
Masuklah Riz…” Danish melaung dari dapur.
Imriz
membuka kasutnya lalu melangkah masuk ke situ. Dia membimbit beberapa beg plastik,
khas untuk sahabat baiknya itu.
“Right
timing kau datang Riz. Mia dah masak nasi goreng special untuk breakfast pagi
ni.” Danish berkata nakal.
“Sedapnya
bau.” Imriz memuji. Zamia tersenyum tawar.
“Makanlah
sementara masih panas ni.” Danish mempelawa.
Selepas
bacaan bismillah, Imriz menyuapkan nasi goreng itu ke dalam mulutnya. Hatinya
memuji-muji keenakan masakan Zamia.
“Ni
ada ole-ole sikit untuk kau bawa balik KL.”
Danish
merenung beberapa beg plastik yang berada di atas meja. Dia menarik beg plastik
tersebut dan mengintai isi kandungannya.
“Keropok lekor, satar ikan dengan budu!”
Danish berkata riang. Bertambahlah bilangan budunya.
“Danny
dah beli dua dozen budu tau Riz.” Ain membuka rahsia suaminya.
Imriz
tergelak sakan mendengarkan kata-kata isteri sahabatnya itu. Rupa-rupanya
Danish sudah awal-awal membeli budu untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
“Kau
ni dah jadi penagih budu Danny.” Kata Imriz dalam tawanya. Danish tersengih
macam kerang busuk.
“Salah
siapa?” Soal Danish sinis.
“Apa
pulak salah aku? Kau yang ketagih dengan budu.” Tawa Imriz semakin rancak.
Berair-air matanya.
“Kalau
aku obesiti, kau kena tanggung semua kos kuruskan badan aku nanti Riz.” Danish berseloroh.
Ombak
beralun rancak memecah keheningan pagi itu. Camar laut berterbangan tanpa arah
seolah terganggu oleh sesuatu. Air laut yang jernih bertukar kehitam-hitaman.
Pokok gergasi di belakang banglo biru bergerak-gerak tanpa arah tuju. Lolongan aneh
kedengaran dari balik pokok tersebut. Tempikan demi tempikan bergema namun
tersembunyi dari pendengaran para penghuni banglo biru…
“Bila
kau datang sini balik?” Soal Imriz sambil mengunyah nasi goreng.
“In
shaa Allah kalau aku ada cuti, aku balik sini dengan Ain.” Balas Danish selamba.
“Kau
start kerja esok?” Soal Imriz lagi. Danish hanya menganggukkan kepalanya
sebagai jawapan kepada soalan itu.
“Kalau
bekalan budu kau habis, kau janganlah segan-segan nak call aku. Aku boleh
tolong poskan budu untuk kau nanti.” Imriz mula mengusik rakannya.
Kemudian
tawa dua sahabat itu bergema lagi. Ain dan Zamia hanya tersenyum mendengar
celoteh dua lelaki itu. Keduanya jarang sekali dapat bersua muka seperti itu.
“Kau
tak terfikir ke nak kerja kat KL?” Tanya Danish setelah selesai bersarapan
pagi. Imriz menggeleng.
“Kalau
aku kerja kat KL, siapa nak jaga mak aku…” Balasnya perlahan.
“Betul
jugak tu. Kaulah satu-satunya anak dia. Kalau kau takde kat sini, takde orang
nak tolong tengok-tengokkan dia.” Danish berkata prihatin.
Mata
Imriz terpaku pada Zamia yang baru selesai mengemas dapur. Gadis itu menatang
pinggan berisi buah-buahan di tangannya.
Ruang
tamu itu sepi seketika.
“Makanlah
abang Riz.” Pelawa Zamia.
Ain
hanya mengukir senyuman manis melihat renungan nakal Imriz. Renungan mata
lelaki itu memanah tepat ke wajah adik iparnya.
“Kang
layu pulak buah tu…” Usik Danish. Imriz tersipu-sipu kerana renungan nakalnya
telah menarik perhatian Danish dan Ain.
Imriz
bersalaman dan berpelukan dengan Danish sebelum dia mengundur diri untuk ke
pejabat. Selepas ini tiada lagi gurau senda Danish setelah kembalinya lelaki
itu ke Kuala Lumpur.
“Kau
tolong tengok-tengokkan adik aku tu. Risau aku bila dia duduk kat sini
sorang-sorang.” Danish berpesan pada Imriz. Imriz mengangguk faham seraya
menepuk mesra bahu Danish.
“Kau
janganlah bimbang Danny, In shaa Allah aku akan tolong tengok-tengokkan dia.” Balas
Imriz ikhlas. Dia bahagia apabila mengenangkan Zamia akan terus berada di situ.
Jika gadis itu turut bertolak pulang ke Kuala Lumpur, pasti dia akan merindui
Zamia.
“Tolong
tengok-tengokkan aje, kau jangan skodeng-skodengkan adik aku pulak!”
Imriz
ketawa terbahak-bahak mendengar ‘ugutan maut’ abang kandung Zamia itu. Danish boleh
meletakkan sepenuh kepercayaan padanya. Dia pasti akan melindungi Zamia dengan
bantuan Allah Taala.
“Sudahlah,
aku nak ke ofis ni..In shaa Allah kita akan berjumpa lagi Danny.” Keduanya
berpelukan sekali lagi. Sebak hatinya melepaskan rakan baiknya itu pulang ke
Kuala Lumpur.
“Jaga
diri Riz. Tolong tengok-tengokkan adik aku tau...” Tidak jemu Danish menitip
pesan buat Imriz. Senang hatinya mengenangkan Imriz ada di situ untuk menjaga Zamia.
“In
shaa Allah, dah sampai KL nanti call lah aku. Assalamualaikum..” Ucap Imriz
lalu berlalu ke keretanya.
“Waalaikumsalam..”
Balas Danish perlahan. Dia menghantar Imriz dengan senyuman meleret di pipi. Kereta
Imriz menghilang di balik semak-samun. Kemudian dia turut berlalu ke keretanya
yang diparkir di hadapan banglo.
Zamia
mendekati Danish yang sudah memanaskan enjin keretanya.
“Bawak
kereta elok-elok. Kirim salam sayang Mia pada ibu dan ayah..” Ujar Zamia sambil
mencium tangan abangnya. Danish membelai lembut kepala Zamia.
“In
shaa Allah. Mia pun jaga diri elok-elok. Abang risaulah..” Danish mengeluh.
Kalau boleh dia tidak mahu meninggalkan Zamia di situ.
“In
shaa Allah takde apa-apa…Abang janganlah risau sangat.” Zamia mengomel. Danish mengeluh
buat sekelian kalinya.
“Mia
jaga diri ye…” Ain mencuit bahu Zamia lalu keduanya berpelukan erat.
“In
shaa Allah kak. Kak Ain dengan abang Danny pun elok-elok kat atas jalanraya.
Dah sampai KL, jangan lupa inform Mia.” Zamia berpesan.
“Kita
bertolak sekarang.” Ajak Danish. Dia mendongak ke langit pagi yang mendung.
Kelam sahaja suasana pagi itu. Dia menyusup masuk ke dalam kereta.
Ain
memegang bahu Zamia kejab.
“Ingat
pesan akak, kalau ada apa-apa berlaku lepas ni…Istighfar banyak-banyak dan
jangan lupa bagitau akak..” Pesan wanita itu bersungguh-sungguh. Tajam sahaja
matanya merenung Zamia. Zamia mengangguk perlahan.
“In
shaa Allah kak…” Balasnya.
“Sekuat
mana makhluk tu, Allah Taala lagi kuat…Dia Maha Berkuasa ke atas
segala-galanya…” Tambah Ain lagi. Zamia mengangguk.
“Akak
dengan abang pergi dulu…Mia jaga diri…Assalamualaikum…” Ain menggenggam erat
jemari adik iparnya.
“Waalaikumsalam…Jaga
diri..” Balas Zamia sambil melemparkan senyuman.
Ain
membalas senyuman itu dan menyusup masuk ke dalam kereta. Selepas hon kereta
dibunyikan sekali, kereta Danish bergerak perlahan-lahan meninggalkan
perkarangan banglo itu. Semakin lama semakin menjauh dari Zamia.
Zamia
mengesat air mata yang mengalir dengan jemarinya. Sayu pula hatinya apabila
melihat abang dan kakak iparnya sudah tiada dari situ. Kesunyian mula terasa.
Dia mendongak ke langit mendung dengan perasaan yang bercampur-baur.
Gadis
itu bergegas masuk ke dalam banglo apabila titis-titis air hujan mula gugur
membasahi kepalanya. Setelah mengunci pintu utama, dia berlalu ke bilik tidur
yang sebelum ini dihuni oleh Danish dan Ain.
“Mesti
kak Ain lupa ni…” Dia bergegas menutup jendela yang terkuak luas.
Dia
melangkah keluar dari bilik tersebut namun jendela itu kembali terbuka dan daun
pintunya kuat menghentam dinding bilik itu. Zamia kembali mengunci jendela
dengan kening yang berkerut.
Sekali
lagi keberanian Zamia tercabar apabila melihat pintu almari pakaian pula yang terbuka
secara tiba-tiba. Seingatnya ketika masuk ke bilik itu sebentar tadi, pintu
almari pakaian itu tertutup rapi. Zamia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan.
Angin
di luar menderu diiringi hujan lebat. Bingit sekali bunyinya menghentam bumbung.
Gadis itu berlalu ke dapur pula untuk membasahkan tekak yang kering. Air kopi
panas yang sudah suam-suam kuku diteguk penuh nikmat.
Di
sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, pasangan suami isteri itu lebih
banyak mendiamkan diri. Masing-masing melayani fikiran yang kusut.
“Macamana
agaknya keadaan Mia sekarang…” Gumam Danish. Kerisauannya terasa menyucuk-nyucuk
sehingga ke ulu hati. Entah mengapa hatinya tidak tenang memikirkan Zamia yang berseorangan
di banglo biru.
Ain
juga begitu. Secara tiba-tiba hatinya menjadi resah. Ketenangan dan kedamaian
yang dirasai sebelum ini seolah menghilang pergi. Keluar sahaja mereka dari
kampung tersebut, hati Ain meronta-ronta.
“Awak
risaukan Mia?” Tanya Ain pada Danish yang sedang memandu. Danish mengangguk-angguk.
“Macamanalah
keadaan dia sekarang ye?” Soalnya bimbang.
Ain
mengalihkan pandangannya ke sisi jalan yang dipenuhi lembu dan kambing.
Terdetik di hati jika adik iparnya akan diganggu oleh makhluk ghaib itu sekali
lagi. Bulu romanya meremang.
Zamia
termenung di meja makan. Matanya merenung nasi goreng yang masih berbaki di
bawah tudung saji. Banglo yang sebelumnya ceria dengan kenakalan abangnya kini
sunyi-sepi. Tiada lagi usikan nakal dari mulut lelaki itu. Rindu pula dia pada
Danish dan Ain…
Zamia berlalu malas
ke ruang tamu dan menghenyakkan punggungnya ke sofa. Dia berbaring dan
mengelamun jauh.