Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik ketiga

Detik ketiga.

Bunyi kompang kedengaran meriah menyelubungi kawasan perumahan elit itu. Jiran tetangga berpusu-pusu menuju ke kediaman milik keluarga Encik Zahari dan Puan Hatila untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sulung mereka.

Dari jauh kelihatan suami isteri itu sibuk benar melayan para tetamu yang membanjiri perkarangan rumah mereka. Sesekali derai tawa diselangi tangisan anak kecil memeriahi majlis tersebut.

Mentari bersinar terang menerangi kaki langit pada hari itu.

Sebuah kereta pacuan empat roda diparkir di seberang jalanraya kediaman Encik Zahari. Kemudian, seorang lelaki sebaya Danish terkocoh-kocoh keluar dari kereta dengan sekotak hadiah di tangannya.

“Assalamualaikum pakcik, makcik.” Sapanya mesra sambil bersalaman dengan Encik Zahari.

Tangan orang tua itu menepuk-nepuk belakang lelaki sebaya anak sulungnya itu dengan mesra. Terpancar riak gembira di wajah Encik Zahari dan Puan Hatila ketika menyambut kedatangan lelaki yang bernama Imriz itu.

“Pergilah ke atas. Danny ada dalam bilik dia.” Puan Hatila berkata mesra.

Imriz mengangguk dan beredar ke dalam kediaman tersebut untuk bertemu dengan raja sehari yang merupakan sahabat baiknya ketika mereka sama-sama menuntut di Tokyo, Jepun selama lima tahun.

Matanya nakal mengintai Danish yang berada di dalam bilik. Namun apa yang paling menarik perhatiannya ialah Zamia Izaiqa.

Gadis itu sedang duduk menghadap abangnya yang sedang bersiap untuk menjadi raja sehari. Lama dia meratah kemanisan wajah itu tetapi wajahnya kelihatan cengkung dan hanya senyuman nipis sahaja yang terukir di bibirnya.

“Masuklah, Danny ada kat dalam.” Imriz hampir-hampir terdorong ke hadapan apabila disapa oleh Puan Hatila yang entah bila berada di situ.

Dengan segan, dia melangkah masuk ke dalam bilik.

“Riz! Bila sampai?” Danish menyambut mesra kehadiran Imriz.

“Baru aje.” Balas Imriz dan meletakkan kotak hadiah yang sedang dipegangnya ke atas meja.

Kemudian, matanya tertancap kembali pada Zamia yang sedang sibuk menyusun dulang-dulang hantaran di atas katil pengantin. Gadis itu langsung tidak memandang ke arahnya.

Danish yang menyedari hal itu menguntum senyuman nakal.

“Riz, aku kenalkan ni Zamia. My one and only sister.”

Imriz mengangguk dengan sepasang matanya yang tidak habis-habis merenung ke arah Zamia. Hatinya berdebar-debar tatkala melihat gadis manis itu.

“Mia, ni Imriz. Bestfriend abang.” Danish memperkenalkan Imriz pada adiknya.

Zamia mengangkat wajah dan mengukir senyuman tawar ke arah lelaki berbaju melayu biru muda itu. Seketika kemudian, dia kembali menyusun dulang-dulang hantaran di atas katil. Dia tiada semangat untuk berkenalan dengan sesiapapun pada masa itu.

Bunyi kompang kedengaran memeriahkan majlis sekali lagi apabila rombongan pengantin perempuan sampai. Ain kelihatan anggun sekali dalam persalinan tradisional melayu berwarna emas.

Tangan Zamia mengipas perlahan pengantin perempuan sambil sesekali melemparkan senyuman pada para tetamu yang hadir pada hari itu. Perit hatinya hanya Dia yang tahu. Sepatutnya hari itu juga merupakan hari bersejarahnya bersama arwah Azriq. Pasti mereka berdua kelihatan indah sekali mengenakan persalinan tradisional melayu berwarna hijau epal. Sedaya-upaya dia cuba menahan sendu di hati.

Imriz yang bertindak sebagai pengapit pengantin lelaki pada hari itu kadangkala melirik ke arah Zamia yang kelihatan sugul dan tidak bermaya. Dia tahu betapa hancurnya perasaan gadis itu pada ketika itu.


Malam mula melabuhkan tabirnya. Bintang-bintang bersinar terang di kaki langit.

Majlis perkahwinan Danish Faqhim dan Ain Shakina berjalan dengan meriah dan lancar. Encik Zahari dan Puan Hatila memanjatkan kesyukuran mereka pada Yang Maha Esa. Danish sibuk sekali menyelia kerja-kerja membersih di perkarangan rumah manakala Ain pula sibuk membantu mengemas dapur yang berselerak.

“Ain berehatlah. Ibu boleh buat semua ni.”

Ain menggelengkan kepala. Dia tidak senang berehat jika ibu mertuanya sibuk berkemas di dapur.

Puan Hatila melilau mencari Danish.

“Danny ada kat luar bu.” Ain tersenyum.

Zamia yang turut berada di dapur sekadar mendiamkan diri. Tangannya ligat mengemas pinggan mangkuk yang sudah bercuci ke dalam kabinet dapur.

“Mia…”

Suara itu lagi. Seluruh tubuhnya menggeletar. Peluh dingin merecik di dahi. Adakah dia sedang berhalusinasi lagi?

Dia bangkit dan kemudian rebah tidak sedarkan diri.


Bayu yang bertiup terasa dingin memamah hingga ke tulang hitam. Dia menggigil kesejukan. Dia membuka kelopak mata dan suasana gelita membaluti dunianya. Dia tergagau-gagau mencari arah seperti orang buta.

“Mia. Ikut saya...Kita ke tempat yang indah.”

Jemarinya dipegang oleh seseorang. Zamia tersenyum kerana suara itu milik Azriq.

“Banglo biru?” Ujarnya tatkala melihat bangunan berwarna biru yang tiba-tiba muncul dalam kegelapan. Kemudian dia beralih ke Azriq pula. Dia kaget apabila melihat tiada Azriq di situ. Yang ada hanyalah dunia yang hitam pekat.

“Mia..” Dia menoleh ke kiri dan ke kanan namun Azriq tiada di situ.

“Mia..”

Kini dirinya berada dalam banglo biru. Sejak bila dia berada di situ?

Bunyi derapan kaki di atas kepala menariknya untuk melihat apa yang sedang berlaku. Dia mendongak ke siling. Azriq sedang mengilas kepalanya yang putus di celah ketiak dengan mulut yang menyeringai, berlendir hitam pekat.

“Argh!...”

Zamia membuka kelopak mata dengan dada yang berombak kencang.

“Apa dah jadi?” Zamia bertanya cemas apabila menyedari dirinya kini sedang terbaring di sofa di ruang tamu. Wajah Encik Zahari, Puan Hatila, Ain dan Danish direnung seorang demi seorang.

Puan Hatila membelai kepala Zamia penuh kasih.

“Tadi Mia pengsan kat dapur.” Akhirnya Danish memberi jawapan kepada soalannya.

Zamia cuba mengawal nafasnya yang turun naik.

“Badan Mia lemah sebab dah beberapa hari tak makan.” Ain menyatakan kebimbangannya. Kemudian dia bangkit dan berlalu ke dapur. Dia menatang dulang berisi nasi bubur yang telah dimasaknya ketika adik iparnya pengsan tidak sedarkan diri.

Zamia merenung nasi bubur itu dengan pandangan kosong.

“Dah berapa lama Mia pengsan?” Dia bertanya.

“Dekat satu jam.” Balas Danish.

Zamia melepaskan sebuah keluhan berat. Entah mengapa hatinya sungguh kesal dengan kejadian tersebut. Dia berasa bersalah kerana telah menyusahkan ahli keluarganya.

Puan Hatila mengambil mangkuk nasi bubur dengan harapan anak gadisnya itu mahu makan walaupun sedikit.

“Makanlah sikit ye sayang?” Sudu disuakan ke mulut Zamia.

Tidak mahu menyusahkan hati keluarganya dengan lebih teruk, akhirnya dia menjamah sedikit bubur itu. Terukir senyuman lega di bibir ahli keluarganya.


Jarum jam bergerak lalu mati di nombor dua belas tengah malam. Suasana hening di luar menambahkan rasa tidak tenang di hati Zamia. Entah mengapa igauan buruk yang dialami ketika tidak sedarkan diri tadi terus berlegar-legar menghantui mindanya. Pintu jendela yang sedikit terkuak membuatkan langsir terbuai-buai di hembus bayu.

Dia berusaha memejamkan mata namun wajah Azriq pasti akan memenuhi dunia gelapnya. Wajah yang berlesung pipit itu amat menakutkan. Mengapa bayangan arwah selalu muncul dalam keadaan begitu? Hati Zamia tertanya-tanya.

“Ada benda yang awak tak pernah bagitau saya ke?” Bisiknya sendiri.

Dalam kesamaran malam, Zamia bangkit untuk menutup pintu jendela yang terkuak. Hanya cahaya purnama sahaja yang menerangi kegelapan bilik tidurnya.

Pelbagai persoalan yang timbul menyesakkan hatinya. Ada apa dengan Azriq? Apakah yang sebenarnya ingin disampaikan oleh arwah? Adakah ada rahsia gelap yang arwah tidak pernah berkongsi dengannya?

Kelopak matanya dipejamkan dan nafasnya dihela dalam-dalam…Ingin mencari kekuatan diri untuk menghadapi semua itu.

Mata Ain masih tidak boleh dipejamkan. Entah mengapa kelopak matanya itu degil sekali pada malam itu. Dia mengerling ke arah suami yang sudah lena di sebelahnya. Cemburu pula hatinya melihat lelaki itu yang sudah lama dibuai mimpi.

Dia membuang pandangannya ke luar jendela. Bulu romanya tiba-tiba meremang dan seluruh tubuhnya terasa dingin. Perasaan aneh itu kembali menghantui dirinya. Ain pantas mematikan perasaan tersebut dengan beristighfar panjang. Perasaan seperti itu tidak boleh dilayan sangat, fikirnya.

Ain turun perlahan-lahan dari katil dan berjingkit-jingkit menuju ke pintu bilik. Tangannya memulas tombol pintu dengan hati-hati kerana tidak mahu mengganggu lena Danish. Pasti banyak benar soalan yang akan diajukan kepadanya jika suaminya itu terjaga.

Dia mengatur langkah perlahan-lahan ke tingkat bawah untuk membasahkan tekaknya yang terasa kering. Lagipun sudah menjadi kebiasaannya mencari air minuman pada malam-malam buta begitu.

“Alhamdulillah..” Ucapnya penuh syukur setelah meneguk segelas air kosong dingin.

Langkahnya diatur kembali ke bilik tidur namun dia terpana apabila melihat bilik tidur adik iparnya yang terang-benderang. Belum tidur lagikah dia?

Pintu bilik Zamia dirapati, daun pintu bilik tersebut diketuk perlahan-lahan. Jika adik iparnya itu masih belum tidur, boleh juga diajak berbual.

“Masuklah kak.” Kedengaran suara Zamia mempelawanya masuk dari dalam bilik. Dengan senyuman yang terukir di bibir, dia pantas memulas tombol pintu bilik tersebut.

Namun apa yang dilihatnya berbeza sama sekali. Bilik tidur itu gelap sahaja. Zamia pula sedang berbaring di atas katil. Ain mengerut kening dan jantungnya mula berdegup kencang. Dia merapati sesusuk tubuh yang sedang lena di atas katil. Lama dia merenung wajah Zamia yang cengkung itu. Sudah tidurkah dia? Soalnya berkali-kali tanpa mengejutkan lena gadis itu.

“Kak Ain ke tu?” Soalan yang terpancul dari mulut Zamia mengejutkan kakak iparnya yang sedang berteka-teki dengan dirinya sendiri.

“Maaf Mia. Akak ganggu lena Mia ke?” Ain cuba menyembunyikan debaran di hati.

Zamia terpisat-pisat. Dia baru sahaja terlena selama beberapa minit.

“Takdelah kak. Akak buat apa kat sini?”

Ain melabuhkan punggung ke atas katil sambil matanya melingas ke sekeliling bilik tidur tersebut. Seolah ada yang sedang memerhatikan mereka.

“Kak?” Zamia memanggil lagi.

Ain menarik nafas dalam-dalam. Mungkin aku terlalu banyak bersangka yang bukan-bukan... Berbunga senyuman mengejek di bibirnya.

“Eh?” Keningnya berkerut seribu apabila menyedari yang Zamia sudah tiada di situ. Cadar katil itu kemas sahaja, seperti Zamia tidak pernah berbaring di situ.

Mata Ain kembali rakus memerhatikan seluruh sudut dalam bilik tersebut. Ke mana adik iparnya menghilang? Jantungnya kembali berdegup laju, menghentam tulang dadanya.

“Mia…” Suara parau milik seorang lelaki tiba-tiba berkumandang. Ain cemas. Baju tidur yang sedang dipakainya habis basah lenjun.

“Mia…” Suara itu menyeru-nyeru nama adik iparnya. Semakin lama semakin melemaskan Ain.

“Kak…”

Pandangan Ain terkunci pada sesusuk tubuh yang sedang berdiri di sisi jendela yang tiba-tiba terkuak sendiri. Semangatnya seolah terbang melayang tatkala melihat Zamia yang sedang memegang kepala Azriq yang telah terpisah dari tubuhnya.

“Aaah!!!”

Danish menampar-nampar lembut pipi isterinya yang sedang mengigau di atas katil. Ain tersentak dari mimpi dengan dahi yang berpeluh-peluh. Seketika kemudian dia merenung tepat ke wajah suami.

Berbunga senyuman di bibir lelaki itu.

“Awak mengigau. Mesti tak cuci kaki masa tidur ni kan?” Usik Danish sambil tersenyum manja ke arah isterinya.

Ain menggeleng-geleng. Lidahnya seolah kelu untuk berkata-kata.

“Dah pukul berapa ni?” Dia bertanya.

“Dah masuk waktu subuh. Bangunlah, kita solat sama-sama..” Balas Danish seraya membentangkan sejadah ke atas lantai.

Ain meraup muka yang melekit dek peluh. Dia bangkit dari katil dan pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk.


“Al-Fatihah…” Zamia menadah tangannya dan menghadiahkan doa buat arwah Azriq di alam sana.

Dan seperti biasa, cecair jernih pasti akan tumpah membasahi kain telekungnya. Betapa dia merindui lelaki itu. Walaupun yang diterimanya hanyalah igauan-igauan buruk namun cinta dan kasih sayangnya buat Azriq tidak pernah luntur.

“Aamiin..”

Previous: Sinopsis

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman