Detik kesembilan.
Hanya
tinggal beberapa hari sahaja sebelum Danish dan Ain bertolak pulang ke Kuala
Lumpur. Danish yang berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat terkemuka di
ibu negara akan kembali berkhidmat selepas ini. Begitu juga dengan isterinya yang
bertugas sebagai pembantu jurutera di bawah syarikat yang sama. Zamia pula
lebih senang bercuti panjang selepas tamat pengajiannya di universiti.
Pemergian Azriq membuatkan dia mengambil keputusan untuk menenangkan jiwa yang
sedang kacau terlebih dahulu.
Sesekali
Imriz akan menjengukkan mukanya ke banglo biru untuk minum petang dan makan
malam. Hatinya merindui Zamia. Dia bertekad untuk mencuri hati gadis manis itu.
Zamia
menghidangkan pinggan ke atas meja makan. Sudah tibanya waktu makan malam. Dia
dan kakak iparnya sibuk di dapur menyediakan juadah untuk makan malam itu.
“Alhamdulillah,
dah takde benda pelik berlaku kan kak?” Tanya Zamia sambil tangannya ligat
menyenduk nasi ke dalam mangkuk besar. Ain yang sedang menggoreng ayam sekadar
tersenyum dan menganggukkan kepalanya.
Semenjak
dua menjak ini, mereka berdua tidak diganggu oleh makhluk yang dilaknat oleh
Allah itu. Banglo biru yang sebelum ini menyeramkan akhirnya menjadi kediaman yang
normal.
Hati Ain yang sentiasa gelisah sebelum ini
bertukar tenang. Banglo biru tidak lagi suram seperti sebelum ini. Puncanya mereka
sendiripun tidak pasti namun apa yang penting ialah kedamaian sudah mulai
terasa di situ.
“Bulu
roma akak meremang lagi tak?” Zamia membesarkan matanya ke arah kakak iparnya.
Ain mahu tergelak melihat mata galak milik adik iparnya itu. Dia gembira kerana
semangat Zamia yang hilang kini kembali sedikit demi sedikit. Mungkin benar
kampung itu mampu memberi ketenangan pada
Zamia.
“Alhamdulillah
tak. Akak rasa lebih tenang dari sebelum ni. Mungkin berkat doa kita berdua?”
Balas Ain sambil menguntum senyuman manis. Dia menghidangkan ayam yang sudah
digoreng ke atas meja.
“Alhamdulillah.
Mia pun sama..”
Kemudian,
keduanya beriringan ke meja makan.
“Abang,
jom makan.” Zamia mencuit bahu Danish yang sedang asyik menonton berita di
televisyen.
Lelaki
itu pantas berlalu ke dapur untuk mengisi perut yang berkeroncong. Aroma sayur
masak lemak yang dimasak oleh isterinya benar-benar membangkitkan selera makannya.
Televisyen pula dibiarkan terpasang di ruang tamu.
Danish
menyuapkan nasi ke mulutnya. Sayur masak lemak membangkitkan lagi seleranya
malam itu.
“Dah
lama tak makan sayur masak lemak...” Ujar Zamia perlahan.
Ain
dan Danish berpandangan sesama sendiri.
“Akak
tau Mia suka makan sayur lemak, sebab tu akak sengaja masak.” Ain mengaut sayur
lemak dan meletakkannya ke dalam pinggan adik iparnya.
“Terima
kasih kak. Beruntung abang Danny sebab dapat isteri macam kak Ain ni..” Pandai
pula Zamia mengambil hati kakak iparnya. Ain tersipu-sipu.
Danish
mengerut kening. Seperti ada sesuatu yang kurang di atas meja. “Budu mana?” Soalnya.
Ain terlupa menghidangkan makanan tradisional orang pantai timur itu.
Sejak
kali pertama suaminya menjamah budu, lelaki itu seolah-olah ketagih dengan
makanan tersebut dan pasti akan menikmatinya setiapkali waktu makan.
“Saya
terlupa.” Ain bingkas bangun. Dia bergegas menuang budu ke dalam piring.
Imriz
sibuk menaip di komputer riba miliknya. Banyak kerja yang harus disiapkan.
Sesekali dia menghirup air kopi panas yang dibancuhnya sebentar tadi.
“Sakit
otak aku!” Bentaknya. Kepalanya berdenyut-denyut akibat terlalu lama menghadap
skrin komputer.
Dia
berhenti menaip buat seketika. Badannya disandarkan ke kerusi kayu. Dia mengurut
kepala yang berdenyut. Alangkah indahnya jika ada isteri yang boleh mengurut
kepalanya ketika itu..
“Apa
agaknya dia tengah buat sekarang ni…” Bibir Imriz berbunga senyuman bahagia
apabila mengenangkan Zamia Izaiqa.
Imriz
tersentak apabila jendela tiba-tiba terkuak luas. Tiada angin tiada ribut,
bagaimana jendela yang berkunci itu boleh terbuka sendiri? Imriz menutup dan mengunci
jendela tersebut sekali lagi.
Dia
menyambung kerjanya yang tergendala.
“Tok
tok tok…” Kali ini pintu utama pula yang diketuk oleh seseorang. Imriz bergegas
membuka pintu.
Namun
begitu, tiada sesiapapun yang berada di luar. Purnama yang terapung di langit malam
itu dipandang sepi. Bintang tidak bersinar pada malam itu. Kabus mula
menyelubungi malam. Suasana bertukar suram.
Angin
mula menderu perlahan, daun pintu bergerak-gerak di sapa sang angin. Imriz yang
hanya memakai singlet putih dan berkain pelikat itu pantas menutup pintu.
“Nak
hujan lagi…” Bisiknya.
Banglo
biru ceria sekali dengan celoteh Danish yang suka mengusik isteri dan adiknya..
“Mia
tengok abang makin tembamlah..” Zamia mengusik abangnya. Danish menunduk dan
merenung perutnya yang sedikit buncit.
“Kak
Ain ni pandai sangat masak. Mana tak gemuk abang jadinya?” Danish mengerling
manja ke arah isteri yang duduk di sebelahnya. Wanita itu selamba sahaja.
“Bukan
kerana masakan saya tapi kerana budu.” Jawapan Ain membuatkan suaminya ketawa
terbahak-bahak. Ada benarnya kata-kata Ain itu.
“Berselera
betul Mia tengok abang makan budu tu. Menambah-nambah nasi..” Usik Zamia lagi. Danish
memeluk bahu isteri yang sedang mengupas kulit limau manis.
“Nak
buat macamana Mia, dah datuk nenek
korang orang sini kan? Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi…” Ujar Ain
sambil mengukir senyuman manis. Limau yang sudah dikupas disusun ke dalam
pinggan kaca.
“Saya
nak call Riz.. Nak ajak dia makan tengahari dengan kita esok.” Danish beredar untuk
menghubungi rakan karibnya.
Zamia
mengunyah limau dengan perlahan-lahan. Dia bingung memikirkan Imriz. Lelaki itu
selalu merenungnya setiapkali pandangan mereka bertaut. Dia melepaskan keluhan
berat.
“Kenapa
Mia?” Tanya Ain cemas. Zamia tersenyum pahit.
“Takde
apalah kak…” Bohongnya.
Ain
meletakkan limau yang belum berkupas ke atas meja. Lama dia merenung muka adik
iparnya itu. Kening gadis itu bergerak-gerak sahaja, pasti dia sedang memikirkan
sesuatu. Arwah Azriq lagi?
“Pasal
mimpi tu lagi ke?” Bisik Ain.
“Eh,
bukanlah kak. Bukan pasal tu.” Zamia menggeleng-gelengkan kepalanya.
Ain
tidak puas hati. Dia ingin tahu apa yang sedang mengganggu perasaan adik
iparnya ketika itu.
“Mia
boleh percayakan akak. Akak sudi jadi pendengar kalau Mia ada sesuatu nak
diluahkan.” Ujar Ain tenang lalu kembali mengupas kulit limau dengan jemarinya.
Zamia memandang Ain sejenak. Haruskah dia meluahkan apa yang sedang terbuku di
hatinya kala itu? Tetapi dia segan…
“Pasal
abang Imriz.” Akhirnya Zamia meluahkan apa yang cuba disembunyikan. Ain pantas
mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Zamia.
“Kenapa
dengan dia?” Ain berminat ingin tahu.
“Mia
seganlah nak bagitau akak..” Zamia tersengih sumbing.
“Sebab
dia suka pada Mia?” Teka Ain secara serkap jarang. Dia juga perasan dengan
renungan penuh minat sahabat baik suaminya itu. Siapa yang tidak terpaut pada
Zamia, orangnya manis sekali.
“Tak
kot.” Perlahan sahaja suara Zamia membalas tekaan kakak iparnya.
“Apa Mia rasa?” Soal Ain sambil mengangkat
bulu keningnya. Dia ingin mendengar pendapat gadis itu tentang Imriz si jejaka
bermata redup.
Wajah
manis itu berlegar-legar dalam fikiran Zamia.
“Mia belum sedia lagi kak..” Sayu sekali suara
Zamia menuturkan kata-kata tersebut. Air mata yang hampir kering kini bergenang
semula. Berkaca pandangannya.
Ain
terkedu.
“Akak
faham. Akak pasti Imriz pun tak akan paksa Mia...” Dia cuba menenangkan Zamia
yang sedang pilu.
Zamia
cuba menahan sebak di dada. Tidak mahu air matanya gugur lagi. Dia bertekad
untuk menjadi seorang wanita yang tabah. Dia tidak mahu menjadi wanita yang
lemah.
“Hanya
Allah yang tahu apa akan jadi pada Mia lepas ni kak..” Zamia berkata tenang.
Jasad dan rohnya milik Yang Maha Esa. Dia tiada hak untuk menentukan perjalanan
takdir hidupnya.
“Kau
ni memang sengaja buat aku geramlah Danny.” Imriz mengomel di hujung talian.
Danish ketawa berdekah-dekah. Suka benar dia mengusik sahabatnya itu. Sehari
tidak menyakat orang memang tidak sempurna hidupnya.
“Alah,
aku jemput kau datang esok sebab nak bagi kau laluanlah Riz. Kau kan syok gila
dekat adik aku tu…” Danish menguis-nguis krim muka milik isterinya di atas meja
solek dengan hujung jari telunjuknya.
“Tapi
kalau dah selalu sangat susah jugak Danny. Nanti Mia fikir aku ni menggatal tak
tentu pasal pulak..”
Sekali
lagi tawa Danish berderai. Ain dan Zamia yang berada di ruang tamu hanya
menahan telinga.
“Itu
bukan menggatal namanya Riz, itu strategi mengorat namanya. Kau patut berterima
kasih kat aku sebab baik hati nak tolong kau.”
Imriz
tersengih mendengar kata-kata abang kepada gadis yang diminatinya itu.
“Yelah
yelah, terima kasih.. Kau ni ikhlas ke nak tolong aku? Macam tak boleh
dipercayai aje…” Usik Imriz dengan suara selamba.
“Kau
ingat senang ke nak mengorat adik aku tu? Mia tu degil..” Balas Danish bijak.
Imriz
terkesima. Dia merenung skrin komputernya sejenak. Kertas kerja yang sedang
ditaip langsung tidak menarik perhatiannya.
“Betul
ke?”
“Betul..
Sebab tulah aku tawarkan pertolongan ni, nak bagi laluan kat kau. Esok jangan
lupa datang makan tengahari kat rumah aku. Time lunch tu kau datanglah, lagipun
office kau tak jauh dari kampung ni kan?” Tanya Danish bersemangat. Dia gembira
jika Imriz mahu mendekati adiknya. Sekurang-kurangnya ada lelaki baik dan
beriman yang dapat membantunya menjaga Zamia kelak.
“Tapi
aku serba salahlah Danny..” Berkerut-kerut dahi lelaki berusia dua puluh lima
tahun itu.
Danish
memahami perasaan Imriz. Pasti sahabatnya itu berasa segan untuk selalu datang
bertandang ke banglo biru. Khuatir jika Zamia akan menganggapnya sebagai lelaki
tidak malu.
“Kau
tak payah fikir banyak Riz. Esok kau datang aje.” Danish meyakinkan sahabatnya.
Imriz menggaru kepala yang tidak gatal.
“Okay..”
Balasnya ringkas. Senyuman pahit pantas terukir di bibirnya.
Danish
tersenyum puas. Dia mesti menolong Imriz untuk mendekati adiknya. Dia tidak
mahu Zamia selamanya dihantui memori bersama arwah Azriq. Adiknya berhak
merasai bahagia sekali lagi. Gadis itu masih muda, perjalanan hidupnya masih
panjang.
Imriz
mematikan talian. Dia mengeluh.
“Bual
apa?” Sapa Danish tiba-tiba. Dia melabuhkan duduknya di tempat yang sama
seperti tadi.
“Takde
apa. Awak dah call Riz?” Tanya Ain. Lelaki itu mengangguk.
“Dia
akan datang ke sini untuk lunch esok. Awak dengan Mia masak sedap-sedap ye..”
Pinta Danish, matanya terpaku pada skrin televisyen.
Wajah
Zamia berubah serta-merta. Entah mengapa dia berasa tidak selesa apabila nama
Imriz disebut-sebut. Dia mencuri pandang ke wajah abangnya, ternyata ada riak
senang pada wajah itu. Zamia mengeluh.
“Mia
masuk bilik dulu.” Dia bingkas bangun dari sofa dan beredar ke bilik tidurnya.
Zamia
berdiri di hadapan jendela yang terbuka. Angin bayu berpuput lembut menyapa kulit
mukanya. Dia membuang pandangannya jauh-jauh ke tengah lautan yang bergelora.
Gelora itu seperti gelora di hatinya ketika itu..
Air
matanya gugur lagi. Dia teresak-esak sendirian sambil membelai wajah Azriq yang
terletak di balik bingkai kaca.
Café
Cahaya Gemilang, USM - 2011.
“Tak
lama lagi kita akan bertunang.. Saya tak sabar nak jadi suami awak.” Azriq berkata
dengan senyuman meleret.
“Bertunang
pun belum lagi, dah nak jadi suami saya… Gatallah tu.” Usik Zamia sambil
menyuap aiskrim ke dalam mulut.
Azriq
mencebik. Wajah Zamia direnung penuh perasaan.
Bingkai
gambar diletak kembali ke atas meja dan dia kembali membuang pandangannya ke
lautan yang luas terbentang.
Hari
baru membuka tirainya. Pagi itu mentari bersinar terang di kaki langit. Danish
mengambil kesempatan itu untuk mencuci keretanya yang kotor. Manakala Ain dan
Zamia pula mengambil kesempatan itu untuk menjemur pakaian yang tidak sempat
dijemur semalam.
“Mia,
tolong ambikkan abang kain pengelap tu.” Danish menunjuk ke arah sehelai kain
lusuh yang tergantung di sudut anjung banglo. Zamia pantas mencapai kain lusuh
tersebut dan menyerahkannya pada Danish.
“Saya
nak beli barang sikit untuk makan tengahari ni.” Ain mendekati suaminya.
“Lepas
ni kita pergi ye sayang?” Balas Danish nakal. Dia mencuit hidung mancung
isterinya.
“Mia
nak ikut?” Ain mempelawa. Zamia menggelengkan kepalanya.
Semasa
ketiadaan abang dan kakak iparnya, Zamia sibuk mengemas ruang tamu. Permaidani
yang berdebu dibersihkan menggunakan pembersih vakum. Dia terbatuk-batuk
tersedut debu yang berterbangan.
Dia
beralih ke dapur pula. Dia membersihkan dapur gas yang berminyak. Pokok gergasi
tiba-tiba menarik perhatiannya. Dia merenung batang pokok tersebut dengan penuh
minat.
“Besarnya
pokok ni.” Gumamnya.
Zamia
menjengulkan kepalanya keluar jendela dapur untuk melihat pokok itu dengan
lebih dekat. Ketika dia asyik memerhatikan pokok itu, tiba-tiba sebatang
rantingnya gugur dan terpacak ke bumi. Hampir-hampir mengenai kepala gadis itu.
Zamia
terkedu. Dadanya berdebar-debar. Jika dia tidak sempat mengelak dari panahan
ranting tajam itu, nyawanya pasti akan berakhir pada masa itu juga.
“Ya
Allah…” Zamia meraup muka yang pucat. Bergetar seluruh tubuhnya.
Ain
yang baru melangkah masuk ke dapur meluru mendapatkan adik iparnya yang
terduduk di atas lantai.
“Kenapa
Mia?” Soalnya panik. Jemari Zamia dingin seperti ais. Zamia menelan liur.
Kemudian dia memandang Ain.
“Mia
tengah tengok pokok besar tu, then ranting dia tiba-tiba jatuh. Sikit lagi
terkena kepala Mia.” Jelas Zamia gugup.
Ain
bergegas ke luar dapur. Dia beristighfar panjang apabila melihat ranting kayu yang
terpacak di atas tanah itu.
“Kenapa
ni?” Tanya Danish. Dia tercongok di muka dapur dengan kening yang berkerut.
Dilihatnya Zamia sedang duduk di atas lantai manakala Ain pula sedang terhendap-hendap
di jendela dapur.
“Tadi..”
Belum sempat Ain menceritakan hal yang sebenar, Zamia pantas memotong kata-kata
wanita itu.
“Takde apa-apalah. Cuma rehat kejap, letih
sangat.” Bohongnya.
Ain
sekadar mendiamkan diri. Dia pasti Zamia tidak mahu abangnya bimbang.
“Hmm..Janganlah
kerja kuat sangat. Lepas masak, rehat-rehatlah.” Nasihat Danish lalu beredar dari
situ.
“Maafkan
Mia sebab potong percakapan kak Ain tadi. Bukan apa, Mia tak nak abang risau..”
Jelas Zamia bersungguh-sungguh. Khuatir jika dia telah mengguris perasaan kakak
iparnya.
Penjelasan
tersebut disambut dengan senyuman di bibir Ain. “Akak tau.”
Dia
memegang bahu Zamia. “Jom masak..”