Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kelima

Detik kelima.

Selepas mengucup tangan Danish dan Ain, Zamia bangkit mahu kembali ke biliknya.

“Mia..” Panggilan Danish menghentikan langkahnya.

Dia menoleh ke arah abangnya yang masih duduk bersila di atas sejadah. Keresahan terlukis di wajah lelaki itu.

“Betul ke Mia nak duduk sini lebih dari dua minggu?”

Zamia mengangguk sebagai menjawab soalan itu.

“Mia tak takut ke duduk sini sorang-sorang?” Ain turut menzahirkan keresahannya.

“Tak. Abang dengan kak Ain tak perlu risau pasal Mia. In shaa Allah, semuanya okay.” Balas Zamia dan meneruskan langkahnya yang tergendala.

Danish meraup muka dengan telapak tangannya. Zamia memang betul-betul degil.

“Awak dah bagitau Imriz yang kita dah sampai?” Soalan isterinya membuatkan Danish tersentak. Dia betul-betul terlupa tentang Imriz. Pasti rakannya itu sedang menanti panggilannya.

Dia bergegas mengambil telefon bimbitnya di atas meja dan menghubungi rakannya. Namun panggilan tersebut tidak dijawab oleh Imriz.

“Dia tak jawab phone.” Danish berkata hampa.

“Dia tengah solat kot.” Balas Ain yang sedang melipat kain telekungnya. Danish sekadar menjungkit bahu dan bersiap untuk ke rumah Imriz.

“Saya akan beli lauk makan malam kat kedai. Saya nak ajak Riz makan sekali ni.”


“Aamiin ya rabbal alamiin..” Imriz meraup muka selepas mengucapkan salam.

Sejurus selepas itu, deruan enjin kereta seseorang kedengaran diparkir di perkarangan rumahnya. Dia menjengah ke luar jendela.

“Danny! Bila sampai?” Imriz menyambut kedatangan Danish dengan senyuman meleret hingga ke telinga. Dia bergegas membuka pintu yang berkunci dan mempelawa lelaki itu masuk ke rumah.

“Baru aje..” Danish melabuhkan punggungnya ke atas kerusi kayu.

“Tunggu kejap, aku nak buat air.”

Segera Danish menegah rakannya lantas membantutkan niat Imriz untuk ke dapur.

“Tak usahlah Riz. Aku datang sini pun sebab nak ajak kau makan malam.” Akhirnya Danish menyatakan hasratnya. Imriz mengangguk-angguk.

“Kau datang berdua aje ke?” Umpan Imriz untuk mengetahui sama ada Zamia turut datang ke negeri itu ataupun tidak.

Danish menggeleng, “Bertiga, adik aku pun ada.”

Tidak semena-mena senyuman manis terukir di bibir Imriz.

“Aku dengar tunang dia mati dalam kemalangan, betul ke?” Imriz mengumpan lagi. Dia ingin mengetahui kejadian sebenar yang telah berlaku dalam hidup gadis manis itu.

Danish terdiam. Terbayang wajah arwah dalam kepalanya.

“Dia terkorban dalam kemalangan jalanraya dua minggu lepas.”

Imriz mengangguk sambil menanti kata-kata seterusnya dari Danish.

“Sepatutnya dorang berkahwin dua minggu lepas.” Danish menyambung. Hatinya pilu mengenangkan adiknya.

“Dia kemalangan macam mana?” Tanya Imriz penuh minat.

“Dilanggar lori...”

“Masya’Allah..” Imriz menggeleng kepala mendengar betapa tragisnya cara kematian Azriq. Danish menundukkan wajahnya ke lantai.

“Macamana orangnya, arwah tu?” Imriz ingin tahu tentang lelaki yang pernah berjaya mencuri hati Zamia suatu ketika dahulu.

Danish menguntum senyuman pahit. “Baik budak tu Riz. Peramah, ceria, pandai menghormati orang tua tapi dia macam misteri sikit.”

Kening Imriz berkerut. Misteri yang macam mana?

“Uhm…Aku pun tak pandai nak describe orang ni Riz. Mungkin aku ni aje yang suka fikir yang pelik-pelik.” Balas Danish seolah dapat membaca kata hati Imriz. Lagipun siapalah dia untuk menilai peribadi orang lain. Hanya Dia yang layak untuk melakukan semua itu.

Imriz membuat keputusan untuk berhenti bertanya kerana tidak mahu fikiran rakannya itu terganggu.

“Kau ajak aku dinner? Dah masuk waktu isya’ dah ni.” Imriz melirik jam yang tergantung di dinding.

“Kita solat dulu.” Danish tersengih.


Ain yang baru selesai mengambil wuduk, menjengah ke luar pintu bilik. Dia mahu mengajak adik iparnya untuk solat bersama-sama.

“Mia nak solat dengan akak.” Zamia menyapa Ain. Ain mengangguk kerana itulah niatnya sebentar tadi.

Selesai solat, bulu roma Ain meremang secara tiba-tiba. Dia meraba tengkuknya. Bilik itu terasa dingin. Sambil melipat kain telekung, mata Ain beralih pada Zamia yang sedang berdoa. Entah mengapa bulu romanya semakin meremang.

Bunyi pili air yang terbuka di dapur membuatkannya tersentak. Dia kaget. Siapa yang berada di dapur? Bagaimana pili air boleh terbuka sedangkan dia dan adik iparnya berada di dalam bilik ketika itu? Tidak mungkin itu perbuatan suaminya kerana lelaki itu masih belum pulang dari rumah Imriz.

Jiwanya meronta-ronta mahu mencari jawapan. Dia ingin mengajak Zamia ke dapur tetapi adik iparnya itu sedang khusyuk berdoa. Tiada pilihan, dia memberanikan dirinya ke dapur.

“Mia?”

Dia melihat Zamia di dapur sedang mengisi air paip ke dalam cerek.

Zamia melemparkan senyuman tawar ke arah kakak iparnya. Kemudian dia menutup pili air dan meletakkan cerek ke atas dapur gas. Ain yang mematungkan dirinya di pintu dapur dipandang lama. Wajah wanita itu pucat semacam.

“Kenapa kak?”

Ain tidak menjawab soalan Zamia. Yang mana satu sebenarnya Zamia Izaiqa?

“Kak?” Kening Zamia berkerut.

Ain dapat merasakan yang bersolat dengannya sebentar tadi bukanlah Zamia. Dia pasti. Patutlah bulu romanya meremang sahaja ketika bersama ‘Zamia’ tadi.

Ain mendekati Zamia lalu membisikkan sesuatu.

“Saya solat dalam bilik saya tadi.” Jelas Zamia bersungguh-sungguh. Ain menelan liur. Sah! Itu memang iblis.

“Mia teman akak kejap.”

Zamia menurut sahaja permintaan kakak iparnya. Keduanya beriringan menuju ke bilik tersebut.

“Tadi akak solat sekali dengan Mia.” Bisik Ain setelah keduanya sudah tercongok di hadapan bilik itu.

Zamia tidak faham dengan apa yang dikatakan oleh Ain. Bagaimana dia boleh bersolat dengan kakak iparnya jika dia bersolat dalam biliknya tadi? Dia bingung.

Pandangan Ain dan Zamia difokuskan pada kain sejadah yang terbentang di atas lantai. Ada dua sejadah di situ.

“Betul ke Mia solat dengan akak tadi?” Terpacul soalan bodoh dari mulut Zamia. Sedangkan dia sendiri tahu bahawa dia bersolat seorang diri tadi.

“Iblis..” Itu jawapan Ain.


Danish memandu keretanya ke kedai makan di hujung kampung untuk membeli lauk makan malam. Perut pun sudah berkeroncong minta diisi.

“Kau tak pernah makan budu kan?” Imriz bertanya nakal.

Danish tergelak dan menggelengkan kepalanya.

“Mak Nab, bagi budu jugak ye.” Imriz memberitahu wanita lewat 50-an yang sedang sibuk membungkus lauk-pauk itu . Orang tua itu mengangguk faham.

“Kau ni tak habis-habis dengan budu. Sedap sangat ke?” Danish mengusik Imriz.

Imriz tersenyum sinis.

“Kau jangan pandang rendah pada budu Danny. Sekali rasa nak lagi.” Dia berseloroh. Tawa Danish berderai lagi.


Danish mematikan enjin keretanya di perkarangan banglo.

“Masuklah Riz..” Ain mempelawa mesra. Dia mengambil beg-beg plastik yang berselirat di tangan suaminya lalu dibawa masuk ke dapur.

“Duduklah Riz. Lepas ni kita makan.” Ain berkata dari dapur. Sibuk sekali dia menghidangkan lauk-pauk yang dibeli Danish ke atas meja makan.

Zamia melangkah keluar dari bilik.

“Duduklah dulu abang Riz..” Zamia menyapa mesra. Imriz terkesima mendengar suara itu.

Pandangan Imriz mengekori langkah Zamia. Hatinya berdebar-debar. Dia jatuh hati pada Zamia sejak kali pertama memandang wajah sugul itu. Danish yang perasan dengan hal itu mencuit paha rakannya. Dia tersengih nakal.

“Kau skodeng adik aku ye?” Usiknya nakal.

Imriz tersipu malu. Danish betul-betul kacau daunlah!

“Kau tambatlah hati dia, then bolehlah kau jadi adik ipar aku Riz.” Usik Danish lagi. Berderai tawa lelaki itu. Imriz mencebik.

“Kau jangan cabar aku Danny. Kang aku betul-betul jadi adik ipar kau kang.”

Jawapan Imriz membuatkan tawa Danish semakin menjadi-jadi.

“Mari makan..” Ajakan Ain berjaya menghentikan tawa lelaki itu.

Dua sahabat itu segera beredar ke dapur. Terhidang lauk-pauk yang dibeli oleh Danish di atas meja. Yang paling menarik perhatiannya ialah budu yang dihidang dalam mangkuk kecil. Kecur air liurnya.

“Mia mari duduk.” Panggil Danish. Gadis itu sedang sibuk menyediakan air minuman.

Mata Imriz terpaku pada Zamia yang sibuk menuang air minuman ke dalam gelas. Walaupun sugul namun gadis itu tetap manis pada pandangan matanya.

“Makan Riz.” Suara rakannya pantas menghentikan renungannya pada Zamia.

Hujan di luar masih lebat seperti tadi. Tiada tanda-tanda ia akan berhenti membasahi bumi. Bunyi katak juga lantang memecah kesunyian malam itu.

Danish teruja mahu mencuba budu. Dia ingin merasai sendiri betapa enaknya makanan yang berupa cecair itu.

“Nak cicah dengan apa ni?” Dia menyoal Imriz. Imriz mahu tergelak mendengar soalan Danish.

“Ni, kau cicah dengan timun ni..” Dia menyeret pinggan timun mendekati Danish. Tanpa ragu-ragu lelaki itu mencapai sehiris timun dan mencicahnya ke dalam budu.

Imriz menanti reaksi rakannya.

“Sedap sedap…” Jawapan Danish membuahkan rasa senang di hati Imriz. Kemudian dia mencuri pandang ke arah Zamia pula. Gadis itu hanya membisu dari tadi.

“Mia study kat mana dulu?” Dia memulakan bicara.

Danish tersenyum nakal.

“USM, Penang.” Zamia membalas ringkas. Jarinya menguis butiran nasi dalam pinggan.

Imriz mengangguk.

“Jurusan apa?” Soalnya lagi.

“Tesl.” Ringkas sahaja jawapan yang keluar dari mulut gadis itu.

Imriz yang asyik merenung Zamia tersentak apabila bahunya dicuit oleh Danish.

“Makan la dulu. Nanti sejuk pulak lauk tu.” Danish sengaja mengganggunya. Imriz segera menyuap nasi ke dalam mulutnya.


Selesai makan malam, mereka berempat duduk berbual di ruang tamu. Bermacam-macam cerita yang dibualkan oleh dua sahabat itu.

Zamia seperti biasa hanya mendiamkan diri tanpa berminat membuka mulutnya. Dia sekadar menjadi pemerhati sepi sahaja.

“Dah lewat ni. Eloklah kalau aku balik dulu.” Imriz melirik jam di tangannya. Tanpa disedari, malam itu telah pun hampir tengah malam. Tidak terasa masa yang berlalu pergi.

“Awak dengan Mia masuklah tidur dulu. Saya ada kunci spare.” Danish berpesan pada isterinya. Ain mengangguk faham.

“Saya balik dulu Ain, Mia. Selamat malam. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Ain dan Zamia menghantar kepulangannya di muka pintu. Seketika kemudian, kereta Danish menghilang di balik kegelapan malam. Ain mengajak adik iparnya masuk dan mengunci pintu banglo tersebut.

Langkah Zamia terhenti. Ain yang berada beberapa meter di hadapan berpaling ke belakang setelah namanya dipanggil oleh Zamia.

“Mia ada sesuatu nak tanya pada akak.”

Kemudian, pandangan mereka bertaut lama.


Deru angin di luar seolah memainkan irama yang menyeramkan. Kuat sekali menghentam pepohonan dan semak-samun di sekitar banglo tersebut.


Ain dan Zamia melabuhkan duduk ke sofa di ruang tamu.

“Apa yang Mia nak tanya?” Ain terlebih dahulu memulakan bicara.

Zamia memandang tepat ke wajah Ain.

“Pasal tadi.” Balasnya tenang. Ain mengatur duduknya.

Dahi Zamia berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Dia mematungkan diri di sofa membuatkan Ain terkulat-kulat.

“Kenapa jadi macam tu? Mia tak faham la kak..” Akhirnya dia membuka mulut selepas membisu selama beberapa minit.

Ain tersenyum pahit. Ia memang sukar dimengertikan namun ia boleh berlaku kerana syaitan iblis itu wujud.

“Wallahualam Mia, akak sendiri pun terkejut. Akak ingatkan Mia yang solat isya’ dengan akak tadi.”

Zamia mengetap bibir.

“Syaitan iblis Mia...” Ain menyambung.

Ain bangun dari duduknya dan duduk di sebelah Zamia. Kali ini dia pula mahu bertanyakan sesuatu.

“Mia selalu mimpi buruk pasal arwah kan?”

Zamia mengangguk sebagai jawapan kepada soalan itu.

“Boleh akak tau mimpi yang macamana?” Ain merenung ke wajah Zamia.

Igauan-igauan ngeri Azriq segera memenuhi kotak fikiran Zamia.

“Dia kena langgar.” Akhirnya dia berterus-terang.

Ain mengangguk dan terdiam seketika. Sengaja memberi ruang kepada adik iparnya untuk mengumpul kekuatan. Suasana bertukar sepi, nyanyian cengkerik dan unggas memekakkan telinga.

“Akak pun ada mimpi pasal arwah.” Pengakuan Ain membuatkan gadis itu tersentak.

Dia benar-benar tidak mengerti. Mengapa kakak iparnya turut mengalami mimpi yang sama? Fikirannya berserabut. “Mia rasa ada sesuatu yang tak kenalah...”

Ain memandang tepat ke arah Zamia. Gadis itu mengeluh berkali-kali.

“Macam ada sesuatu yang arwah tak pernah bagitau Mia.”

Ain mengunci mulut. Membiarkan adik iparnya sahaja yang berbicara.

“Mia mimpi arwah bawak Mia ke sini. Lepas tu…” Ayat Zamia tergantung di situ. Matanya dipejamkan dan bayangan ngeri itu mula menghantuinya.

“Lepas tu apa Mia?” Desak Ain.

Zamia membuka mata dan mendongakkan kepalanya ke atas. Dia merenung siling.

“Mia tengok dia pegang kepala dia sendiri.” Sambung Zamia dengan suara yang tersekat-sekat. Ain tergamam.

Suasana kembali sepi. Keduanya asyik melayan perasaan masing-masing.


Mulutnya menyeringai. Bau bak bangkai memenuhi segenap ruang dalam banglo itu. Tajam sekali matanya memerhatikan gerak-geri mereka yang sedang menyepikan diri itu...

Previous: Detik keempat

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman