Home Novel Seram/Misteri MEREMANG
Detik kedua

Detik kedua.

Hari itu sudah masuk hari keempat arwah Azriq pergi meninggalkan Zamia. Walaupun kenyataan itu terlalu perit untuk ditelan namun Zamia gagahi dirinya untuk menerima takdir itu dengan hati yang redha.

Malam semalam bayangan arwah kembali menghiasi layar mimpinya. Mimpi yang sama seperti hari-hari yang sebelumnya. Tragis dan menakutkan. Dia pantas beristighfar apabila igauan buruk mengenai arwah Azriq menerpa fikirannya di kala sepi.

“Mia…” Suara Azriq menyerunya setiap kali dia memejamkan mata untuk tidur. Zamia mengeluh berat. Barangkali aku terlalu merindui Azriq, gumamnya sendiri.

Dia mencapai kotak yang terletak dalam almari pakaiannya. Lama dia merenung kotak berwarna kuning cair bersaiz sederhana itu dengan sepasang mata redup miliknya. Kemudian penutup kotak tersebut dibuka lalu barang-barang yang tersusun rapi di dalamnya diteliti. Jemarinya mencapai beberapa keping foto Azriq yang terselit di bawah surat-surat pemberian arwah.

Bibirnya mengukir senyuman semasa merenung wajah yang berlesung pipit itu di dalam foto. Lesung pipit itulah yang membuatkan hatinya terpaut pada Mohd Azriq. Memori indah semasa menyulam kasih bersama lelaki itu bermain-main di layar fikiran.


Universiti Sains Malaysia-2010.

Zamia tersenyum meleret sejurus melihat kelibat Azriq yang terkocoh-kocoh menuju ke arahnya. “Sorry, saya terlambat.” Azriq termengah-mengah. Pucat mukanya. Zamia menghulurkan sebotol air mineral dingin pada lelaki itu. Azriq tersengih menampakkan lesung pipitnya.


Bunyi derapan kaki di luar bilik menghentikan lamunan gadis itu. Dia meletakkan foto-foto itu kembali ke dalam kotak. Dia bangkit lalu mengintai ke luar pintu bilik tidurnya namun tiada sesiapapun di situ. Dia menyangka derapan kaki itu milik abangnya tetapi ternyata bukan. Zamia kembali duduk bersimpuh di atas katil sambil membelek surat-surat cinta pemberian Azriq.

Tanpa disedari air matanya tumpah lagi. Menitik-nitik membasahi dakwat di atas surat yang sedang dibaca. Tidak sanggup meneruskan bacaan, tangannya pantas melipat surat tersebut dan disimpan kembali ke dalam kotak berwarna kuning cair itu. Dia menyentuh dada yang kembali sebak. Kesakitan kehilangan insan yang tersayang betul-betul mendera kehidupannya di kala itu.

Zamia menyembamkan mukanya ke atas bantal. Habis lenjun bantal itu dek air matanya. Semakin hari perasaan Zamia semakin menderita. Jiwanya semakin merindui Azriq yang telah pergi buat selama-lamanya. Apa yang harus dia lakukan untuk menjauhi derita itu? Dia harus pergi dari situ untuk mencari ketenangan jiwa yang berlari jauh darinya.

Dia nekad! Dia akan pergi dari situ buat sementara waktu. Dia mengesat air mata yang membasahi wajahnya. Dia bangkit dengan azam yang baru.

“Ibu, ayah, abang…” Sapa Zamia ketika dia mendekati mereka di ruang tamu.

Mentari pagi bersinar cerah di langit biru namun jiwa Zamia tetap kelam dan kelabu. Keluarganya memandang ke arahnya tidak berkelip. Adakah mereka sedang bermimpi di kala itu? Zamia menyapa mereka di ruang tamu. Adakah semangat Zamia telah pulih? Pelbagai persoalan timbul di benak hati.

“Ada apa Mia?” Encik Zahari yang sedang membaca surat khabar merenung Zamia dengan penuh minat.

“Mia nak pergi ke banglo biru.” Zamia membuka bicara.

Encik Zahari tidak memberi apa-apa reaksi. Danish mengatur duduknya. Mengapa adiknya tiba-tiba membuat keputusan drastik seperti itu?

“Bila Mia nak pergi?” Soal Danish dengan dahi berkerut seribu.

“Esok.” Zamia memberikan jawapannya. Puan Hatila melepaskan keluhan panjang.

“Kenapa Mia nak pergi sana? Kat sana takde orang nak jaga Mia macam kat sini. Lagipun jauh banglo tu.” Puan Hatila tidak puas hati dengan keputusan Zamia yang mahu pergi ke banglo biru yang terletak jauh di Terengganu.

“Mia nak tenangkan fikiran kat sana.” Jelas Zamia bersungguh-sungguh. Dia mengharapkan persetujuan daripada ahli keluarganya itu. Dia tidak sanggup lagi berlama-lama di situ. Kuala Lumpur terlalu banyak mengingatkannya pada arwah Azriq.

“Macam mana bang?” Puan Hatila mengajukan soalan buat suaminya yang sedang berfikir sambil memegang janggutnya yang sejemput.

“Mia tak takut ke duduk kat sana sorang-sorang?” Soal Danish bimbang. Jika boleh, dia tidak mahu adiknya pergi ke sana. Bersendirian dalam banglo besar seperti itu. Hatinya menjadi tidak tenteram memikirkan apa-apa kemungkinan yang boleh berlaku pada Zamia ketika di sana kelak.

“Tak. Boleh kan ibu, ayah?” Zamia merenung ke dalam mata Encik Zahari. Mengharapkan persetujuan dari sang ayah. Encik Zahari memandang isterinya dan kemudian Danish. Akhirnya dia mengangguk setuju.

“Tapi ayah…” Bantah Danish. Encik Zahari berdehem dua tiga kali lantas membantutkan niat anak lelakinya untuk meneruskan kata-katanya.

“Tak boleh ke Mia ke sana lepas majlis kahwin abang nanti?” Danish merenung ke wajah bujur sirih adiknya. Zamia mendiamkan diri sambil matanya melirik ke arah sejambak bunga mawar merah yang terletak di atas meja.

“Betul kata abang tu. Mia ke sana lepas abang kahwin ye sayang?” Puan Hatila menyatakan sokongan terhadap apa yang telah dikatakan oleh anak lelakinya. Danish mengangguk-angguk.

Zamia mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Danish dengan perasaan pilu. Sepatutnya dia dan Azriq akan diijab kabulkan bersama-sama Danish dan Ain Shakina seminggu dari sekarang. Dia dan abangnya akan bersanding pada hari yang sama. Namun sudah kehendak takdir, jodoh bersama Mohd Azriq hanya sampai di situ sahaja.

“Macam mana?” Soal Danish Faqhim penuh harapan.

Zamia masih mendiamkan diri. Berperang dengan perasaannya.

“Lepas tu abang dengan kak Ain akan teman Mia kat sana. Honeymoon.” Danish tersenyum manis. Ibu dan ayah mereka turut mengukir senyuman mendengar kata-kata lelaki berusia 25 tahun itu.

Zamia langsung tidak terusik dengan kata-kata itu. Hatinya langsung tidak tergeletek dengan gurauan abangnya. Selalunya dialah yang mudah ketawa walaupun Danish sekadar membuat lawak bodoh sahaja.

“Mia…” Cuping telinga Zamia bergerak-gerak. Suara itu kembali menjentik gegendang telinganya. Zamia menoleh ke kiri dan ke kanan mencari empunya suara yang sedang memanggil-manggil namanya.

“Kenapa Mia?” Puan Hatila cemas melihat Zamia berkelakuan seperti itu.

“Mia….” Suara itu kedengaran sayup-sayup di cuping telinga Zamia. Dahinya mula berpeluh-peluh, dia serba tidak kena. Suara itu seringkali menyerunya di kala dia inginkan ketenangan.

“Mia nak pegi esok.”

Puan Hatila, Encik Zahari dan Danish berpandangan sesama sendiri.

“Tunggu lepas abang kahwin. Boleh abang dengan kak Ain teman Mia kat sana.” Pujuk Danish. Merayu-rayu sahaja suaranya mengharapkan pengertian adiknya. Dia tidak mahu adiknya bersendirian di banglo biru lebih-lebih lagi ketika hidup adiknya itu sedang dirundung derita.

Zamia membatu.

“Kami bimbang Mia ke sana sorang-sorang. Mia tunggu lepas majlis kahwin abang ye?” Pujuk abangnya lagi. Zamia tidak memberi jawapannya. Ya atau tidak menjadi tanda tanya buat ahli keluarganya.

“Mia?” Desak Danish, dia mahukan jawapan yang pasti.

Encik Zahari mencuit paha Danish yang terlalu mendesak Zamia. Khuatir jika desakan demi desakan itu akan menghimpit perasaan gadis itu.

“Mia pergilah berehat dulu. Nanti kita bincang pasal hal ni lagi.” Encik Zahari memberi ruang untuk anak gadisnya itu bernafas. Danish mengeluh perlahan. Selagi Zamia tidak memberikan jawapan yang pasti, selagi itu hati lelakinya tidak tenang.

“Mia pergi lepas abang kahwin dengan kak Ain..” Ujar Zamia secara tiba-tiba. Air mukanya muram sahaja. Dia terpaksa bersetuju kerana tidak mahu mengecilkan hati lelaki itu.

Danish menguntum senyuman lega.

“Mia nak makan tak? Ibu dah masak makanan yang sedap-sedap untuk Mia.” Sang ibu tidak pernah mengenal erti putus asa memujuk sang anak. Zamia menggeleng.

“Mia naik atas dulu.” Zamia bangkit dan berlalu ke tingkat atas untuk ke bilik tidurnya. Jika dia lama-lama di situ, pasti keluarganya akan terus memujuknya untuk makan. Badannya susut dengan mendadak.

“Bimbang saya dengan Mia tu bang.” Ujar Puan Hatila setelah Zamia sudah menghilang ke tingkat dua. Orang tua itu tidak senang duduk.

Encik Zahari tetap tenang seperti selalu.

“In shaa Allah nanti eloklah dia. Awak janganlah bimbang sangat ibunya.”

Puan Hatila mencebik mendengar kata-kata suaminya yang baginya langsung tidak membantu itu. Hari itu sudah masuk hari keempat Zamia tidak mahu makan. Masakan dia boleh duduk senang melihat keadaan anak bongsunya yang menyedihkan seperti itu?

“Awak selalu aje macam ni bang. Buatnya si Mia tu tak mau makan berminggu-minggu, sapa yang susah?” Bebel Puan Hatila.

“Alah.. Nanti eloklah dia.” Encik Zahari tetap memberi ayat yang sama.

“Abang ni…Susahlah nak bercakap dengan awak!” Puan Hatila membebel lagi. Dengan wajah mencuka dia bangkit lalu berlalu ke luar rumah. Ada baiknya dia menyiram pohon bunga daripada terus bertengkar dengan suaminya itu.

“Hmm..Ibu kamu...” Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Encik Zahari sambil tangannya mencapai surat khabar yang terlipat di atas meja.

Danish tersenyum pahit.

Langkah Zamia diatur perlahan ke bilik kecil yang terletak di sebelah kanan bilik tidurnya. Ada sesuatu yang ingin dia lakukan di situ. Tangannya memulas tombol dengan tenaga yang tidak dicaj selama berhari-hari kerana enggan menjamah apa-apa makanan. Dengan langkah yang longlai, dia melangkah masuk ke dalam bilik tersebut lalu berdiri di suatu sudut.

Anak matanya merenung satu-persatu dulang yang berisi barang hantaran perkahwinan. Semuanya tersusun rapi di tepi dinding. Dulang hantaran yang berisi kain pelikat berwarna hitam bersulamkan benang perak menarik perhatiannya. Kain pelikat yang terlipat kemas itu sepatutnya menjadi milik bakal suaminya, Azriq. Dia sering membayangkan betapa segaknya Azriq ketika memakai kain pelikat itu semasa mereka berbulan madu kelak.

Sambil mengukir senyuman pahit, dia duduk mencangkung lalu membelai-belai kain pelikat itu dengan penuh rindu. Air matanya bakal tumpah lagi dan dia cepat-cepat melangkah keluar dari situ. Matanya yang sebelum ini galak dan bersinar itu semakin membengkak akibat terlalu banyak menangis.

Zamia meluru ke katil dan menyembamkan wajahnya ke situ. Dia tersengguk-sengguk menahan derita di hati. Masa yang berlalu pergi membuatkan gadis itu terlena di atas katil. Sekurang-kurangnya lena itu dapat menghentikan air matanya walaupun untuk seketika.


“Azriq, awak buat apa kat situ?” Dia kaget melihat lelaki berlesung pipit itu berdiri seperti patung di tengah lautan kenderaan yang berlumba-lumba di atas jalanraya.

Lelaki itu mematungkan dirinya.

“Azriq! Mari ikut saya balik.” Rayunya ibarat anak kecil. Sesekali esak tangisnya mengiringi suaranya yang melaung-laung memanggil nama lelaki itu.

Azriq langsung tidak berganjak.

“Tolong jangan buat saya macam ni.. Ikut saya balik…”

Sekelip mata sahaja tubuh Azriq melayang dihentam lori yang menggila di atas jalanraya. Darahnya memercik ke seluruh tubuh Zamia yang sedang meraung seperti orang sasau.

“Azriq!”

Semangat Zamia seolah terbang melayang semasa mendekati Azriq di atas jalan. Kepala lelaki itu pecah berderai dan anggota badannya berselerakan di sisi-sisi jalan. Menggeletar tubuh Zamia, peluh bercucuran membasahi wajah dan tubuhnya.

Lutut Zamia seperti mahu runtuh apabila melihat sekujur tubuh yang hancur lebur itu seolah bergerak-gerak mendekatinya. Bebola mata yang terjulur keluar dari rongganya, menjeling sinis ke arah Zamia dan…

“Mia!....”


Zamia tersedar dari lena. Menggeletar seluruh tubuhnya. Dia bermimpi buruk lagi. Pantang dia memejamkan mata untuk tidur, pasti igauan buruk akan menghiasi alam mimpinya. Zamia menarik nafas dalam-dalam. Paru-parunya terasa sesak.

“Astaghfirullahalazim…” Dia beristighfar panjang dengan jantung yang berdegup kencang. Mengapa dia sering mendapat igauan yang menakutkan seperti itu? Zamia menyeka manik-manik jernih yang laju mengalir di dahi.

“Allahuakbar…Allahuakbar…” Sekali lagi dia beristighfar panjang tatkala mendengar bunyi azan yang dialunkan oleh pak bilal dari masjid berdekatan. Tanpa disedari dia terlena hingga ke waktu maghrib. Kata orang-orang tua, waktu begitu memang ramai syaitan yang berkeliaran. Ah, dia terlepas waktu zuhur dan asar. Dia menggeleng kesal.

Selesai solat maghrib dan berdoa ke hadrat Ilahi, dia bersimpuh duduk di atas lantai sambil menyandarkan tubuhnya yang lesu ke birai katil. Sesekali dia mendongak ke siling dengan pandangan yang kosong. Otaknya berputar ligat namun dia tidak mampu menumpukan perhatian pada apa yang sedang bermain-main di mindanya.

Dia menanti masuknya waktu isya’. Azannya akan berkumandang dari masjid berdekatan tidak lama lagi. Kudratnya terasa lemah, kaki tangannya seolah terikat pada beban yang berat. Badannya memerlukan tenaga untuk terus kekal cergas tetapi apakan daya seleranya seolah mati.

“Aduh!” Jemarinya memicit-micit kepala yang berdenyut. Ulu hatinya juga terasa pedih.

Kemudian azan isya’ bergema di kawasan perumahan elit tersebut.

“Assalamualaikum warahmatullah..”

Usai solat Isya’, dia menadahkan sepasang tangannya untuk berdoa pada Yang Maha Esa.

Kolam matanya mula bergenang seiring dengan setiap patah tuturnya.

“Ya Allah ya Tuhanku, semoga tenang rohnya di alam barzakh. Ampuni dosa-dosanya dan letakkanlah dia di bawah rahmatMu. Al-Fatihah..” Terkumat-kamit mulutnya membaca surah Al-Fatihah buat roh yang tersayang.

“Mia, jom makan.” Suara Danish lembut menyapa telinga Zamia. Bersama senyuman tawar, gadis itu menoleh dan memandang ke muka pintu biliknya.

Zamia terkedu apabila melihat abangnya tiada di situ. Dia meluru ke pintu namun usahkan jasad, bayangan abangnya pun tiada. Zamia memejamkan mata. Adakah dia berhalusinasi sekali lagi?


Di luar kedengaran sayup-sayup deruan enjin kereta milik Danish diparkir di halaman rumah. Zamia menjengah ke luar jendela dengan wajah bingung. Bukankah sebentar tadi abangnya mengajaknya makan malam? Dia semakin keliru.

Ain menyusup keluar dari kereta. Dia mengukir senyuman manis ke arah bakal ibu dan ayah mertuanya. Dia pantas mendapatkan Puan Hatila dan Encik Zahari yang menyambut kedatangannya di muka pintu. Wajah kedua orang tua itu kelihatan senang sekali.

“Mia mana?” Tanyanya sambil mengucup sopan tangan bakal ibu mertua.

Danish mendekati dan menyatakan bahawa adik perempuannya berada di bilik tidurnya. Puan Hatila sekadar mengiyakan sahaja.

Tangan Ain mengilas mesra lengan Puan Hatila. Keduanya beriringan masuk ke ruang tamu. Di situ sudah terhidang karipap daging dan seteko kopi panas.

“Ain nak pergi jumpa Mia bu, ayah.” Pohon Ain sambil melemparkan senyuman ke arah Puan Hatila dan Encik Zahari. Bakal bapa mertuanya itu sedang enak menghirup kopi panas.

Mereka mengangguk memberi keizinan.

Daun pintu yang sedikit terkuak membenarkan wanita berusia 25 tahun itu mengintai keadaan bakal adik iparnya. Gadis muda itu sedang duduk termenung seorang diri. Tangan Ain mengetuk-ngetuk perlahan pintu bilik tersebut.

Zamia menoleh ke belakang. Bibirnya mengukir senyuman tawar.

“Masuklah kak.” Pelawanya mesra.

Ain menolak daun pintu dan menguaknya luas. Dia melangkah merapati Zamia yang sedang memandang ke arahnya.

Alangkah terperanjatnya dia tatkala melihat Zamia cengkung dan lesu sahaja. Tidak segalak dan seceria dahulu. Perasaan simpati segera datang menerpa ke lubuk hatinya. Dia menggosok-gosok mesra lengan Zamia.

Kemudian keduanya membuang pandangan mereka ke kaki langit malam yang luas terbentang. Purnama mengambang berkilau hebat di ruang angkasa.

“Akak dengar Mia tak mau makan.” Ain memulakan bicara setelah beberapa minit menikmati panorama malam yang indah.

Zamia tersenyum tawar. Tidak berkata apa-apa.

“Macam mana kalau Mia sakit nanti.” Ujar Ain prihatin. Lembut sahaja pandangannya meratah wajah gadis yang sedang berdiri disebelahnya itu.

Zamia masih lagi membisu.

“Akak ada bawa favourite food Mia. Makan sikit ye..” Wanita itu memujuk lagi. Kali ini biarlah mata kail menusuk tepat ke umpan. Adik iparnya mesti makan.

“Mia belum lapar lagi. Takpelah, akak letak aje kat dapur. Kalau Mia lapar, Mia akan ambil sendiri.” Dalih Zamia tidak mahu mengecilkan hati bakal kakak iparnya. Ain mengeluh perlahan.

“Akak…” Zamia tiba-tiba menoleh memandang Ain.

Ain merenung wajah Zamia penuh minat.

“Mia selalu mimpi buruk pasal arwah Azriq. Kenapa ye?”

Ain terkedu. Dia tiada jawapan untuk itu.

“Maaf.” Pohon Zamia.

“Abang Danny cakap kat akak yang Mia nampak Azriq kat luar, betul ke?” Soal Ain dengan bulu roma yang meremang.

Zamia mengangguk perlahan.

“Mia pasti yang itu Azriq?” Soal Ain lagi. Berkerut-kerut sahaja dahinya menanti jawapan dari mulut Zamia. Sekali lagi gadis itu menganggukkan kepalanya.

Ain membuang pandangannya ke jalanraya yang mulai sunyi. Semak-samun yang merimbun di seberang jalan menambahkan rasa seram di hati wanita itu.

“Dia senyum kat Mia dan panggil Mia.” Ujar Zamia.

Ain menelan rengkung yang terasa kering. Bulu romanya habis meremang. Telinganya mendengar sayup-sayup nyanyian si burung hantu dari atas pohon gergasi di seberang kediaman tersebut.

“Mia tak takut?” Spontan sahaja soalan itu meluncur keluar dari mulut Ain.

Wajah bujur sirih itu merenung ke wajah lembut milik Ain dan tersenyum.

“Tak kak. Mungkin Mia berhalusinasi sebab terlalu rindukan arwah.” Zamia membuat kesimpulan sendiri kerana tidak mahu Ain dihantui perasaan seram sejuk.

Danish tersenyum manis melihat bakal isterinya yang sedang rancak berbual dengan adiknya. Lega sedikit hatinya apabila melihat Zamia sesekali mengukir senyuman semasa berbual dengan Ain.

“Berbual pasal apa tu?” Sapa Danish mesra.

Ain tersentak seraya mengurut dada. “Terkejut saya.”

“Bergosip eh?” Usik Danish lalu mendekati mereka.

Tanpa menghiraukan kehadiran Danish yang sudah melabuhkan duduk di atas sofa, Ain kembali membuang pandangannya ke jalanraya yang sunyi sepi. Malam itu hening sekali.

“Akak dengar Mia nak ke sana lepas majlis kahwin akak dengan abang Danny, betul ke?” Wanita itu mengubah topik perbualan.

Zamia mengangguk dan tersenyum tawar.

“Banglo biru.” Balas Zamia perlahan.

“Banglo biru di Terengganu tu?”

“Ye. Mia nak ke sana untuk ambil angin kak.” Itu jawapan Zamia terhadap soalan yang diajukan kepadanya. Ain gigit bibir. Siapa yang akan menjaga gadis itu ketika di sana kelak? Ah, runsing sekali hatinya. Dia mengerling ke arah Danish yang khusyuk memerhatikan gelagat mereka dari atas sofa.

Lelaki itu tidak memberi reaksi apa-apa.

“Abang cakap dia nak bawa kak Ain honeymoon kat sana.” Suara serak-serak basah Zamia menyentap lamunan Ain. Pantas pandangan Ain dan Zamia bertaut.

“Abang Danny kata macam tu? Kenapa akak tak tau pun..”

Kemudian pandangannya beralih semula ke Danish. Geram betul dia dengan lelaki itu kerana tidak memberitahunya mengenai perancangan bulan madu tersebut. Mengapa dia harus mendengarnya daripada mulut Zamia dan bukan daripada mulut Danish sendiri?

“Yelah, boleh jugak akak dengan abang tolong jaga Mia kat sana.” Tutur Ain lembut.

Previous: Detik pertama
Next: Sinopsis

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman